The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Posted: 08 Jul 2013 09:32 PM PDT Seramai 15 orang terpilih mengikuti pengajian undang-undang di bawah biasiswa Persekutuan pada tahun 1968 dan hampir kesemuanya berjaya menamatkan pengajian dengan mendapat ijazah profesional Bar-at-Law, dan 3 orang tidak berjaya menamatkan pengajian, tetapi yang tidak berjaya itu terus kekal tinggal di London dengan kerjaya masing-masing dan rasanya mereka itu sangat berjaya didalam kerjaya mereka. Seorang darinya kembali ke Malaysia dan menyambung pengajian undang-undang di Universiti Malaya dan menjadi peguambela dan peguamcara yang berjaya. 3 orang daripada kami meneruskan karier sebagai Magistrate dan berjaya menjadi Hakim ke peringkat Mahkamah Rayuan dan Persekutuan. Yang lain-lain berhenti dari menjadi Magistrate, Hakim dan menjalankan tugas sebagai Advocates and Solicitors. Sesampai sahaja saya di London, saya telah ditunggu-jemput di Heathrow Airport oleh bapa saudara kepada abang pupu saya, yang saya anggap sebagai bapa saudara saya juga. Saya panggilnya Ayahde Midin (Dato Hamidin). Beliau adalah pupu kepada emak kepada abang pupu saya, ayah abang pupu saya itu adalah adik kepada emak saya. Dia menunggu saya dengan sebuah kereta dan dari airport dia terus hantarkan saya ke Hans Crescent, sebuah Hostel bagi pelajar-pelajar berbagai bangsa di London. Hostel itu adalah tempat sementara kami sebelum kami mendapat rumah atau bilik sewa di London. Saya telah dapat sebuah bilik sewa yang lengkap dengan tempat memasak dan saya berkongsi dengan seorang rakan saya (classmate) di kawasan Bays Water. Kawasan itu terlalu mahal. Selang beberapa hari berada di London saya ditemui oleh Sdr Isa dan beberapa orang kawannya termasuk Hock Seng dan Yap. Isa adalah seorang pekerja Malaysia dari Melaka yang datang ke London sebagai seorang kelasi. Beliau berkahwin dengan orang Newcastle bernama Hazel dan mempunyai 3 orang anak bernama Mahaya, Zubaidah dan Mazlan. Melalui Isa saya dapat berkenal dengan ramai pekerja-pekerja Malaysia. Mereka wujudkan Persatuan Malaysian Workers Association in London, dan entah macam mana mereka melantik saya sebagai Penasihat kepada Persatuan itu. Persatuan itu mempunyai sebuah kelab dan pelbagai akktiviti mereka lakukan didalam Kelab itu. Masing-masing membawa keluarga ke Kelab itu terutamanya di hujung minggu. Mereka semua berbahasa Inggeris orang London iaitu berbahasa Cockney, jika kita mula-mula mendengar bahasa itu, amat sukar untuk difahami. Tetapi lama kelamaan, kita juga berbahasa Cockney seperti anak saya Surina, walaupun dia pergi ke kelas Tadika di London tetapi apabila dia berkumpul sesama kanak-kanak dia akan berbahasa Cockney. Saya masih ingat apabila saya membawa Surina balik ke Malaysia untuk bercuti, ramai yang mengetahui Bahasa Inggeris seperti abang saya sendiri cuba berbahasa Inggeris dengannya mendapat jawapan bahasa Cockney dari Surina dan terus abang saya tidak faham. Hock Seng dan Yap pula adalah pelajar-pelajar dari Singapura. Hock Seng sudah berhenti belajar, beliau kadang-kadang kerja dan kadang-kadang tidak, tetapi sebagai seorang yang sudah mempunyai status kerakyatan, beliau mendapat elaun mingguan dari keajaan jika tidak bekerja; elaun itu tidaklah besar, tetapi cukup untuk makan dan membayar sewa bilik, elaun itu dipanggil dol. Yap adalah seorang pelajar dibidang akauntansi. Isa menolong saya mencarikan sebuah bilik yang lebih besar tetapi dengan sewa yang jauh lebih murah, berjauhan sedikit dari Central London. Akhirnya saya berpindah ke sana, dan pada waktu makan saya pergi ke Malaysia Hall kerana makan di sana murah dan boleh mengenyangkan. Melalui Isa saya mengenali Rahman Embong, Bala, Ramesh, Amir Dastan, Zakaria dan lain-lain. Rahman Embong tinggal di Quernmore Road, North London, dan dia menyewa sebuah rumah (bukan bilik). Dia mengajak saya tinggal bersama-samanya dan saya bersetuju kerana tidak lama lagi, isteri saya dan anak kecil saya akan bersama-sama saya di London, dan rumah di Quernmore Road itu adalah lebih sesuai. Saya pergi belajar undang-undang di dua tempat, iaitu (?) School of Law dan Council of Legal Education. Inns of Court tidak mengendalikan kursus undang-undang tetapi hanya mengendalikan perkara-perkara lain seperti etika sebagai peguam, etika semasa makan, dan menyediakan perpustakaan untuk rujukan. Juga menganjurkan debat undang-undang, forum dan moot trial (perbicaraan olok-olok) tetapi walaupun olok-olok, Hakimnya adalah diambil dari Mahkamah. Pelajar-pelajar wajib menghadiri Dining iaitu untuk menguji etika semasa makan. Adab sopan semasa makan dititikberatkan kerana peguam-peguam semasa peringkat awalan di centuri yang terdahulu bukanlah mencari wang melalui kerja guaman kerana mereka itu terdiri daripada orang-orang kaya, peguam adalah profesyen yang sangat terhormat, mereka saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain dan mereka memberikan penghormatan dan kemuliaan kepada peguam-peguam senior. Setiap kali dining ini kita diperhatikan, cara kita memegang sudu atau pisau dan garpu, dan minuman apa yang diletakkan di sebelah kanan dan di sebelah kiri dan minuman yang mana yang kita perlu ambil dahulu. Cara kita menguruskan garpu pisau dan sudu amat diperhatikan kerana walaupun kita gunakan sudu pisau dan garpu, tidak ada sebarang bunyi patut berlaku, iaitu bunyi sudu atau pisau dan garpu itu yang menggesel pinggan semasa kita makan. Semasa mengunyah pula mulut kita tidak terbuka. Setiap pelajar yang terpilih makan bersama dengan Lord President dan dhif-dhif dari Hakim-Hakim terkemuka tidak akan merasa kenyang kerana gerak geri kita terasa sentiasa diperhatikan. Makan dengan dhif-dhif di High Table itu hanyalah empat atau lima orang termasuklah kita. Saya pernah terpilih makan bersama mereka, dan memang saya rasa langsung tidak ada makanan masuk ke dalam perut. Selepas majlis dining itu, saya "sapu" makanan yang ada. Dhif-Dhif itu bukan makan sangat. Tetapi kalau diperhatikan, etika itu hanya diikuti oleh pelajar-pelajar semasa majlis berjalan sahaja; selepas itu dengan pot, wine yang berlambak itu, pelajar-pelajar ada yang minum sampai mabuk, khususnya di kalangan pelajar-pelajar dari Afrika. Kalau tak silap saya setiap pelajar kena dining sebanyak 4 kali, dan kalau tidak menghabiskan 4 kali dining ini, walaupun kita lulus didalam perperiksaan, sijil tidak akan diserahkan kepada kita melainkan kita melakukan dining yang belum cukup itu. Tahun pertama saya lulus cemerlang. Tetapi pada tahun kedua saya mulalah cuai dengan pelajaran saya. Terlalu banyak aktiviti luaran yang saya ceburi terutamanya didalam aktiviti persatuan pelajar. Pada masa itu saya menjadi Setiausaha kepada Persatuan Malaysian & Singapore Students Law Society in London (semasa Chua Jui Meng menjadi Presidennya) dan juga Ahli Jawatankuasa MASS Forum, iaitu persatuan pelajar bagi penuntut-penuntut Malaysia dan Singapura yang progresif, progresif bermakna menganuti fahaman sosialis. Persatuan-persatuan yang saya ceburi ini cukup aktif terutamanya apabila pelajar-pelajar baru tiba di London untuk kami rekruit ke dalam persatuan ini. MASS Forum adalah persatuan pelajar yang sangat tua yang pernah dipimpin oleh Tun Abdul Razak semasa beliau menjadi pelajar di London. Persatuan ini mengambil sikap multiracialism dan menentang sikap perkauman. Berbeza dengan KMUK, iaitu Kesatuan Melayu United Kingdom, persatuan itu hanya terbuka kepada pelajar-pelajar Melayu dan sangat perkauman didalam approach mereka. Dari persatuan KMUK itulah ramai lahirnya pemimpin-pemimpin UMNO dan sesetengahnya berjaya menjadi Exco Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Menteri-Menteri. Maka pada tahun kedua itu saya gagal di dalam perperiksaan saya dan Malaysian Students Department telah memberi amaran kepada saya bahawa biasiswa saya akan ditarik jika saya gagal sekali lagi di dalam perperiksaan saya. Notis dari MSD itu bukanlah menyusahkan hati saya bahkan saya alu-alukan supaya biasiswa saya ditarik, saya sudah nekad untuk tinggal di London dan bekerja di London dengan ahli keluarga saya. Mencari kerja di London bukanlah sukar jika kita tidak memilih sangat. Kerja white collar gajinya kecil dan kerja blue collar gajinya besar. Tak seperti di Malaysia, orang-orang di London tidak memandang rendah kepada pekerja-pekerja blue collar kerana mereka juga tahu pekerja-pekerja blue collar ini mendapat gaji yang sangat tinggi. Saya sudah bersedia supaya biasiswa saya ditarik. Saya mendapatkan pekerjaan di sebuah kilang plastik. Gajinya besar dan kerjanya tidaklah berat sangat. Saya boleh mencapai pendapatan hingga 400 pounds seminggu. Pertukaran wang UK-Malaysia pada waktu itu ialah 1 pound bersamaan RM8.50, maka bayangkanlah pendapatan saya! Saya berhenti pergi belajar tetapi saya mengikuti kursus undang-undang melalui kursus koresponden, lagi mudah faham dan kursus itu betul-betul menghala ke arah lulus di bidang undang-undang. MSD memanggil saya dan memberi ingatan kepada saya bahawa kursus undang-undang yang perlu saya ikuti di Sekolah Undang-Undang dan Council of Legal Education itu dibayar oleh Kerajaan dan jika saya tidak menghadiri kursus-kursus itu, pihak MSD akan menghentikan bayaran. Saya pinta MSD memberhentikan membayar kursus-kursus itu untuk saya. Saya memang sudah bersedia untuk tidak mahu lagi kembali ke Malaysia, dan nekad untuk terus bekerja di London dan menghantar secukup wang untuk emak saya di kampung. Di kampung saya di Lubok Kawah masih ada emak dan adik saya, dan jika saya hantarkan 100 pound satu bulan sudah berlebih untuk perbelanjaan emak dan adik saya. Semasa perperiksaan saya mengambilnya dan Alhamdulillah saya lulus, dan tinggal satu tahun lagi untuk saya mendapatkan sijil perundangan untuk menjadi peguam. Kalau saya lulus, saya boleh bekerja di London sebagai Barrister, dan isteri saya juga boleh bekerja, sedangkan persekolahan anak di London diberikan secara percuma; dan kemudahan-kemudahan lain di London adalah juga secara percuma. England tidaklah mengamalkan sistem social state 100% seperti di negara-negara Scandinivian, tetapi banyak unsur-unsur negara berkebajikan diamalkan di London. Mudah cakapnya orang London takkan mati kelaparan. Perumahan boleh disediakan oleh Local Council dan makan minum boleh disediakan dari elaun doll jika tidak bekerja. Saya meneruskan kerja saya di kilang plastik dan terus tidak pergi sekolah dan menunggu sangat supaya biasiswa saya ditarik balik supaya saya tidak terikat dengan syarat-syarat biasiswa. Semasa perperiksaan akhir, saya mendudukinya dengan penuh keyakinan. Alhamdulillah, saya lulus dan sahlah saya sudah boleh bergelar peguam, saya boleh bekerja di London dan saya boleh kembali ke Malaysia dan bekerja sebagai seorang peguam jika saya mahu; dan saya memutuskan untuk terus tinggal di London, dan terserah kepada saya samada nak menjadi seorang peguam di London atau bekerja sebagai seorang pekerja blue collar. Setelah menjalani interview di Home Office (Kementerian Dalam Negeri) di London saya dan keluarga saya berjaya pulak menjadi PR atau permanent resident. Saya terus tulis surat kepada abang saya, Cikgu Jamaluddin, bahawa saya sudah lulus perperiksaan undang-undang tetapi saya mengambil keputusan untuk tidak kembali ke Malaysia dengan memberi jaminan kepada abang saya bahawa perbelanjaan untuk emak dan adik saya menjadi tangungjawab saya dan sekurang-kurangnya setahun sekali saya akan pulang ke Kg Lubok Kawah untuk melawat emak. Saya tidak mendapat apa-apa jawapan dari abang saya. Entah dia bersetuju ataupun tidak, saya tidak tahu. Tetapi satu hari saya menerima taligeram dari abang saya meminta saya balik dengan segera kerana emak sedang sakit tenat. Maka berkemaslah saya sekeluarga dan keesukannya kami pun terbanglah ke Malaysia dan mengambil teksi dari Subang Airport ke Temerloh. Sesampai saya di rumah saya lihat emak saya cukup sihat sedang menyangkul di sekeliling rumah. Emak saya cukup gembira melihat saya dan menantunya apatah lagi melihat cucunya, Surina, yang sudah lama dia tidak berjumpa. Dia dukung cucunya, dia cium tak sudah-sudah. Saya tanya emak saya, "Abang kata mok sakit tenat dan suruh Mi balik segera," saya membahasakan diri saya dengan emak saya sebagai Mi, bukan saya atau koi. Kami adik beradik semua menyebut nama kami sendiri apabila bercakap dengan emak. "Dok eh," kata emak saya, "bila pulok mok sakit?" Ah, saya sudah tahu bahawa saya dipermainkan oleh Abang saya. Bila saya berjumpa Abang saya dia sendiri mengaku bahawa dia sengaja ada-adakan berita tentang emak sakit supaya saya kembali ke kampung dan tidak menetap di England. Saya sudah serba salah, samada nak kembali semula ke England atau terus tinggal di Malaysia, dan apabila saya melihat emak saya sudah tua, saya rasa tak tergamak nak kembali ke England. Maka tinggallah saya di Lubok Kawah buat beberapa hari sebelum saya ke Kuala Lumpur untuk pergi ke Pejabat Peguam Negara bertanyakan samada saya sudah dibebaskan dari ikatan biasiswa untuk memudahkan saya mencari pekerjaan. Saya memang tidak dilepaskan dari biasiswa saya, dan saya dipinta menunggu sebentar, tidak lama saya diserahkan surat perlantikan menjadi Pegawai Undang-Undang di Kamar Peguam Negara dan saya dikehendaki melapurkan diri pada hari esuknya. (Saya akan kembali menceritakan kisah-kisah saya di London didalam tulisan saya selepas ini, mungkin petang ini atau pagi esuk (hari pertama berpuasa), malam ini saya akan ke Masjid untuk sama-sama menjalani ibadah solat Tarawih - Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada Muslimin dan Muslimat). (...bersambung...) |
KELUAR ATAU TERKELUAR DARI PARTI KEADILAN NASIONAL (PKN) Posted: 08 Jul 2013 07:05 AM PDT Tabiat (perangai) saya bahawa apabila saya menyertai sesuatu pertubuhan itu saya akan aktif, dan kalau saya memegang jawatan yang diamanahkan saya akan ambil tanggungjawab bersungguh-sungguh. Begitulah kedudukan saya didalam Parti Keadilan Nasional. Saya susun habis-habisan organisasi PKN di Temerloh; saya dapatkan sebuah rumah bungalo yang besar di Kg Buntuk Pulau untuk dijadikan Pejabat dan Markas parti, dan saya dan jawatankuasa bahagian akan mendatangi setiap kampung didalam kawasan Parlimen Temerloh untuk mengujudkan hubungan dengan kampung itu. Saya gunakan cara yang saya belajar di dalam PRM untuk mengembangkan organisasi itu. Didalam PRM organisasi diperingkat asas diujudkan dengan mengadakan ranting asas iaitu organisasi kecil yang belum mencukupi untuk menubuhkan sebuah ranting yang sah mengikut perlembagaan. Ranting asas ini boleh disertai oleh beberapa orang sahaja dan jawatankuasa yang diujudkan hanyalah Ketua, Setiausaha, Bendahari dan dua tiga orang jawatankuasa. Tujuannya supaya didalam kampung itu parti akan mempunyai tempat berhubung, dan dari ranting asas itu barulah ditubuhkan ranting yang sah. Saya tumpukan DUN Kuala Semantan sebagai tempat kegiatan parti dengan harapan bahawa didalam PRU yang akan datangnya jika PKN diberikan mandat bertanding di DUN itu kekuatan parti sudah ada di sana. Bekas ahli-ahli PRM ramai yang terlibat dengan PKN di Kuala Semantan, dan PRM memang mempunyai tunjangnya di DUN Kuala Semantan semasa parti itu aktif di suatu ketika dahulu. Hampir di setiap kampung wujud hubungan parti, dan pergerakan PKN di Kuala Semantan menjadi pergerakan yang nyata dan mempunyai kekuatan dan sokongan. Dengan kemantapan organisasi itu saya lancarkan Pilihanraya olok-olok, sistem ini memanglah saya ambil dari pengalaman saya di dalam UMNO yang biasanya mengadakan Pilihanraya olok-olok. Tujuan Pilihanraya olok-olok ini adalah untuk membiasakan ahli-ahli parti dengan Pilihanraya, apakah kerja yang mesti dilakukan didalam Pilihanraya, dan sikap ahli-ahli menghadapi Pilihanraya. Saya tetapkan 10 hari untuk pilihanraya olok-olok ini, bukan seperti Pilihanraya olok-olok yang dilakukan oleh UMNO. Walaupun Pilihanraya olok-olok ini tidak wujud parti-parti yang berlawan, tetapi anggapannya bahawa kita sedang berhadapan dengan parti-parti lain. Justeru itu, diadakan kempen dari rumah ke rumah, ceramah-ceramah, dan pemasangan poster-poster dan waktu bertugasnya benar-benar menyerupai Pilihanraya sebenarnya. Kalau lulus dengan ujian Pilihanraya olok-olok ini dalam tempoh 10 hari itu, maka menjadi senang dan mudah untuk kita menyertai Pilihanraya sebenar. Tetapi ramai yang tidak lulus, bahkan ada yang melaung dan memekik di Markas mengataskan seolah-olah kerja Pilihanraya olok-olok ini sebagai kerja yang sia-sia dan mereka isytiharkan tidak lagi mahu terlibat. Kalau olok-olok tetapi dengan kerja yang serius mereka tidak berupaya, maka amatlah tidak berupayanya jika terlibat dengan pilihanraya sebenar. Mereka ini kebanyakan orang-orang baru yang tidak pernah terlibat dengan pilihanraya. Mungkin kepada mereka perjuangan untuk rakyat ini hanyalah semata-mata romanticism, seperti ramai anak-anak muda sekarang ini berlagak mengikut perjuangan Che'Guevara, tetapi apa yang sebenarnya mereka lakukan adalah semata-mata romaticism, jauh sekali dari apa yang dilakukan oleh Che'Guevara. Mereka hanya bercakap tentang "revolusi atas angin". Di peringkat Negeri saya dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya. Acapkali saya mewakili PKN Pahang berbincang di peringkat pusat mengenai Pilihanraya strategi dan taktiknya dipengerusikan oleh Marina Yusoff, tetapi saya mendapati bahawa apa yang dibincangkan amatlah "shallow" dan sukar membawa kemenangan. Di peringkat Negeri, saya bersama-sama Ahmad Nizam Abd Hamid dan Zakaria mewakili parti untuk menentukan kerusi yang akan dipertandingkan oleh PAS, DAP, PRM dan PKN. PRM diwakili oleh Sattar Haji Dahan, Sanusi Hj Abas dan seorang anggota kaum Tionghua yang saya tidak ingat namanya. Perbincangan diadakan di Markaz PAS Sg Gau dengan dihadiri oleh wakil-wakil PAS yang ramai, tidak mengikut jumlah yang dibenarkan. Tetapi malang sekali bahawa PKN dan PRM langsung tidak dipersetujukan walaupun satu kerusi walaupun PRM hanya meminta satu kerusi sahaja dan PKN meminta tidak lebih dari 8 kekrusi. Alasan PKN dan PRM tidak mendapat sebarang kerusi adalah diatas sebab bahawa kerusi-kerusi yang disasarkan oleh PKN dan PRM itu adalah semua kerusi-kerusi yang PAS sudah ada calon dan poster-poster sudah disiapkan, dan tidak mungkin kawasan-kawasan itu dilepaskan kepada PRM dan PKN. Mesyuarat itu bukanlah untuk membincangkan pembahagian kerusi-kerusi tetapi hanyalah untuk memberitahu bahawa kawasan-kawasan yang sudah ditetapkan untuk PAS dan DAP. Wakil-wakil dari PKN meminta supaya diterima konsep pembahagian kerusi itu bahawa jika sesuatu kawasan itu ada 70% keatas undi orang-orang Melayu, maka kawasan itu harus ditanding oleh PAS dan jika kawasan itu mempunyai 70% undi orang Cina maka kawasan itu harus ditanding oleh DAP tetapi jika kawasan itu mempunyai kurang 70% orang Cina atau kurang 70% orang Melayu maka kawasan itu perlu ditandingi oleh PKN. PAS saing-siang lagi menolak konsep ini dengan mengatakan bahawa PKN adalah sebuah parti kecil yang baru saja ditubuhkan dan tidak layak bertanding tetapi sekadar boleh membantu PAS sahaja. Saya keluar dari mesyuarat itu diikuti oleh Sdr Nizam. Leong Ngah Ngah menjemput kami kembali kedalam Dewan tetapi kami tidak lagi masuk, dan saya terus membuat kenyataan akhbar bahawa PKN Pahang tidak akan bertanding di dalam Pilihanraya akan datang itu dan kami akan memberikan sokongan kepada PAS sahaja tetapi dengan ayat-ayat sindiran mengatakan PAS adalah parti yang sangat kuat. Rupa-rupanya kenyataan saya itu tidak diperkenan oleh pimpinan Pusat, bahkan saya turut menerima sekeping nota dari Sdr Anwar Ibrahim dari penjara meminta saya supaya bertolak ansur. Saya dipanggil oleh pimpinan Pusat untuk memberi keterangan tentang kenyataan akhbar saya. Maka saya ditemani oleh Sdr Nizam dan beberapa orang lagi pergilah ke Kuala Lumpur untuk mengadap pimpinan Pusat. Yang menunggu saya adalah Datin Seri Wan Azizah dan Dr Chandra Muzafar. Hairannya, Wan Azizah tidak berkata apa-apa melainkan mengiyakan sahaja percakapan Chandra. Chandra mengambil peluang membelasah saya mengatakan bahawa tindakan saya itu merosakkan hubungan antara PAS dan PKN dan dia memberitahu bahawa PKN sangat memerlukan bantuan dari PAS. Chandara tidak dapat menerima keterangan saya bahawa PKN Pahang tidak diberikan sebarang kerusi, dan semua kerusi DUN dan Parlimen di Pahang hanyalah untuk PAS dan DAP. Keterangan itu ditolak oleh Chandra dengan mengatakan bahawa tindakan saya merugikan parti dan menyebabkan hubungan dengan PAS rosak. Dia menansihatkan saya supaya meletakkan jawatan saya didalam parti. Dengan rasa berat hati, saya melepaskan semua jawatan saya didalam parti dan selepas itu saya keluar dari parti. Saya menyertai semula PKR (gabungan daripada PRM/PKN) apabila Sdr Anwar Ibrahim bebas dari Penjara Sg Buloh dan semasa dia berceramah di Sg Gau Temerloh, saya menghadiri ceramah itu; tetapi walaupun saya tidak mendekati Sdr Anwar, dia terlihat kepada saya dan mengajak saya kembali kepada PKR dengan katanya: "Suhaimi, Come Back." Tidaklah secepat itu saya kembali ke PKR, saya juga kena memikirkan baik buruknya, dan saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Saya menghubungi mentor politik saya, Sdr Syed Husin Ali, dan dia juga merasakan bahawa saya patut kembali kepada PKR. Maka saya bincangkan dengan Sdr Ahmad Nizam untuk diadakan satu Majlis kecil kemasukan saya ke dalam PKR di rumahnya dengan menjemput Sdr Syed Husin Ali, Timbalan Presiden PKR, dan didalam majlis ringkas itu saya bersama-sama 20 orang yang lain membuat permohonan menyertai PKR. Borang permohonan saya itu entah hilang ke mana. Saya hanya diterima menjadi anggota PKR setelah 3 kali mengisi borang. Kelemahan PKR dibidang ini berterusan hingga sekarang, terdapat banyak pemohon-pemohon menjadi ahli tidak tahu hujung pangkalnya dan ada rakan-rakan saya di Kuala Krau yang akhirnya menyertai PAS setelah dua tiga kali permohonan mereka hilang tanpa dapat dikesan! (,,,bersambung,,,) |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan