Isnin, 14 Januari 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


349,000 Pengguna di Lima Lagi Kawasan Alami Gangguan Bekalan Air

Posted: 14 Jan 2013 05:45 PM PST

Belumpun reda kejadian gangguan bekalan air ekoran kegagalan rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu, Syabas mengumumkan gangguan bekalan air tidak berjadual di lima kawasan lain yang disebabkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihentikan operasinya berikutan pencemaran di sungai itu.
   
Ketua Pegawai Operasi Syabas Datuk Ir Lee Miang Koi berkata kawasan terlibat ialah Petaling membabitkan 118,000 akaun, Hulu Langat (125,000), Sepang (65,000), Klang (19,000) dan Kuala Langat (22,000).
   
"Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang diurus oleh operator loji, Syarikat Konsortium Abass, terpaksa dihentikan operasi sekitar pukul 1.30 tengah hari tadi kerana mengesyaki berlaku pencemaran minyak kelapa sawit di Sungai Semenyih.
   
"Pada masa ini, Syabas sedang mengenal pasti kawasan yang dijangka mengalami gangguan bekalan ekoran langkah menghentikan operasi loji itu," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna supaya mengurangkan penggunaan air selain menggunakannya secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.
   
Lee berkata Syabas juga telah menghantar surat kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk mendapatkan kerjasama dalam menyediakan bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik memandangkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih diurus oleh kerajaan negeri.
   
Beliau berkata kerjasama itu juga perlu kerana aset Syabas masih terikat dengan insiden gangguan bekalan air yang melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ekoran kegagalan rumah pam Wangsa Maju.
   
"Memandangkan sumber dan kualiti air mentah adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri menerusi Lembaga Urus Air Seangor (LUAS), maka adalah wajar untuk Syabas mendapatkan kerjasama ini," katanya.

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 24 jam 1800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPEL aduan/pertanyaan dan hantar kepada 39222 selain menggunakan laman Twitter dan Facebook yang disediakan.
    
Sumber: Bernama

MB: Najib Takut Selangor Urus Air Lebih Baik

Posted: 14 Jan 2013 01:45 AM PST

SHAH ALAM 14 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak didakwa sengaja tidak mahu serahkan pengurusan perkhidmatan air kepada Selangor kerana bimbang Kerajaan Negeri akan lebih cekap dan kos efektif.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kecekapan Kerajaan Negeri akan membuktikan kegagalan Kerajaan Umno-BN dalam menguruskan utiliti penting ini.

Abdul Khalid berkata, catuan air yang dicadangkan pada Julai tahun lepas oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) adalah meragukan.

"(Kita) tidak menolak kemungkinan ia sengaja dilakukan untuk menyusahkan rakyat dan menanam sikap tidak puas hati terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

"Umno-BN lebih rela membela syarikat kroni konsesi yang ternyata gagal dan cuai dalam mengurus perkhidmatan air daripada memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri untuk mengambilalih pengurusan perkhidmatan air," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, Syabas kini berdepan dengan krisis pengurusan yang boleh membawa masalah besar kepada rakyat jika konsesi ini terus dibenarkan menguruskan air di kawasan Lembah Klang.

Malah, Najib sepatutnya sepatutnya bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kerajaan Negeri demi memastikan perkara ini tidak berulang.

Sebaliknya, beliau (Najib) telah mengugut bahawa rakyat Selangor akan terus berhadapan dengan masalah air jika tidak menyokong Umno-BN dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Dalam pada itu, rakyat Selangor akan dimaklumkan mengenai maklumat terkini usaha Kerajaan Negeri untuk membantu memulihkan bekalan air bagi kawasan Lembah Klang di beberapa akhbar utama pelbagai bahasa mulai esok.

Maklumat itu bagi membolehkan orang ramai mengetahui langkah yang dilakukan Kerajaan Negeri untuk memulihkan bekalan air kepada lebih 28,000 pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur yang terjejas sejak awal tahun ini.

Ini adalah hasil pemantauan dan pertemuan harian Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor dengan Syabas, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor dan pihak-pihak lain yang terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi juga telah memantau Syabas setiap hari tentang pelan tindakan dan pemulihan air di beberapa kawasan yang terjejas.

Sumber: Selangorku

KDEB Sangkal Dakwaan Ahli Akademik Selangor Boleh Kawal Syabas

Posted: 14 Jan 2013 01:30 AM PST

SHAH ALAM 14 JAN: Pengaruh Kerajaan Selangor di dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) terhad kepada perwakilan dalam lembaga pengarah sahaja syarikat itu sahaja dan bukan di dalam operasi harian Syabas.

Ini dapat dilihat apabila pada Julai tahun lepas, Syabas mencadangkan catuan air di seluruh Lembah Klang dan Selangor tanpa persetujuan dan pengetahuan Kerajaan Selangor, kata Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

KDEB adalah sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Negeri yang memiliki pegangan saham 30 peratus di dalam Syabas.

Dalam satu kenyataan hari ini, presiden KDEB Suhaimi Kamaralzaman membidas dakwaan seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), bahawa Kerajaan Negeri cuba menutup kelemahannya menangani isu air.

Pensyarah itu, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri mendakwa Syabas dibawah kendalian kerajaan negeri dan Selangor cuba menutup fakta seolah-olah ia tidak mempunyai kepentingan di dalam Syabas.

Suhaimi berkata, kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan harian, peralatan dan sistem pengagihan bekalan air dilaksanakan oleh pengurusan Syabas yang telah dilantik oleh pemegang saham majoriti iaitu Puncak Niaga Holdings Berhad.

"Pengaruh Kerajaan Negeri terhad dalam pengurusan Syabas boleh terlihat apabila pengurusan Syabas mencadangkan pencatuan air pada bulan Julai 2012 yang telah diputuskan oleh pengurusan Syabas tanpa merujuk Lembaga Pengarah terlebih dahulu," jelas Suhaimi.

Kuasa terhad Kerajaan Selangor di dalam Syabas adalah antara sebab ia mahu mengambilalih industri air daripada Syabas kerana mendakwa syarikat itu gagal melaksanakan tugasnya sebagai syarikat pengedar air terawat di Selangor.

Ini dibuktikan apabila lima pam air di rumah pam Wangsa Maju rosak akibat tidak diselenggara dengan sempurna sejak awal tahun lepas dan menyebabkan lebih 500,000 penduduk di 90 kawasan di Gombak dan Ampang mengalami gangguan bekalan air.

Dalam pada itu, wakil Kerajaan Negeri dalam lembaga pengarah Syabas akan menuntut penjelasan daripada pengurusan Syabas serta pelan tindakan untuk penyelenggaraan sempurna bagi mencegah kejadian seperti itu berulang.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Air Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi juga telah memantau Syabas setiap hari terutamanya bagi pelan tindakan dan pemulihan air.

Jawatankuasa tersebut dan juga wakil KDEB juga telah meminta penjelasan daripada Syabas mengenai kegagalan dan penyelesaian jangka pendek dan panjang mengenai isu ini.

"Mereka ini telah dipertanggungjawabkan bagi mempastikan semua pelan tindakan dilaksanakan dengan pantas dan efisien," kata Suhaimi lagi.

Sumber: Selangorku

MB : Najib Cuba Bela Kroni Dalam Masalah Air Selangor

Posted: 14 Jan 2013 01:15 AM PST

BATANG LUPAR, 14 JAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa cuba melindungi kroninya dengan terus menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor berhubung gangguan bekalan air di Ampang, Cheras dan Gombak sejak dua minggu lalu.

Mengulas perkara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk membantu membekalkan air terawat kepada rakyat di Selangor.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga tidak pernah melengahkan permohonan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) membina rumah pam baru bagi menyalurkan air kepada penduduk di ketiga-tiga kawasan tersebut.

"Apa yang dikatakan Najib itu tiada kena mengena dengan gangguan bekalan air yang berlaku sekarang. Najib boleh jadi kurang faham tentang keadaan ini kerana Najib ingin membantu kroninya.

"Tan Sri Rozali Ismail ialah kroni Najib. Jadi bermakna, kalau kroninya buat salah, Najib tidak akan kata dia salah.

"Najib sanggup menyalahkan rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor demi mempertahankan kroni," katanya semasa mengadakan lawatan kerja di Sarawak petang tadi.

Gangguan bekalan air itu melibatkan 500,000 penduduk di tiga kawasan itu yang terpaksa mendapatkan air untuk tugas harian daripada lori air Syabas.

Syabas berkata masalah gangguan itu mungkin akan berlarutan sehingga tahun baru Cina.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut mencabar Najib untuk melihat sendiri bekalan air di Selangor dengan memanggil Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang bertanggungjawab mengelola perkhidmatan air.

Abdul Khalid berkata, Najib juga gagal menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri secara profesional apabila masih menuding jari kepada Kerajaan Negeri.

"Rakyat tidak mahu lagi kroni, rakyat tidak mahu rasuah, rakyat tidak mahu Umno-BN terus membodohkan rakyat," katanya lagi.

Pada Sabtu lalu, Najib mendakwa masalah bekalan air di Selangor semakin meruncing ekoran keengganan Kerajaan Negeri memberi kelulusan untuk membina stesen pam tambahan dan tidak memberi 'development order' kepada Kerajaan Pusat.

Sebelum ini, Najib mendakwa Kerajaan Selangor suka menunding jadi dan menyalahkan pihak lain berhubung krisis air yang berlaku di Selangor.

Sumber: Selangorku

PR Selangor Tunaikan Janji, Bina Rumah Panjang Di Sarawak

Posted: 14 Jan 2013 01:15 AM PST

SARATOK, 14 JAN : Keprihatinan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor dalam membela nasib rakyat benar-benar terbukti apabila tidak hanya membantu penduduk di Selangor, malah menabur bakti di daerah Saratok, Sarawak.

Terbaru, Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menunaikan janji untuk membina rumah panjang baru bagi lebih 200 penduduk di Sungai Jirak, di sini.

Rumah mereka hangus dalam kebakaran dua tahun lalu.

Lebih lagi, PR Selangor boleh menyumbang tiga kali ganda daripada apa yang ditawarkan oleh Kerajaan Umno-BN yang hanya mahu menyumbang RM 12,000 sahaja kepada penduduk di situ.

Rumah panjang yang dikenali sebagai Rumah Unding itu memiliki 20 buah "pintu" atau dan dibiayai Kerajaan Selangor dengan nilai RM360,000.

Adun Krian, Ali Biju dalam ucapannya berkata, janji untuk membina semula rumah panjang itu mula disuarakan Exco Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar semasa tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada April 2011.

"Dengan pertolongan Kerajaan Negeri Selangor, rumah panjang Unding ini dapat disiapkan dalam tempoh singkat.

"Semasa Dr Xavier turun padang untuk membantu Pakatan Rakyat berkempen, tiada siapa yang percaya pada kata-kata beliau.

"Namun, ternyata ia bukan janji kosong. Dengan terbinanya rumah ini, maka ia membuktikan keikhlasan dan kejujuran Pakatan Rakyat untuk membantu rakyat di Ulu Kerian, Saratok di sini," katanya semasa menghadiri Majlis Perasmian Rumah Unding, di sini.

Majlis itu dirasmikan sendiri oleh Menteri Besar Selangor dan turut dihadiri Dr Xavier yang merupakan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin.

Tambah Ali, rumah panjang itu dibina hasil gotong royong oleh penduduk setempat secara berperingkat tanpa menggunakan khidmat kontraktor.

Menurutnya, peruntukan Kerajaan Negeri Selangor itu juga jauh lebih baik berbanding apa yang ditawarkan Kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan Pusat tawarkan bantuan RM 12,000 untuk membina rumah-rumah panjang di sini.

"Dengan nilai itu, apa yang boleh rakyat dapat? Bayaran kontraktor sahaja sudah mahal.

"Sudah tentu rumah yang dibina nanti tidak mampu untuk menampung ramai keluarga," katanya lagi.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan: