Khamis, 10 Januari 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Penganjur: Himpunan 12 Jan Tetap di Stadium Merdeka

Posted: 09 Jan 2013 11:25 PM PST

Penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat berkata pengurusan stadium bersetuju dengan cadangan mereka untuk menempatkan limpahan peserta di kawasan padang memandangkan stadium itu hanya berkapasiti 30,000 tempat duduk.

Anggota jawatankuasa penganjur, Hishamuddin Rais berkata, pihak pengurusan stadium mempersetujui perkara itu apabila ia dibangkitkannya dalam pertemuan mereka hari ini.

"Ya, mereka bersetuju," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bercakap kepada pemberita sebelumnya aktivis politik itu berkata pintu stadium juga akan terus dibuka semasa acara tersebut dan penganjur menyediakan pembesar suara untuk peserta yang berada di luar stadium.

"Kami difahamkan pintu stadium terus dibuka, kalau kapasiti melebihi, kami tidak akan membenarkan orang ramai masuk... Kami akan pasang alat pembesar suara di luar stadium," katanya lagi.

Tambahnya, pihak penganjur dalam pertemuan itu turut menyatakan kesediaan untuk membayar deposit RM75,000 bagi menyewa stadium berkenaan.

"Kita setuju, mana boleh tidak setuju, kita menyewa tempat orang," katanya sambil menyifatkan perbincangan dengan pihak pengurusan stadium berjalan lancar.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya bersikap sopan dan tidak melakukan kerosakan harta benda yang mempunyai nilai keasliannya memandangkan tersebut dijaga oleh Merdeka Heritage Trust.

Aktivis sosial itu juga mengingat orang ramai agar menggunakan pengangkutan awam untuk ke stadium dan tidak digalakkan menggunakan kenderaan sendiri bagi mengelakkan kesesakan di kawasan stadium.

Untuk memastikan kawasan tempat letak kereta secara maksimum, beliau turut meminta para peniaga supaya mendirikan gerai berdekatan kawasan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor.

Hishamuddin berkata pihaknya turut menyediakan khidmat seramai 80 orang doktor dan lebih 100 pembantunya pada perhimpunan itu sekiranya berlaku kecemasan..

Seorang lagi anggota jawatankuasa berkenaan, Tian Chua pula menegaskan bahawa himpunan itu akan tetap diadakan di Stadium Merdeka walaupun Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencadangkan supaya mengguna Stadium Bukit Jalil.

MP Batu itu berkata, Hishammuddin sepatutnya menawarkan Stadium Bukit Jalil lebih awal sekiranya ikhlas berniat demikian.

"Kita akan tetap menggunakan Stadium Merdeka. Kalau beliau ikhlas, sepatutnya tawar lebih awal. Jangan nak sabotaj pengurusan Stadium Merdeka.

"Polis juga tidak ada masalah... Sepatutnya (beliau) tulis surat kepada kita, supaya menggunakan Stadium Bukit Jalil.

"Tak boleh cakap mulut, iaitu 48 jam sebelum perhimpunan. Menteri (jika) bercakap biar masuk akal lah," katanya ketika ditemui Malaysiakini di perkarangan Stadium Merdeka hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Hishammuddin semalam yang mencadangkan agar perhimpunan itu diadakan di Stadium Bukit Jalil kerana lokasi tersebut menurutnya lebih "sesuai dan selamat" serta "tidak menyusahkan rakyat".

Sumber: Malaysiakini

Penduduk Mahu Bukti Jika SYABAS Tak Sabotaj

Posted: 09 Jan 2013 11:00 PM PST

Sekumpulan penduduk Ampang dan Cheras yang terjejas dengan krisis air di kawasan tersebut meminta satu siasatan terperinci dilakukan bagi mengesahkan tiada unsur sabotaj berhubung krisis bekalan air di kawasan tersebut.

Pengerusi NGO Hak Air Untuk Rakyat (HAYAT) Arshad Ahamad yang mewakili kumpulan penduduk berkenaan berkata, siasatan itu perlu dilakukan pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Kegagalan demi kegagalan pada sistem SYABAS (Syarikat Bekalan Air Selangor) dalam tempoh beberapa hari sahaja menimbulkan pelbagai tanda tanya.

"Oleh yang demikian kami mahu siasatan terperinci untuk mengesahkan kejadian-kejadian itu bukan satu sabotaj yang dilakukan oleh mereka yang berniat memburukkan kerajaan negeri Selagor," katanya yang membacakan satu memorandum.

Beliau bersama lebih 40 penduduk lain berhimpun di hadapan Wisma Rozali, yang menempatkan pejabat SYABAS di Shah Alam bagi menyerahkan memorandum tuntutan berkenaan.

Kumpulan penduduk itu hadir ke ibu pejabat syarikat berkenaan susulan kenyataan SYABAS pada Selasa lalu yang menafikan bahawa perkara itu merupakan unsur sabotaj yang sengaja dilakukan pihaknya.

Kumpulan berkenaan turut melaungkan slogan "Hidup rakyat. Hancur SYABAS" dan membawa kain rentang yang antara lainnya dengan tulisan: "Nak selesaikan masalah booster pam pecah Wangsa Maju pun ambil masa lebih 14 hari. Memang tak boleh harap punya SYABAS".

Memorandum berkenaan diserahkan oleh Arshad yang ditemani empat lagi wakil penduduk kepada pengarah eksekutif SYABAS Ismail Hashim.

Ismail semasa menerima memorandum tersebut berkata beliau akan membawa perkara itu kepada pihak pengurusan.

Penduduk di sekitar Ampang dan Wangsa Maju mengalami masalah gangguan air sejak 29 Disember lalu, yang dikatakan berpunca daripada paip di rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu mengalami kerosakan.

Dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum tersebut, Arshad berkata, pihaknya akan turut mempertimbangkan untuk mengemukakan saman kepada SYABAS sekiranya masalah air tidak selesai.

Katanya, perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat sekiranya tiada apa-apa tindak balas daripada SYABAS selepas memorandum itu diserahkan.

"Kita akan mempertimbang untuk saman SYABAS. Insya Allah akan bincang dengan pihak peguam untuk ambil tindakan dalam masa terdekat," katanya lagi.

Sumber: Malaysiakini

PKR Hantar Memorandum Kepada SYABAS, Gesa Beri Pampasan

Posted: 09 Jan 2013 10:30 PM PST

KUALA LUMPUR, 10 Jan — PKR hari ini menghantar satu memorandum kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) kerana gagal menguruskan air di negeri tersebut serta menggesa syarikat tersebut memberikan pampasan kepada mangsa bencana.
Timbalan Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor Zuraida Kamaruddin ditemani ahli majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta persatuan penduduk berkumpul di perkarangan ibu pejabat SYABAS, Pantai Baru pada jam 10.30 pagi  untuk menyerahkan memorandum serta mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ruslan Hassan.

"Hari ini PKR dan bersama ahli majlis MPAJ akan menyerahkan satu memorandum kepada SYABAS serta mengadakan perbincangan dengan mereka.

"Kami menyatakan enam tuntutan kepada SYABAS serta menggesa mereka mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua tuntutan ini," kata Zuraida yang juga ahli parlimen Ampang.



Dalam memorandum tersebut, PKR membuat enam tuntutan kepada SYABAS antaranya penjelasan tentang masalah sebenar rumah pam dan penjelasan mengenai kenyataan pengerusinya Tan Sri Rozali Ismail mangatakan masalah air akan berlarutan hingga Februari, bentuk pelan tindakan, jaminan masalah sama tidak akan berulang, pampasan atau dana khas bencana dan menggesa SYABAS meminta maaf secara terbuka.

Zuraida dibenarkan masuk ke pejabat SYABAS pada jam 10.45 pagi.

Dalam pertemuan tersebut, Zuraida memberitahu pihak SYABAS menyatakan bahawa mereka telah mengambil langkah membuat lencongan air bagi memulihkan bekalan yang terputus di kawasan terjejas.

"Dalam pertemuan tadi, SYABAS berkata mereka telah mengambil langkah melakukan lencongan air di rumah pam Wangsa Maju.

"Pembinaan lencongan tersebut akan mengambil masa lima hari, itu kata mereka. Dengan pembinaan lencongan ini, masalah putus air akan dapat diselesaikan tetapi bukan sepenuhnya," terang Zuraida.

SYABAS juga memberitahu mereka telah berjaya mengurangkan kes terputus bekalan air daripada 100 ribu pada 28 Disember tahun lalu kepada 28 ribu keluarga sahaja ketika ini, kata Zuraida lagi.

"Baki keluarga yang terjejas ketika ini ialah sebanyak 28 ribu. Menurut SYABAS, pam mereka hanya mampu menghasilkan 170 juta liter air sahaja ketika ini berbanding 210 juta liter asalnya," terang beliau.

Dalam pada itu, ekoran laporan media semalam yang mengatakan krisis air di Ampang dan Cheras dijangka berlanjutan sehingga sambutan perayaan Tahun Baru Cina, Zuraida berkata SYABAS akan melakukan penjadualan air untuk mengelak daripada bekalan air terputus.

"Mereka (SYABAS) berkata akan membuat penjadualan air untuk menangani isu tersebut.

"Walaupun demikian, SYABAS tidak memberikan jaminan masalah akan selesai selepas sambutan Tahun Baru Cina," kata beliau.

Sejak dua minggu lalu, ribuan pengguna di Lembah Klang terputus bekalan air berikutan kelewatan pembangunan sistem pam tambahan di Rumah Pam Wangsa Maju.

Perjumpaan tersebut Zuraida dengan Ruslan dan beberapa pegawai SYABAS lain tersebut berakhir pada jam 12 tengahari.

Sumber: TheMalaysianInsider

Tiada ulasan: