Selasa, 6 Ogos 2013

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Pemimpin AMK didakwa dimahkamah langgar APA 2012

Posted: 05 Aug 2013 10:59 PM PDT

dipetik dari FMT

August 6, 2013
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum dibawah Seksyen 4(3) akta yang sama iaitu dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 setiap seorang.
KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin, Timbalannya Khairul Anuar Ahmad Zainudin dan Naib Ketua AMK Mohd Nazree Mohd Yunus hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan melanggar Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 22 Jun lalu sekitar 12 tengahari dan 1.15 petang dalam perkarangan Masjid Ar-Rahman Universiti Malaya, Pantai Baharu, di sini semasa menyertai suatu perhimpunan yang diadakan di tempat larangan iaitu tempat ibadah.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum dibawah Seksyen 4(3) akta yang sama iaitu dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 setiap seorang.
Ketiga-tiga pemimpin muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagaimanapun tidak menyatakan sebarang pengakuan dan meminta supaya dibicarakan.
Shamsul,39, yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil diwakili peguam Yusmadi Yusoff manakala Khairul Anuar,36, dan Mohd Nazree,29, diwakili peguam A Jeyaseelen.
Hakim Mat Ghani Abdullah kemudiannya membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM2,000 seorang tanpa cagaran dan menetapkan pengurusan kes pada 23 September depan.
Hakim pada mulanya menetapkan tarikh bicara pada 21 hingga 24 Oktober, namun Jeyaseelen meminta supaya ditunda ke tarikh lain kerana Shamsul perlu menghadiri sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada 21 Oktober sehingga 5 Disember depan.
Pendakwaraya Nurul Huda Aini bagaimanapun meminta mahkamah tidak menangguhkan kes ini terlalu lama atas alasan ia membabitkan kepentingan awam.
Hakim kemudiannya menetapkan tarikh bicara kes pada 11 sehingga 13 Disember depan.
Sebelum itu, Yusmadi mempertikaikan mengenai pertuduhan tersebut yang didakwanya bersifat tidak progresif.
Hujahnya, ketiga-tiga AMK itu tidak wajar dituduh melanggar undang-undang ekoran masa kejadian adalah waktu sembahyang Zuhur dan tidak salah jika berkumpul di masjid untuk beribadah.
Sementara itu, peguam Jeyaseelen ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan memfailkan kes mencabar APA 2012 yang dilihatnya melanggar Artikel 4  Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kebebasan seseorang untuk berkumpul.
Kumpulan AMK pada 22 Jun lalu berarak daripada Masjid Ar-Rahman menuju ke Padang Merbok bagi menyertai Himpunan 'Black505′ anjuran NGO dan Pakatan Rakyat.
Himpunan membantah penipuan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu itu diadakan dengan tiga tuntutan utama, iaitu mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof serta Timbalan Pengerusi Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletakkan jawatan.
Kedua, mendesak supaya adakan pilihan raya semula di 30 kawasan Parlimen yang diragui kemenangannya dan ketiga, menangguhkan sebarang bentuk pindaan undang-undang pilihan raya dan persempadanan semula sehingga sistem SPR dibersihkan.

Salam Aidilfitri 2013

Posted: 05 Aug 2013 09:09 PM PDT


Parti KEADILAN Rakyat Negeri Sembilan dan semua kepimpinan negeri mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga Negeri Sembilan yang beragama Islam.

Semoga perayaan Aidilfitri kali ini menjadi suatu kemeriahan yang bermakna disamping keluarga dan kenalan.

Buat yang pulang ke kampung samada dekat atau jauh, berhati-hati semasa perjalanan dan rancang awal perjalanan bagi mengelak kesesakan jalanraya.


Tiada ulasan: