Selasa, 2 Julai 2013

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


PERSAHABATAN DENGAN PAK SAKO

Posted: 02 Jul 2013 09:13 PM PDT

Walaupun selepas PRU itu lama juga saya tidak bertemu dengan Pak Sako, tetapi semasa saya mengaji di Kolej Mara, Petaling Jaya ada juga saya pergi ke Hulu Langat ke rumah Pak Sako untuk makan durian.  Dan semasa saya sudah bekerja semasa saya tinggal di Seksyen 14 Petaling Jaya, saya juga mengundang Pak Sako makan malam ke rumah saya.

Semasa saya bertugas di Jabatan Perdana Menteri, sekali sekala, saya ketemuan juga Pak Sako dan kadang-kadang kami minum petang di warong-warong di Kg Baru, Kuala Lumpur.

Masa yang panjang saya bersama dengan Pak Sako adalah semasa saya mulai minat di bidang penulisan, dan saya menjemput Pak Sako untuk memberikan kursus penulisan di Temerloh.  Saya juga menjemput Usman Awang (Tongkat Waran) untuk memberikan kursus penulisan di Temerloh.

Waktu itu saya sudah bertugas sebagai seorang Peguam di Temerloh.

Suatu hari Pak Sako datang ke Temerloh dan sekembali saya dari ngeteh pagi ke pejabat saya, tiba-tiba saya ternampak didalam bilik saya seorang yang sedang menunggu saya.  Saya sangkakan seorang pelanggan saya yang mahu bertemu dengan saya.

Apabila saya masuk di bilik, saya dapati Pak Sako. "Oak gi minum Mi, tak ngajok koi lalu yer!" gurauan dari Pak Sako.

Saya terus talipon kepada Haji Alang Ahmad, wartawan Utusan Melayu yang berpejabat betul-betul di bawah pejabat saya, menjemputnya ke pejabat saya, dan mengatakan ada orang penting mahu berjumpa dengannya.

Haji Alang ini adalah adik kepada Kamarzaman Haji Teh, seorang pejuang kemerdekaan tanah air, dan beliau adalah diantara pejuang yang telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana beliau ditangkap oleh penjahat Inggeris bersama-sama dengan pistolnya.

Alkisahnya, apabila Kamarzaman ini mendengar ramai pejuang-pejuang kena tahan, dia dengan beraninya membawa pistolnya ke bandar Temerloh.  Dikisahkan bahawa ramai juga polis-polis anjing British itu yang jatuh tersungkur kena penangannya sebelum dia ditangkap.

Hukuman gantung yang dikenakan kepada beliau digantikan dengan penjara seumur hidup setelah rayuan dari keluarganya dibenarkan oleh Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar.

Dan beberapa lama selepas Hari Merdeka beliau dibebaskan dari penjara dan kembali ke Temerloh memimpin Parti Rakyat Malaya dan pernah menjadi calon Parlimen di Kawasan Parlimen Temerloh mewakili Parti Rakyat Malaya.

Haji Alang memang kenal rapat dengan Pak Sako, dan selain dari menjadi wartawan, Haji Alang juga adalah penggiat penulisan di Negeri Pahang.

Maka kami makan tengah hari bersama-sama di kedai Haji Hamzah.  Haji Hamzah adalah juga pada waktu itu Ahli Jawatankuasa Parti Rakyat Daerah Temerloh.  Dan sudah tentu Haji Hamzah tidak mahu menerima apa-apa bayaran untuk makan tengah hari itu.  "Oi..siapa berani ambil duit dari Pak Sako, orang bodoh sajalah yang sanggup buat begitu," katanya.  Saya beritahu kepada Haji Hamzah bahawa yang nak membayar itu bukan Pak Sako tetapi saya; itu pun ditolak juga oleh Haji Hamzah.  Begitulah perasaan hormat orang Temerloh kepada Pak Sako.

Selepas makan kami kembali semula ke pejabat saya di Jalan Tok Muda Awang Ngah hanya berseberang dengan Restoran Samudera, kedai makan Haji Hamzah.

"Mi, oak kena ambik cuti dalam seminggu dua," kata Pak Sako kepada saya.  "Kenapa?" saya bertanya.  "Oak kena ikut koi ke Kota Bharu, ni lebat permohonan untuk kursus penulisan. Kita kena tidur di Kemaman, Dungun, Kuala Terenggau, Pasir Putih dan Kota Bharu," kata Pak Sako, "Oak tok soh bimbang minyok kereta, mereka tu ada beri duit kat koi untuk minyok kereta."

Saya tak terfikir langsung tentang duit.  Dan tak jadi masalah langsung untuk saya membawa dan memandu Pak Sako, saya cukup berasa gembira kerana Pak Sako memilih saya untuk menemaninya.

Pagi esuknya saya mengambil Pak Sako dari Hotel Ban Hin, di persimpangan jalan Abu Bakar - Jalan Ibrahim Temerloh, dan kami menuju Kuantan.  Tak sangka pulak rupa-rupanya peminat-peminat Pak Sako sudah menunggu Pak Sako di Kuantan.  Walaupun masa masih awal untuk makan tengah hari, mereka menjamu Pak Sako makan tengah hari.  Setelah makan mereka bekalkan satu karton rokok (tak ingat jenis apa).  Kemudian kami bertolak ke Kemaman.  Saya memang kuat menghisap rokok pada waktu itu.  Saya menghisap rokok tanpa berhenti kecuali semasa tidur dan didalam Mahkamah.  Jarang sangat saya tidak menghabiskan 7 kotak rokok Rothman 100 setiap hari, tetapi rokok yang diberikan kepada Pak Sako itu bukanlah jenis Rothman 100 dan saya hisap semacam.  Bukan tak memilih, tetapi Pak Sako walaupun kuat juga merokok tapi tak menghabiskan 2 bungkus sehari.

Di Kemaman kami ditunggui di sebuah kedai makan (tak ingat namanya sekarang ini) oleh peminat-peminat Pak Sako.  Ada 20 orang lebih yang menunggu itu.  Makan lagi!  Kali ini makannya lebih sedap kerana ada budu dan ikan tawar.  Bagi saya, kalau ada budu tak perlulah lauk lain, cukup saya minat.  Hingga sekarang ni saya tetap minat dengan budu!

Malam itu Pak Sako memberikan kursus penulisan kepada peminat-peminatnya di Kemaman dan kursus itu bersambung hingga ke hari esuknya apabila diadakan bengkel penulisan.  Saya pun mengambil peluang untuk  turut belajar di dalam kursus itu.  Tetapi Pak Sako tidak meninggalkan saya di setiap kali kursus itu, memperkenalkan saya kepada peserta-peserta kursus dan saya diberikan peluang bercakap sedikit sebanyak.

Saya pun ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang penulisan.  Yang saya tak ada kemahiran adalah dibidang syair atau sajak.

Semasa di Kuala Lumpur saya juga bergaul rapat dengan penulis-penulis seperti Usman Awang, Maarof, Shahrom Md Dom, Dr Muhammad Salleh dan lain-lain, dan penulis-penulis PENA, dan tulisan-tulisan saya pun pernah terkeluar didalam Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Utusan Melayu.  Dan saya juga menjadi penulis tamu didalam majalah-majalah tertentu dan surat khabar BUMI.

Semasa BANTENG surat khabar rasmi Parti Rakyat Malaya dikeluarkan saya juga ada menulis didalamnya.

Maka semasa saya diberikan peluang berucap itu saya sentiasa mengingatkan bahawa didalam penulisan ada dua jenis pegangan yang diambil, pertama aliran seni untuk masyarakat dan aliran seni untuk seni.  Saya memihak kepada aliran seni untuk masyarakat, dan kebanyakan penulis-penulis yang saya kenal pun adalah terdiri daripada mereka yang termasuk kedalam aliran seni untuk masyarakat seperti Usman Awang, Kassim Ahmad, Syed Husin Ali dan lain-lain.

Dipendekkan ceritanya selang beberapa hari habislah siri kursus Pak Sako hinggalah ke Kota Bharu.  Tak menjadi masalah mengenai makan pagi, tengah hari, minuman petang atau makan malam semasa didalam perjalanan ke Kota Bharu, semuanya dibereskan oleh peminat-peminat Pak Sako.  Semasa perjalanan pulang ke Temerloh semua itu adalah tanggungan sendiri.

Kalau nak diambil kira tentulah pendapatan Pak Sako yang diberikan oleh peminat-peminat dan peserta-peserta kursusnya terkumpul banyak juga.  Tetapi Pak Sako bukanlah jenis orangnya yang nak ambil duit, dia pulangkan balik duit yang diberikan kepadanya kepada persatuan-persatuan penulisan setempat.

Saya memang sudah bersedia dan saya memang sudah membawa duit yang mencukupi untuk perjalanan ke Kota Bharu dan pulang.

Pendapatan saya sebagai peguam pada waktu itu memang besar.  Firma saya adalah Panel Guaman bagi semua bank di Temerloh, Jerantut, Triang dan hingga juga ke Bentong dan Raub; dan di samping itu menjadi Panel kepada semua badan-badan berkanun yang membuat perumahan.  Pendapatan firma saya adalah besar pada waktu itu sehinggakan kes-kes jenayah yang saya wakili di Mahkamah boleh saya berikan secara percuma.

Banyak juga kebajikan yang dapat saya lakukan melalui pendapatan firma guaman saya yang besar itu.  Berapa besar pendapatan personal saya pada masa itu?  Tak kuranglah diantara RM20,000.00 kepada RM40,000.00 setiap bulan, besar tu pada masa itu.

Tetapi Pak Sako bukanlah manusia biasa.  Di setiap kedai kopi atau kedai makan yang kami singgah memang tak sempat saya membuat bayaran akan makan-minum kami.  Semasa nak membayar, ada-ada saja taukeh kedai itu mengatakan "Sudah dibayar Encik".  Siapa membayarnya?  Taukeh tu pun tak nak beritahu.

Saya hantar Pak Sako sampai ke rumahnya di Hulu Langat sebelum saya kembali semula ke Temerloh..

Semasa saya dibebaskan dari tahanan ISA kali pertama Pak Sako juga menulis didalam pojoknya di Utusan Malaysia bahawa "Kerajaan dah tak ada duit nak tanggung Haji Suhaimi tu!"

Semoga roh Pak Sako diterima sebagai roh orang-orang yang Soleh.

Tiada ulasan: