PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN |
- Malukan pelajar, Persatuan Hal Ehwal A’bangsa UUM kutuk Sharifah Zohra
- Timbalan Menteri ‘rayu’ Bawani, mahu pulih isu
- Selepas video UUM tersebar, pemimpin Umno cuba meredakan keadaan
- Akhbar Australia: Kes pembunuhan Altantuya jejas peluang Umno
- Najib politikkan isu air untuk raih undi rakyat S’ngor – MB
- Ramal BN kalah, Ketua Ekonomi Bank Islam digantung tugas
Malukan pelajar, Persatuan Hal Ehwal A’bangsa UUM kutuk Sharifah Zohra Posted: 14 Jan 2013 10:09 PM PST Kami dari Persatuan Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa UUM ingin menyuarakan sedikit pandangan mengenai isu Forum Mahasiswa di UUM apabila pelajar Jurusan Undang-undang di UUM Sdri Bawani KS dimalukan di depan khalayak ramai. 1. Kami mengutuk sekerasnya tindakan Puan Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin selaku Presiden Suara Wanita 1 Malaysia yang memperlekehkan dan memperkotak-katikkan soalan yang dikemukakan oleh saudari Bawani. 2. Dalam mana-mana forum, para panel dan juga audien sendiri mempunyai hak dan pendapat masing-masing untuk disuarakan, malahan ia juga perlu ditangani secara professional, bukan dengan memberi analogi "haiwan bermasalah" yang semua sedia maklum, tiada kaitan dengan fakta yang dikemukakan oleh Saudari Bawani. 3. Kami merasakan Puan Sharifah agak keterlaluan dan tidak menunjukkan contoh yang baik sebagai seorang pemimpin NGO dalam menjawab soalan yang dikemukakan. Oleh itu, kami juga memohon Puan Sharifah untuk memohon maaf secara terbuka kepada pihak Bawani seperti mana beliau memalukan saudari Bawani secara terbuka. 4. Sewajarnya, sebagai seorang pemimpin tertinggi NGO, Puan Sharifah patut memperkaya diri dengan ILMU dan NILAI-NILAI MURNI kerana kedua-dua elemen ini adalah sangat penting dalam diri seorang pemimpin agar pemimpin tersebut layak dihormati oleh pengikut. Bukan ego dan tinggi diri yang menjadi teruhan. 5. Kejadian yang berlaku, bagi kami, tidak perlu pelajar di dalam dewan itu turut disalahkan. Kebiasaannya sesi penghujahan dan sesi soalan dibuka selepas habis forum. Ini bererti mereka ini sudah diberikan pendedahan mengenai segala keburukan yang cuba diketengahkan. Sesungguhnya pelajar-pelajar di dalam dewan itu masih dalam proses belajar. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43213 |
Timbalan Menteri ‘rayu’ Bawani, mahu pulih isu Posted: 14 Jan 2013 10:08 PM PST KUALA LUMPUR 15 Jan: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 'merayu' KS Bawani, pelajar kontroversi Universiti Utara Malaysia (UUM) yang lantang dengan pendirian mengenai perhimpunan Bersih dan tuntutan pendidikan percuma supaya menghubunginya, dipercayai untuk meredakan isu. Datuk Saifuddin Abdullah menulis di twitter semalam, nombor telefon peribadinya dengan mesej meminta pelajar tersebut meghubunginya, selepas seorang pengguna twitter memberitahu Bawani mempunyai akaun twitter. Menurut beliau, mahasiswa termasuk Bawani berhak menyuarakan pandangan tanpa ada sekatan. Isu ini tercetus apabila rakaman video forum suara mahasiswa yang dimuat naik ke youtube sejak beberapa hari lalu, menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia apabila salah seorang ahli panel enggan memberi ruang kepada seorang mahasiswa, iaitu Bawani untuk memberi pandangan. Video selama 24 minit yang dirakam dalam forum untuk pelajar UUM bulan lepas memaparkan ahli panel, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin menyekat pelajar itu dari menghabiskan soalannya berhubung pendidikan percuma. Ekoran kelantangan Bawani memberi pandangan, Sharifah turun dari pentas dan berdiri di hadapan pelajar itu. Sharifah dengan nada tegas berkata 'Listen' sebanyak 10 kali sebelum mengambil pembesar suara dari Bawani, kemudian Bawani berhenti bercakap. Difahamkan bahawa Syarifah Zohrah adalah Presiden Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M) dan Timbalan Ketua Wanita KIMMA. Semua tahu Kimma atau singkatan kepada Kongress Indian Muslim Malaysia adalah komponen baru dalam BN. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43203 |
Selepas video UUM tersebar, pemimpin Umno cuba meredakan keadaan Posted: 14 Jan 2013 08:45 PM PST dipetik daripada Malaysian Insider January 15, 2013 KUALA LUMPUR, 15 Jan — Sebuah video dimana seorang jurucakap pro Barisan Nasional (BN) menyerang seorang mahasiswi secara terbuka dalam sebuah forum tersebar luas di internet sehingga memaksa kedua-dua timbalan menteri dan ketua pemuda Umno untuk menenangkan keadaan bagi memastikan ianya memberi kesan kepada gabungan pemerintah tersebut menjelang pilihan raya 2013. Pembicara tersebut dikenali sebagai Sharifah Zohra Jabeen presiden sebuah pertubuhan tidak pernah didengari dikenali sebagai Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) yang dilihat rapat dengan BN, dilihat didalam video mencaci seorang mahasiswi yang bangkit menyatakan pendiriannya mengenai perhimpunan aman anjuran Bersih 2.0 dan pehimpunan menuntut pendidikan percuma – dengan mengeluarkan kenyataam "bila dalam program kami, kami benarkan anda bercakap" dan "apabila saya bercakap, anda dengar." Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menulis di Twitter semalam nombor telefon peribadinya dengan mesej meminta pelajar tersebut dikenali sebagai Bawani K.S untuk menghubunginya, selepas seorang pengguna Twitter memberitahu Bawani mempunyai akaun Twitter. Beberapa jam kemudian, Saiffudin menulis di Twitter, "Baru lepas bercakap dengan Bawani dalam telefon. Beliau dalam keadaan sangat bersemangat." Komen Bawani mengenai isu tersebut masih lagi belum diketahui. Akaun Twitternya tidak dapat diakses kerana hanya eksklusif kepada pengikutnya di laman sosial tersebut sahaja. Walau bagaimanapun, perkara itu tidak berakhir apabila pengguna Twitter lain mempersoalkan timbalan menteri itu dengan soalan tentang pandangan beliau mengenai perdebatan berat sebelah antara Sharifah dengan Bawani. "Patutny benarkn Bawani habis brcakap,lps tu jawab dgn bijaksana," kata Saifuddin kepada pengguna Twitter, @Mr_Nurislam. Rakan Umnonya Khairy Jamaluddin juga menggunakan Twitter untuk menjarakkan diri BN dengan Sharifah selepas video tersebut tersebar luas sehingga ada yang memulakan hashtag "SharifahZohra dan #listen. "Dan tentang isu UUM. Tolong dengar (#listen) saya: wanita Jabeen ini TIDAK mewakili BN. Sekian," tulis ketua pemuda Umno itu di Twitter melalui akaunnya @Khairykj. Beliau menambah, "Siapa2 pun boleh salah guna 1Msia. Takde siapa dlm BN yg kenal Sharipah Jabeen ni," menjawab seorang pengguna Twitter yang mempersoalkan tentang butang 1Malaysia digunakan Sharifah. Percubaan Khairy untuk mengawal keadaan diperlekehkan oleh sesetengah pengguna internet seperti Don Iznan yang menulis di Twitter: "dengan menggatakan #SharifahZohra tidak mewakili BN, KJ sebenarnya bermaksud sharifah dari Umno. Tengok? Hahaha." Forum "Seiringkah mahasiswa dan politik? Diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah pada 8 Disember, akan tetapi heboh selepas video tersebut dimasukkan di Youtube minggu lalu. Klip selama 24 minit itu memaparkan seorang ahli panelnya Sharifah Zohra Jabeen menegur Bawani, yang bangun bercakap di forum itu, membangkitkan kepada penganjur forum apa yang dia percaya pembentangan mereka yang tidak betul mengenai Bersih dan penerajunya, Datuk S Ambiga dan Datuk A Samad Said. Bawani juga menegaskan sejumlah negara mampu menawarkan pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti dan bertanya mengapa Malaysia tidak boleh berbuat demikian, diikuti dengan tepukan penonton. Ketika Bawani sedang bercakap, Sharifah turun dari pentas dan berdiri di depannya. Bawani tidak memperdulikan tindakan Sharifah itu dan terus bercakap. Sharifah kemudian berkata "dengar" kira-kira 10 kali sebelum bertindak mengambil mikrofon, sambil menghulurkan tangannya bersalam dengan Bawani dan mengucapkan terima kasih kepadanya. "Nombor satu, ini adalah program kami dan kami dibenarkan untuk bercakap. Nombor dua, apabila saya bercakap, (anda) dengar," kata Sharifah kepada Bawani. |
Akhbar Australia: Kes pembunuhan Altantuya jejas peluang Umno Posted: 14 Jan 2013 08:33 PM PST KUALA LUMPUR 14 Jan: Akhbar Australia, The Age meramalkan skandal pembunuhan Altantuya Shaariibu yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menjejaskan peluang Umno BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. "Najib menafikan penglibatannya, tetapi dakwaan tersebut tidak akan hilang. Internet di Malaysia sedang 'panas' dengan pendedahan seorang ahli perniagaan yang tidak berpuas hati dengannya, Deepak Jaikishan, yang mempunyai hubungan dengan Umno," tulis portal akhbar itu semalam. Menurut akhbar berkenaan, pendedahan Deepak juga merupakan sebahagian usaha untuk membongkar misteri pembunuhan warga Mongolia itu pada 2006. The Age mengaitkan pembelian dua kapal selam dianggarkan bernilai USD2 bilion pada 2002, ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan dan hubungannya dengan Abdul Razak Baginda, yang dituduh membunuh Altantuya pada 2006. "Antara tuntutan yang dibuat oleh Deepak seperti dinyatakan kepada pembangkang dan laman web bebas adalah bukti akuan bersumpah pada 2008 oleh penyiasat, (P) Balasubramaniam yang menyatakan Najib mempunyai hubungan seksual dengan Altantuya. "Terdapat perbalahan dalam Umno yang berkuasa dalam negara selama lebih 50 tahun, kaji selidik terbaru menunjukkan populariti Najib menurun pada paras paling rendah dalam 16 bulan. "Sebahagian penganalisis berkata, PRU kali ini akan menjadi cabaran terbesar kepada pemerintahan Umno. Najib sendiri mengatakan ia sebagai 'titik penentu nasib rakyat dan negara'," akhbar itu dipetik. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43143 |
Najib politikkan isu air untuk raih undi rakyat S’ngor – MB Posted: 14 Jan 2013 08:32 PM PST SHAH ALAM 15 Jan: Kerajaan Selangor kesal dengan kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang menggunakan isu air untuk mengugut rakyat. Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, ketika rakyat menghadapi masalah bekalan air, Perdana Menteri (PM) sepatutnya bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri demi memastikan perkara ini tidak berulang. "Sebaliknya, beliau mengugut rakyat Selangor bahawa mereka akan terus berhadapan dengan masalah air jika tidak menyokong Barisan Nasional (BN). "Jelas, beliau merendahkan martabatnya sebagai Perdana Menteri untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) tidak lama lagi," kata Khalid dalam kenyataan. Katanya, kerajaan negeri percaya rakyat Selangor tahu janji Najib adalah umpama 'meludah ke langit' kerana masalah air ini berpunca daripada kegagalan dasar penswastaan air oleh BN yang memberikan konsesi selama 30 tahun kepada syarikat kroni yang tidak berkemampuan. Beliau berkata, jika kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengambilalih pada 2008, rakyat Selangor sekarang akan dibebani kenaikan tarif air yang tinggi sebanyak 37 peratus pada 2009, 25 peratus 2012, dan 20 peratus pada 2015. "Kenyataan terbuka Najib ini sudah cukup untuk membuktikan mengapa Kerajaan Pusat enggan bekerjasama dengan Kerajaan Selangor menyelesaikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Lembah Klang seperti yang dikehendaki Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang diluluskan kerajaan BN sendiri. "Ternyata, hasrat mereka bukan untuk menyelesaikan masalah dengan serta merta, tetapi untuk mempolitikkan isu ini dan menggunakannya sebagai bahan tawaran untuk meraih undi," kata Khalid. "BN lebih rela membela syarikat kroni konsesi yang ternyata gagal dan cuai dalam mengurus perkhidmatan air daripada memberi kerjasama kepada kerajaan negeri untuk mengambilalih pengurusan perkhidmatan air. Syabas berdepan dengan krisis pengurusan yang boleh membawa masalah besar kepada rakyat jika konsesi ini terus dibenar menguruskan air di Lembah Klang," sambung beliau. Khalid berkata, Najib juga sengaja tidak mahu menyerahkan perkhidmatan air kepada Kerajaan Selangor kerana beliau bimbang Selangor dapat melakukannya dengan lebih cekap dengan kos yang lebih efektif sekaligus membuktikan kegagalan BN. "Kita meragui catuan air yang dibuat oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan kita tidak menolak kemungkinan ia sengaja dilakukan untuk menyusahkan rakyat dan menyemaikan perasaan tidak puas hati terhadap Pakatan Rakyat. "Kerajaan negeri menghantar enam pucuk surat kepada menteri sejak Julai 2012 bagi menyatakan hasrat kerajaan negeri mengambilalih perkhidmatan air mengikut WSIA, namun nampaknya menteri lebih suka berpolitik dari menyelesaikan perkara ini secara waras," jelas Khalid. Beliau menambah, sikap tidak acuh dan sambil lewa PM terhadap cadangan pengambilalihan air oleh Kerajaan Selangor membuktikan beliau dan BN sanggup menggadaikan kebajikan rakyat demi kepentingan politik. Berikutan itu, tegas Menteri Besar, Kerajaan Selangor menggesa Kerajaan Persekutuan hentikan amalan mengugut rakyat negeri dengan meletakkan keperluan asas kehidupan seperti air sebagai sandaran. "Berpolitiklah secara matang, bukannya menzalimi rakyat ala samseng," kata Khalid. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43191 |
Ramal BN kalah, Ketua Ekonomi Bank Islam digantung tugas Posted: 14 Jan 2013 08:30 PM PST KUALA LUMPUR 14 Jan: Ketua Ekonomi Bank Islam, Azrul Azwa Ahmad Tajuddin digantung tugas dipercayai kerana meramalkan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13. Ekoran itu pelbagai pihak menyifatkan tindakan tersebut sebagai zalim termasuk Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman Twitternya. Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau turut kesal kerana ahli ekonomi berkenaan hanya memberi pandangan berdasar kajian dijalankan. "Tindakan itu adalah perkara memalukan. Sebagai ahli ekonomi, beliau wajar memberi pandangan jika merasakan ia tepat dengan analisa yang dilakukan. Sekiranya tidak bersetuju, BN perlu membentang analisa berasaskan fakta dan profesionalisme," ujar Nik. Beliau dalam pada itu tidak menolak kemungkinan tindakan menggantung tugas Azrul dilakukan atas desakan pihak tertentu. Katanya lagi, keadaan itu berbeza di negara lain yang mengamalkan demokrasi matang, apabila ahli ekonomi diberi ruang untuk menjalankan tugas mereka. "Penganalisis bank di Amerika misalnya, meramalkan keputusan pilihan raya kerana bagi kebanyakan pelabur ia penting bagi menentukan keputusan perniagaan. Itu perkara biasa kepada ahli ekonomi dan penganalisis ekonomi di bank-bank atau institusi kewangan," ujarnya yang juga Adun Seri Setia. Minggu lalu, Azrul Azwar ketika bercakap dalam satu seminar di Singapura, meramalkan BN akan kalah tipis dalam PRU 13. Kenyataan itu kemudian dilaporkan akhbar The Straits Times Singapura pada 11 Januari lalu. Azrul berkata, hasil kajian menggunakan data analisisnya mendapati BN hanya mampu memperoleh antara 97 ke 107 kerusi berbanding 140 kerusi yang dimenangi PRU lalu. Laman web Straitstimes.com 12 Januari lalu menyiarkan kenyataan Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Sri Zukri Samat bahawa Bank itu tidak terbabit dalam forum berkenaan dan menyatakan pandangan Azrul bersifat peribadi serta meminta ia tidak dikaitkan dengan bank itu. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43151 |
You are subscribed to email updates from PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan