Jumaat, 21 Jun 2013

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Orang Kata Perjuangan itu Tidak ada Sempadannya

Posted: 21 Jun 2013 07:20 PM PDT

Saya tidak berhajat nak menulis sebuah buku, tetapi saya mahu coretkan kisah-kisah riwayat hidup saya dan ahli-ahli keluarga saya serta kawan-kawan saya yang masih hidup atau yang sudah pergi.  Semoga coretan saya ini dapat dibaca oleh anak-anak saya dan cucu-cucu saya dan semoga dengan itu juga anak-anak dan cucu-cucu saya tidak melupakan perjuangan rakyat khususnya perjuangan untuk dan oleh orang-orang miskin yang saya turut termakan didalam coretan ini sebagai "marhaen".

Maka coretan ini saya tujukan khas kepada anak-anak dan cucu-cucu saya.  Dan setentunya saya mulakan coretan ini dengan pesanan begini:

Wahai Anak-Anak dan Cucu-Cucu.  Kalau ada kesempatan masa, bacalah coretan saya ini.  Tidak sekali-kali untuk panduan tetapi sekadar untuk kamu sekalian mengetahui bahawa didalam coretan ini terkandung perjuangan yang saya  telah ceburi dan begitu juga perjuangan ahli-ahli keluarga saya.

Kehidupan dan cara hidup kita mungkin sudah berbeza.  Semasa saya kecil dulu, kehidupan dan cara hidup saya diselubungi kemiskinan melampau, kemiskinan tegar.  Tetapi kehidupan Anak-Anak dan Cucu-cucu, walaupun tidak sesenang mana, tidaklah lagi hidup didalam kemiskinan tegar, kerana saya yang menjadi seorang peguam dapat memberikan kehidupan dan cara hidup yang lebih baik daripada kehidupan saya semasa kecil dulu.

Saya akan mulakan kisah hidup saya sejak dilahirkan dan meniti dari sana hinggalah saya menjalani kehidupan dan cara hidup seperti yang sekarang ini dilalui.

ZAMAN KANAK-KANAK

Saya dilahirkan di musim pemerintahan Jepun pada 8hb Disember 1944.  Ayah saya adalah seorang petani yang bekerja di paya (paya berbeza dengan sawah atau bendang, paya bererti kawasan menanam padi yang penuh dengan air hingga ke pinggang) dan untuk mendapatkan wang pula Ayah dan Emak menoreh getah.

Saya dilahirkan di sebuah rumah yang terpencil iaitu di Darat Kg Lubok Kawah, Temerloh, Pahang di dalam Mukim Sanggang.  Semasa saya dilahirkan atuk dan wan di sebelah ayah saya sudah tidak ada lagi, tetapi atuk dan wan sebelah emak masih ada.  Maka semasa itu atuk, wan, ayah, emak, Abang Dol (Abdul Razak) dan Abang Din (Cikgu Jalamaludin) dan Jaenah tersangat amat kecil, baru dilahirkan kami tinggal serumah, begitu juga dengan Pak Itam dan Mak Itam serta pupu-pupu saya Saidal Khadri dan Sufiyan.  Saidal Khadri  bukan sahaja pupu anak kepada Pak Itam dan Mak Itam tetapi juga adik beradik sesusu.  Semasa emak saya ke paya saya tinggal dengan Mak Itam dan menyusu dengannya dan semasa Mak Itam ke paya, Saidal Khadri dan saya menyusu dengan mak saya.  Emak saya dan Mak Itam adalah adik beradik.

Emak saya adalah anak kedua dari aki dan wan saya.  Abangnya adalah Pakwe Hasan, tetapi anak tiri kepada aki saya, dan kami tinggal serumah.

Di samping itu anak kepada Makcu Som, pupu mak saya, juga tinggal bersama kami. Namanya ialah Kamaliyah.  Saidal Khadri, tua lapan hari dari saya, dan Kamaliyah pula muda satu bulan dari saya.  Maka kami semua menyusu samada dengan Mak Itam atau dengan emak saya.  Kami menjadi adik beradik sesusu.

Ada 4 buah rumah yang juga berjauhan dari Kg Lubok Kawah iaitu rumah Mak Anjang Saadiah, rumah Pak Teh Sam dan rumah Makwe Yang Biah, tetapi rumah-rumah ini tidaklah berdekatan antara satu samalain, tak dengarlah kalau nak dilaungkan.

Semasa saya masih kecil, saya sentiasa melihat ramai orang-orang dewasa berada di rumah dan kadang-kadang mereka berkawad.  Saya sangat ingat tentang kejadian-kejadian itu kerana setiap kali mereka itu datang ke rumah sudah tentu akan ada pula makan beramai-ramai.  Masing-masing bawa beras, bawa kelapa, bawa ikan basah (ikan paya seperti haruan, keli dan lain-lain) tak kurang juga yang bawa kayu api. Mereka akan berkawad di kawasan depan rumah dengan membawa dan kadang-kadang meletakkan kayu berupa senapang patah itu diatas bahu mereka.  Ada tukang laung.  Kadang-kadang mereka berkawad hingga 2 jam lamanya, dan semasa berkawad pula mereka memakai uniform berbaju dan berseluar putih.

Semasa mereka berkawad mereka gunakan kayu itu kadang-kadang semacam menghunus. tak tau apa mereka buat, mereka berbaris, letak kayu diatas bahu mereka dan setelah selesai mereka letakkan kayu dipangkal pokok ciku, dan saya bersama Ayahwe Dol, Ayahngah Jamaludin dan pupu-pupu yang lain termasuk Ayahwe Saidal Khadri dan Ayahngah Sufian, ambil pulak kayu-kayu itu, kami berbaris dan berkawad seperti yang dilakukan oleh orang-orang kampung tadi.

Musim membuat padi (menanam padi) adalah musim yang sangat menggembirakan.  Mula-mula dibuat tapakan semaian dan ditabur padi ditapak semaian itu; disamping itu menerangkan kawasan paya untuk ditanam benih padi.

Apabila benih padi di tapak semaian itu sudah membesar dan cukup panjang untuk dipindahkan ke paya; air paya itu dialirkan mengikut empangan.  Musim itulah musim ikan paya dapat dinaikkan begitu banyak, macam-macam ikan sehingga dapat dibuat pekasam hingga memenuhi beberapa buah tempayan.  Biasanya hasil padi cukuplah untuk kami satu keluarga dan boleh pula berzakat.

AYAH DITAHAN BRITISH

Pada tahun 1948 saya sudah menghampir umur 4 tahun.

Saya tidak tahu apa sebenarnya tugas ayah bersama-sama orang kampung Lubok Kawah tu. Pada satu malam ramai yang berpakaian uniform datang ke rumah, dan dengan cara sangat kasar naik ke rumah dengan tidak membuka kasut mereka menerkam kepada ayah saya dan segera ayah saya dibawa keluar dari rumah.  Atuk saya cuba bertanya kepada mereka itu tetapi mereka langsung tidak menjawab pertanyaan aki saya.  Walaupun pada waktu itu saya baru berumur menghampiri 4 tahun tetapi peristiwa itu masih segar dalam ingatan saya.  Ayah saya dikasari.  Aki saya ditolak begitu sahaja.  Sukup bongkak perbuatan mereka itu, walhal mereka itu semuanya orang Melayu dan sesetengah mereka itu ada hubungan keluarga dengan ayah saya.

Waktu Suboh pagi esuknya, aki saya pergi ke Balai Penghulu Mukim Sanggang kerana ayah saya dan beberapa orang lagi masih ditahan di Balai Penghulu.

Bapa saudara saya, Ayahde Choh, (Yusof Haji Ibrahim, seorang guru di Kg Sanggang) menemani aki saya ke Balai Penghulu.  Walaupun penghulu Mukim Sanggang itu berpangkat pupu dengan isteri ayahde saya, tetapi dia juga tidak dapat membantu kerana ayah saya dijaga rapi oleh pasukan SC (special constable) yang berperangai lebih Inggeris dari Inggeris sendiri.

Pada hari itu ayah saya dipindahkan ke Balai Polis Temerloh bersama rakan-rakannya yang lain, saya ikut emak saya pergi ke Balai itu untuk bertemu dengan ayah.  Tetapi usaha kami itu sia-sia sahaja kerana tidak ada pihak polis (orang Melayu barua Inggeris) yang mahu membantu, bahkan mereka bersikap cukup kasar, seolah merekalah wakil Inggeris di Negara ini.

Selepas ayah saya ditahan itu pada tahun 1948, saya tidak bertemu dengan ayah saya lagi sehinggalah pada tahun 1953.

(bersambung...)

Tiada ulasan: