Jumaat, 30 Ogos 2013

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Pengisian Bulan Kemerdekaan: Penubuhan Persekutuan Negeri Sembilan

Posted: 30 Aug 2013 03:45 AM PDT

Ramai yang kabur tentang maklumat penubuhan persekutuan yang bernama Negeri Sembilan. Malah di Muzium Budaya di Seremban juga tidak menyatakan tarikh dan tahun yang tepat penggunaan nama 'Negeri Sembilan'.

Sedikit maklumat yang ingin dikongsi bersama yang kami perolehi daripada sebuah buku iaitu 'Negeri Sembilan dan Sejarahnya' yang ditulis dan disusun oleh mantan wakil rakyat Seri Menanti dan ahli mesyuarat negeri, Dato Abdul Samad Idris.

Satu perjanjian yang dinamakan sebagai 'PERISTIHARAN SUNGAI UJONG' telah mencatatkan beberapa perkara penting penubuhan sebuah persekutuan di negeri ini.

Melalui peristiharan rasmi tersebut, yang telah dimeterai pada 8 Ogos 1895 Masehi bersamaan 16 Safar 1311 Hijrah, menyebut bahawa Persekutuan Sungai Ujong, Seri Menanti, Johol, Jelebu, Rembau dan Tampin telah bersetuju membentuk sebuah persekutuan yang dinamai sebagai NEGERI SEMBILAN.

Seiring dengan pembentukan persekutuan tersebut, Yamtuan Besar Seri Menanti akan menjadi raja bagi persekutuan baru ini dengan gelaran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan atau Yamtuan Besar Negeri Sembilan.

Sebelum tahun 1895, gelaran Yamtuan Besar Seri Menanti merujuk kepada raja yang menguasai Tanah Mengandung manakala lain-lain luak seperti Sungai Ujong, Rembau, Jelebu, Rembau dan Tampin diketuai oleh Datuk Undang Luak dan Tunku Besar bagi Tampin.

Semoga dengan bulan kemerdekaan ini, maklumat yang dipaparkan ini akan menjadi suatu pengisian berguna untuk semua warga negeri ini yang kebetulan tarikh penubuhan Negeri Sembilan berlaku dalam bulan kemerdekaan.

Sebarang maklumat tambahan atau pembetulan amat dialu-alukan sebagai menambahbaik maklumat yang sedia ada.

Selamat Ulangtahun Kemerdekaan ke-56

Posted: 30 Aug 2013 03:30 AM PDT

Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan mengambil kesempatan sempena bulan kemerdekaan ini mengucapkan Salam Ulangtahun Kemerdekaan yang ke-56.

Perjuangan para susuk politik yang 'diketepikan' oleh sejarah nukilan moden seperti Pak Sako, Ahmad Bustamam, Dr Burhanuddin Helmi, Shamsiah Fakeh umpamanya wajar dikenang dan dihargai sebagai tokoh-tokoh politik yang gigih memperjuangkan kemerdekaan negara ini.

Sejarah kini hanya mendedahkan peranan dan perjuangan sebelah pihak sahaja iaitu dominasi 'perjuangan kemerdekaan' oleh Umno tanpa menukilkan kepentingan perjuangan tokoh-tokoh yang dilabelkan oleh British sebagai 'politik kiri'.

Warganegara wajar didedahkan dengan perspektif yang lebih luas akan peranan, tujuan, matlamat, krisis dan isu mengenai persejarahan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan 'haluan kiri' tersebut. Jika itu berlaku, pertimbangan pro dan kontra akan dapat dibuat berdasarkan pendedahan maklumat dari dua sumber yang berlainan.

Negeri Sembilan khususnya mempunyai tokoh pejuang kemerdekaan tanahair seperti Shamsiah Fakeh yang gigih melawan penjajah British walaupun telah dilabelkan sebagai 'haluan kiri'.

Semoga ulangtahun ke-56 kemerdekaan tanahair ini akan menyuntik kesedaran dan semangat cintakan negara kepada seluruh rakyat.

Tiada ulasan: