Jumaat, 21 Jun 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


200 Pemimpin Pakatan Turun Bersama Rakyat Esok

Posted: 21 Jun 2013 03:00 AM PDT

KUALA LUMPUR: Rakyat diseru menjadikan himpunan Black 505 esok sebagai hari bersejarah, kemuncak gerakan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Pengerusi Black 505, Datuk Johari Abdul berkata, kehadiran rakyat yang besar pada himpunan itu akan menjamin pilihan raya yang lebih baik pada masa hadapan.

Katanya, pemimpin Pakatan Rakyat menyeru, kehadiran melebihi 250,000 bagi menunjukkan kepada kerajaan BN bahawa rakyat benar-benar serius menuntut satu perubahan sistem.

"Himpunan 622 akan dihadiri oleh pemimpin utama Pakatan termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

"Wakil-wakil rakyat dari Pakatan akan turut bersama-sama rakyat. Dijangkakan lebih 200 pemimpin Pakatan akan ke Padang Merbok," katanya dipetik KeadilanDaily.

Johari juga menegaskan keselamatan rakyat akan dijaga oleh anggota keselamatan Pakatan dan bantuan kecemasan serta perubatan kepada peserta perhimpunan turut disediakan oleh beberapa NGO.

"Pihak sekretariat akan menyediakan kawalan keselamatan sepanjang hari. Anggota Unit Amal PAS sebanyak 1,000 orang akan digerakkan bersama 400 AMK dan 200 DAPSY.

"Rawatan perubatan juga disediakan bagi peserta yang menghadapi kecemasan," katanya yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani.

Selain itu, pihak sekretariat menyediakan 50 doktor, dua ambulans dan pondok perubatan.

Majlis Peguam akan menghantar peguam untuk membantu mana-mana peserta sekiranya ditahan polis.

Himpunan 622 akan bermula pada pukul 3 petang di Padang Merbok. Peserta akan mula berarak dari tempat berkumpul (check point) mereka pada jam 2.00 petang.

Terdapat 7 tempat berkumpul utama, iaitu Brickfields, Masjid Negara, Sogo, Jalan Pudu, Jalan Sultan, Universiti Malaya dan Sogo.

Check point di Pekeliling sebelum ini disatukan dengan Sogo dan peserta di ibu negara diminta berkumpul di sana seawal pukul 12 tengah hari sebelum berarak ke Padang Merbok.

Sumber: HarakahDaily

Himpunan Black 505 Sambut Baik Bantuan PDRM, Kata Rafizi

Posted: 21 Jun 2013 02:30 AM PDT

Penganjur Himpunan Black 505 menyambut baik usaha pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan himpunan membantah keputusan Pilihan Raya 2013 berlangsung dengan aman, selagi tidak memusanahkan harta benda awam, kata Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

Semalam berlaku ketegangan diantara penganjur dengan pihak polis berhubung dengan perhimpunan bagi membantah keputusan pilihan raya umum ke 13 itu.

"Saya telah dimaklumkan secara tidak rasmi bahawa pihak polis akan membantu penganjuran perhimpunan esok hari, selagi peserta tidak memusnahkan harta awam," katanya.

Rafizi yang juga merupakan ahli Parlimen Pandan turut melahirkan penghargaan kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad yang banyak membantu, termasuk kesudian beliau untuk duduk berbincang walaupun terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir.

"Kesediaan polis memberi kerjasama dan membantu penganjuran esok disahkan oleh ASP Ananthan Rajoo dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi yang mengakui telah menerima arahan atasan untuk membantu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, seketariat penganjur juga telah berbincang dengan pasukan perubatan sukarelawan untuk memperhalusi persediaan perubatan sokongan memandangkan keadaan udara yang membimbangkan.

"Saya mengambil pandangan bahawa sejumlah besar orang ramai akan tetap hadir untuk menyertai perhimpunan pada esok hari tidak kira arahan yang diberikan oleh pihak sekretariat.

"Oleh yang demikian, keutamaan utama sekretariat dan pasukan perubatan sukarela adalah untuk memastikan bantuan perubatan sokongan adalah memadai untuk berhadapan dengan sebarang masalah, termasuklah bersabit kualiti udara yang tidak baik akibat jerebu," katanya lagi.

PDRM sebelum ini berkata pihaknya akan meminta bantuan pasukan tentera jika keadaan memerlukan dalam menangani pelbagai perkara yang mungkin timbul andai Pakatan Rakyat (PR) meneruskan perhimpunan mereka di ibu negara Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat Rasid pasukan polis telah mengambil langkah perlu bagi menghadapi perhimpunan yang dijangka diadakan di Padang Merbok itu.

"Setakat ini PDRM masih lagi mampu untuk kekalkan keamanan (negara). Kami sentiasa berhubung dengan tentera dan sekiranya perlu tentera akan diminta turun membantu," katanya.

Dalam langkah memastikan keselamatan semasa situasi kecemasan, Rafizi berkata seketeriat dan pasukan perubatan sukarelawan dengan 55 anggota terdiri daripada doktor, jururawat dan paramedik akan ditempatkan ibu pejabat markas perubatan di Padang Merbok, manakala empat markas perubatan sokongan akan turut dibuka di sekitar laluan di Kuala Lumpur ke arah Padang Merbok, iaitu di Dataran Merdeka, Masjid Negara, Kompleks Sogo dan Dataran Maybank.

"Sebanyak empat ambulan dan lima motorsikal perubatan akan disediakan sekiranya ada keperluan untuk memindahkan pesakit terus ke hospital. Petugas bermotosikal akan memudahkan mereka bergegas ke kawasan yang memerlukan sokongan.

"Setiap markas perubatan akan dibekalkan dengan 'automated external defibrillator' atau AED bagi operasi menyelamatkan nyawa (jika diperlukan) dan ubat-ubatan/kemudahan 'drip'  bagi tujuan 'advanced life support (ALS)," katanya.

"Dengan persediaan polis dan bantuan sukarelawan perubatan, saya menggesa seberapa ramai rakyat Malaysia untuk turun berkumpul bermula dari jam 12 tengahari esok. Sila bawa sekurang-kurangnya sapu tangan dan air mineral sebagai persiapan sekiranya masalah jerebu berpanjangan," katanya.

Sumber: TheMalaysianInsider

Selangor Mahu Pujuk Ketua Pembangkang Ketuai PAC

Posted: 21 Jun 2013 02:15 AM PDT

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan berusaha memujuk Ketua Pembangkang daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Shamsudin Lias supaya mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Negeri. 

Speaker Selangor Hannah Yeoh berkata pihaknya akan berjumpa dengan Shamsudin untuk menawarkan jawatan tersebut kepada beliau dalam masa terdekat. 

"Kita juga berharap di peringkat Persekutuan Parlimen akan membuat perkara sama dengan menawarkan jawatan Ketua PAC kepada Ketua Pembangkang (Anwar Ibrahim)," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Shamsudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong selama tiga penggal berturut-turut itu pada penggal lalu pernah diusul dengan jawatan itu namun ditolaknya kerana menganggap ia hanya bermotifkan politik, selain memikirkan tentang prinsip dan maruahnya sebagai wakil rakyat BN. 

Beliau dilantik menjadi Ketua Pembangkang baharu menggantikan Datuk Dr Satim Diman yang tercicir daripada senarai calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. 

Pelantikan Shamsudin itu diumumkan Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar semalam selepas mendapat persetujuan sebulat suara daripada 12 Adun BN lain. 

Sementara itu, Hannah berkata sidang DUN penggal baru kali ini akan memberi tumpuan kepada usaha meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor (Selesa) yang tertangguh sejak tahun 2009. 

Jika diluluskan, enakmen Selesa mampu mengasingkan fungsi badan eksekutif (jabatan dan penjawat awam) daripada Dewan Negeri yang berkuasa sebagai sebuah badan perundangan. Menurut Hannah, RUU itu akan dibentangkan semula dan berkemungkinan akan diluluskan pada penggal kedua Sidang DUN pada hujung tahun ini iaitu semasa pembentangan Bajet 2014 Selangor. 

Katanya, untuk itu tanggungjawab akan diberi kepada Exco Selangor Datuk Teng Chang Khim meneliti semula RUU terbabit dan membentangkannya dalam Dewan nanti. "Tiada masalah untuk luluskan RUU ini kerana kita mampu mendapat 2/3 undi mudah melalui persetujuan ahli dewan," katanya.

Sumber: FreeMalaysiaToday

56 Adun Selangor Selesai Angkat Sumpah

Posted: 21 Jun 2013 02:00 AM PDT

SHAH ALAM: Kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor daripada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) selesai melakukan upacara rasmi angkat sumpah jawatan di Dewan Negeri di sini pagi tadi. Upacara dimulakan Adun Subang Jaya Hannah Yeoh yang juga mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan, diikuti Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Timbalan Speaker. 

Kemudian diikuti Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Adun Pelabuhan Klang, serta ahli dewan lain mengangkat sumpah taat setia dalam memelihara dan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri di hadapan Hannah. 

Abdul Khalid dalam ucapannya selepas selesai upacara mengucapkan tahniah kepada semua Adun dan berharap semua ahli dewan bersedia memikul amanah serta tanggungjawab kepada rakyat Selangor. Hannah turut menerima pujian daripada Abdul Khalid dan mantan Speaker Datuk Teng Chang Khim kerana menjadi wanita pertama dalam sejarah perundangan negara dilantik sebagai Speaker. 

Sementara itu, Hannah dalam ucapan ringkasnya berharap dapat menerima kerjasama penuh daripada kesemua Adun terutamanya daripada Menteri Besar dan Ketua Pembangkang Datuk Mohd Shamsudin Lias agar perjalanan Dewan dapat bergerak lebih lancar. 

Beliau turut berjanji untuk bersikap adil dengan memberikan peluang sama rata kepada Adun Pakatan Rakyat dan BN ruang masa yang secukupnya untuk mereka berbahas. 

Upacara pembukaan rasmi Sidang Dewan Negeri Selangor Penggal Pertama Sesi ke-13 akan dirasmikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Jumaat 28 Jun depan dan persidangan pertama akan bermula pada 1 Julai depan. 

Pakatan Rakyat menguasai majoriti 44 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Selangor; 15 daripadanya wakil PAS, DAP (15), PKR (14), manakala Umno-BN (12). 

Sumber: FreeMalaysiaToday

Kelas Menjahit Diteruskan Semula

Posted: 20 Jun 2013 07:00 AM PDT

DUN Seri Andalas, 20 Jun 2013 - Selepas dua bulan, kelas menjahit untuk wanita di DUN Seri Andalas diteruskan semula.  Pada hari ini 2 kelas menjahit pakaian tradisional punjabi diadakan. Sesi pagi diadakan pada jam 8 hingga 10.30 pagi dan sesi petang diadakan pada jam 6.30 petang hingga 9 malam.

YB Dr Xavier Jayakumar bersama peserta kelas jahitan

Ms Saroja - tenaga pengajar kelas menjahit

Melawat Sekitar Kawasan DUN Seri Andalas dan Pasam Malam Taman Sentosa

Posted: 19 Jun 2013 05:50 AM PDT

DUN Seri Andalas, 19 Jun 2013 - YB Dr Xavier Jayakumar pada hari ini mengadakan lawatan turun padang di sekitar kawasan dalam DUN Seri Andalas dan beramah mesra serta mendapat maklum balas rakyat di pasar malam Jalan Dato Dagang 39, Taman Sentosa. Turut hadir bersama adalah Ahli Majlis MPK, Encik PS Rajoo.




Tiada ulasan: