The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Posted: 06 Jul 2013 04:31 PM PDT Bukan senang saya mahu keluar dari PAS. Saya telah ditawarkan keluar dari PAS oleh seorang pembesar tertentu di Pahang jika saya mahu mengelakkan diri dari tahanan ISA, dia boleh angkat talipon dan berhubung terus dengan Dato Musa Hitam, jika saya mahu. Dan dia telah dimaklumkan bahawa saya akan ditahan di bawah ISA oleh Dato Musa Hitam. Siapa pembesar Pahang ini? Sebenarnya, bukan rahsia, tetapi tidak manis dimasukkan didalam tulisan saya ini. Semasa dia memanggil saya berjumpanya di Kuala Lumpur itu dia ditemani oleh seorang bekas Menteri, Dato Shariff Ahmad. Didalam kereta saya pada waktu itu penuh dengan tape-tape Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, iaitu tape-tape Kuliahnya di Dewan Zulkifli, Kota Bharu dan tape-tape Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Oleh kerana saya terlalu banyak masa diatas jalan raya untuk pergi ke tempat-tempat ceramah yang berjauhan, tidak ada kesempatan semasa itu untuk menghadirkan diri ke majlis-majlis ceramah, maka tape-tape itulah menjadi kuliah saya. Mungkin juga orang tidak mengetahui bahawa sebelum saya menyertai PAS, pendapatan bulanan peribadi saya melebihi RM20,000.00 sebulan hasil dari pendapatan firma guaman saya; tetapi setelah saya menyertai PAS segala punca pendapatan saya tersekat kerana semua panel guaman saya yang ada hubungkait dengan kerajaan yang selama ini memberikan pendapatan besar kepada firma guaman saya telah ditarik. Pendapatan firma saya selepas itu hanya cukup untuk membayar gaji staff, bayar sewa pejabat, bayar bil air, api dan talipon dan perkara seumpama itu sahaja, manakala pendapatan saya sendiri pun tidak ada. Saya tak taulah kalau itu tidak dinamakan pengorbanan. Tapi ada saya kisah? Saya mencari pendapatan dengan jalan lain. Saya dan team saya Man Kadir menyediakan buku-buku jualan, tape-tape jualan, dan untung dari situlah digunakan untuk perjalanan kami. Dan kadang-kadang kami terpaksa menerima pemberian dari PAS-PAS kawasan yang memanggil saya berceramah. Jawapan saya mudah sahaja, "Saya berjuang dalam politik bukan untuk kepentingan diri saya, saya sedar bahawa apabila saya berpolitik didalam keadaan politik di Malaysia ini, sebelah kaki saya berada didalam penjara, dan sebelah kaki lagi di luar penjara." Dia nampak macam sedih (tapi tak taulah betul atau tidak), dia nyatakan bahawa, "Kita dah berkenalan dan berkawan, dan jika you masuk ISA, kawan pun sedih juga." Itulah sebenarnya kedudukan saya dengan PAS. Saya menyelami dan mendalami ilmu ugama melalui ulama-ulama dan ustaz-ustaz didalam PAS. Bagi saya tidak ada makna langsung kalau seseorang itu hanya mengaku berugama Islam, tetapi pengajian ugama pun dia tidak perdulikan, tuntutan ugama pun dia tidak perdulikan, bahkan dia tidak suka dengan dasar-dasar Islam, dan dia tidak mahu hukum-hukum Islam dilaksanakan, bahkan dia mengatakan bahawa jika Islam dilaksanakan maka negara ini akan menjadi mundur dan huru hara. Di dalam Mustika Hadis yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, orang yang berpendirian seperti ini terkeluar dari ugama Islam!!! Hasil daripada perjumpaan saya dengan Pembesar itu saya lapurkan kepada pimpinan PAS Pahang. Maka dengan segeranya PAS Pahang mengadakan mesyuarat di rumah Sdr Rusdi Ariff, di Pekan, Pahang. Saya dikehendaki membuat lapuran kepada mesyuarat itu. Dan setelah lapuran dibuat, Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang mengeluarkan satu arahan (nak katakan fatwa tu, tidaklah) bahawa mana-mana ahli PAS yang bertemu dengan Pembesar itu akan diambil tindakan disiplin. Ahli-ahli PAS tidak dibenarkan mengadakan hubungan dengan Pembesar itu yang dianggapnya Munafik. "Haram berjumpa Pembesar itu." Seorang demi seorang memberikan sokongan kepada pandangan beliau kecuali Sdr Rusdi Ariff, Ustaz Ishak dan Cikgu Haji Hashim. Saya cukup tertekan pada waktu itu dan saya membuat ikrar bahawa saya tidak akan bertemu lagi dengan Pembesar berkenaan dan semoga semua Jawatankuasa PAS Pahang juga akan patuh kepada arahan Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang itu. Saya lapurkan juga pertemuan saya dengan Pembesar itu dan keputusan PAS Pahang mengenainya kepada Tuan Haji Yusof Rawa, Yang di Pertua PAS Pusat pada waktu itu, dan beliau mengatakan bahawa beliau berasa pelik juga kenapa tak boleh berjumpa, "Bukan kita nak menyerah diri? Hubungan antara kita dengan Pembesar itu adalah baik untuk perjuangan!!"katanya. Bercelaru juga fikiran saya, ada Ulamak kata haram dan Presiden PAS pula kata tak jadi masalah. Sebenarnya bukan masalah bertemu dengan Pembesar itu yang menjadi fokus kepada sesetengah pimpinan PAS Pahang pada waktu itu. Mereka sebenarnya tidak mahu saya aktif melampau-lampau didalam PAS sedangkan saya orang baru dan saya bukan pulak terdiri daripada golongan Ulamak. Semasa Muktamar PAS berlangsung 4 orang dari Pahang telah dicalonkan untuk menduduki Jawatankuasa PAS Pusat termasuklah Sdr Rusdi, Ketua Dewan Ulamak itu, seorang pemimpin dari Raub dan saya sendiri. Rusdi menang selesa, saya hampir menang, tetapi yang dua lagi itu terlalu jauh di anak mata yang rendah. Inilah punca sebenarnya. Dan mereka ini tidak bersetuju saya memberi ceramah ke seluruh negara, walhal, apa yang saya ceramahkan pada waktu itu tidak ada kemahiran kepada mereka iaitu isu-isu peneroka Felda dan isu-isu undang-undang berhubung dengan Pindaan Perlembagaan mengenai kedudukan Raja-Raja Melayu yang dicadangkan oleh UMNO. PAS Pahang macam berbelah dua, satu dipimpin oleh Rusdi Arif dan satu lagi oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang (tak baik kalau nak sebut namanya, dia pun sudah meninggal dunia). Fitnah memfitnah berlaku berleluasa. Pada awal tahun 1985 saya ditahan di bawah ISA dan di penghujung tahun 1986 saya dibebaskan bersyarat iaitu dibuang daerah ke Malaka. Saya tinggal di Batu Berendam. Ramai juga yang melawati saya dari kalangan orang-orang PAS seluruh Negara dan tidak kurang juga dari Pahang. Diantara yang melawat saya adalah Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang itu bersama isterinya. Dia berhajat tinggal bermalam di rumah saya. Tetapi selepas makan tengah hari itu, dia dengan bangganya menceritakan pertemuan diantara Jawatankuasa PAS Pahang dengan Pembesar itu. Lihat dari ceritanya, cukup seronok dia bertemu dengan Pembesar tersebut. Saya tidak mencelah. Panjang cerita keseronokannya itu. Tetapi setelah dia selesai, saya pun bertanya dengan ikhlas kepadanya, "Ustaz tak salah ker bertemu dengan Pembesar tu?" Tanpa berfikir panjang dia berkata, "Salah apa?" Saya ingatkan kepada Ustaz itu bahawa saya dijemput oleh Pembesar itu bertemunya, Ustaz kata HARAM, kerana Pembesar itu adalah seorang Munafik!!! Wah.....bukan main marah dia, paku buah keras dia saya kembalikan kepada dia. Dia terus berteriak kepada isterinya di bahagian belakang rumah bersama isteri saya dan terus berkata, "(Dia sebut nama isterinya) mari kita pulang sekarang." "Sekarang!" ulangnya lagi. Dan Ustaz itu keluarlah dari rumah saya dengan tidak bersalam lagi dengan saya. Tak apalah. Saya teringat akan cerita seorang Ustaz yang menerima kunjungan dari orang kampung membawa ikan yang sangat besar dan orang kampung itu meminta apa hukumnya mengenai ikan itu kerana kolam dia bersempadan dengan kolam orang lain dan tidak ada empangan antara dua kolam itu, boleh tak dia makan ikan itu. Ustaz itu berkata "Tak boleh, haram. Kerana awak pun tak tahu, entah ikan awak atau ikan orang sebelah." Orang kampung itu berpuas hatilah dengan penerangan ustaz itu. Dan sambil dia keluar dari rumah dia juga berkata, "Saya ingat jika tak jadi masalah, saya nak beri sebelah kepala ikan itu kepada ustaz." Ustaz itu terus berkata, "Tunggu dulu, biar saya tengok dalam kita." Kemudian dia berkata, "Harus." Cerita itu saya petik dari ucapan Ustaz Buniyamin Yaakub, penceramah hebat zaman itu, yang berceramah di Temerloh. (Maaf ya, bukan nak menghina ustaz tetapi sebagai kiasan sahaja). Selepas itu rupa-rupanya asakan fitnah terhadap saya dari kumpulan tertentu di Pahang menjadi-jadi. Seorang guru ahli PAS dari Kuala Lipis mengambil sikap yang begitu buruk terhadap saya. Diantara fitnah yang dilimparkan kepada saya ialah saya sedang merancang melalui Tuan Guru Haji Hadi untuk menggulingkan Ustaz Fadhil Nor. Fitnah ini berjalan buat seketika sehinggalah ia sampai ke telinga saya. Saya cukup geram dengan fitnah yang biadap ini. Hubungan saya dengan Ustaz Fadhil cukup akrab. Kalau saya ke Kedah, di rumah Ustaz Fadhillah saya menumpang tidur, dan kalau Ustaz Fadhil berada di Temerloh di rumah sayalah tempat dia tidur dan makan. Setelah fitnah ini berjalan beberapa bulan dan akhirnya sampai ke telinga saya, saya pun menalipon kepada Ustaz Fadhil bertanya kepada beliau samada beliau ada mendengar fitnah ini dari beberapa sumber. Maknanya ramai orang yang telah memberitahu Ustaz Fadhil. Saya bertanya Ustaz Fadhil, "Ustaz yakin ker bahawa saya sedang merancang dengan Ustaz Hadi untuk menggulingkan Ustaz?" Jawapan dari Ustaz Fadhil cukup mengeciwakan saya. Saya menangis mendengar jawapan darinya, tak sangka Ustaz Fadhil termakan dengan fitnah itu. "Mungkin..." itulah jawapan dari Ustaz Fadhil menyebabkan saya menangis, keciwa dan tawar hati dengan PAS. Saya tidak mengambil masa yang panjang selepas itu, saya isytiharkan diri keluar dari PAS. Walaupun berbagai pihak di dalam PAS membuat pelbagai cerita dengan tambahan fitnah terhadap saya kenapa saya keluar dari PAS, saya rahsiakan perkara ini, tetapi didalam keadaan kesihatan saya yang tidak menentu ini, dan pemergian saya mungkin sudah tidak lama lagi, maka saya luahkan juga supaya anak cucu saya tahu cerita sebenarnya. Cerita dan kisah saya ini adalah untuk anak cucu saya. (..bersambung..) |
BERTUKAR PARTI POLITIK MACAM BERSALIN BAJU? (Sambungan) Posted: 06 Jul 2013 12:36 AM PDT (Sebelum Zohor tadi dapat saya menamatkan Surah Al-Maidah, dan kalau waktu mengizinkan saya akan siapkan pula Suiratul Al-An'Am selepas Asar hingga Maghrib). (Berita dari Mesir bahawa seluruh rakyat Mesir mulai bangun menentang rampasan kuasa oleh tentera Mesir .. maknanya tentera yang dinasihatkan oleh Imperialis Amerika, dan punya bodoh idea kerajaan rampasan kuasa itu mengatakan bahawa rampasan kuasa itu bukan dari tentera tetapi kebangkitan rakyat kerana kalau rampasan tentera sudah tentulah pegawai tentera dilantik menjadi Presiden, agaknya Imperialis Amerika yang menjadi penasihat tentera Mesir sudah kehilangan idea) ========================================================================Sambungan: Kempen UMNO di Felda Lubok Merbau amatlah ganas dan jahat. Semblance dari segi demokrasi pun tak ada. Kalau dilihatkan kejahatan mereka, UMNO adalah parti fasis, tidak layak mentadbir negara demokrasi! Pada hari itu Ustaz Fadhil menghadirkan diri ke Felda Lubok Merbau untuk berceramah, tetapi tempat ceramahnya agak berjauhan juga dengan kawasan Bilik Gerakan PAS. Hampir semua petugas-petugas PAS meninggalkan Bilik Gerakan untuk mendengar ceramah Ustaz Fadhil, suatu fenomena masih diteruskan didalam PAS pada hari ini. Saya memberitahu supaya petugas-petugas Bilik Gerakan tidak perlu pergi, hanya petugas-petugas yang mendapat arahan sahaja yang pergi bagi melaksanakan tugasan di ceramah Ustaz Fadhil. Ramai sungguh di ceramah Ustaz Fadhil. Dan di Bilik Gerakan hanya tinggal entah berapa kerat sahaja. Yang saya ingat yang berada di Bilik Gerakan adalah Man Kadir, Pak Harun, dan tak sampai 10 orang sahaja; sedangkan di kawasan yang berdekatan dengan Bilik Gerakan Pas itu berlangsung pula ceramah UMNO dan penceramahnya adalah Najib Tun Razak. Saya cukup bimbang dengan keadaan itu, bimbang kalau-kalau pemuda UMNO dari ceramah Najib itu akan datang menyerang Bilik Gerakan kami. Apa yang saya bimbangkan benar-benar berlaku. Beberapa orang dari kami bertempat tidak jauh dari Bilik Gerakan PAS dan tidak jauh juga dengan tempat ceramah UMNO. Tujuannya adalah untuk mengelakkan poster dan banner PAS dimusnahkan oleh puak-puak UMNO itu. Selang tak berapa lama, ada seorang dari petugas itu menjerit dan berlari kearah Bilik Gerakan PAS menyatakan bahawa dua orang petugas PAS kena serang. Kami yang ada di Bilik Gerakan berlari ke tempat berkenaan, dan kami dapati dua orang dari petugas kami sudah terbaring di dalam longkang. Kami angkat segera dan bawa ke Bilik Gerakan. Seorang darinya berlumuran darah dan darah masih keluar dari kawasan sebelah telinganya semacam telinganya hampir terputus dan oleh senjata tajam. Seorang lagi nampak tidak ada apa-apa kesan luka tetapi dia tidak berupaya untuk bangun. Kami sediakan kereta untuk hantar mereka ke Hospital. Tetapi tidak lama kemudian kami diberitahu bahawa salah seorang yang dihantar ke Hospital itu meninggal dunia di perjalanan ke Hospital. Beliau adalah Othman Talib, rupa-rupanya kepalanya dipukul dengan benda keras, dan kami tidak sedari kecederaannya. Berita kejadian itu segera diberitahu kepada Ustaz Fadhil; Ustaz Fadhil datang ke Markas. Sebentar selepas itu pihak Polis pun datang melarang orang ramai dari merayau-rayau di kawasan Lubok Merbau, dan pihak Polis menghantar lori-lori polis untuk mengangkut orang ramai keluar dari Lubok Merbau. Yang lain-lain keluar dengan menggunakan kenderaan sendiri. Tinggallah kami tak seberapa orang. Syed Ibrahim tinggal bersama-sama kami. Azrai meminta saya keluar dari Lubok Merbau kerana bimbang akan keselamatan diri saya. Saya, Man Kadir dan Pak Harun tidak mahu meninggalkan Azrai dan keluarganya, kerana kami juga bimbang kalau-kalau puak-puak UMNO itu akan datang menyerang rumah beliau yang dijadikan Bilik Gerakan itu. Kalau saya tak silap, pada malam itu adalah lebih kurang 15 ke 20 orang di Bilik Gerakan. Kami bersedia dengan alat-alat besi untuk tujuan mempertahan diri jika puak UMNO datang menyerang. Kami tidak tidur malam itu. Dan pagi-pagi esuknya di ruang tamu rumah Azrai itu terdapat seorang lelaki berjanggut panjang diperkenalkan kepada saya oleh Azrai tetapi saya sudah lupa namanya, dia tidak bercakap banyak hanya sekadar mengucap salam dan lepas itu dia sibuk dengan gobek sirihnya. Selepas lumat sirihnya dan dimasukkan kedalam mulutnya dia terus menggobek lagi. Hanya yang dia bercakap dengan saya ialah orang-orangnya sudah ramai bertugas di Felda Lubok Merbau ini supaya saya tidak berasa gentar kerana keselamatan saya terjamin. Peristiwa yang berlaku di Felda Lubok Merbau sangat berat tetapi hingga ke hari ini pihak polis gagal membawa pembunuh itu ke muka pengadilan!!! Selepas saya kembali ke Temerloh, saya telah menulis dua buah buku diatas tajuk yang sama iaitu Peristiwa Berdarah Felda Lubok Merbau, satu daripada buku itu mengkisahkan peristiwa itu dari mula hingga akhir; tetapi buku keduanya mengandungi gambar-gambar peristiwa berdarah itu. Tak berapa lama selepas itu saya ditahan di bawah ISA, dan semasa saya ditahan itu, kedua-dua buku itu telah diharamkan, dan semua salinan-salinan yang ada di rumah saya semuanya dirampas oleh Polis dan saya tidak memiliki barang satu naskhah pun. (Ramai kawan-kawan dari seluruh Negara meminta saya untuk menghantar satu naskhah untuk dihantar kepada mereka, tetapi saya tidak memiliki sebarang naskhah pun, tetapi saya rasa masih ramai di luar sana orang-rang yang menyimpan buku ini kerana Penerbitan Ujud telah mengeluarkan 5000 naskhah, dan yang ada tinggal di rumah saya sebelum saya ditahan dibawah ISA hanya sedikit sahaja). (Kisah saya ditahan dibawah ISA itu telah saya tuliskan dengan penuh didalam buku saya bernama PROFIL TAMU 1985 dan saya tidak akan ulangi lagi didalam tulisan ini, buku itu tidak diharamkan tetapi bagaimanapun saya juga tidak ada menyimpan sebarang naskhah buku itu, cubalah tanya Man Kadir kut-kut dia ada). Selepas hampir lebih dari 2 tahun iaitu selepas saya dibebaskan dari tahanan ISA di bawah Operasi Lalang bersama-sama lebih dari 100 pemimpin-pemimpin Pembangkang dan NGO yang lain, saya keluar dari PAS. Tetapi semasa saya dibuang daerah ke Melaka Tengah selepas dibebaskan bersyarat pada tahun 1986 (tahanan pertama) saya telah diminta oleh Ustaz Hassan Shukri, Setiausaha Agung PAS supaya bertanding di kawasan Parlimen Temerloh. Man Kadirlah yang membawakan Borang Pencalonan saya untuk saya isikan dan yang apa-apa keperluan lain diambil alih oleh PAS kawasan Temerloh termasuklah bayaran deposit; hanya saya menyediakan poster calon dari Melaka. Printer di Melaka itu adalah seorang ahli PAS dan dia mengenakan bayaran sangat rendah kepada saya, jangan tak kenakan bayaran sahaja. Itupun dibayarkan oleh abang ipar saya, seorang ahli PAS juga, Abang Md Nor Jaafar. Dia juga pernah menjadi calon Parlimen PAS bagi kawasan Batu Berendam. Inilah puncanya kenapa Sabbaruddin tidak mahu menerima saya dan terus menerus hingga ke hari ini masih menaruh dendam kepada saya. Baru-baru ini berlangsung perjumpaan bekas pelajar-pelajar ABS. Saya tak tau pun ianya berlangsung, tetapi didalam ucapan Sabbaruddin dia turut mengingatkan ahli-ahli supaya tidak membenarkan Suhaimi Said dari terlibat dengan persatuan itu. He is so mean!!! Kenapa saya keluar dari PAS? Sedangkan saya cukup seronok berada didalam PAS. Saya dapat mengembangkan pengetahuan saya dibidang ugama. Kalau tidak terlibat dengan ceramah saya memang berada di kuliah-kuliah ilmu, tetapi kenapa saya keluar dari PAS. PAS adalah parti yang sangat saya sayang seperti saya menyayangi PRM. Saya sayang kepada PRM kerana perjuangan ikhlasnya untuk rakyat Marhaen. Saya sayang kepada PAS kerana perjuangannya menegakkan Islam, saya adalah seorang Islam, dan saya mahu mati bukan sahaja sebagai seorang Islam tetapi seorang yang beriman dan bertaqwa. Itulah cita-cita saya, dan PAS telah membimbing saya kearah itu. Kenapa saya tinggalkan PAS. Saya akan ceritakan sebab-sebab saya tinggalkan PAS didalam tulisan yang akan datang sebagai sambungan kepada kisah ini. (...bersambung...) |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan