The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Emak Saudara yang tak pernah saya jumpa Posted: 18 Jul 2013 09:43 PM PDT Tak seberapa bulan saya berada di Kem Tahanan Kemunting, saya diminta ke luar ke bilik Recorder (bukan bilik pertemuan) kerana ada lawatan dari emak saudara saya. Nama emak saudara saya itu diberikan kepada saya, tetapi saya tidak pernah dengar emak saudara itu. Lagi pula emak saudara itu bukannya dari Temerloh, Pahang tetapi dari Kemunting, Taiping, Perak. Saya keluarlah ke Bilik Recorder. Saya memang sudah biasa ke Bilik Recorder ini. Apabila saya menerima surat dari mana-mana pihak saya akan dijemput ke bilik Recorder untuk menandatangani menesahkan saya telah menerima surat itu. Atau pun apabila ada barang-barang yang dihantar kepada saya dan begitu juga duit, saya juga kena hadir ke Bilik Recorder. Recorder, En Ishak, kadang-kadang tertanya-tanya kenapa saya menerima kiriman wang dari En Rahim Bakar, Bekas Menteri Besar Pahang dan En Rahim Bakar juga menghantarkan kepada saya TV Warna. Dia pernah tanya saya, "Eh, Mi, kan kau ni PAS kenapa pemimpin UMNO boleh hantar kat kau duit dan tv?" Dia panggil saya Mi saja dan saya pun panggil dia Sahak saja, kerana dah sentiasa bertemu dan bermesra, samada di Bilik Recorder atau pun dia datang ke Dormitory saya. "Aku berlawan dengan dasar sekular UMNO, bukan dengan orang UMNO, Rahim tu baik orangnya, dia adalah MB Pahang yang benar-benar disukai rakyat. Kau tau tak, aku dilantik oleh Rahim menjadi Ahli Majlis Daerah Temerloh, selain dari pegawai kerajaan, aku sorang saja yang dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Temerloh?" Dia senyum dan berkata, "Aku tak fahamlah orang politik ni." Sebenarnya bukan Rahim saja yang ada hantar duit kepada saya tetapi seorang yang terbesar di Pahang (tak perlu sebut nama) juga ada hantar wang kepada saya. Hanya orang politik, geng-geng saya sendiri sahaja yang tidak hantar. Orang-orang PSRM juga ada datang melawat saya dan begitu juga peguam-peguam yang saya kenal. Dari Temerloh hanya Pak Harun dan keluarganya selain keluarga saya sahaja yang datang. Pak Harun ni orang Kedah, tapi dia tinggal di Temerloh, dan adalah diantara ahli vetran PAS, yang saya anggap sebagai orang tua saya dan didalam famili saya. Semasa di Lubok Merbau, dia dan Man Kadir sajalah yang bersetia berada di rumah Markaz PAS menghadapi risiko serangan dari puak jahiliah UMNO. Saya keluarlah ke Bilik Recorder untuk bertemu dengan Emak Saudara yang saya belum pernah kenal itu. Apabila berjumpa di depan En Ishak, Emak saudara saya menerkam dan memeluk saya dan menangis. Saya masih belum kenal siapa dia. Seketika lamanya dia merenung kepada muka saya dan dia berkata, "Mi, kita tak pernah berjumpa, Mi, memang awak tak kenal Mak Alang ni. Mak Alang adalah kakak tua dari Mak Cik, dan Mak Encik di Kuala Lumpur." Mak Cik dan Mak Encik di Kuala Lumpur itu adalah pupu kepada emak saya, memang saya sangat biasa dengan mereka semasa saya mengaji di Maktab Mara dulu. Tetapi Mak Cik dan Mak Encik tak pernah pun memberitahu akan kewujudan Mak Alang ni. Teapi daripada ruas muka, memang ada sangat-sangat rupa Mak Cik. "Ni, Mak Alang ada bawakan masakan kampung untuk Mi, Mi makanlah ya? Nanti tiap-tiap minggu Mak Alang akan hantarkan lauk kesini. Sahak ni biasa sangat dengan Mak Alang." Rumah Mak Alang ini betul-betul dipintu masuk ke Kem Kemunting, dan saya pernah beberapa kali melawat Mak Alang ini selepas saya di bebaskan dari tahanan, dan saya bawa Mak Itam (pupu Mak Alang) adik kepada emak saya, rupa-rupanya semasa mereka kecil-kecil dulu di Kg Berhala Gantang, mereka memang berkawan rapat selain dari mereka itu adik-beradik pupu. Mereka terputus hubungan setelah Mak Alang, Mak Cik dan Mak Encik merantau ke luar Temerloh. Semasa saya menjadi Magistrate di Ipoh dapat saya pertemukan bapa saudara saya yang terputus keluarga, mereka tinggal di Pulau Pangkor; dan semasa saya berada di Kem Tahanan Kemunting, dapat pula saya menghubungkan emak saudara saya yang terputus keluarga. Kami adalah keluarga Berhala Gantang dan Bintang. (...bersambung...) |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan