The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Posted: 03 Jul 2013 06:38 PM PDT Oleh kerana ibu-bapa saya orang susah, maka saya pergi ke Maktab MARA bersendirian, dari Temerloh ke Kuala Lumpur, saya naik bas dan dari Kuala Lumpur ke Jalan Othman di Petaling Jaya menaiki teksi. Sampai saja ke Maktab sudah ada ramai pelajar-pelajar lain di sana. Saya sangkakan bahawa mereka itu benar-benar mahu menolong saya untuk membawakan beg saya. Rupa-rupanya tidak. Sebaik saja teksi itu meninggalkan Maktab berkerumunlah senior-senior ini dengan suara garang-garang belaka, sikap mereka dan suara mereka lebih dahsyat dari binatang. Saya dijerit oleh mereka supaya meletakkan beg saya diatas kepala saya dan setelah beberapa langkah saya berjalan mereka suruh pula saya merangkak dan beg itu diletakkan diatas belakang saya. Dari senarai pelajar-pelajar yang baru masuk, saya ditempatkan di bilik bersama-sama seorang senior yang terkenal dengan Ali Pendek (nama sebenar Ali Yassin, orang Melaka). Dia pelajar jurusan akauntanci. Seorang lagi room-mate saya ialah seorang pelajar baru yang mengambil jurusan management, bernama Mansur Salleh, bertubuh tinggi dari Kelantan. Dia pun direging sama seperti saya. Bilik saya adalah ditingkat dua. Saya disuruh menaiki tangga dengan merangkak dan beg saya diletak diatas belakang saya. Didalam fikiran saya, kalaulah saya tahu beginilah gayanya sambutan yang nak diberikan kepada pelajar-pelajar baru, tobat saya tak mahu masuk Maktab ini. Setelah meletakkan beg saya di bilik. Senior-senior saya suruh saya berlari pulak ke Bilik Pendaftar untuk daftarkan diri. "Lembik, cepat, cepat!!!" sergah mereka. Sesudah mendaftar diri sampailah ke peringkat dilakukan reging beramai-ramai. Senior-senior duduk diatas kerusi dan kami pelajar-pelajar baru diminta merangkak ke kaki setiap senior. Pada masa itu terserahlah kepada senior tu nak buat apa kepada kita. Dan ada senior yang kurang ajar meminta kami mencium bontut mereka dan mereka pun kentut. Ketawa menghilai-hilailah mereka seperti orang yang langsung tidak siuman. Reging yang dilakukan cukup menghinakan. Selepas makan tengah hari, pelajar-pelajar baru diaturkan pula ditengah padang, kemudian seorang demi seorang dimandikan dengan air tahi lembu. Pada waktu itu saya sudah cukup hilang kesabaran dan saya cabar senior-senior itu bertumbuk, tetapi ada senior yang kenal kepada saya, bekas murid ABS juga ada beberapa orang. Diantaranya Zubair Haji Dahan. Dia pun kaki reging juga tetapi dia tidak mereging saya. Menengok keadaan itu Zubair memberitahu saya, "Mi, ikutkan sajalah reging ni, kami dulu masa baru masuk pun begini juga kena reging, be gentleman katanya." Selepas hari itu Zubair sentiasa melindungi saya dari direging oleh senior-senior lain. Selepas solat Isya' malam itu, kami sekali lagi diminta berbaris dihadapan hostel perempuan. Satu lagi kegilaan telah berlaku apabila kami yang hanya berpakaian seluar dalam dijirus dengan air kencing oleh perempuan-perempuan senior itu. Sampai sekarang saya tidak dapat maafkan senior perempuan itu yang melampau-lampau. Selesai seminggu proses reging ini tamat dan kelas dimulakan. Saya diminta menjadi salah seorang di dalam Jawatankuasa "pemberontak" untuk menggulingkan Jawatankuasa Majlis Pelajar kerana dikatakan tidak cekap dan bersikap angkuh. Team pemberontak ini diketuai oleh Syed Ibrahim. Beliau adalah diantara pelajar senior yang dihormati dan beliau tidak terlibat dengan reging. Jawatankuasa pemberontak ini bergerak secara sembunyi takut-takut diketahui oleh Jawatankuasa Majlis Pelajar yang sedia ada. Apabila kami sudah mempunyai sokongan yang meluas kami panggilkan satu EGM dengan satu agenda sahaja iaitu undi tidak percaya kepada Jawatankuasa Majlis Pelajar yang sedia ada. Sokongan terhadap usul itu adalah di luar dugaan. Kami menang besar. Rupa-rupanya hampir semua pelajar senior dan baru tidak menyukai Jawatankuasa Majlis Pelajar yang sedia ada. Setelah Jawatankuasa itu digulingkan maka notis diberikan untuk memilih Jawatankuasa Majlis Pelajar yang baru, dan saya terpilih menduduki Jawatankuasa baru itu, dan kami memilih Syed Ibrahim menjadi Presiden Majlis Pelajar yang baru. Mengenai pelajaran tak banyak cerita yang nak saya khabarkan kerana saya mengambil bidang yang kebanyakannya diceburi oleh wanita. Walaubagaimana pun saya belajar bersungguh-sungguh. Perperiksaan yang berlangsung untuk kursus stenography itu disempurnakan dari London (external examination). Alahamdulillah, saya lulus dengan baik, dan sebelum tamat pengajian, saya sudah mendapat kerja di Jabatan Perdana Menteri, teapi saya masih tinggal di Hostel Maktab MARA. Pada suatu hari Ahad, semasa cuti di Maktab, saya terserempak dengan Pengetua Maktab itu bernama Arshad Ayob, seorang manusia yang bengis. Dialah pengetua yang kuat berpegang kepada disiplin pelajar. Kami pelajar-pelajar Maktab dihentikan dari makan nasi dan digantikan dengan roti. Amboi, makan roti? Roti untuk tengah hari dan roti untuk malam. "Kamu semua ini anak orang kampung, ibu bapa kamu penoreh getah dan pembuat padi di kampung-kampung, dan mereka mengharapkan kamu lulus dengan cemerlang di Maktab ini; kamu akan dapat pekerjaan yang baik-baik dan boleh menanggung ibu bapa kamu. Maktab ini bukan tempat makan angin, bukan tempat berpoya-poya," begitulah "Titah" Arshad Ayob semasa memanggil Jawatankuasa Majlis Pelajar ke Biliknya. "Mulai esuk saya berhentikan kamu semua dari makan nasi, kamu akan dibekalkan dengan makan roti." katanya. Tentulah kami jangkakan Pengetua ini bercakap semata-mata untuk bergurau sahaja. Rupa-rupanya betul. Kami tidak lagi dibekalkan dengan makan nasi, tetapi makan roti. Semasa terserempak dengan Arshad Ayob itu dia senyum dan menjemput saya masuk ke biliknya. "Awak belum ada rumah sewa kat luar?" tanya Arshad. Saya katakan "Belum." "Bagus," jawab Arshad. "Kamu tinggal percuma di Hostel ni, dan kamu kena buat kerja untuk saya. Malam ni start kerja, ya?" katanya. Mulai jam 8.00 malam tu, saya memulakan kerja dengan Arshad. Dia dictate kepada saya ada dalam bahasa Inggeris dan ada yang Bahasa Melayu surat menyurat Maktab itu dengan pihak luar. Mulai hari itu saya sudah tahu perancangan Arshad untuk membesarkan Maktab itu. Semasa saya bertugas di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Tun Razak, kerapkali juga Arshad Ayob berjumpa dengan Tun Razak, dan bila terserempak dengan saya, saya turut menanyakannya maksud kedatangannya menemui Tun Razak. "Apa lagi, kalau betul-betul Tun Razak ini mahu memperjuangkan orang Melayu, apa nak tunggu lagi. Saya mintak supaya Maktab MARA ini dipindahkan ke satu kampus yang besar dan ribuan pelajar boleh diambil setiap tahun. MARA adalah tempat pelajar Melayu dan Bumiputra melanjutkan pelajaran. Pelajar-pelajar Melayu dari luar bandar masih memerlukan pertolongan. Saya mahukan Maktab MARA menjadi sebuah Universiti dengan ribuan pelajar." Saya tahu bahawa Arshad Ayob tidak ada sebarang agenda politik. Dia membawakan agenda Melayu dibidang pendidikan. Banyak kali dia datang menemui Tun Razak. Mengenali Arshad Ayob, saya yakin bahawa Tun Razak tidak begitu bersetuju dengan cadangan Arshad, tetapi dengan kesungguhan Arshad yang terus menerus mendesak Tun Razak dan Kerajaan, akhirnya Tun Razak memberikan persetujuan. Kali terakhir saya bertemu dengan Arshad Ayob yang pada waktu itu sudahpun bergelar Tan Sri ialah semasa kami sama-sama menunaikah Haji di Makkah. Dia, isterinya dan ayahnya menunaikan Haji, tetapi ayahnya meninggal di Makkah. Perangai Arshad tidak berubah terhadap saya. "Suhaimi, baguslah kamu ada ni. Kita bantu jemaah ini menaikkan barang-barang mereka bila nak balik nanti." Saya senyum saja tetapi bagi Arshad, apa yang sudah dia kata, dia mahu dikotakan. Samapailah waktunya kami meninggalkan Makkah untuk ke Jeddah menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia. Seperti yang Arshad kata, semua jemaah satu bas itu, masuk dulu ke dalam bas. Tinggallah saya dengan Arshad memunggah semua barang kepunyaan Jemaah untuk dinaikkan keatas bas. Haru betul. Setiap Jemaah pulak ada luggage yang berat-berat. Setelah siap dinaikkan semua barang-barang, barulah kami naik bas. Sampai di Jeddah, awal-awal lagi Arshad telah menyiapkan tempat tidur di terminal Jeddah dan dia menyiapkan untuk tiga orang, isterinya, dia sendiri dan saya. Saya lari darinya untuk tidur di kawasan lain. Tapi tidak..Arshad tidak membenarkan. Dia tarik tangan saya, dan suruh saya tidur di tempat yang dia sudah sediakan. "Pagi-pagi esuk kita solat Suboh bersama, dan lepas itu kita menaiki pesawat bersama," "Titah" si Arshad. Berkali-kali isterinya mengingatkan Arshad supaya tidak mengganggu saya. Tapi Arshad menjawab dengan muda, "Awak mana tau, Suhaimi ni anak murid saya." Semasa menaiki pesawat saya adalah orang terakhir memasuki pesawat. Arshad dan isterinya sudah lama masuk. Tujuan saya, saya tidak mahu duduk berdekatan dengan beliau. Rupa-rupanya dia menunggu saya di pintu masuk pesawat. "Kenapa lambat sangat, ni?" Saya tak jawablah. Dan saya terus menuju ke tempat duduk. "Oh, bukan di sana. Naik keatas. Saya dah sediakan tempat duduk awak." Terpaksa jugalah saya duduk disampingnya. Dan di tingkat atas itu terdapat orang-orang yang semuanya "bergelar", ada yang Datuk dan ada yang Tan Sri. Arshad memperkenalkan saya kepada rakan-rakannya. "Ini Suhaimi, dia anak murid saya. Dia ni seorang peguam." "Sudahlah tu Arshad, jangan ganggu Suhaimi," kata isterinya. "Eh..eh, saya bukan ganggu dia, tapi mahu dia duduk dengan selesa, di sini kan lebih lega," jawab Arshad. Sampai di Subang Airport saya bersalam-salaman dengan Dato Arshad dengan pesanan darinya, "Kalau ada ruang masa, datanglah ke Pejabat saya di Shah Alam." Selepas itu tidaklah saya berjumpanya lagi. Tan Sri Arshad Ayob adalah seorang Melayu yang betul-betul konsisten dengan perjuangan meramaikan cerdik pandai Melayu, dan kalau orang tanya saya, siapakah bapa pembangunan Universiti Mara, saya akan tunjukkan, itulah dia Dato Arshad Ayob. Bekas pelajar-pelajar Maktab MARA memang terkenal, dan mereka mengisikan jawatan-jawatan profesional di gedung-gedung swasta dan kalau di Petronas pada waktu itu mereka berjaya memegang jawatan-jawatan tertinggi seperti Ismail Hashim, Ali Yassin, Yusuf Mamak dan ramai lagi. Begitu juga jawatan-jawatan besar di Bank-Bank. Semasa di Maktab MARA itulah saya memulakan belajar sendiri untuk perperiksaan HSC (Higher School Certificate) kerana saya tidak berpuas hati dengan sijil-sijil seperti yang saya dapati melalui Maktab MARA. Orang lain mendapat sijil-sijil profesional, sedangkan saya hanya di bidang stenography. Saya tidak puas hati. Saya mahu lulus HSC dan boleh menyambung pelajaran saya di Universiti Malaya. Tetapi hajat saya itu tidak dapat saya tunaikan segera. Saya mulai menghadiri kelas-kelas malam untuk persediaan mengambil HSC dan mengambilnya pada tahun 1967 dan Alhamdulillah, saya lulus semua mata pelajaran yang saya ambil. Dengan kelulusan HSC itu saya sudah boleh memohon untuk masuk ke Universiti Malaya, dan itulah yang saya buat. Permohonan saya untuk pengajian di Universiti Malaya berjaya pada tahun 1969. Maka saya pun memasuki pengajian di Universiti Malaya. Saya tinggal di Kg Baru di sebuah rumah sewa satu bilik. Tiap-tiap petang saya minum teh di sebuah warong di Kg Baru. Di situlah saya berkenalan rapat dengan Sdr Ahmad Boestamam, pemimpin Parti Rakyat Malaya yang saya kagumi. Satu hari dia menunjukkan kepada saya bahawa dia sudah diterima masuk di salah sebuah Inns of Court di London untuk pengajian undang-undang. Dia menggalakkan saya supaya mengambil undang-undang kerana dengan ijazah undang-undang kita boleh kerja sendiri tak perlu bergantung dengan mana-mana majikan. "Kalau awak nak jadi ahli politik, Suhaimi, jadilah seorang peguam," kata Boestamam kepada saya. Bung, itu gelaran yang saya gunakan untuk merojok kepada Ahmad Boestamam, apabila berbual dengannya. Saya minta kepada Bung Boestamam memberikan kepda saya sesalinan Surat Permohonan yang dia tulis ke Lincoln's Inn untuk saya "tiru" saja. Dia telah memberikan surat itu kepada saya. Tetapi saya belum tahu akan dapat belajar di London jika pun saya dapat menyertai Lincoln's Inn. Saya belajar di Universiti Malaya pun diatas biasiswa Kerajaan Negeri Selangor, takkan boleh saya mendapatkan biasiswa lain untuk ke London? Walaubagaimana pun saya tulis juga surat kepada Lincoln's Inn, London, dan selang tak berapa lama, saya menerima jawapan dari Lincoln's Inn menerima saya masuk menjadi pelajar. Ini menimbulkan dialema kepada saya. Adakah saya kena bayar balik biasiswa yang saya terima dari Kerajaan Selangor, dan kalau kena bayar, mana nak cari wangnya? Dan mungkinkah saya akan dapat satu biasiswa lain untuk ke London? Biasis dari mana? Kerajaan Pahang sudah awal-awal lagi menolak sebarang permohonan biasiswa dari saya. Saya pernah bertemu dengan Menteri Besar Pahang, Tan Sri Yahya, untuk mendapatkan sokongan darinya mendapatkan biasiswa Negeri Pahang. Jawapan yang sangat mengeciwakan saya ialah: "Abang, saya mohon maaf, saya langsung tak ada kuasa dari segi biasiswa ini." Kata Tan Sri Yahya kepada ayah saya semasa mula-mula saya berura-ura untuk mendapatkan biasiswa memasuki Universiti Malaya. Saya menulis kepada Kerajaan Selangor dan Kerajaan Perak untuk mendapatkan biasiswa. Saya tidak pergi apabila dijemput untuk interview di Ipoh kerana Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan biasiswa saya. Saya masuk Universiti Malaya dengan biasiswa Kerajaan Selangor. Patutlah tak begitu ramai anak Pahang dapat melanjutkan pelajaran pada waktu itu, kerana Kerajaan Pahang tidak perihatin langsung didalam bidang ini. Ini bererti hanya anak orang-orang kaya sahaja boleh belajar di Universiti, bahkan anak-anak orang kaya di Pahang diberikan biasiswa oleh Kerajaan Pahang. Sehingga sekarang saya tidak berterima kasih kepada Kerajaan Pahang. Saya cukup berminat untuk belajar undang-undang di London, tapi, apakan daya. Saya tidak mempunyai kemampuan untuk pergi ke sana melainkan saya mendapat biasiswa. Pada masa itulah saya teringat akan janji Dato Michael Chen, yang pada waktu itu berjawatan Setiausaha Parlimen kepada Tun Razak. Dia pernah menyatakan kepada saya bahawa, "If you need any help, please come to me," pernah Michael Chen berkata kepada saya semasa saya mahu berhenti kerja di Pejabat Timbalan Perdana Menteri dulu. Saya mengambil peluang untuk bertemu semula dengan Michael Chen. Dia sangat mesra. Apabila saya masuk ke biliknya di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, dia bertanyakan saya samada saya sudah belajar di Universiti. Setelah berbual-bual secara ringkas, saya pun menyatakan hasrat saya untuk mendapatkan biasiswa untuk belajar undang-undang di London. Michael Chen adalah seorang manusia yang cukup baik hati. Di depan saya itu dia terus talipon kepada JPA dan memohonkan untuk saya satu biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Linclon's Inn, London. Dia beri nama lengkap saya, nombor kad pengenalan saya, dan alamat saya kepada JPA dan dia terus memberitahu saya bahawa JPA telah meluluskan biasiswa Federal untuk saya dan surat kelulusan itu akan dihantar ke alamat saya. Macam tak percaya sahaja dengan kepantasan itu. Tetapi memang benar. Seminggu selepas itu, saya mendapat surat kelulusan dan saya dikehendaki mencari dua orang penjamin. Salah seorang penjamin itu yang dapat saya cari ialah Syed Husin Ali dan seorang lagi ialah pupu kepada abang ipar saya, bernama Yusof yang pada masa itu bertugas sebagai seorang peguam di Kuala Lumpur. Beberapa bulan sebelum saya berangkat ke London saya bernikah dengan isteri saya sekarang, Hendon bte Jaafar; tetapi di sebelah saya tidak membuat apa-apa kenduri kendara kerana pada waktu itu ayah saya berada di Hospital Besar, Kuantan dan sakit itulah yang membawa ayah saya meninggal dunia. Bersama dengan 14 orang pelajar yang lain yang juga mendapat biasiswa JPA, saya berlepas ke London untuk mengaji di bidang undang-undang. Apa jadi dengan biasiswa Selangor semasa saya mengaji di Universiti Malaya? Saya telah bertemu dengan Sekretariat Kerajaan Selangor memberitahu bahawa saya mahu tamatkan biasiswa Selangor kerana saya mendapat biasiswa Kerajaan Persekutuan. Pegawai itu memberitahu saya bahawa saya kena bayar balik apa yang sudah dibelanjakan oleh saya. Saya menyatakan saya tidak ada wang untuk membayar balik. Pegawai itu memberitahu bahawa samada secara tunai atau beransur-ansur saya kena bayar balik dan surat tuntutan itu akan dihantar ke alamat rumah saya. Tetapi surat tuntutan itu tidak pernah sampai dan hingga hari ini sudah lebih 40 tahun tidak ada tuntutan dikemukan kepada saya dari Kerajaan Negeri Selangor. Terima kasihlah kerajaan Negeri Selangor yang mengetahui bahawa saya tidak berkemampuan untuk membayar balik biasiswa yang telah diberikan kepada saya. Sebelum saya berangkat ke London, Syed Husin Ali telah memberikan beberapa nama untuk saya cari, dan mereka itu adalah pelajar-pelajar Malaysia di London yang bersimpati dengan perjuangan Parti Rakyat Malaya. |
JEMU TINGGAL DI KAMPUNG TANPA KERJA Posted: 03 Jul 2013 08:17 AM PDT Selepas menamatkan persekolah pada tahun 1963, saya tidak mempunyai apa-apa pekerjaan. Berpuluh surat sudah saya hantarkan kepada berbagai organisasi kerajaan dan swasta dengan mengepilkan curriculum vitae saya tetapi usahkan ada dipanggil untuk interview balasa kepada surat-surat itu pun tiada. Saya juga daftarkan diri saya di Pejabat Buruh. Tetapi rezeki belum menyebelahi saya. Pada hujung tahun 1963 itu saya nekad untuk pergi ke Negeri Sembilan di tempat pupu saya bekerja di sebuah estet di Rompin, Bahau bernama Middleton Estet. Nama pupu saya itu iaitu anak kepada Mak Andak Nyom, kakak kepada ayah saya ialah Othman. Saya menaiki keretapi malam dan sampai di setesyen keretapi itu lewat pagi. Pupu saya akan menjemput saya awal pagi esuknya. Maka sementara menunggu pagi saya tidur saja di setesyen keretapi Rompin. Turut tidur disitu adalah orang-orang tua yang mungkin tidak ada rumah. Mereka tidak ganggu saya, tetapi saya membelikan teh tarik untuk mereka. Mereka sangat suka. Jam lebih kurang 3.00 pagi saya dikejutkan oleh 2 orang Polis. Mereka pinta kad pengenalan saya. Malangnya, saya tidak membawa kad pengenalan, dan 2 orang Polis itu meminta saya ke Balai Polis Rompin, dan cukup malang bagi saya, mereka tuduh saya pendatang Indonesia. Perlu diingat bahawa pada masa itu Konfrontasi Indonesia sedang dilancarkan keatas Malaysia. Sampai di Balai Polis saya memberi keterangan bahawa saya orang Temerloh dan datang ke Rompin untuk bertemu dengan pupu saya yang bernama Othman dan pagi esuknya Othman akan menjemput saya di setesyen keretapi. Pihak Polis Bahau meminta saya tidur didalam lock-up kerana katanya amat berbahaya tidur di setesyen keretapi, apa-apa pun boleh berlaku, dan mereka berjanji akan menghantar semula saya ke setesyen keretapi dalam jam 8.00 pagi esuknya. Pagi itu pihak Balai Polis belikan untuk saya teh tarik dan nasi lemak sebelum saya dihantar ke setesyen keretapi. Abang pupu saya tiba di setesyen keretapi jam lebihkurang 8.30 pagi. Dia ajak saya minum pagi. Walaupun saya sudah minum pagi, saya tidak menolak. Selepas minum pagi itu, pupu saya menahan sebuah teksi untuk kami pergi ke Middleton Estate. Esuknya abang pupu saya membawa saya bertemu dengan mandur estet dan memperkenalkan saya kepada mandur, kerana mandur itu pernah menyatakan kepada pupu saya bahawa beliau masih mencari orang untuk menoreh getah di estet itu. Selepas itu mandur itu menguji keboleh saya menoreh getah. Saya pernah menoreh getah aki saya. Saya tahu untuk menjaga kulit getah dan tahu juga untuk melukakan kulit ari getah itu untuk mendapatkan susu yang lebih. Aki saya selalu marah jika saya menoreh "tak cakna". Melihat kepandaian saya itu mandur terus mengambil saya sebagai penoreh getah tanpa meminta kepada saya kad pengenalan saya. Di Estet itu gaji dibayar seminggu sekali dan pada tiap-tiap hari Selasa malam Rabu adalah hari pertunjuan wayang. Tak ada cerita lain di Estet itu melainkan cerita Tamil. Hampir kesemua penoreh getah di situ adalah kaum Tamil. Abang pupu saya berkata kepada saya bahawa di sini tak ada orang lain. Wanita-wanita muda akan turun menengok wayang dengan beramai-ramai. Kalau nak mengorat bolehlah, katanya. Wanita-wanita Tamil itu berpakaian serba cantik dengan warna hijau, merah, kuning dan sebagainya. Mereka berbahasa Tamil dan sesetengahnya tidak tahu berbahasa Melayu. Air mabuk yang ada di Estet itu hanyalah air Todi. Kalau tak biasa, minum sedikit todi pun dah mabuk sakan. Ramailah orang-orang tua mabuk. Anak-anak mereka menonton wayang, tetapi orang-orang tua mereka mabuk sakan. Dan dalam keadaan itu banyaklah kejadian tak senonoh menimpa anak-anak gadis mereka, kerana begitu ramai juga jejaka-jejaka Tamil turun menonton wayang dan mengorat. Sempatlah saya menerima gaji beberapa minggu. Satu hari saya dan pupu saya keluar ke Bahau. Niatnya untuk makan tengah hari di Bahau dan balik ke Estet sebelah petang. Tetapi entah apa nasib menimpa saya, sampai sahaja di Bahau terserempak dengan Ayah saya. Saya tak tahu bagaimana Ayah saya tahu saya ada di kawasan Bahau. Rupa-rupanya pupu saya yang memberitahu saya, dan helahnya mengajak saya ke Bahau itu adalah untuk mempertemukan saya dengan Ayah. Ayah saya membawa saya balik ke Temerloh tetapi Ayah tidak ada apa-apa program pekerjaan untuk saya. Beberapa hari saya tinggal di kampung dengan tidak ada kerja; saya terus ke Bandar Temerloh. Di Bandar saya bertemu dengan seorang kawan saya. Sedang elok: "Mi awok ade kerja ker?" Saya jawab tak ada. Dan dia pun tak ada kerja. Maka kami berpakat masing-masing cari RM30 seorang sebagai modal dan selepas itu mengambil sub-kontrak dengan kontraktor-kontraktor bangunan. Saya ada kepandaian dari segi mengecat kerana semasa cuti-cuti sekolah saya dan kawan saya itu bekerja sebagai pengecat masjid-masjid baru, surau-surau baru dan balai-balairaya baru. Kami boleh lakukan. Kami telah berjumpa dengan Abang Shukur, dan Abang Manap, kedua-duanya adalah kontraktor membina masjid, surau dan balairaya. Kerja kami cepat. Kalau mengecat masjid baru, kami akan tidur di masjid itu, memasak dan makan disitu dan kami bekerja hingga larut pagi. Cukup cepat kerja kami dan bukan saja cepat tetapi agak cermat, dan kontraktor-kontraktor itu akan dapat bayaran yang cepat juga dari JKR. Akhirnya kami mengecat kedai-kedai di Bandar Temerloh. Charge kami adalah jauh lelbih rendah dari kontraktor mengecat yang lain kerana kami tidak menggunakan "kuli", kamilah bos, kamilah kuli, dan kamilah yang menerima bayarannya. Sehinggakan setiap sebuah kedai di Jalan Abu Bakar dan Jalan Ibrahim Temeroloh kamilah tukang catnya Kami juga mengecat rumah-rumah kaman, iaitu rumah-rumah JKR, dan projek kami terbesar ialah mengecat Tangki Air untuk Bandar Temerloh. Wah cukup susah mengecat tangki air itu kerana bukan saja tinggi tetapi kena tambat badan kami dengan tqali beluti supaya kami dapat mengecat didinding sebelah luar tangki air itu. Itupun dapat kami lakukan. Akhirnya kami memikirkan untuk mengembangkan kemahiran kami ke rumah-rumah di kampung, khususnya, rumah-rumah guru yang baru mereka bina. Kerja di rumah di kampung-kampung adalah lebih berbaloi kerana bukan saja mendapat upah bahkan makan tengah hari dan malam juga disediakan. Hanya kami tak dapatlah bekerja hingga ke malam kerana maklumlah rumah orang. Saya tidak pernah merasakan poket sentiasa penuh seperti bekerja mengecat ini. Saya dan kawan saya itu tidur di bilik-bilik hotel dan makan di restoran-restoran. Makanan yang sedap-sedap kami makan seperti masakan udang dan kadang-kadang udang galah, juga makan masakan hati. Saya pernah juga bertemu dengan kawan-kawan saya yang bekerja sebagai guru, mereka dulu class-mate saya, mereka memandang rendah terhadap saya. Apabila saya menegur mereka, mereka hanya jeling dengan sebelah mata. Bersalam haram dak lah kerana tangan kami sentiasa kotor dilumuri cat. Tak apa. Walaupun mereka tu cikgu tapi gaji bulan mereka tak sampai 300 ringgit sebulan, sedangkan pendapatan saya melebihi 600 ringgit dalam tempoh seminggu. Lagi pulak saya dan kawan saya tu ada sebuah seorang basikal Raleigh, sedangkan mereka berjalan kaki. Saya boleh hidup lebih bergaya dari mereka. Sekiranya saya tidak diganggu dan meneruskan kerja sebagai kontraktor mengecat, rasanya saya boleh menjadi kontraktor lebih besar, dan mungkin kaya-raya. Tetapi apa boleh buat. Ayah saya mahukan saya melanjutkan pelajaran lagi. Satu hari dia datang menemui saya dengan borang yang sudah terisi. Katanya dia dapatkan guru bahasa Inggeris mengisinya, dan dia bawa borang itu kepada saya dan meminta saya menandatangani sahaja borang itu. Siapa mahu bantah kehendak Ayah. Saya ikutkan saja. Tak lama selepas itu saya menerima surat untuk interview, dan Ayah saya menghantarkan saya pergi interview. Semasa interview, tukang interview itu bertalu-talu tanya saya bahawa saya boleh tukar kepada mata pelajaran lain kalau saya mahu. Saya tidak tahu maksudnya. Saya katakan: "Tak payahlah." Saya diterima mengikuti Kursus Stenography di Maktab MARA di Petaling Jaya. Kursus itu adalah untuk kaum wanita. Dan didalam kelas itu hanya saya dan seorang yang lain sahaja mengikuti Kursus itu dan ada seorang lagi senior kami yang ambil kursus itu. Yang lain-lain semuanya perempuan. Mahu tak mahu belajarlah juga. Guru kami Mr Chin, baik orangnya, rajin mengajar dan tak jemu-jemu. Selain dari Terengkas Pitman, kami juga belajar Book Keeping dan pelajaran perdagangan. Saya lulus Terengkas Bahasa Inggeris dengan kelajuan yang hebat. Bercakaplah orang selaju mana saya boleh ambil didalam shorthand. Cikgu saya meminta saya bertugas sebagai seorang Reporter. Tetapi saya tak kisah, asalkan ada kerja, tak kiralah kerja apa. Sebelum saya sempat menghabiskan kursus stenography itu, ada tawaran dari Jabatan Perdana Menteri untuk beberapa orang murid-murid stenography pergi interview di Jabatan Perdana Menteri. Ujian pertama ialah mengambil shorthand dalam bahasa Inggeris, kemudian bahasa Melayu selain pengetahuan am. Saya lulus dengan baik. Maka pada hari esuknya saya sudah mula bertugas di Jabatan Perdana Menteri dibawah naungan Jabatan Perlembagaan. Beberapa bulan disana saya dipinta bertugas di bawah YTM Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri, mula-mula sebagai apprentis dan kemudian jika saya lulus akan bertugas di bawah Tunku semasa Tunku bercuti beberapa bulan di Alor Star, Kedah. Sebelum betugas dengan Tunku saya diberikan kursus etika dan adat istiadat termasuklah dimana saya mesti letakkan tangan saya semasa berdiri bercakap dengan Tunku. Dan apabila bercakap dengan Tunku apa yang saya mesti cakap apabila Tunku mengarahkan cakapan kepada saya. Samasekali saya kena menolak kalau Tunku mengajak makan bersama-samanya, dan kalau naik kereta dengan Tunku hendaklah duduk di bahagian depan, sekali-kali tidak boleh duduk di bahagian belakang bersama Tunku, saya juga diajarkan protokol untuk menyambut tetamu-tetamu Tunku. Gerun juga saya untuk nak bertugas di bawah Tunku kerana begitu banyak adat istiadat dan protokolnya. Untuk pergi ke Alor Star, kereta Jabatan Perdana Menteri menghantarkan saya ke lapangan terbang Sungai Besi. Itulah kali pertama saya menaiki pesawat, dan pesawat itu pula adalah sangat kecil, kalau saya tak silap lebih kecil dari 8-seater. Oleh kerana tak biasa menaiki kapal terbang, semasa kapal terbang itu melanggar awan dan di tempat kekosongan, kapal terbang itu bergoyang dan ada masa jatuh dengan cara menakutkan. Saya muntah didalam kapal terbang itu, tetapi, disitulah saya lihat kesabaran Tunku. Dia suruh Munusamy, seorang pegawai polis yang menjaga dari segi keselamatan membersihkan muntah saya, dan Tunku ketawa-ketawa kecil. Sampai di Alor Star, Tunku memberikan wang kepada saya, walhal tidak ada keperluan kerana Hotel yang bakal saya diami adalah dibayar oleh kerajaan Persekutuan. "Hang ambik ni buat belanja," katanya dan kemudian dia meminta kakitangan di rumahnya menghantarkan saya ke Hotel berkenaan. Tunku minta saya rest cukup-cukup hari itu sebelum bertugas dengannya esuk pagi. Rupa-rupanya semua adat istiadat serta protokol yang diajarkan kepada saya itu bakal untuk dilanggar. Bukan saya yang melanggarnya tetapi dengan arahan keras dari Tunku sendiri. "Hang jangan guna perkataan 'patik' bila bercakap dengan saya, saya tak suka," kata Tunku, "Hang minum pagi dengan aku, kat rumah ni, makan tengah hari dengan aku, makan malam dengan aku, aku tak lalu makan sorang-sorang," katanya. Beberapa hari saya di Alor Star tidak ada sebarang tugas yang diberikan oleh Tunku kepada saya, hanya dia ajak saya berborak, dia minta saya ceritakan hal-ehwal keluarga saya, dan semacam kawan Tunku juga bercerita tentang keluarganya. Dia bawa saya ke kawasan permakaman Di Raja di Alor Star dan menunjukkan kubur-kubur saudara maranya yang dia telah ceritakan kepada saya. Setakat itu saya tidak tahu apakah sebenarnya tugas saya. Kemudian Tunku memberikan kepada saya Tiket Khas keretapi Tanah Melayu iaitu gerabak khas - khas untuk Perdana Menteri. "Kalau hang nak balik ke KL, hang pakai tiket ni. Talipon dulu supaya dapat disediakan gerabak khas itu." Banyak kali juga saya menggunakan kemudahan itu untuk pergi dan balik Alor Star-Kuala Lumpur. Satu cerita yang melucukan ialah apabila saya bertemu dengan seorang senior saya dari ABS yang bertugas sebagai seorang guru di Alor Star. Bertemu kami di dalam keretapi itu. Saya tengok dia tidak ada tempat tidur. Dan saya menjemputnya tidur bersama-sama saya kerana saya beritahu dia saya ada extra bed. Dia setuju, tapi bila sampai ke gerabak itu, dia terus melarikan diri. aya dapatkannya semula. Saya beritahu dia saya bertugas dengan Perdana Menteri. Tetapi dia tetap tidak mahu. Bisa rupaya nama Perdana Menteri, walaupun dia tidak ada, orang masih tidak mahu menggunakan kesempatan itu. Satu lagi perkara lucu semasa saya bertugas di Rumah Tunku itu ialah apabila saya memberitahu Tunku bahawa anggota Polis yang menjaga di rumah guard di Rumah itu adalah pupu saya. Tunku terus mengarahkan kepada saya: "Ajak dia makan bersama-sama tengah hari nanti." Nama pupu saya itu ialah Yaakob, dan apabila saya beritahu Yaakob bahawa Tunku ajak makan bersama semasa makan tengah hari nanti, Yaakob menggeletar: "Mi, Mi, Mi oak nok koi kena buang kerja ker?" Saya kata, "Kenapa pulok?" "Itu adalah disiplin dalam tugas koi. tak boleh Mi!" Saya beritahu kepada Tunku. Maka pada tengah hari itu Tunku datang ke luar rumah ke bilik guard, dan tarik tangan Yaakob untuk masuk ke rumah dan makan bersama Tunku. Pucat muka Yaakob. Dia hanya menyentuh nasi dan mohon izin kepada Tunku untuk keluar. Tetapi bukan semudah itu Tunku melepaskan. Dia ambil pinggan Yaakob, dia tambahkan nasi dan cedukkan lauk-pauk untuk Yaakub makan. Mau tak mau, Yaakub makan juga. Selesai makan barulah Tunku lepaskan Yaakob. Sebelum ada tugas untuk saya, Tunku mengajak saya boating ke Kuala Kedah. Tunku ada sebuah boat laju, dan terkadang-kadang di waktu tengah hari pula Tunku mengajak saya keatas puncak Gunung Jerai. Di sana Tunku ada sebuah chalet. Di sanalah Tunku menunjukkan kepada saya gambar-gambar lamanya semasa di London. Yang sangat dimegahinya ialah gambar-gambar "girl friends" nya, dan sentiasa dia meminta pandangan saya menanyakan samada girl friends nya itu lawar atau tidak. Takkan saya berani mengatakan tidak! Sampailah waktunya tugas mulai mendatang. Masa itu berlaku kriisis jawatan Ketua Menteri Sarawak. Bertalu-talu rombongan dari Sarawak menemui Tunku untuk mengkhabarkan bahawa Stephen Kalong Ningkan dari Parti Snap tidak lagi sesuai menjadi Ketua Menteri Sarawak, dan mereka semuanya amencadangkan Rahman Yaakub. Bukan senang Tunku nak buat keputusan, dia berhubung dengan Tun Razak dan akhirnya dia mengumumkan bahawa Rahman Yaakub dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru mengganti Ningkan. Tugasan saya ialah menyediakan Press Statement untuk Tunku bacakan. Pandai sayalah macam mana Statement itu nak dibuat asalkan isinya ialah perlantikan Rahman Yaakub menggantikan Stephen Kalong Ningkan. Memanglah Tunku semak dulu statement yang saya buat itu, dan jika sesuai maka dia pun approvekan. Masa yang paling mencabar ialah untuk menerima rombongan dari Indonesia, rasa saya diketuai oleh Adam Malik, bagi perbincangan penamatan Konfrontasi Indonesia keatas Malaysia. Rupa-rupanya ramai sangat peemimpin di rantau ini ingin tahu tentang peristiwa itu. Kejap-kejap Presiden Macapagal talipon, kejap-kejap Lee Kuan Yew, Kejap-kejap Tun Razak. Macapagal dan Lee Kuan Yew mahukan perkembangan terbaharu, manakala Tun Razak sentiasa nak mengingatkan Tunku supaya tidak membocorkan apa-apa perkembangan kepada Macapagal dan Lee Kuan Yew. Tunku menceritakan kepada saya apakah isi Press Statement itu dalam Bahasa Inggeris dan saya akan derafkan Statement itu dan deraf itu saya tunjuk kepada Tunku. Setelah beberapa kali deraf dibuat, Tunku bersetuju dengan Statement yang akan dibacakan kepada media apabila rombongan Indonesia itu tiba nanti. Kemudian Tunku meminta saya balik ke hotel dan berpakaian baju Melayu sebelum datang semula ke Rumahnya mengikut jam yang ditetapkan sendiri oleh Tunku. Semasa saya berada di Hotel, rupa-rupanya dengan nasihat dari Senu Abdul Rahman, kenyataan itu perlu ditukarkan kepada Bahasa Melayu. Tunku mencari saya di rumahnya untuk menukarkan kenyataan dalam Bahasa Inggeris itu kepada Bahasa Melayu tetapi isinya kekal. Mana saya nak ada di Rumah Tunku pada waktu itu kerana saya sudah balik ke Hotel. Didalam ketiadaan saya itulah Tunku meminta Senu membuatkan kenyataan dalam Bahasa Melayu yaitu menterjemahkan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Sebaik saja saya sampai ke Rumah Tunku, rombongan dari Indonesia itu sudah hampir mahu sampai. Rumah Tunku dipagar oleh tangan-tangan polis, dan tiada siapa lagi boleh melintasi pegangan tangan itu. Ribuan manusia menunggu di luar rumah Tunku. Saya juga tidak dibenarkan masuk walaupun saya memberitahu Polis itu bahawa saya bertugas di rumah Tunku. Semuanya selamat Perisytiharan Menamatkan Konfrontasi akan dibuat secara rasmi semasa Tunku sudah menghabiskan cutinya di Alor Star. Selepas itu saya tidak lagi bertugas dengan Tunku dan saya dipindahkan ke Pejabat Timbalan Perdana Menteri bertugas di bawah Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Abdullah bin Ahmad. |
Pak Yassin Salleh dan L. Mankadir Shamsi Posted: 03 Jul 2013 06:06 AM PDT Semasa memulakan firma guaman saya di Temerloh saya mengenali L.Mankadir Shamsi dan kehadiran semula Sdr Yassin Salleh. Kenapa saya pilih tajuk khas untuk menceritakan kedua-dua orang kawan saya ini kerana mereka adalah manusia yang istimewa didalam hidup saya. Mari saya ceritakan L.Mankadir Shamsi. Perkenalan saya dengannya bermula dari minat saya didalam bidang penulisan dan saya menyertai badan penulisan Pahang bernama Persuratan Melayu Pahang yang membimbing ahli-ahlinya di bidang penulisan dan berkarya di bidang drama. Bersama-sama dengan seorang penulis terkenal dari Temerloh, Sahmad Malaya (nama sebenarnya Syed Ahmad) kami bergerak dibidang penulisan di Temerloh, dan mengujudkan bengkel penulisan termasuk melahirkan penulis-penulis muda dan dramatis-dramatis pentas. Ramai lagi yang terlibat yang kini sudah menjadi penulis-penulis terkenal di peringkat nasional yang saya tidak ingat kepada nama-nama mereka kami mengadakan bengkel bengkel penulisan di bidang kewartawanan, bengkel saster dan bengkel sajak. Di bawah bimbingan mereka yang sudah terkenal dari Temerloh ini, saya juga menulis sebuah sajak bernama JALAN ITU SUDAH MATI. L.Mankadir Shamsi yang lebih terarah kepada pementasan drama mengambil sajak yang saya tulis itu menjadikannya sebuah drama yang dipentaskan. Diatas kepandaiannya dia telah olah perjalanan sajak itu menjadikan sebuah drama yang cukup menarik mengisahkan sebuah lorong yang sunyi sepi yang lorong itu dahulunya adalah tempat yang agak sibuk tetapi telah musnah semasa perang Jepun. L.Mankadir Shamsi memang hebat didalam mengolah dan mengarahkan drama pentas. Semasa itu beliau belum lagi terlibat dengan kerja-kerja menulis skrip dan mengarahkan filem dan drama-drama tv. Beliau tidaklah terkenal seperti hari ini. Pada hari ini kalau diletakkan nama L.Mankadir Shamsi, mungkin hanya sedikit sahaja manusia mengenalinya mungkin hanya didalam lengkungan kawan-kawan asalnya sahaja. Tetap apabila diletakkan namanya sebagai Pak Jabit dengan Hantu Mak Limah balik Rumah, satu Malaysia orang kenal dia. Saya ambil Mankadir ini bertugas dengan firma saya dengan memberikan kelonggaran masa kepadanya untuk dia berkarya seni. Semasa saya ditahan dibawah ISA pada tahun 1985, saya tidak tahu apakah yang dilakukan oleh Mankadir untuk penghidupannya. Tetapi apabila saya dibebaskan dari tahanan dan dibuang daerah ke Melaka, saya menjemput semula Mankadir bertugas di firma guaman saya di Melaka tetapi dia tidaklah bertugas sepenuh masa kerana dia juga menumpukan masanya dibidang penulisan skrip dan lain-lain bidang. Semasa di Melaka itu saya tinggal di Taman Ehsan manakala Mankadir dan familinya pula tinggal di Kg Semabok. 2 hingga 3 hari seminggu di berada di Kuala Lumpur. Pada masa itulah saya aktif menulis buku, dan tidak kurang daripada 6 buah buku saya tuliskan dan buku-buku itu diterbitkan oleh Penerbitan Ujud, iaitu syarikat saya sendiri, tetapi Mankadir adalah penyunting dan mengusahakan buku itu dicetak. Semasa di Melaka itu saya tidak aktif dalam politik kerana saya di bawah tahanan rumah dan tidak boleh keluar dari rumah dari jam 6.00 petang hingga jam 6.00 pagi. Namun saya tidak terpisah dengan pergerakan politik Negeri Melaka. PAS Melaka pada waktu itu langsung tidak bertenaga. Saya dan Mankadir merubahkan keadaan itu. Pimpinan PAS Melaka dan kawasan-kawasan datang kerrumah saya dan kami berbincang bagaimana untuk memperkukuhkan PAS Melaka. Saya syaratkan kepada setiap ahli PAS Melaka dan kawasan-kawasan setiap minggu mendapatkan ahli baru, dan setiap minggu sekurang-kurangnya diadakan satu ceramah politik di kawasan masing-masing. Ahli-ahli PAS Melaka mengambil arahan saya ini sebagai serius. Kebetulan pula abang ipar saya iaitu Haji Mohd Nor Jaafar adalah AJK PAS kawasan (kemudian dia bertanding di kawasan Parlimen Batu Berendam), walaupun kalah, undinya cukup besar. Wujud semacam ada perlumbaan dari kawasan-kawasan PAS Melaka untuk mendapatkan ahli baru dan mengadakan ceramah. Masa itulah (mungkin dari risikan SB), saya dipanggil oleh seseorang dari Pejabat Ketua Menteri Melaka, menawarkan saya kembali pulang ke Temerloh, tetapi saya menolak dengan kata-kata bahawa saya datang ke Melaka bukan atas permintaan saya sendiri malah saya dihantar ke Melaka untuk menyekat kebebasan saya, maka jika saya kembali ke Temerloh, akan saya lakukan apabila saya sudah memiliki kebebasan iaitu sekatan tahanan rumah tidak lagi dikenakan terhadap saya. Pergerakan PAS Melaka berjalan lancar. Dan saya lancarkan satu gerakan baru dari Melaka iaitu yang dinamakan Gerakan Selatan-Selatan. Di bawah Gerakan itu saya mahukan PAS Negeri Sembilan, PAS Melaka dan PAS Johor bergerak sebagai satu tali yang sambung menyambung agar kekuatan PAS di selatan Semenanjung dapat digerakkan menjadi gerakan yang lebih kuat. Di samping itu juga saya dan Mankadir bertemu dan berbincang dengan Ustaz Jalaludin, Pesuruhjaya PAS Melaka supaya dapat diadakan kuliah mingguan di kawasan Semabok untuk ahli-ahli PAS Melaka. Kuliah ini mendapat sambutan, walaupun peringkat awalnya hanya dihadiri oleh entah berapa kerat ahli sahaja. Akhir-akhirnya orang bukan parti pun turut hadir kedalam majlis ini. Kuliah ini diadakan dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi setiap hari Ahad di kawasan Semabok diatas tanah milik seorang ahli PAS. Saya tak ingat namanya, tetapi anaknya bernama Wahab adalah Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). Tengah berseronok-seronok dengan aktiviti seperti ini, walaupun secara luarannya saya tidak terlibat, maka berlaku pulak satu lagi tangkapan beramai-ramai di bawah Operasi Lalang. Saya turut ditahan dibawah ISA kali kedua di bawah Operasi Lalang. Saya ditahan untuk siasatan di Balai Polis Bandar Melaka bersama-sama dengan Lim Guan Eng, Sim Mou Yu, seorang lagi aktivis Bahasa Cina, namanya saya tak ingat, dan dua orang lagi pimpinan DAP Negeri Melaka yang juga namanya saya sudah lupa. Siasatan terhadap saya semasa tahanan ini tidaklah berat kerana tak ada apa yang nak disiasat terhadap saya. Saya tidak terlibat secara terbuka berceramah dan tidak pula terlibat secara terbuka dengan aktiviti parti. Saya baharu saja dibebaskan daripada tahanan sekatan didalam rumah. Pada hari berkenaan itu saya pergi ke Markas PAS di Gombak kerana Ustaz Hassan Shukri meminta saya memimpin satu kuliah mengenai perjuangan parti. Semasa kuliah itu sedang berjalan Ustaz Hassan memberhentikan saya menyatakan supaya saya kembali segera ke Melaka kerana pada malam itu akan berlangsung penangkapan beramai-ramai terhadap pimpinan PAS termasuk Haji Hadi, Ustaz Fadzil, Ustaz Nakhaie, beliau sendiri dan pimpinan negeri-negeri Sesampai saya ke rumah saya di Taman Ehsan, tiba-tiba kereta saya diserang oleh satu pasukan beruniform, dan meminta saya keluar dari kereta. Mereka semua bersenjata, dan seorang daripadanya menyatakan saya ditahan dibawah ISA. Muncung senapang masing-masing semuanya ditujukan kepada saya. Saya tidak berkata apa-apa hanya meminta kepada mereka untuk saya masuk kedalam rumah untuk mengambil berus gigi dan kain towel. Mereka terus menggelidah rumah saya. Abang Mohd Nor yang tinggal selang dua buah rumah dari saya dipanggil oleh isteri saya, tetapi pihak Polis yang menahan saya itu langsung tidak melayan sebarang pertanyaan dari abang Ipar saya. Dokumen-dokumen parti dirampas dari rumah saya dan juga beberapa tape. Dalam tempoh 10 minit saya pun digari dan dibawa keluar dari rumah terus menuju ke Balai Polis Bandar Melaka. Di sana saya dikumpulkan bersama-sama tahanan yang lain. Walaupun tahanan-tahanan yang lain itu didera didalam sesi soal siasat saya tidak disoal-siasat dengan begitu berat seolah-olah penahanan saya itu dibuat semata-mata supaya saya dapat dikeluarkan dari Negeri Melaka. Seingat saya perkara yang berat sedikit disiasat kepada saya ialah mengenai pandangan saya terhadap Syiah. Suatu malam itu, seorang Ustaz telah didatangkan dan berceramah tentang Syiah lebih dari dua jam. Setelah dia habis ceramah dia minta ulasan dari saya. Tidak ada apa yang dapat saya ulas, kerana pertamanya, saya langsung tidak tahu ajaran Syiah dan keduanya saya langsung tidak berminat dengan ajaran itu. Lantas ustaz itu mengatakan bahawa ahli-ahli PAS banyak yang menyokong Syiah. Saya jawab mudahlah bahawa hanya ustaz-ustaz UMNO sahaja yang berpandangan sedemikian. Selepas itu Ustaz berkenaan meninggalkan saya di Bilik Siasatan. Selain dari itu tidak ada siasatan yang berat terhadap saya melainkan soal-soal remeh temeh kenapa saya masuk PAS, dan PAS tidak ada future didalam politik tanah air, dan isu-isu peribadi saya apa yang saya nak buat apabila dibebaskan dari ISA nanti. Selepas 60 hari saya dihantar ke Kemunting untuik menjalani tahanan selama 2 tahun. Semasa saya di Kemunting, saya tidak tahu apa berlaku kepada Mankadir, berpindah dari Semabok ke Kuala Lumpur atau ke Lanchang. Saya mengenali Yassin Salleh lebih awal dari Mankadir. Dia adalah seorang sahabat, bahkan semasa dia berkahwin di Chenor, berlaku perkara yang sangat melucukan. Saya menjadi orang kanannya. Wang dia untuk maskahwin, dan kad pengenalannyaada didalam poket baju Melayu saya. Setelah selesai akad nikah maka butir-butir mempelai lelaki ini akan ditulis kepada dokumen surat nikah, maka saya menghulurkan kad pengenalan kepada jurunikah itu. Nak mujur juga jurunikah itu berkata-kata dengan kuat semasa nak mulis itu. Bacaannya SULAIMAN @ SUHAIMI BIN SAID, dan komennya awak ni ada banyak nama ya? Nama Yassin pun awak, nama Sulaiman @ Suhaimi pun awak. Barulah saya tersedar dan Yasin lagilah tersedarnya bahawa saya telah terberi kad pengenalan saya sendiri kepada jurunikah itu. Saya terus berkata bahawa kad pengenalan itu tersilap. Kad Pengenalan Yassin duduk berhimpit dengan kad pengenalan saya didalam poket atas baju Melayu saya. Saya adalah saksi. Hal ini menjadi perbualan lucu kami hinggalah ke hari ini sehingga Yassin memberitahu anak-anaknya bahawa hampir-hampir nama uncle ditulis didalam surat nikah Abah. Saya dengan Yassin memang rapat, hingga sekarang pun kami rapat. Dan kerapkali dia datang ke Kuala Krau semasa PKR Kuala Krau mengadakan ceramah. Bahkan dua kali saya adakan Majlis membaca puisi di kawasan Kuala Krau yang mana Yassin Salleh menjemput ramai kawan-kawan pemuisinya hadir bersama dan menjayakan program itu. Kali pertama saya buat di Kg Pian, diperkampungan Orang Asal. Dan sambutan Orang Asal cukup baik,hampir semua orang kampung itu datang ke Dewan kampung itu untuk menyaksikan berbagai persembahan puisi oleh Sdr Yassin dan rakan-rakannya. Mankadir juga turut sama. Pemuisi-pemuisi dikalangan Orang Asal juga membacakan puisi masing-masing. Kali kedua saya anjurkan di Felda Jenderak Utara; peneroka-peneroka Felda juga menunjukkan minat terhadap bacaan puisi. Banyak daripada program saya di Kuala Krau dimulakan dengan bacaan puisi oleh Sdr Yassin Salleh. Sajaknya yang paling terkenal adalah Ikan-Ikan dikaca. Yassin Salleh walaupun terkenal sebagai seorang pemuisi, sebenarnya adalah seorang Pengarah Filem yang telah banyak menggodol berbagai hadiah. Dia Ibuku dan filem-filem yang dilakonlayarkan oleh Sarimah yang mendapat gondolan hadiah adalah dari arahan Yassin Salleh. Bersama Yassin Salleh, Mankadir, Haji Alang, Sahmad Malaya, Ami Mesra dan beberapa yang lain Persatuan Persuratan Melayu Pahang Cawangan Temerloh adalah persatuan penulisan yang sangat aktif dan berjaya. Persamaan antara Sahmad Malaya, Yassin Salleh, Mankadir dan saya sendiri, adalah kami semuanya adalah anggota PRM dan aktif di Temerloh. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan