The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Keluar PRM masuk PAS, keluar PAS masuk UMNO...(macam bersalin baju...mudahnya!) Posted: 07 Jul 2013 07:06 PM PDT Seperti yang saya katakan bahawa bukanlah senang untuk saya keluar dari PRM yang telah menjiwai perjuangan saya sejak saya dari bangku sekolah lagi, perjuangannya untuk membela rakyat Marhaen cukup menyegarkan. Dasarnya yang jelas memperjuangkan rakyat Marhaen, dan gaya hidup pemimpin-pemimpinnya amat jelas membayangkan bahawa mereka itu berjuang untuk rakyat Marhaen. Beberapa episod dari hubungan saya dengan pemimpin-pemimpinnya dapat memberikan gambaran bahawa mereka itu berjuang semata-mata untuk rakyat. Satu hari saya menjenguk Pejabat PSRM di Bungsar. Di sana ada Sdr Kassim Ahmad. Dia sedang asyik menulis. Dan dihadapannya ada longgokan buku-buku. Seperti biasa Kassim sedang berpakaian yang sangat simple dengan memakai baju putih. Saya tengok baju putihnya itu sudah berjahit di beberapa tempat. Dengan tidak berkata panjang saya mengajaknya minum dan kami minum di kedai Mamak di bawah pejabat itu. Selepas minum saya meninggalkan Kassim untuk ke Kuala Lumpur. Saya memiliki sebuah Lambretta, sebuah scooter. Saya pergi ke pasar Chow Kit. Saya belikan beberapa helai baju putih untuk Kassim. Kemudian saya pergi semula ke Pejabat PSRM di Jalan Bungsar dan saya hadiahkan baju itu kepada Kassim. Dia menerimanya dengan senyum dan ucapan terima kasih. Beberapa minggu selepas itu saya pergi semula ke Pejabat PSRM di Jalan Bungsar dan dapat bertemu semula dengan Kassim. Saya lihat baju yang dia pakai adalah baju putih yang bertampal. Tergerak saya bertanya kepadanya, "Bung tak pakai ker baju yang saya berikan?" Katanya, "Terima kasih saudara, saya telah berikan baju itu kepada sahabat-sahabat kita yang lebih memerlukan." Setiausaha Agung PSRM pada waktu itu ialah Sdr Omar Noordin, seorang manusia yang benar-benar komited dengan perjuangan parti, tetapi beliau sendiri berada di dalam keadaan yang sangat dhaif. Jawatankuasa-jawatankuasa yang lain adalah terdiri daripada lepasan-lepasan universiti termasuk pensyarah-pensyarah universiti seperti Syed Husin Ali, Sanusi Osman, Halim Ali, Gamany, Syahrom Md Dom, Zaharom, dan lain-lain. Tetapi mereka ini cukup sederhana cara hidup mereka walhal mereka mampu hidup lebih bergaya. Tidaklah mereka ini terkejar-kejar dengan rumah besar atau kereta Mercedes. Kalau kita sudah menjadikan pderjuangan marhaenisme ini menjadi darah daging kita, sanggupkah kita keluar dari parti seumpama itu? Melainkan ada sebab-sebab yang benar-benar memualkan. Saya telah ceritakan didalam kisah terdahulu kenapa saya keluar dari PRM dan tidak saya ulangi di sini. Dan saya juga sudah ceritakan bagaimana saya terpaksa keluar dari PAS semoga sudah pun dibaca oleh anak cucu saya. Ibarat orang bercerai suami isteri. Ada yang bercerai kerana tak ada jodoh, ada yang bercerai kerana desakan keluarga, ada yang bercerai kerana sudah bertemu dengan yang lain dan seterusnya. Bercerai saja-saja, saja-saja suka memang sukar dicari. Maka begitulah keadaan saya apabila mengambil keputusan keluar dari PRM dan kemudiannya dari PAS. Saya tidak keluar PRM kerana mahu memasuki mana-mana parti yang lain. Tidak juga saya keluar dari PAS semata-mata mahu menyertai parti yang lain. Walaupun saya sertai UMNO, tetapi bukan saya sertai UMNO sebaika saja berpisah dari PRM atau dari PAS. Cukup lama saya bergerak di dalam badan belia dan sukan tanpa terikat dengan mana-mana parti politik. Saya cukup aktif di dalam persatuan belia dan menjadi Pengerusi Gerakan Belia 4B Daerah Temerloh. Disamping itu saya menggerakkan sukan bolasepak dengan menjadi Setiausaha Persatuan Bolasepak Daerah Temerloh. Saya juga gerakkan sukan berbasikal bukan saja diperingkat Daerah Temerloh, malah peringkat Negeri Pahang, bahkan saya menjadi Naib Presiden Persatuan Lumba Basikal Malaysia (kemudiannya dikenali sebagai Persatuan Berbasikal Malaysia) dan saya juga menjadi Presiden Persatuan Mountai Bike Malaysia. Daerah Temerloh cukup segar dengan aktiviti berbasikal pada waktu itu. Jalanraya dari kawasan Pekan Sehari Temerloh mengelilingi kawasan Padang Bola Temerloh saya jadikan gelanggang untuk perlumbaan basikal kanak-kanak sekolah. Dari kawasan Pekan Sehari Temerloh membawa ke Bandar Mentakab dan berpatah balik saya jadikan gelanggang perlumbaan basikal bukan sahaja untuk peringkat Daerah, malah peringkat Negeri dan Nasional. Saya masih boleh banggakan bahawa semasa saya mengendalikan Persatuan itu di Temerloh, pelumba-pelumba dari Temerloh berjaya menjadi pelumba-pelumba peringkat Kebangsaan. Saya telah bawa pelumba-pelumba Temerloh ke seluruh Negara (Semenanjung) untuk menyertai perlumbaan-perlumbaan yang dianjurkan oleh Persatuan-Persatuan Negeri. Di peringkat Nasional, saya telah menghadiri kursus intensif mengenai sukan berbasikal termasuk sukan downhill di Manila; dan saya juga mengetuai delegasi Pelumba-Pelumba Malaysia ke perlumbaan 5 buah bandaraya di Jepun, suatu perlumbaan antarabangsa yang disertai oleh negara-negara di dunia. Saya juga telah diberikan mandat untuk mengetuai delegasi pelumba-pelumba Malaysia ke Taiwan, tetapi oleh kerana saya sendiri kekurangan wang pada waktu itu, maka Persatuan telah melantik ketua delegasi yang lain. Saya juga terlibat dengan persatuan-persatuan sukan yang lain diperingkat Daerah Temerloh tetapi oleh kerana saya kurang berminat dengan sukan-sukan itu maka penglibatan saya tidaklah bersungguh-sungguh. Masa itu setiap persatuan sukan menjemput saya menjadi ahli dan jika saya menghadiri mesyuarat agung tahunan persatuan-persatuan itu sudah pastilah saya diberikan satu jawatan penting walaupun saya menolaknya. Akhirnya perjalanan saya yang sudah jauh meninggalkan perjuangan yang diasaskan oleh PRM dan juga PAS dan setiap hari berhubung rapat dengan UMNO dan pimpinannya samada di peringkat Bahagian mahupun Negeri dan taluan jemputan untuk saya menyertai UMNO dari rakan-rakan yang terlibat dengan kegiatan sukan dan belia terutamanya Gerakan Belia 4B, saya menyertai UMNO, sebuah parti yang langsung tidak memikat jiwa saya baik dari segi dasar mahupun perjuangannya. Saya kadang-kadang berasa malu berada di dalam UMNO terutama sekali apabila bertemu dengan rakan-rakan didalam PRM yang sentiasa "memperli" dan "menggiat" saya. Saya tidak dapat menjiwai UMNO walaupun terlibat dengan gerakannya. Dan jawatan paling tinggi saya pegang didalam UMNO adalah Naib Ketua Bahagian, dan itu pun terhenti apabila Tengku Azlan Sultan Abu Bakar bertanding sebagai calon Parti S46 untuk Parlimen Temerloh. Saya tidak pernah menjadi ahli Parti Semangat 46 tetapi saya dengan senang hati memberikan sokongan kepada Tengku Azlan menyebabkan keahlian saya dan jawatan saya didalam UMNO digantung. Saya terus dipecat dari UMNO apabila saya bertanding diatas calon Parti PAS untuk kawasan Parlimen Temerloh. Setelah berapa lama, Sdr Sattar Haji Dahan, Setiausaha Agung PSRM, menjemput saya kembali kepada parti itu kerana beliau dan ahli-ahli PRM Temerloh mahu mengaktifkan semula PSRM. Mereka yang menuduh saya dan abang Abu Samah sebagai talibarut Kerajaan sudah keluar dari PSRM dan sebahagiannya sudah menjadi ahli yang "kaku" tidak bergerak, saya menerima pelawaan Sattar Haji Dahan dengan syarat saya tidak diberikan apa-apa jawatan, sekadar menjadi ahli biasa sahaja. Tetapi untuk menjadi perwakilan ke Kongres PRM yang sangat penting di Kuala Lumpur untuk menentukan samada parti itu akan kekal bersendirian atau bergabung dengan Parti Keadilan Nasional, saya telah dipilih sebagai salah seorang perwakilan ke Kongres parti itu. Saya cukup berminat dengan Parti Keadilan Nasional dan saya menaruh harapan bahawa Parti itu akan memberikan saingan kepada Barisan Nasional. Di Kongres PRM yang berkenaan saya dan perwakilan dari Pahang mengundi untuk menggabungkan PRM dengan PKN (Parti Keadilan Nasional), dan saya cukup kagum kerana gabungan itu nanti menerima 17 perkara untuk dijadikan tujuan perjuangannya dan pengderafan 17 perkara itu dihasilkan dari pemikiran pimpinan PRM. Undi untuk penggabungan itu diterima oleh lebih dari 3/4 dari perwakilan PRM. Secara adat organisasinya PRM perlu dibubarkan, tetapi dengan bantuan Mahkamah, PRM masih kekal sebagai sebuah parti politik. Pada waktu itu saya melibatkan diri dengan NGO ADIL yang ditaja oleh Wan Azizah, ramai ahli-ahli PRM Temerloh terlibat didalamnya dan ramai pula orang-orang yang tidak pernah berparti sebelum ini seperti Ahmad Nizam Hamid (seorang peguam muda) dan Tajudin Ramli turut terlibat di dalamnya. Dan apabila Parti Keadilan Nasional tertubuh kami beramai-ramai menyertai Parti Keadilan Nasional dan saya dilantik sebagai Ketua Bahagiannya yang pertama di Temerloh, Sdr Nizam sebagai Timbalan, Sdr Zakaria Hamid sebagai Ketua Pemuda dan Surina Suhaimi sebagai Ketua Wanitanya. Di peringkat Negeri pula saya dilantik sebagai Ketua Penerangan dan juga sebagai Pengarah Pilihanraya. Semasa tiba masanya untuk merasmikan penubuhan Parti Keadilan Nasional Negeri Pahang, Bahagian Temerloh diberikan penghormatan menjadi tuan rumahnya serta mengaturkan majlis perasmian itu. Surina Suhaimi pula ditugaskan untuk mencarikan kewangan untuk perasmian itu. Saya telah memohon kepada Majlis Perbandaran Temerloh untuk menggunakan Dewan Tun Razak sebagai tempat perasmiannya. MPT telah meluluskan penggunaan Dewan itu dan Surina telah menjelaskan bayarannya; manakala saya telah membuat permohonan kepada pihak Polis Temerloh, dan pihak Polis juga telah meluluskan permit untuk majlis itu. Namun sehari sebelum itu saya telah dipanggil oleh Ketua Polis Daerah Temerloh membatalkan permit berkenaan atas alasan bahawa pihak MPT telah membatalkan penggunaan Dewan. Saya dan Surina pergi menemui Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Daerah Temerloh dan dengan jelas beliau menyatakan bahawa beliau mendapat arahan dari "orang atas" untuk membatalkannya. Wang bayaran untuk sewaan Dewan itu dikembalikan semula oleh MPT. Saya dan Surina pergi sekali lagi untuk menemui Ketua Polis Daerah Temerloh untuk mendapatkan permit di tempat gantian iaitu di Kg Paya Jauh di mana tuan rumah kepada sebuah rumah berhadapan dengan padang bola kampung itu membenarkan rumahnya untuk dijadikan tempat perasmian. Ketua Polis itu tidak membenarkannya. Saya memberitahu kepada Ketua Polis itu bahawa benar atau tidak majlis itu akan berlangsung di Kg Paya Jauh, dan dengan tegas Ketua Polis itu memberitahu bahawa jika majlis itu dijalankan juga, beliau memberi amaran bahawa saya akan ditangkap. Malam itu saya dan beberapa orang Jawatankuasa PKN Bahagian Temerloh pergi ke Kg Paya Jauh untuk membincangkan aturcara yang akan berlangsung; di samping itu, rakan-rakan di Kg Paya Jauh yang diketuai oleh seorang Pemuda bernama Sdr Zul, menyiapkan pentas dan lampu-lampu ke sekitar seluruh padang bola itu untuk menyambut kehadiran orang ramai. Saya dipanggil semula oleh Polis Temerloh pada siang esuknya bahawa Majlis yang bakal diadakan pada malam itu adalah majlis haram dan Polis akan mengambil tindakan terhadapnya. Saya tidak peduli haram atau halal kerana saya sudah memohon dengan cara baik untuk mengadakan majlis yang lebih teratur didalam dewan dan memohon permit, dewan dan permit polis juga sudah diluluskan, tetapi ditarik balik semata-mata kerana ada orang atas mengarahkannya. Saya tidak bersetuju langsung dengan "demokrasi tahi kucing" ini!!! Dari sebelah petang lagi Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sudah sampai di Temerloh dan kami tempatkan beliau dengan rombongannya di Hotel Centre Point, saya ambilkan dua bilik untuk memuatkan semua mereka yang ada didalam rombongan itu. Dan makan malam telah kami sediakan di rumah emak saudara saya di belakang Hotel itu. Selepas itu kami akan bawa Datin Seri ke tempat majlis di Kg Paya Jauh. Tetapi kami telah mendapat berita dari ahli-ahli kami yang datang dari Kg Paya Jauh bahawa ada beberapa sekatan Polis menghala ke Kg Paya Jauh. Ada sekatan selepas Kg Paya Luas dari arah Maran, ada sekatan berhampiran Kilang Papan di Seberang Temerloh dan ada sekatan di jalan masuk ke Kg Paya Luas. Pihak Polis akan gagalkan kehadiran Wan Azizah ke Kg Paya Jauh. Dari sebelum Maghrib lagi manusia dari seluruh pelusuk sudah membanjiri Kg Paya Jauh, tidak putus-putus mereka berjalan kaki. Semua kenderaan tidak dibenarkan oleh Polis untuk masuk tidak menghalang orang ramai berjalan kaki. Mereka solat bergilir-gilir di Masjid Kg Paya Jauh. Selepas Isya', padang bola di Kg Paya Jauh sudah penuh, tetapi pejalan-pejalan kaki dari arah Temerloh dan dari arah Maran masih belum putus-putus. Hujan renyai-renyai tidak menghalang kehadiran manusia. Berbatu-batu kenderan disusunkan di tepi-tepi jalan, ribuan motorsikal yang cuba membantu pejalan-pejalan kami untuk pergi ke Kg Paya Jauh. Saya sangat susah hati kerana Wan Azizah tidak dapat dibawa ke Kampung itu. Tetapi, Hamzah, Setiausaha PKN Bahagian Temerloh dengan kebijaksanaannya memberitahu saya bahawa beliau ada cara untuk membawa Wan Azizah ke Kg Paya Jauh dan dia minta supaya tidak dibincangkan kerana bimbang pelannya itu diketahui umum. Dia bawa Wan Azizah dengan motorsikalnya dan didalam tempoh 10 minit Wan Azizah sudah berada di Kg Paya Jauh. Manakala saya sendiri mengambil jalan ke arah Kg Lebak Seberang dan di Kg Paya Batu mengambil jalan potong ke Kg Paya Jauh. Saya sampai di sana lebih kurang 30 minit. Di tempat perasmian itu Dr Syed Husin Ali dan berapa orang pimpinan PRM sudah hadir, beberapa orang pimpinan PAS sudah hadir, dan diatas pentas pula beberapa orang pimpinan PKN, PRM dan PAS sudah menduduki kerusi masing-masing semasa saya sampai. PAS diwakili oleh Tuan Guru Haji Baqi, Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang. Oleh kerana sudah sedikit terlewat, saya terus memulakan Majlis. Tetapi sebelum saya dapat bercakap Pihak Polis menegah saya bahawa Majlis pada malam itu adalah majlis yang haram dan saya tidak dibenarkan bercakap. Saya tidak memperdulikan amaran Polis itu, dan seorang Inspektor sentiasa mendekati saya. Dr Syed Husin Ali memberi arahan kepada saya supaya menjauhi polis berkenaan dan aturcara majlis terpaksa dipinda supaya terus memanggil Wan Azizah untuk perasmian. Dan saya bisikkan kepada Wan Aziah dan dia bersetuju. Sepatutnya wakil PRM, wakil PAS dan Pengerusi PKN Negeri Pahang, Dr Ahmad Suhaimi berucap sebelum Wan Azizah. Maka saya terus memanggil Wan Azizah untuk perasmian. Datin Seri Wan Azizah tidak mengambil masa yang panjang dan terus merasmikan Majlis itu. Tentulah hadirin tidak puas hati tetapi mereka memahami. Sebaik sahaja Wan Azizah mahu berucap, semua lampu padam. Esuknya barulah saya mendapat tahu bahawa aliran elektrik di Kg Paya Pulai sengaja diputuskan oleh pihak Tenaga Nasional supaya Majlis itu gagal, tetapi pembesar suara terus disambungkan kepada jentera kuasa minyak dan terus boleh digunakan, begitu juga beberapa lampu yang berdekatan dengan pentas. Selepas majlis itu dirasmikan saya menjemput Tuan Guru Haji Baqi membacakan doa; dan saya mohon kepadanya supaya beliau membacakan doa yang panjang. Betul-betul panjang. Saya lihat semua yang hadir menadah tangan termasuk pegawai-pegawai Polis yang hadir juga menadah tangan. Doa Ustaz Haji Baqi meliputi perkara-perkara memohon perlindungan dari Allah dari kezaliman manusia, memohon agar perjuangan adil rakyat diperkenankan dan tindakan batil dihancurkan. Hampir lebih satu jam doa dibacakan oleh Ustaz Haji Baqi dan didalam tempoh itu beberapa kali pihak Polis mendatangi saya supaya memberhentikan Majlis, dan jawapan saya mudah bahawa Majlis sudah selesai dan sekarang ini hanyalah doa sahaja dan sebagai orang Islam amat wajar kita mengaminkan doa. Akhirnya polis tidak mahu berlembut lagi dan terus memberikan amaran kepada saya bahawa saya akan ditangkap jika doa itu tidak dihentikan. Ustaz Baqi melihat juga akan gelagat Polis itu dan tidak berapa lama selepas itu dia mengakhiri doanya. Maka selesailah sudah Majlis Perasmian Penubuhan PKN Negeri Pahang. Namun orang ramai masih berpusu-pusu berjalan kaki menuju ke Kg Paya Jauh dan semasa Wan Azizah dibawa keluar dari kampung itu mengikut jalan dan cara yang sama beliau hadir, orang ramai tetap juga berpusu-pusu menuju Kg Paya Jauh; dan saya mengarahkan ahli-ahli parti supaya berkumpul di Hotel Sri Malaysia, Temerloh. Saya telah menghubungi Hotel itu untuk menempah sebuah Dewan kecil yang hanya boleh muat dalam kira-kira 100 orang diatas nama sebuah syarikat multi-level. Tak muat-muat Dewan itu, penuh sesak. Di sana Dr Syed Husin Ali berucap sebelum Wan Azizah. Beberapa bulan selepas itu saya terkeluar dari Parti Keadilan Nasional (kenapa dan mengapa? Ikutilah episod kisah ini selepas ini, mungkin saya tuliskan petang ini atau pagi esuk. (Sementara itu, saya menunggu-nunggu keputusan mesyuarat Jawatankuasa PKR Cabang Kuala Krau. Saya menjangkakan bahawa mesyuarat itu menerima perletakan jawatan saya kerana tidak ada sebab tidak menerima kerana mereka bukan tidak tahu akan keadaan kesihatan saya yang memang sudah tidak mampu bergerak aktif lagi. Sehingga ke malamnya saya tidak dapat berita sahih keputusan mesyuarat dan saya tengok didalam wall Anita Karim bahawa dia terpaksa membuat keputusan walaupun hatinya pedih, dan tentulah keputusan itu menyebelahi hasrat saya untuk melepaskan jawataan. Hanya pada pagi ini saya tengoh didalam wall Hamzah (ulsabai Hamzah) memuatkan berita bahawa Mesyuarat Jawatankuasa itu tidak mengambil sebarang keputusan dan menyerahkan kepada MATC akan datang untuk membuat keputusan. Saya amat dukacita dengan keputusan itu). (...bersambung...) |
Estet PAS di kawasan Triang, Bera Posted: 07 Jul 2013 02:22 AM PDT (Sebelum saya memulakan kisah saya kali ini, saya cukup teruja mendengar berita bahawa lebih dari 5 juta umat Mesir berhimpun di Tahrir Square. Kalau trumpet Imperialis Amerika iaitu Tentera Mesir mengatakan bahawa rakyat Mesir melalui perhimpunan lebih kurang 1 juta manusia mahukan Morsi dijatuhkan, dan tentera bertindak, buta kah kamu melihat lebih 5 juta rakyat yang berhimpun itu menuntut Morsi dikembalikan kuasa?) (Jam 4.00 petang tadi bermulalah mesyuarat JK PKR Cabang Kuala Krau untuk mengatur aktiviti dan menerima perletakan jawatan saya selaku Ketua PKR Cabang memandangkan kesihatan saya amat sukar untuk sembuh lagi. Semoga Allah swt permudahkan gerak kerja PKR Cabang Kuala Krau). ======================================================================== Satu lagi fitnah yang paling besar dihumbankan kepada saya ialah tentang pembelian sebuah estet getah di kawasan Triang seluas 300 ekar. Ahli-ahli PAS (sebahagian kecil mereka) memfitnah saya kononnya saya menggunakan wang untuk pembelian estet itu untuk kegunaan saya sendiri. Mereka telah buat lapuran polis, dan saya telah disiasat untuk tindakan jenayah. Mulai tahun 1984, PAS kawasan Temerloh merasakan bahawa ia sudah bersedia untuk memiliki sebuah estet getah dan estet seluas 300 ekar itu akan ditukarkan menjadi sebuah perkampungan ahli-ahli PAS. Mesyuarat JK PAS Kawasan Temerloh bersetuju untuk membeli estet itu dengan harga RM600,000.00, kami berjaya mengumpulkan RM60,000.00 sebagai deposit, dan suatu Perjanjian Jual-Beli telah ditandatangani diantara PAS Kawasan Temerloh diwakili oleh Ustaz Ishak Abdullah selaku Yang Di Pertua Kawasan dan syarikat yang memiliki Estet itu. Kami telah pecahkan keluasan estet itu kepada 1500 lot untuk dimiliki lebihkurang 1/4 ekar bagi setiap peserta dengan setiap peserta itu menjelaskan RM1500.00 seorang. Sebelum saya ditahan di bawah ISA berlaku kerancakan pembayaran dari peserta-peserta dan ada lebih kurang 80 orang menjelaskan bayaran secara penuh iaitu RM1500.00 bagi setiap orang dan Pemilik Estet itu membenarkan tambahan masa menjelaskan bayaran estet itu. Setiap bulan kami berjaya membayar sebahagian harga estet itu dengan cara beransur-ansur. Malang tidak berbau. Sebelum kami berjaya menjelaskan harga estet itu, saya ditahan di bawah ISA. Saya mengharapkan PAS kawasan Temerloh meneruskan pungutan daripada peserta-peserta agar estet itu dapat dijadikan hakmilik peserta-peserta. Malangnya, PAS kawasan Temerloh terus berdiam diri; ada diantara Ahli Jawatankuasanya mengambil keputusan supaya memberhentikan saja pembelian estet itu, manakala yang lainnya mahu menunggu saya keluar dari tahanan ISA untuk meneruskan kembali. Walaubagaimana pun isteri saya tetap menghantarkan notis kepada setiap peserta supaya terus menjelaskan bayaran ansuran masing-masing. Bayaran ansuran yang dijanjikan sebanyak RM1500.00 setiap seorang mengikut persetujuan hendaklah dibayar dalam tempoh 3 bulan. Tetapi majoriti daripada peserta-peserta terus tidak membayar dan mereka hanya membayar antara RM10.00 hingga RM100.00. Golongan yang gagal membayar inilah yang begitu keriau meminta wang mereka dikembalikan dan membuat lapuran polis kononnya saya yang "memakan" duit mereka. Mereka tidak sedar bahawa jika mereka itu membayar RM1500.00 setiap seorang dalam tempoh 3 bulan, maka estet itu sudah pun berjaya dibeli. Selepas saya dibebaskan dari ISA dan dibuang daerah ke Melaka, mereka ini ada yang datang supaya wang mereka dikembalikan. Dan saya meminta Pemilik Estet itu mengembalikan wang yang telah dibayar kepada mereka dan perjanjian jual-beli itu ditamatkan. Tetapi mana ada dalam dunia ini pemilik harta mengembalikan semula wang yang mereka terima kerana diatas kegagalan pihak yang membeli. Ada diantara ahli PAS peserta itu menuntut supaya mereka diberikan 1/4 ekar tanah, dan mereka cukup marah kepada saya apabila saya nyatakan bahawa kalaulah mereka boleh mendapat pembelian tanah dengan harga RM50-RM100 bagi 1/4 ekar, saya mahu 40-50 ekar. Tetapi itulah logiknya. Saya terus difitnah kononnya memakan duit. Pemilik Estet itu bermurah hati menyambung masa lagi kepada kami jika benar-benar ahli-ahli PAS berminat membeli Estet itu tetapi tidak akan mengembalikan wang yang telah mereka terima. Hampir 3 tahun selepas itu Pemilik Estet itu memberikan masa sehinggalah mereka menjualkan Estet itu kepada Pembeli yang lain. Saya telah dipanggil oleh Polis, dan maklumlah pihak polis cukup berminat untuk mengenakan saya kerana saya adalah pemimpin PAS pada waktu itu, dan jika saya dapat disabitkan dengan kes jenayah maka itu adalah satu kemenangan besar bagi mereka. Tetapi pembelian estet ini mempunyai dokumen yang lengkap. Bayaran kepada pemilik estet itu ada resit yang lengkap, berapa jumlah yang telah diterima oleh Pemilik Estet itu. Berapa jumlah bayaran yang dibuat oleh peserta-peserta ada akaun yang lengkap. Tidak sedikit pun ada penyelewengan. Maka dengan itu saya dibebaskan dari siasatan dan tidak ada pertuduhan dikemukakan kepada saya. Tetapi walaupun terbukti tidak ada penyelewengan dan pembelian estet ini gagal semata-mata kerana kegagalan ahli-ahli peserta membayar ansuran masing-masing, masih terdengar hinggalah ke hari ini bahawa saya kononnya menyalahgunakan wang estet itu. Kegagalan PAS kawasan Temerloh meneruskan kutipan bayaran dari peserta-peserta semasa ketiadaan saya (yang ditahan dibawah ISA) dan kegagalan peserta-peserta langsung tidak dibicarakan. Memang berat saya tangung fitnah ini, dan lebih berat lagi kerana ahli-ahli PAS yang tidak memahami kenapa saya keluar dari PAS menjadikan isu ini sebagai kononnya saya keluar dari parti itu. Saya dedahkan perkara ini dan terserahlah kepada ahli-ahli PAS samada mahu meneruskan fitnah itu setelah fakta ini mereka baca. Kalau mereka tidak membacanya maka terserahlah kepada mereka. Dan fitnah ini juga dijadikan oleh mereka yang tidak berkenan dengan kehadiran saya didalam PAS sebagai sumber isu mereka menentang saya. Alhamdulillah, saya serahkan kebenarannya kepada Allah swt. Saya belum habis lagi menceritakan kisah yang mengatakan bahawa saya ini keluar masuk parti-parti semacam orang yang bersalin baju, lompat dari satu parti ke parti yang lain, Insya Allah akan saya kisahkan pula didalam tulisan saya yang selepas ini. Mungkin saya tuliskan pada malam ini, atau pagi esuk. Buat masa ini saya mahu solat Asar, dah terlewat sedikit ni, dan selepas itu saya mahu menghabiskan bacaan Quran surah Al-An'Am, semalam tak sempat habis, kerana adik saya dari Kuala Lumpur datang melawat saya. (...bersambung...) |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan