Sabtu, 29 Jun 2013

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Posted: 29 Jun 2013 09:43 PM PDT

Rumah Rakit yang dibeli oleh ayah di Sg Semantan di Kuala Semantan agak besar juga, ada bilik untuk Aki dan Wan, untuk Ayah dan Emak dan ada bilik untuk saya adik beradik secara berkongsi dan ada bilik dapur dan di bahagian sebelah dalamnya juga dibuat dinding partisyen untuk tandas dan bilik air. Lengkaplah sebagai sebuah rumah untuk kediaman.  Hanya rumah ini diatas permukaan air dan rumah rakit ini ditambat dengan tali beluti yang besar serta dawai besar agar tidak dihanyutkan oleh air apabila air naik.

Rumah ini pula bersebelahan dengan rumah rakit Pak Alang Min.  Pak Alang Min atau nama penuhnya Mat Amin bin Haji Ismail, abang kepada ayah saya.  Tinggal di rumah rakit Pak Alang itu adalah dua orang anaknya iaitu Ghazali dan Nordin.  Anak-anaknya yang lain tinggal di serata kampung di Temerloh kerana mereka sudah berkahwin dan mempunyai keluarga masing-masing.

Abu Samah Mat Amin adalah anak Pak Alang yang paling tua.  Dia adalah seorang yang berpangkat tinggi juga didalam Rejimen ke-10 dan oleh kerana sudah terputus hubungan dengan kumpulan besar, beliau telah menyerah diri bersama isterinya dan ditempatkan permulaannya di sebuah rumah milik Balai Polis Mentakab dan tinggal di sana dan tidak boleh kembali ke kampung asal iaitu Kg Lubok Kawah.

Adik kepada Abang Samah bernama Omar bin Mat Amin telah ditangkap oleh Penjahat Inggeris dan dituduh memberikan makanan kepada pejuang-pejuang; beliau didapati bersalah dan telah digantung sampai mati.  Beliau ada meninggalkan seorang anak perempuan yang bertugas sebagai seorang nurse (kini sudah berpencen) dan bersuamikan dengan seorang Pembantu Kesihatan di Hospital Mentakab dan kemudiannya bertukar ke lain-lain Hospital apabila beliau dinaikkan pangkat.  Kini suaminya itu juga sudah berpencen.

Kami berpindah ke rumah rakit di Kuala Semantan itu di penghujung tahun 1952.  Aki saya sebagai seorang ilmuan juga tidak mahu saya dan abang Ri ketinggalan bersekolah.  Dia telah masukkan saya ke darjah satu di Sekolah Melayu Bandar Temerloh begitu juga abang Ri.  Manakala Abang Din pula sudah berada di darjah 2.

Bersekolah di zaman itu bukanlah senang macam zaman sekarang.  Guru-gurunya cukup bengis.  Yang mengajar kami di darjah satu adalah Cikgu Mad.  Ada dua orang Cikgu Mad di sekolah itu.  Satu Cikgu Mad, Guru Besar dan satu lagi Cikgu Mad gemuk.  Cikgu Mad Gemuk tu tidaklah garang sangat, dia juga mengajar sukan seperti bermain bola.  Tetapi Cikgu Mad si gurubesar itu garang macam singa.

Saya dan abang Ri cukup teruk, hari-hari kena belasah dengan rotan dan kayu pembaris kerana saya dan abang Ri tidaklah seperti murid-murid lain.  Kami masuk sekolah sudah satu bulan lewat, tetapi Cikgu Mad tidak mengambil kira akan faktor masa itu.

Dia terus uji saya dan abang Ri dengan bacaan Alif Ba Ta dan ABC, bila tersangkut maka kenalah kami.  Saya pernah kena berdiri diatas meja dari waktu pagi masuk sekolah hingga jam 1.00 tengah hari dengan waktu rehat jam 10.00 pagi tidak dibenar keluar ke kantin kerana gagal menjawab congak secara lisan darinya.

Keadaan ini menyebabkan saya balik kerumah dan terus berlajar dengan Aki sehingga hafal alif ba ta dan abc dan di bawah tunjukan aki dapat mengatasi pelajaran congak.

Semasa bersekolah di Sekolah Melayu Bandar Temerloh itu saya mempunyai ramai kawan.  Mereka itu adalah anak-anak Kampar yang ramai di Bandar Temerloh, mereka tinggal di Kedai Lentang, iaitu sebaris kedai orang Melayu di Bandar Temerloh, masih wujud hingga ke hari ini.

Orang Kampar memang terkenal pandai berniaga.  Merekalah golongan mewakili orang-orang Melayu Temerloh berniaga.  Orang-orang Melayu keturunan Bugis tidak pandai berniaga; mereka itu adalah petani-petani kampung membuat paya dan menoreh getah.  Walaupun mereka itu memiliki tanah yang agak luas, tetapi kehidupan mereka dihimpit oleh kemiskinan, dan kebanyakan anak-anak mereka hanya lulus darjah 3 dan habis tinggi darjah 6; selepas itu mulalah mereka berumah tangga.

Walaupun mereka bersekolah sehingga darjah 6 sahaja, umur mereka sudah tua.  Nak menyampaikan kepada darjah 6, sesetengahnya sudah bermisai lebat dan berjanggut.

Persekolahan zaman itu tidak ada naik darjah secara otomatik.  Kawan-kawan sedarjah saya didalam darjah satu ada yang sudah hampir 10 tahun umur mereka.  Selagi mereka tak lulus perperiksaan maka tinggallah mereka dalam kelas itu.  Pada umur 15 atau 16 tahun mereka baru berjaya naik darjah 3, dan kebanyakan mereka terus berhenti sekolah kerana malu atau didesak oleh ibu bapa supaya berhenti sekolah.

Saya tidaklah bebal sangat dalam sekolah.  Saya jenis kuat belajar juga.  Hanya masalah zaman itu ialah ketiadaan alat tulis.  Saya belajar menggunakan papan batu.  Habis satu mata pelajaran terpaksalah disapu untuk mata pelajaran yang lain.  Maka apa yang belajar pada hari itu kenalah letak didalam ingatan.  Oleh kerana itu apa yang saya lakukan ialah sekembali dari sekolah, apa yang saya ingat saya akan tulis bertalu-talu pada papan batu itu, supaya apa yang saya belajar dapat saya ingat semuanya.

Pada pertengahan tahun 1953, ayah mendapat berita bahawa beliau sudah dibebaskan dari tahanan rumah di Bandar Temerloh.  Ayah membuat keputusan untuk kembali ke Lubok Kawah.  Tetapi Lubok Kawah hanya boleh didatangi di waktu siang sahaja dan pada waktu malamnya mesti ditinggalkan kerana kampung itu masih lagi dianggap sebagai kawasan hitam.

Ayah dan Aki pergi ke Berhala Gantang (kampung asal Aki) dan berjumpa dengan saudara maranya di sana.  Ramai yang mengalu-alukan Aki kembali ke Berhala Gantang tetapi Aki memilih untuk mendirikan rumahnya di lot tanah milik Pak Ngah Sham.  Aki tidak punyai apa-apa hubungan keluarga dengan Pak Ngah Sham kerana dia berasal dari Kg Tebal, Temerloh; tetapi dia terkenal sebagai seorang yang baik hati, suka menolong orang dalam kesusahan.  Tanah kampungnya sangat luas.

Aki dan ayah membuat sebuah rumah dengan beberapa buah bilik dan ruang tamu yang sangat luas.  Setelah rumah itu siap maka berpindahlah kami ke Kg Berhala Gantang, dan di samping itu ayah membeli sebuah perahu yang besar bertujuan untuk berulang alik dari Berhala Gantang ke Lubok Kawah, suatu kemudahan yang juga boleh digunakan untuk pengangkutan orang-orang Lubok Kawah yang lain yang tinggal di Kg Berhala Gantang.

Saya, abang Din dan Abang Ri berpindah sekolah dari Sekolah Melayu Bandar Temerloh ke Sekolah Melayu Bintang (lebih kurang 2 km dari Berhala Gantang).

Di Sekolah ini lagi ramai kanak-kanak yang sudah berumur di darjah satu.  Saya berasa janggal pulak kerana diantara murid-murid yang muda.

Pasukan bolasepak di sekolah ini cukup kuat kerana pemain-pemainnya lebih layak bermain untuk pasukan kampung daripada pasukan sekolah.

Dan selepas perperiksaan hujung tahun saya dinaikkan ke darjah 3 kerana mendapat markah yang tinggi, dan dari darjah 3 sekali lagi saya melompat ke darjah 5.  Semasa dalam darjah 5 itulah saya merasakan bahawa saya cukup tertekan, sukar memahami pelajaran saya kerana tidak melalui darjah 4.  Di darjah 5 itu iaitu sama darjah dengan Abang Din, saya sentiasa dapat corot didalam ujian bulanan.  Tetapi pada masa itu kami sudah menggunakan buku tulis dan senanglah sedikit untuk mengulangkaji.  Saya belajar dengan abang Din terutama sekali dalam mata pelajaran ilmu hisab atau ilmu kira-kira.

Pada tahun 1956 keluarga kami dilimpahi dengan kesyukuran dan kebahagiaan.  Pak Itam dan Mak Itam saya dibebaskan dari tahanan, dan sebaik saja dibebaskan dia dibenarkan tinggal di Berhala Gantang bersama kami.

Mak Itam adalah anak kepada Aki dan adik kepada emak saya.  Mereka juga adalah pejuang-pejuang kemerdekaan dari API.  Maka bergotong royonglah Aki, ayah dan Pak Itam menyambung rumah kami dibesarkan cukup untuk keluarga Pak Itam; maka tinggallah Pak Itam, Mak Itam, abang Ri dan Wan Sara, iaitu ibu kepada Pak Itam di rumah sambungan itu; manakala di rumah asal, tinggal pula Emak, Ayah, Abang Dol, Abang Din, saya dan Jaenah (adik bongsu saya), manakala Aki dan Wan di bilik rumah sorong bersebelahan ruang tamu yang agak luas itu.

Saya cukup gembira dengan adanya Pak Itam.  Dia boleh berbahasa Inggeris dan sedikit sebanyak berbahasa Cina; dia belajar semasa didalam tahanan. Ayah saya pula faseh berbahasa Tamil, juga belajar semasa didalam tahanan juga.

Pak Itam dan Mak Itam (Abdul Rahman Md Noor dan Zawiyah/Saudah) walaupun bapa dan emak saudara tetapi adalah juga bapa angkat kepada saya dan saya bersama abang Ri dan Kamaliah menyusu dengan Mak Itam dan dengan emak saya.

Didalam perperiksaan hujung tahun, saya hanya dapat cukup makan sahaja untuk naik ke darjah 6.  Saya cukup segan/malu dengan kawan-kawan lain, saya sudah berusaha tetapi masih lagi ketinggalan didalam pelajaran saya.

Saya beritahu pada Aki saya bahawa saya nak berhenti sekolah dan mahu masuk Sekolah Arab/Ugama Berhala Gantang iaitu Sekolah Al-Wosto yang cukup terkenal.

Dari awal lagi saya terpikat dengan sekolah itu kerana ramai lepasan sekolah itu dapat melanjutkan pelajaran ke Mesir.

Aki saya bersetuju tetapi ayah saya tidak berkata apa-apa, gaya air mukanya dia kurang setuju, tetapi dia juga tak berani nak bantah keputusan Aki saya.

Aki saya menjadi guru sukarela untuk murid-murid Al-Wosto; setiap malam dia mengajar murid-murid itu bacaan Al-Quraan bertajwid.  Dan saya mengambil kesempatan belajar bersama-sama.  Aki saya mengajar menggunakan papan hitam dan murid-muridnya dapat memahami sungguh apa yang diajarkan.  Masa itu kanak-kanak mengaji Quran dengan ibu bapa sahaja dan walaupun ibu-bapa sangat strict tetapi tidak berlajar secara tajwid.  Belajar secara bertajwid berbeza sedikit dengan tidak bertajwid kerana dengan cara bertajwid itu walaupun kita dah lama tak membaca Quran, kita masih boleh membaca dengan betul.

Hari pertama saya bersekolah di Al-Wosto bersama-sama murid-murid yang sudah lebih sebulan di sana mengukir pengalaman yang tidak sihat bagi saya dan bila dikenangkan kembali agak melucukan.

Cikgu kami adalah Ustaz Kamil.  Ustaz ini memang berasal dari bangsa Melayu, tetapi dia baru belajar bahasa Melayu kerana dia dilahirkan di Mekah, dan bahasa pengantar baginya adalah bahasa Arab.

Semasa Ustaz masuk ke kelas, sebahagian daripada kami masih lagi berdiri dan ada yang berkejar-kejar.  Maka berkatalah Ustaz itu di dalam Bahasa Arab: "Ijlis, Ijlis, Ijlis!!!"

Saya betul-betul tidak faham apa makna ijlis,  Ustaz tu berkata ijlis dengan memandang bulat kepada saya. Saya pun naik geram juga dan didalam lintasan fikiran saya..."tergamak ustaz itu mengatakan saya sebagai iblis..".

Saya tidak duduk tetapi memandang bulat kepada ustaz itu.  Dengan rotan yang ada padanya saya terus dirotan bertalu-talu dan dipegangnya saya dan diletakkan saya di tempat duduk.

Saya terus bangun semula dan berlari balik ke rumah dan terus memberi tahu Aki saya bahawa saya tak hendak bersekolah di Al-Wosto kerana ustaz itu mengatakan saya iblis.  Sejak hari itu saya tak bersekolah di situ.

Pada pembukaan kelas tahun 1957 saya dengan persetujuan Aki dan Ayah saya berhajat menyambung semula sekolah di Sekolah Melayu Kg Bintang.

Tetapi ayah mengatakan tak perlu lagi bersekolah di Kg Bintang kerana kita akan berpindah ke Lubok Kawah.  Kg Lubok Kawah telah diiystihar Kawasan Putih dan boleh didiami.

Pak Itam dan Mak Itam pula mengambil keputusan untuk tinggal di Kg Batu 4, Jalan Maran, Temerloh dengan pembukaan tanah baru.  Pak Alang Min, Abang Samah, Shariff (anak saudara saya tetapi jauh lebih tua dari saya bersama-sama dengan bekas-bekas tahanan yang lain) kebanyakannya emak saudara dan pupu-pupu saya yang lain beramai-ramai membuka Kg Batu 4, Jalan Maran, Temerloh.  Dan ayah saya juga turut mengerjakan tanah di Kg Batu 4.  Tetapi aki saya mahu tinggal di Lubok Kawah.

Maka Aki dan ayah saya membina rumah di Lubok Kawah dengan kayu-kayu dan papan-papan dari rumah asal Aki di Lubok Kawah.  Besar juga rumah yang aki bina itu; cukup dengan beberapa bilik tidur untuk aki dan wan, untuk ayah dan mak, dan untuk kami anak-anak dengan ruang tamu yang luas untuk Aki mengajar Quran.

Sementara itu ayah juga membina sebuah rumah di Kg Batu 4 untuk mengusahakan tanah baru bersama-sama Pak Alang Min dan Pak Itam; dan Pak Itam juga mengerjakan tanah di Batu 4 untuk dinamakan kepada nama Aki saya.  Tanah itulah sekarang ini dipindah nama dari nama Pak Itam kepada nama saya dan disitulah tempat tinggal kami sekarang.

Oleh kerana kami sudah berpindah ke Lubok Kawah, saya bertukar sekolah dari Kg Bintang ke Sekolah Melayu (yang namanya bertukar dari Sekolah Melayu kepada Sekolah Umum) Kg Bangau. Manakala abang Din masuk ke Sekolah Darjah Khas di Bandar Temerloh.  Abang Ri masuk ke Sekolah Umum Bandar Temerloh tetapi tidak lama di situ.  Dia agak kurang dari segi pelajaran akademik, maka Pak Itam masukkan dia ke Sekolah Pertukangan.  Dia cukup bagus didalam pertukangan, dan akhirnya menjadi guru pertukangan di Taman Harapan Temerloh sebuah sekolah untuk mereka yang oku cacat penglihatan dan berpencen sebagai guru pertukangan.

(...bersambung...)


Tiada ulasan: