Selasa, 19 November 2013

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


PKR tentang kerajaan perkenal had jangka hayat kereta

Posted: 19 Nov 2013 12:19 AM PST

dipetik daripada FMT.com

Cadangan menghadkan jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun ini akan menindas keluarga-keluarga berpendapatan sederhana dan rendah serta menutup banyak perniagaan kereta terpakai.
PETALING JAYA: PKR akan menentang habis-habisan sebarang usaha untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta sebelum cukai eksais dihapuskan dan harga kereta nasional turun setanding dengan model yang sama di negara lain.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata demikian susulan daripada kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi bahawa kerajaan akan menimbangkan untuk melaksanakan had jangka hayat kenderaan berikutan saranan oleh Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bahawa kereta berusia 12 tahun ke atas adalah tidak selamat.
Dalam siaran medianya, Rafizi mengatakan apa yang lebih membimbangkan adalah Abdul Aziz turut dilaporkan sebagai berkata keputusan menetapkan had jangka hayat kenderaan perlu dibuat segera demi keselamatan rakyat.
"Pelaksanaan had jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun akan memangsakan beratus ribu rakyat Malaysia. Kebanyakan pembeli kereta dari keluarga berpendapatan sederhana dan rendah membuat pinjaman selama sembilan tahun untuk melangsaikan hutang. Dengan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan ini, selepas tiga tahun keluarga-keluarga di Malaysia terpaksa membuat hutang baru untuk membeli kereta," jelas beliau.
MP Pandan itu turut menyatakan bahawa cadangan menghadkan jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun ini akan menindas keluarga-keluarga berpendapatan sederhana dan rendah serta menutup banyak perniagaan kereta terpakai.
"Keadaannya lebih parah bagi pembeli dari keluarga berpendapatan rendah. Kebanyakan mereka hanya mampu membeli kereta terpakai yang sudah pun berusia. Bagi mereka yang meminjam untuk membeli kereta-kereta ini, pelaksanaan had jangka hayat kenderaan bermakna kereta mereka dikira haram di sisi undang-undang dan tidak boleh digunakan sedangkan hutang masih belum dilangsaikan.
"Cadangan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan adalah rentetan dari tindakan-tindakan yang menekan rakyat sejak Barisan Nasional (BN) menang dalam PRU13. Setelah memungkiri janji untuk menurunkan harga kereta, Barisan Nasional menaikkan pula harga minyak," katanya lagi
Rafizi turut mengenalpasti struktur cukai dan pasaran domestik yang menyebabkan harga kereta melambung di Malaysia.
"Wujudnya cukai eksais yang melebihi 100% ke atas kereta-kereta yang digunakan oleh keluarga berpendapatan sederhana dan rendah menyebabkan harga kereta terlalu mahal dan menenggelamkan keluarga dengan hutang kereta yang terlalu tinggi.
"Cukai eksais yang terlalu tinggi ini juga memberi ruang kepada syarikat-syarikat pengeluar dan pengedar kereta untuk bersembunyi di sebalik struktur cukai ini untuk mengambil keuntungan yang lebih tinggi berbanding di negara-negara lain. Oleh kerana pelaksanaan cukai eksais dan pemberian rebat cukai eksais adalah tidak telus, maka struktur margin keuntungan di atas setiap kereta yang dibeli juga tidak telus," tegasnya.
Oleh sebab itulah, katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menggariskan dasar-dasar automotif PKR telah menegaskan bahawa langkah pertama merombak struktur harga kereta yang mahal di Malaysia perlulah bermula dengan menghapuskan cukai eksais yang melampaui batas itu.
"Apabila cukai eksais sudah tiada, barulah rakyat tahu bahawa jika harga tetap kekal tinggi bila dibandingkan dengan model yang sama di negara-negara lain, perbezaan harga itu berpunca dari tindakan mengambil untung yang berlebihan oleh pengeluar dan pengedar kereta.
"Hanya dalam keadaan pasaran kereta seperti ini barulah wujud persaingan sihat di antara pengeluar dan pengedar kereta yang boleh menurunkan harga kereta supaya setanding dengan negara-negara lain bagi model yang sama," katanya lagi.

Isu biaya jet Rosmah dipersoal bertalu-talu

Posted: 18 Nov 2013 07:46 PM PST


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mempertahankan isteri perdana menteri, Rosmah Mansor dalam isu pembiayaan kerajaan terhadap jet eksekutif swasta dalam lawatannya ke Qatar awal bulan ini.

Tindakan kerajaan itu hari ini dipersoalkan bertalu-talu oleh beberapa wakil rakyat pembangkang di Parlimen hari ini.

NONE
Mereka mempersoalkan sama ada Rosmah diperuntukkan keistimewaan itu berdasarkan peraturan kerajaan.

Menjawab soalan tersebut, Shahidan (kanan) menjelaskan lawatan tersebut diluluskan kabinet.

Mendengar kenyataan itu, MP Gombak, Azmin Ali berdiri dan mendakwa kelulusan itu mengandungi elemen konflik kepentingan kerana perdana menteri sendiri mengetuai kabinet.

MP Sepang, Hanipa Maidin turut bangkit dan mendakwa perdana menteri boleh didakwa di mahkamah jika beliau didapati bersalah kerana melanggar prosedur dalam membuat keputusan yang melibatkan konflik kepentingan.

Shahidan: Demi kepentingan negara

Diasak bertalu-talu, Shahidan tidak menjawab kedua-dua pertanyaan tersebut.

Beliau hanya menjelaskan yang ada perkara tertentu dalam mesyuarat jemaah menteri kabinet bersifat rahsia dan tidak boleh didedahkan.

NONE
Beliau juga menegaskan yang lawatan yang dilakukan Rosmah adalah demi kepentingan negara.

"Beliau mewakili negara dan mewakili kepentingan negara," katanya.

Jawapan beliau itu mendorong MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (kiri) untuk bangkit dan terus mengasaknya tentang peranan isteri perdana menteri.

Mahfuz ingin tahu jika isteri perdana menteri dibenar mewakili negara dalam hal ehwal perhubungan dua hala dengan negara lain.

'YB boleh, isteri YB tak boleh'

Shahidan bagaimana pun gagal memberikan penjelasan memuaskan dan hanya menggunakan dirinya yang akan mewakili negara ke satu persidangan di Ankara, Turki tidak lama lagi.

Mendengar jawapan itu, beberapa MP bangun membantah dan ada antaranya bersuara dengan lantang: 

NONE"Yang Berhormat menteri boleh wakil Malaysia. Tapi isteri Yang Berhormat tak boleh".

Rosmah pada 10 November lalu hadir ke Qatar untuk Forum Ahli Perniagaan Wanita Antarabangsa Qatar ke-4.

Azmin mendakwa, penerbangan itu disahkan kerajaan dilakukan dengan menggunakan jet eksekutif.

Awal bulan ini, Parlimen diberitahu, jet yang digunakan kerajaan menelan belanja sebanyak RM14.95 juta untuk belanja petrol dan RM160.08 juta untuk penyelenggaraan.

Setiap penerbangan dilaporkan menelan belanja kira-kira RM470,000.

Ejen CIA di pejabat Peguam Negara, Najib terus membisu

Posted: 18 Nov 2013 07:43 PM PST

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menafikan pendedahan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa terdapat ejen CIA bekerja di pejabat Peguam Negara, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Najib gani
"Najib perlu tampil menjelaskan dakwaan Mahathir ini adakah ia benar? Pendedahan itu sangat serius kerana melibatkan campur tangan asing dalam pejabat Peguam Negara dan bakal menjejaskan kedaulatan negara," katanya kepada Keadilan Daily.

Pada 6 November lalu, The Malaysia Insider melaporkan, Mahathir menimbulkan isu dua pegawai CIA itu kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Pendedahan Mahathir itu menunjukkan seolah-olah isu keselamatan, dasar dan pertahanan negara sangat mudah diceroboh pihak asing," soalnya yang turut mengaitkan pembabitan firma perunding Zionis, Apco Worldwide dalam pentadbiran Najib.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, Najib sepatutnya menjawab isu itu sebaik didedah pihak media.
"Tindakan membisu membuktikan dirinya seorang pemimpin lemah dan cuai dalam menjaga keselamatan negara. Pendedahan ini sangat serius kerana wujud pelbagai rahsia dan maklumat sulit negara di pejabat Peguam Negara," katanya.
Sehubungan itu beliau yang juga Ahli Parlimen Wangsa Maju mendesak siasatan segera dibuat terhadap Gani.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=56671

Dari mana RM40 juta untuk dana Utusan?

Posted: 18 Nov 2013 07:42 PM PST

(Azuan Ab Rahman)
KUALA LUMPUR 15 NOV: Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mempersoalkan dari punca manakah RM40 juta dana tambahan yang disuntik ke dalam Utusan Melayu (M) Bhd bagi membantu lidah rasmi Umno tersebut.
"Dari mana Umno boleh dapatkan wang sebanyak itu, apakah Umno ini sebuah syarikat besar yang mampu menjana berjuta-juta ringgit setahun?,
Johari Abdul
"Perniagaan apa yang Umno buat? kata Johari kepadaKeadilandaily.
Bursa Malaysia dilaporkan pada 13 November lalu menyatakan Umno akan menyuntik RM40 juta dalam Utusan Melayu (M) Bhd, syarikat yang menerbitkan akhbar berbahasa Melayu Utusan Malaysia, melalui cadangan 'two-call rights issue (TCRI)'.
Tindakan itu akan melonjakkan pegangan saham Umno dalam Utusan Melayu daripada 49.8% kepada 53.1%.
Dengan jaminan membeli saham terbitan hak itu, kuasa mengundi Umno meningkat kepada kira-kira 67.2% peningkatan lebih dua peratus dalam tempoh enam bulan.
Menurut Johari, dana suntikan itu perlu didedahkan kerana mewujudkan kesangsian bahawa wang syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan digunakan bagi tujuan itu,
boikot_utusan_badge
Tegasnya sekiranya wang dijana dari GLC umno bagi menyelamatkan akhbar milik mereka, ia sama sekali tidak beretika.

"Saya risau wang GLC yang dimiliki oleh negara akan digunakan bagi tujuan tersebut, Umno tidak boleh sama sekali guna wang dari syarikat milik negara," ujar Johari.
"Kita perlu ingat bahawa syarikat GLC adalah milik negara, bukan milik parti politik yang jadi pemerintah negara" katanya.
Utusan Malaysia dilaporkan dibebani hutang sebanyak RM195 juta pada Oktober 2013 malah pada 2012 akhbar tersebut terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM15. 8 juta.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan sebelum ini dikatakan menyerahkan surat arahan rasmi secara bertulis kepada semua pengarah agensi dan syarikat GLC untuk membeli ruang iklan dalam Utusan bagi membantu akhbar tersebut terus bertahan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=56741

Tiada ulasan: