Selasa, 16 Julai 2013

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Menyertai PAS dan meneruskan usaha membela peneroka Felda melalui PAS

Posted: 16 Jul 2013 08:06 PM PDT

Semua saya lakukan untuk pembelaan terhadap peneroka Felda adalah diatas keinsafan dan kesedaran saya sendiri, dan saya merasakan pembelaan seperti itu tidak mendatangkan apa-apa hasil, dan selepas saya menyertai PAS saya bawa perjuangan itu melalui PAS.  Apabila saya buat melalui PAS saya sedari bahawa permohonan untuk saya pergi ke rancangan-rancangan Felda menjadi begitu rancak, dan menjadi perhatian besar daripada Felda dan UMNO.

Felda merasakan amat tertekan kerana apa yang saya perjuangkan itu mendapat sokongan daripada peneroka-peneroka.  Ramai peneroka-peneroka menyertai PAS dan di setiap rancangan Felda yang saya pergi akan tertubuh cawangan PAS, ahli-ahli UMNO terlibat keluar dari parti itu dan sama-sama menubuhkan PAS, dan di mana-mana rancangan Felda yang memang sudah wujudnya cawangan PAS keahliannya berambah.

Di dalam keadaan itu memang wujud konflik nyata antara peneroka-peneroka yang bersetuju dengan perjuangan dan yang tidak dengan perjuangan.

Saya memang berasa pelik bagaimana Felda boleh memanipulasikan pemikiran peneroka-peneroka yang menentang perjuangan itu supaya boleh menerima pengeluaran geran tanah yang berkongsi beramai-ramai diatas nama koperasi, walhal perjuangan yang kami bawakan ialah supaya setiap peneroka Felda itu dikeluarkan geran secara individu.

Saya bukan sahaja memperjuangkan geran tanah secara hakmilik individu, tetapi ada beberapa lagi item untuk perjuangan peneroka-peneroka Felda.  Saya senaraikan perjuangan itu termasuk pendapatan minima sebanyak RM500.00 sebulan, saya menentang pemecatan peneroka-peneroka Felda sebagai suatu tindakan yang zalim dan tidak bermaruah, saya juga masukkan kedalam senarai itu berhubung dengan hak perwarisan, pembinaan jalan ladang yang sempurna, bekalan baja yang berkualiti dan hak demokrasi kepada peneroka-peneroka.

Tuntutan-tuntutan ini cukup popular dan mendapat sokongan termasuk dari kalangan ahli-ahli UMNO sendiri.  Walaupun saya di persona-non-gratakan oleh Felda tetapi saya tetap dapat membolosi rancangan-rancangan Felda dengan cara yang tak perlu saya ceritakan disini.  Ramai dari kalangan peneroka-peneroka Felda berjaya membawa saya masuk ke rancangan-rancangan Felda walaupun gate di Felda itu berkunci.

Penahanan saya di bawah ISA nampaknya berjaya dilakukan oleh Barisan Nasional menghalang saya ke rancangan-rancangan Felda.

Ada beberapa cerita yang melucukan bersabit dengan hak tinggal dan mengerjakan tanah-tanah ladang di Felda.

Suatu keluarga peneroka, suami, isteri dan anak-anak.  Si suami meninggal dunia, dan tanah itu diserahkan kepada si isteri.  Si isteri berkahwin dengan suami kedua.  Dan tanah diatas nama suami itu didaftarkan nama si isteri; anak-anak masih belum cukup umur untuk didaftarkan.  Dengan kehendak Allah, si isteri itu pula meninggal dunia, dan tanah itu didaftarkan atas nama suami kedua itu, dan suami kedua itu berkahwin dengan isteri baru, dan tanah itu menjadi hak si suami kedua dengan isterinya yang baru.  Anak-anak suami terdahulu terlepas begitu sahaja.  Tak taulah dari mana Felda mengambil hukum perwarisan itu, tidak mengikut hukum syarak dan tidak juga dari Kanun Tanah Negara.

Seorang peneroka Felda di Gugusan Mendi meninggal dunia dan meninggalkan anak tetapi sudah tidak ada isteri.  Anaknya yang tua adalah juga seorang peneroka Felda di Melaka.  Kerana kematian itu, anaknya di Melaka itu menuntut supaya tanah bapanya diturunkan kepadanya kerana beliau adalah satu-satunya waris kepada ayahnya.

Tuntutan ini ditolak oleh Felda diatas alasan bahawa seseorang peneroka Felda itu tidak boleh memiliki 2 kawasan Felda.  Maka tanah itu ditawarkan kepada peneroka baru tanpa apa-apa bayaran gantirugi kepada anak peneroka itu.

Seorang peneroka Felda di Kg Awah yang berasal dari Melaka, tidak terlibat dengan demonstrasi peneroka-peneroka terhadap pengurusan Felda Awah itu.  Peneroka ini datang melihat demonstrasi itu tetapi tidak terlibat dengan demonstrasi itu.  Semasa pasukan datang, semua peneroka yang berdemonstrasi sempat lari, tetapi peneroka ini tidak melarikan diri kerana dia tidak terlibat dengan demonstrasi itu dan dialah yang ditangkap oleh Polis.  Tidurlah dia di lock up Polis Kg Awah, dan apabila dia dikeluarkan dari lock-up itu dia mendapat surat dari Felda bahawa dia telah dipecat dari Felda.  Oleh kerana dia ni bukan jenis seorang peguam, dia keluar "monoi" saja dari rancangan Felda.  Yang terlibat terlepas, dan tidak terlibat dibuang rancangan.

Kejadian-kejadian melucukan menandakan bahawa Felda sangat tertekan ialah apabila akhir-akhirnya semua rancangan Felda mengunci gate untuk masuk ke Felda apabila saya dijadualkan berceramah didalam rancangan Felda itu, dan di sesetengah tempat yang saya boleh masuk, pengurus-pengurus akan merebut dari tangan saya mike, dan di sesetengah tempat mereka mendapat bantuan polis untuk merampas alat-alat pembesar suara.

Kejadian-kejadian seperti ini akhirnya membawa saya ditahan di bawah ISA.

(...bersambung...)

PEGUAM MELAYU YANG AWAL DI TEMERLOH

Posted: 16 Jul 2013 05:02 PM PDT

Semasa saya memulakan firma guaman saya di Temerloh, saya adalah diantara peguam Melayu yang paling awal di Temerloh dan peguam yang terawal di Jerantut.  Saya bertujuan untuk memberikan bantuan guaman percuma untuk klien-klien yang tidak ada kemampuan.  Ini saya lakukan sebelum pihak peguam Negeri Pahang mengadakan Biro Bantuan Guaman untuk membantu klien-klien yang kurang mampu, bukan percuma tetapi dengan kaedah bayaran yang boleh dimampukan oleh klien-klien.

Oleh kerana saya mempunyai terlalu banyak kes-kes pinjaman bank dan kes-kes perumahan dengan memberikan pendapatan yang besar kepada firma saya, maka mana-mana klien-klien didalam kes-kes jenayah yang tidak berkemampuan akan saya berikan guaman percuma.  Maka ramailah klien-klien mahu menggunakan firma saya bagi membela mereka di dalam kes-kes jenayah.  Juga saya berikan guaman percuma kepada klien-klien yang terdiri daripada peneroka-peneroka Felda.

Kes-kes jenayah peneroka Felda adalah amat anih.  Kebanyakan dari mereka dituduh mencuri getah-getah beku, mereka mencuri dari kebun mereka sendiri, dan mereka sendiri juga menoreh getah tersebut, mereka sendiri membawa keluar dari Felda getah-getah beku itu untuk dijual kepada pembeli-pembeli di luar rancangan Felda.

Kehidupan peneroka-peneroka Felda pada ketika itu amatlah sukar.  Mereka disediakan kedai-kedai PNF didalam rancangan-rancangan Felda.  Mereka boleh mengambil barang-barangan dari kedai itu mengikut had yang dibenarkan dan pada hari "balance" pendapatan mereka akan dipotong untuk membayar ke kedai PNF selain dari potongan-potongan wajib yang perlu dibayar oleh peneroka.  Pendapatan mereka setelah dibuat pemotongan hanyalah tinggal tidak lebih dari RM10.00 dan ada yang hanya menerima statement minus RM10.00 atau RM20.00.

Mereka yang mempunyai anak-anak yang bersekolah amat sukar mengatasi masalah kos persekolahan anak-anak dan itulah yang menyebabkan mereka terpaksa menjualkan getah-getah beku dari kebun mereka keluar.  Felda menganggap menjualkan getah beku sendiri ke luar rancangan Felda sebagai melakukan kecurian.  Maka ramailah di kalangan mereka yang dibawa ke Mahkamah diatas pertuduhan curi.

Dan bagi mereka yang didapati bersalah menghadapi pula risiko dibuang dari rancangan Felda.  Maka disinilah saya memberikan khidmat guaman percuma saya iaitu membela mereka dari segi kes jenayah curi dan membela mereka yang dibuang dari rancangan Felda.

Alhamdulillah, Magistrate-Magistrate zaman itu masih mengambil sikap terbuka dan kes-kes mencuri getah beku sendiri dibebaskan dari kesalahan jenayah.  Mana-mana peneroka yang tidak diwakili oleh peguam biasanya akan terus mengaku bersalah, dan mereka inilah yang diberikan notis tunjuk sebab kenapa mereka tidak boleh dipecat dari rancangan Felda.  Ada peneroka-peneroka yang sudah bosan dengan pendapatan kecil dan diambil berbagai-bagai tindakan oleh Felda dan golongan ini tidak membuat apa-apa rayuan dan mereka meninggalkan rancangan-rancangan Felda dan pulang ke kampung masing-masing walaupun tidak mempunyai tanah sendiri.  Mereka menoreh di kebun-kebun getah orang kampung dan pendapatan mereka cukuplah untuk keperluan keluarga dan persekolahan anak-anak.

Zaman itulah zaman yang memperlihatkan pengurus-pengurus Felda dipasung rumah mereka dari luar dan pengurus-pengurus itu tidak boleh keluar rumah sehinggalah mereka diselamatkan oleh Polis.  Tidak kurang pula kejadian-kejadian pengurus-pengurus  itu diletakkan dibawah kancah.  Biasanya pengurus-pengurus yang sombong diambil tindakan sedemikian oleh peneroka-peneroka.

Saya sendiri mempunyai ramai saudara-mara terdiri daripada peneroka-peneroka Felda, saya mendapat peluang membaca surat Perjanjian Utama yang ditandatangani oleh Peneroka dan Felda, dan melalui pemahaman saya terhadap Surat Perjanjian ini menyebabkan saya terlibat dengan lebih bersungguh-sungguh membela nasib peneroka-peneroka Felda.  Kisah pembelaan saya terhadap peneroka-peneroka Felda ini telah saya tuliskan dua buah buku iaitu SAYA SEORANG PENEROKA dan sebuah lagi MASALAH SOSIAL PENROKA FELDA yang dijualkan dengan harga kos sahaja menyebabkan dua buah buku itu betul-betul laris semacam goreng pisang panas.

Pembelaan saya terhadap peneroka-peneroka Felda inilah yang menjadi punca saya ditahan dibawah ISA kononnya saya memecahbelakan masayarakat peneroka Felda.

Saya mengambil tindakan yang benar-benar serius untuk memperjuangkan supaya peneroka felda diberikan geran tanah diatas nama individu dan tidak diatas nama kelompok seramai 20 orang diatas nama koperasi seperti yang tertera didalam Surat Perjanjian diantara Peneroka dan Felda.  Isu ini menjadi begitu hangat di seluruh negara, sehinggakan saya dihalang dari memasuki rancangan-rancangan Felda seolah-olah saya dijadikan PERSONA NON GRATA di semua rancangan Felda.

Yang menentang saya didalam perjuangan ini adalah Felda dan cawangan-cawangan UMNO di setiap rancangan Felda, dan mereka itu seperti muka tak malu, sanggup pula menerima geran hakmilik individu apabila dasar pemberian geran itu diterima oleh Kerajaan dan Felda, sedangkan saya yang memperjuangkan hak peneroka itu disumbat ke dalam ISA.

Kisah saya sebagai seorang peguam di Temerloh akan saya ceritakan dengan lebih lanjut didalam lambaran akan datang.

(...bersambung...)

Kembali ke Kampong untuk memulakan pekerjaan dan berkhidmat untuk masyarakat luar bandar

Posted: 16 Jul 2013 03:34 AM PDT

Semasa saya mula kembali ke Temerloh untuk memulakan hidup dan perkhidmatan baru, saya tubuhkan firma saya Jalan Tan Sri Yahya, Temerloh, dan oleh kerana pada waktu itu saya masih menjadi ahli kongsi Suhaimi Khor Zulkifli and Chang, maka saya namakan juga firma saya di Temerloh itu atas nama yang sama dan selepas itu saya tubuhkan pula firma di Jerantut di Jalan Besar, Jerantut.

Firma saya di Temerloh menjadi Panel Guaman kepada semua Bank di Temerloh menjalar ke Bentong, Raub, Triang dan Maran, dan menjadi Panel Guaman kepada semua semua badan-badan berkanun Kerajaan yang membuat projek perumahan.  Di Jerantut juga saya menjadi Panel Guaman untuk Bank Bumiputra, United Asian Bank, D & C Bank serta Affin Bank di Jengka serta Bank Bumiputra di Kuala Lipis.

Didalam pada itu ahli-ahli kongsi saya di Kuala Lumpur meminta saya menutup kedua-dua cawangan di Jerantut dan Temerloh, atas alasan bahawa kerja-kerja guaman di Kuala Lumpur begitu banyak dan memerlukan kehadiran saya di Kualqa Lumpur.  Setelah beberapa kali perbincangan saya tetap tidak bersetuju untuk menutup cawangan-cawangan di Jerantut dan Temerloh.  Pendapatan bagi ke dua-dua cawangan firma ini di Temerloh dan Jerantut.

Akhirnya saya menawarkan supaya nama Suhaimi Khor Zulkifli & Chang diteruskan tetapi saya tidak lagi mempunyai perkongsian di Kuala Lumpur dan mereka juga tidak ada perkongsian di Temerloh dan Jerantut. Pendapatan firma ini di Kuala Lumpur jauh lebih besar dari Temerloh dan Jerantut tetapi apabila diambil kira pendapatan untuk dibahagi-bahagikan kepada 4 orang ahli kongsi, pendapatan itu hanyalah sekadar RM20,000.00 seorang sedangkan di Temerloh dan Jerantut saya masih boleh mengekalkan pendapatan antara RM30,000.00 hingga RM40,000.00 setiap bulan.

Selepas itu saya mengambil Harcharan Singh sebagai ahli kongsi saya tetapi ahli-ahli kongsi di Kuala Lumpur tidak bersetuju nama Harcharan Singh tertulis diatas letter head firma saya, dan tidaklah ada kompromi didalam hal ini, maka saya tukarkan nama Suhaimi Khor Zulkifli & Chang kepada Suhaimi & Harcharan Singh.

Banyak perkara yang saya tidak bersetuju dengan Harcharan Singh terutamanya apabila saya menjemput Abdullah Sidek dan Radzi Mustaffa menjadi ahli kongsi yang baru di Temerloh dan Jerantut, dan pada waktu itu saya sudah mula terlibat dengan aktiviti parti pembangkang menyebabkan Panel Guaman saya banyak yang ditarik, kini firma guaman saya mendapat pendapatan yang tidak besar, dan menjadi lebih parah apabila pada tahun 1985 saya ditahan dibawah ISA.

Semasa itulah saya dapati isteri saya hanya mendapat pendapatan yang kecil dan tidak mencukupi untuk keperluan keluarga saya.  Ahli-ahli kongsi saya lebih mementingkan pendapatan diri mereka sendiri dan kebajikan isteri saya dan anak-anak tidak diperdulikan.

Apabila saya dibebaskan dari ISA, perkongsian antara saya, Abdullah Sidek dan Razi berpecah, dan saya mengambil seorang peguam bangsa Mamak sebagai ahli kongsi.  Semakin teruklah pendapatan guaman saya.

Sementara itu saya berjaya menubuhkan sebuah firma cawangan di Melaka diatas nama Suhaimi & Abdullah.  Nama ini kekal sehinggalah saya ditahan sekali lagi dibawah ISA dan apabila saya dibebaskan, saya dihantar untuk tahanan didalam rumah di Temerloh, Pahang.  Walaupun saya orang Temerloh dan ditahan didalam rumah di Temerloh, tetapi saya tidak bebas bergerak di Temerloh kerana dari jam 6.00 petang hingga 6.00 pagi saya mesti berada di rumah saya di Kg Batu 4, Jalan Maran, Temerloh, Pahang.

Tiada ulasan: