PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN |
- Program Minggu Ini
- Azmin jangka Parlimen bubar hujung Februari
- Mahathir mengaku beri IC pada warga asing
- Mahathir: K'jaan pimpinan Najib kini lemah
Posted: 17 Jan 2013 08:51 PM PST |
Azmin jangka Parlimen bubar hujung Februari Posted: 17 Jan 2013 07:13 PM PST PETALING JAYA 17 Jan: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali menjangkakan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan selepas perayaan Chap Goh Meh, hujung Februari ini. "Saya jangkakan DUN dan Parlimen akan dibubarkan sebaik sahaja selesainya perayaan Chap Goh Meh pada 24 Februari akan datang," katanya pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengenai rundingan kerusi DUN dan Parlimen di Sabah melibatkan Parti Progresif Sabah (SAPP). Kata Azmin, pendirian SAPP untuk bertanding 40 kawasan DUN di Sabah tidak munasabah kerana perlu mempertimbang peranan Pakatan Rakyat dan 'sahabat baru' iaitu Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan Pakatan Perubahan Sabah (PPS). "Di Sabah ada 60 DUN. Kalau 40 sudah diwakili SAPP, di mana peranan KEADILAN, DAP dan PAS ? Sekarang kita ada 'sahabat baru' iaitu APS dan PPS," katanya. "Saya sendiri terlibat dengan beberapa perbincangan bersama Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee. "(Namun) SAPP harus lebih munasabah dalam permintaan kerusi untuk kita boleh meneruskan perbincangan. Ia harus dimuktamadkan segera," kata Azmin. "Kita ambil sikap terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang bersedia untuk mewujudkan muafakat untuk berhadapan BN di Sabah khususnya," tambah Ahli Parlimen Gombak itu. Parlimen Malaysia automatik akan bubar apabila tempoh mandat kerajaan semasa berakhir pada 28 April tahun ini. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43397 |
Mahathir mengaku beri IC pada warga asing Posted: 17 Jan 2013 07:10 PM PST SHAH ALAM 17 Jan: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengaku bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah semasa mentadbir negara. Beliau bagaimanapun cuba mengalih kesalahan tersebut dengan mendakwa bapa kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman melakukan perkara "lebih teruk" dalam tindakan berkenaan. "Kita patut tengok balik dan ingat. Tunku Abdul Rahman lebih teruk daripada saya. Dia beri sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak. Jadi kenapa apa yang dia (Tunku Abdul Rahman) buat tak salah dan apa yang saya buat ini salah? "Ya saya memang buat (beri kad pengenalan), tetapi mengikut undang-undang," katanya dalam sidang media selepas program Bicara Minda Tun Mahathir di Shah Alam, lapor Malaysiakini. Turut hadir pada program itu ialah bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Semalam, dua bekas orang kanan Mahathir ketika memberi keterangan dalam siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang asing di Sabah, mengaku memberi kewarganegaraan kepada mereka untuk menjadi pengundi. Bekas ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah memberi keterangan dia dan beberapa orang lain menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, yang merupakan setiausaha politik kepada Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing. Seorang lagi saksi, bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin mengaku menerima arahan dari timbalan menteri dalam negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43400 |
Mahathir: K'jaan pimpinan Najib kini lemah Posted: 17 Jan 2013 06:50 PM PST Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa ini berada dalam keadaan "lemah" dan "takut menggunakan kuasa". Katanya, beliau melihat perkara itu rentetan daripada penyusutan sokongan rakyat pada 2008 yang menurutnya kurang yakin dengan pemimpin pada masa itu. Tambahnya, BN juga akan meraih kemenangan "kosong" sekiranya kekal menang dengan sokongan dan undian yang merosot dalam pilihan raya umum akan datang. "Ini soal kuat dan lemah. Bila kita kuat orang tak berani cabar kita. Bila kita kuat, orang tahu majoriti sokong kita. "Pada pilihan raya 2008 mereka tak sokong lagi kerana kurang yakin dengan kepimpinan yang ada. "Tapi bila tak sokong ia jadi lemah kerana dulu ada sokongan yang ramai dan kuat. "Sekarang mereka jadi lemah dan apa yang kita lihat sekarang ialah kerajaan yang lemah. "Kalau dalam pilihan raya umum akan datang ini, katakanlah merosot lagi, walaupun menang, ia satu kemenangan yang kosong," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditanya hadirin ketika sesi soal jawab dalam program Bicara Minda Tun Mahathir di Shah Alam hari ini. Individu berkenaan meminta Mahathir menjelaskan mengapa kerajaan pada masa ini dilihat lemah sehingga banyak tindakannya, seperti Sistem Penguatkuasaan Automatik untuk pesalah trafik, dipertikai ramai pihak. Mahathir seterusnya berkata, kerajaan yang lemah tidak berani untuk bertindak menggunakan kekerasan malah turut menghapuskan kuasa yang ada. "Kerajaan yang lemah ialah kerajaan yang memang takut terutama dalam demokrasi kerana kita bertindak salah, kemungkinan akan kalah lagi. Kita mungkin akan hilang kuasa. "Sebab itu kita lihat sekarang ini, kita tak berani bertindak menggunakan kekerasan bahkan kita hapuskan segala kuasa yang ada pada kita. "ISA umpamanya. Apa yang kita malu sangat dengan ISA ini?," katanya sambil memberikan contoh Amerika yang menurutnya menangkap pengganas tanpa mengikut undang-undang. Dengan membandingkan ISA dengan kem tahanan Amerika Syarikat di Guantamo Bay, Mahathir berkata, tindakan penahanan yang dilakukan Malaysia masih mengikut undang-undang. "Bila Amerika dan Britain diserang oleh pengganas, mereka tangkap dan tahan orang tanpa undang-undang yang mana lebih teruk dari kita. "Kita masukkan orang dalam tahanan ikut undang-undang ISA untuk menahan orang, dia (Amerika) tak ada undang-undang untuk tangkap dan mereka sanggup seksa yang mana kini dibenarkan di Amerika. "Kita kalau nak cakap kononnya kezaliman kita di sini, kenapa kita tak tegur orang yang lebih zalim dari kita yang suka tegur kita?," soalnya. |
You are subscribed to email updates from PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan