Selasa, 28 Februari 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Kenyataan Media - Program Kesedaran Kesihatan Bagi Penjawat Awam Negeri Selangor

Posted: 28 Feb 2012 12:31 AM PST

KENYATAAN MEDIA YB DR XAVIER JAYAKUMAR
EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR
PROGRAM KESEDARAN KESIHATAN BAGI PENJAWAT AWAM NEGERI SELANGOR


Adalah dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Tetap Kesihatan Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan satu Program Kesedaran Kesihatan Bagi Penjawat Awam Negeri Selangor di ruang legar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada pagi ini. Program ini telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Kesihatan Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama MAKNA (Majlis Kanser Nasional) dan HOSPICE.

Matlamat penganjuran program adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran kesihatan kepada para penjawat awam dan mereka yang bekerja di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah serta pelbagai agensi kerajaan yang lain. Fungsi serta kepakaran MAKNA dan HOSPICE telah diterangkan kepada para hadirin pada pagi ini.

Dalam program ini, MAKNA menerangkan aspek kepentingan langkah pencegahan, pengesanan awal, pemeriksaan dan rawatan kesihatan yang perlu serta mendedahkan gaya hidup yang sihat bagi mengelakkan kanser. Tumpuan diberikan kepada wanita yang lebih berisiko untuk menghidapi kanser payudara dan kanser serviks.

HOSPICE berkepakaran dalam program rawatan perubatan dan emosi untuk pesakit yang telah tenat akibat menghidapi penyakit-penyakit yang membawa maut seperti kanser tahap tiga, AIDS dan sebagainya. Peranan HOSPICE adalah penting bagi memastikan pesakit dapat menangani situasi yang dihadapinya dan mewujudkan ketenteraman.   

Menyedari kepentingan kesihatan kepada para penjawat awam dan orang ramai serta fungsi kedua-dua organisasi ini, Kerajaan Negeri Selangor telah menganugerahkan geran RM10,000 kepada MAKNA dan HOSPICE bagi menyokong usaha mereka. Kerajaan Negeri Selangor juga akan memberi tanah seluas satu ekar kepada HOSPICE untuk mendirikan pusat jagaan harian.


YB DR XAVIER JAYAKUMAR
EXCO Kerajaan Negeri Selangor
Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor


28 Februari 2012

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Kan elok berpolitik bersama isteri!!

Posted: 28 Feb 2012 07:11 PM PST

Sejak beberapa tahun yang lepas. kemana-mana saya pergi, baik didalam atau di luar negara, saya pergi bersama-sama isteri saya; kalau saya tidak mencukupi ongkosnya, saya akan memilih untuk tidak pergi. Saya tidak mahu pergi bersendirian. Al-maklum, kita ni lelaki, apa-apa boleh berlaku, itu semua kemungkinan boleh berlaku. Dan kalau tak berlaku pun mungkin boleh mengujudkan fitnah. Dan tanggungan menghadapi fitnah kadangkala adalah lebih berat.

Ada rakan-rakan yang perli saya dengan mengatakan saya ni jenis takut bini. Katalah apa nak kata. Saya sudah berkahwin lebih dari 40 tahun. Isteri saya sangat kenal kepada saya dan saya sangat kenal dengan saya.

Dan saya nak tanya suami-suami, ada tak si suami yang tidak rasa teringin nak berkahwin lagi? Ada? Kalau menjawab tidak, itu bermakna semata-mata hipokrit. Saya sudah bersama isteri saya begitu lama. Dialah isteri, dialah kawan, dialah teman dan kepada dialah saya berbincang apa jua masalah yang saya hadapi.

Saya pernah ditahan di bawah ISA sebanyak 2 kali. Selain daripada isteri siapakah lagi yang memahami keadaan sebenar yang saya tunggung ketika itu? Anak-anak masih kecil, mereka perlu bersekolah, mereka perlu mempunyai wang untuk meneruskan persekolahan. Anak saya yang besar ketika itu berada di Sekolah Tengku Kursiyah, Seremban, sekolah yang agak elit, dan takkanlah anak saya itu pergi ke sekolah dengan baju koyak dan dengan selipar Jepun.

Anak-anak saya yang lain bersekolah di kampong sendiri, kesemuanya memerlukan wang untuk persekolahan!

Siapakah yang lebih memahami untuk menghadapi keadaan itu dan siapakah yang akan menanggung segala kos sara hidup untuk keluarga saya pada ketika itu? Isteri saya bekerja dan dari gajinya itulah untuk mencukupkan keperluan keluarga saya. Berat tanggungan yang dipikul oleh isteri saya. Sebagai seorang suami, bolehkah pengorbanan isteri saya itu saya lupakan begitu saja. Itu suami bacul namanya.

Sekarang ini saya terlibat sepenuh masa dengan politik, saya tidur di tempat yang tidak menentu. Di rumah kawan, dii bilik hotel, di bilik Home Stay, kadang-kadang di dalam kereta di tepi-tepi jalan.

Kadang-kadang dengan perjalanan yang sangat jauh. Saya boleh bergilir memandu kereta dengan isteri saya.

Kalau saya tidur di hotel-hotel saya tidak mahu dikunjungi atau cuba mencari-mencari teman "satu malam", saya tidak mahu ambil risiko itu. Dan apabila saya ditemani oleh isteri saya sudah tentu risiko itu tidak akan menimpa saya.

Dan kalau saya terpaksa pergi ke kawasan luar yang boleh balik hari dan jika isteri saya tidak boleh menemani saya, saya pastikan bahawa apabila selesai tugas yang saya lakukan, saya akan terus kembali ke rumah saya.

Sejak setahun dua ini, kehidupan saya sudah saya curahkan untuk perjuangan. Hampir setiap hari saya menerima jemputan dari kawan-kawan dari seluruh Negara. Saya lebih senang menerima panggilan jemputan itu dengan membawa isteri saya. Biarlah saya kena berbelanja besar sedikit asalkan isteri saya dapat bersama saya.

Pada 24, 25 dan 26 Februari lau didalam Temurapat Pimpinan PKR, saya tetap bawa isteri saya. Kalau saya bersendirian, tempat penginapan saya adalah percuma; tetapi dengan membawa isteri, saya dikenakan tambahan RM360.00. Saya pilih membayar RM360.00 supaya isteri saya dapat bersama saya.

Apa orang nak kata, katalah asalkan saya dan isteri saya bahagia, dan saya terus dapat memberikan khidmat yang berkesan kepada parti.

Dengan adanya isteri saya bersama saya, dia telah mengambil tanggungjawab untuk menjaga dairy saya, dia juga mampu membawa kereta berglir-gilir dengan saya; yang lebih penting dia boleh mengingatkan kepada saya akan makanan yang sesuai untuk saya memandangkan umur saya yang sudah lanjut, tidak ketinggalan juga dia mengingatkan saya akan obat yang mesti saya ambil.

Isu-isu yang boleh memalukan diri saya, keluarga saya dan parti saya tidak mungkin akan berlaku apabila isteri saya akan sentiasa bersama saya. Jika ada yang tidak setuju dengan pandangan saya ini, buatlah pilihan sendiri asalkan boleh menjaga nama baik diri, keluarga dan parti, ok?


Perjumpaan dengan YB Elizabeth Wong menyegarkan perjuangan Anak-Anak Peneroka Felda Selangor

Posted: 28 Feb 2012 07:19 AM PST


Keletihan semalam sudah terobat. Kiranya lebih lewat lagi perjumpaan diadakan dengan Ahli Exco Kerajaan Selangor mengenai cadangan perumahan untuk Generasi Kedua dan Ketiga Felda Negeri Selangor, saya akan terasa keletihan melawat 8 tapak perumahan di Felda Hulu Selangor semalam, 28hb Februari 2012, berterusan dan merasakan apa yang saya dan rakan-rakan didalam Sekretariat Task Force Felda Selangor curahkan semacam menjadi sia-sia.

Saya benar-benar merasa hampa apabila diberitahu oleh seorang Pegawai UPEN Selangor bahawa lawatan tapak yang diadakan pada 28hb Februari itu adalah kerana memenuhi permohonan dari sebuah NGO pro-UMNO bagi mendapatkan tapak-tapak yang kami lawati itu untuk projek perumahan, dan dinyatakan bahawa tidak ada permohonan lain yang telah diterima oleh UPEN Selangor.

Saya memberikan bantahan yang keras bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim telah sejak bulan Julai tahun yang lalu menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan membinakan rumah-rumah diatas tanah-tanah di beberapa rancangan Felda di Hulu Selangor iaitu di Felda Sg Tengi Selatan, Felda Sg Tengi, Felda Suharto, dan Felda Gedangsa untuk Generasi Kedua dan Ketiga Felda. Dan pegawai UPEN yang berkenaan menyatakan bahawa didalam pengetahuan beliau hanya ada satu permohonan sahaja iaitu dari sebuah NGO pro-UMNO.

Alangkah keciwanya perasaan saya kerana sebuah Jabatan Kerajaan di Negeri Selangor boleh bertindak diatas permohonan sebuah NGO dan menyatakan bahawa selain dari itu tidak ada permohonan daripada mana-mana pihak yang lain; ini bererti Kerajaan Negeri Selangor juga tidak ada membuat apa-apa permohonan untuk melaksanakan projek perumahan bagi Generasi ke-2 dan ke-3 Felda itu.

Di peringkat itu, saya dengan segeranya menghubungi YB Elizabeth Wong untuk mendapatkan keterangan. YB Eli menyatakan bahawa permohonan dari NGO itu sudah ditolak kerana Kerajaan Negeri Selangor sendiri akan melaksanakan projek perumahan berkenaan, dan Kerajaan Selangor telah pun melantik Majlis Daerah Hulu Selangor sejak November tahun lalu bagi menyediakan kertas projek berkenaan.

Ahli Exco itu menjemput semua pihak untuk hadir ke Majlis Perjumpaan di Pejabat Exco pada 29hb Februari 2012 (hari ini) supaya semua pihak dapat diberitahu perancangan Kerajaan Negeri Selangor diatas tapak-tapak yang terdapat di Felda Sg Tengi Selatan, Sg Tengi, Suharto dan Gedangsa.

Jam 2.00 petang tadi, wakil-wakil dari UPEN, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor, Pejabat Majlis Daerah Hulu Selangor dan Sekretariat Task Force Felda Negeri Selangor telah mengadakan perjumpaan di Pejabat Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor tersebut.

Saya cukup gembira apabila Pegawai dari UPEN siang-siang lagi menyatakan wujud kekeliruan komunikasi dan tidak menyedari bahawa permohonan daripada NGO berkenaan sudah ditolak oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Dan YB Elizabeth Wong meminta kerjasama dari Majlis Daerah Hulu Selangor yang diberikan mandat oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk mempercepatkan proses penyediaan projek berkenaan dan diberikan tempoh 2 minggu untuk disiapkan.

Dalam pada itu, Sekretariat Task Force Felda Selangor diberikan tanggungjawab untuk mengadakan hubungan dengan Majlis Daerah Hulu Selangor untuk mempastikan projek perumahan berkenaan dapat disegerakan.

Dari sudut Sekretariat Task Force Selangor, telah pun berjaya mengumpulkan pemohon-pemohon mendapatkan rumah dari anak-anak peneroka Felda di Sg Tengi Selatan, Sg Tengi dan Suharto, dan jumlah permohonan dari ke tiga-tiga rancangan Felda itu sudah meningkat kepada 400 orang. Lawatan yang dibuat hari semalam adalah keatas 2 tapak perumahan di Felda Sg Tengi Selatan, 2 tapak di Sg Tengi, 1 tapak di Suharto, dan 2 tapak di Felda Gedangsa.

Lawatan itu sungguh mendatangkan menfaat kerana kami diberitahu oleh wakil pejabat Daerah & Tanah Hulu Selangor bahawa keseluruhan tanah di Felda Sg Tengi Selatan, termasuk ladang-ladang dan kawasan rumah peneroka-peneroka Felda adalah tanah Kerajaan Negeri Selangor dan kawasan itu tidak digazetkan sebagai tanah di bawah GSA.
Ini membawa erti bahawa kesemua tanah di Felda Sg Tengi Selatan itu termasuk tanah di bawah pengurusan pertanian Felda dan di bawah Felda Plantation adalah hakmilik kerajaan Negeri Selangor.

Ini bererti Kerajaan Negeri Selangor kini boleh mengeluarkan geran tanah iaitu tanah ladang dan tanah kampong bagi peneroka-peneroka tanpa perlu menerima pengesyoran daripada Felda. Untuk itu Felda perlu membayarkan semua wang yang telah dikutip oleh Felda mengenai bayaran CAC yang telah dijelaskan oleh peneroka-peneroka dan Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu menunggu supaya tanah di kawasan rancangan itu dagazetkan di bawah GSA.

Ini juga bererti tanah kosong yang ada di Felda Sg Tengi Selatan itu boleh terus dijalankan projek perumahan untuk Generasi Ke-2 dan ke-3 tanpa perlu membuat permohonan agar tanah itu dikeluarkan dari kawalan GSA.

Jika Kerajaan Negeri Selangor memahukan seluruh tanah di bawah pertanian dan seluruh tanah di bawah Felda Plantation di Felda Sg Tengi Selatan itu pun boleh digunakan dengan serta merta untuk projek di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Kawasan yang hampir 2000 ekar itu merupakan aset besar kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk merancang projek-projek yang mendatang menfaat kepada Negeri Selangor dan tidak tertakluk kepada Felda.

Ini berbeza dengan tanah-tanah kosong di Felda Sg Tengi, Suharto dan Gedangsa kerana tanah-tanah itu semuanya sudah digazet di bawah GSA. Walaupun digazet di bawah GSA, itu tidaklah menghalang Kerajaan Negeri Selangor untuk membangunkan tanah-tanah tersebut kerana kuasa keatas tanah terletak di bawah Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri hanya perlu mengambil tindakan tertentu untuk mengeluarkan tanah-tanah kosong itu daripada pegangan GSA.

Di Felda Suharto, ada 2 keping tanah kosong yang boleh digunakan untuk projek perumahan bagi Generasi ke-2 dan ke-3. Di kawasan ini sudah pun diear-marked kan oleh anak-anak peneroka Felda Gedangsa untuk lot-lot perumahan bagi mereka, lengkap dengan pelan tapak, dan lengkap dengan nama-nama pemohon dari kalangan mereka.

Ini memudahkan kerja-kerja Sekretariat Task Force Felda Selangor, nama-nama pemohon akan dikumpulkan dan lot-lot perumahan yang sudah pun disediakan oleh mereka perlu dikemukakan kepada Majlis Daerah Hulu Selangor untuk tindakan seterusnya.

Perkembangan seterusnya akan boleh dilaporkan apabila Sekretariat Task Force Felda Selangor akan bertemu pula dengan YDP Majlis Daerah Hulu Selangor pada 2hb Mac 2012 dan pembentangan laporan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor di perjumpaan bersama dengan YB Elizabeth Wong dalam tempoh 2 minggu dari sekarang, tarikh dan masa akan ditetapkan oleh Pejabat YB Elizabeth Wong kelak.


Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Najib Perlu Jelas Kenapa FELDA FARM Products SDN BHD Tidak Dilantik Menerajui NFC

Posted: 28 Feb 2012 04:54 AM PST

Pendedahan yang dibuat setakat ini menunjukkan bahawa NFC yang diterajui suami Dato' Seri Shahrizat Jalil dan anak-anak mereka gagal memenuhi sasaran kerana mereka langsung tidak ada pengalaman di dalam industri penternakan berskala besar. Perkara ini turut diakui oleh Dato' Seri Salleh Ismail sendiri, bahawa mereka sebenarnya tidak berpengalaman dalam satu temuramah dengan media perdana bertarikh 17 November 2011.

 

Ini menimbulkan persoalan bagaimanakah sebuah projek berstatus nasional yang dikategorikan sebagai "projek berimpak tinggi" dengan peruntukan melebihi RM300 juta boleh diberikan kepada sebuah syarikat milik keluarga menteri yang tidak berpengalaman.

 

KEADILAN telah menyemak kembali semua sumber rasmi untuk memahami proses penganugerahan tender itu.

 

Hakikatnya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Seri Noh Omar sendiri mengakui bahawa tidak ada tender terbuka untuk memilih operator yang terbaik. Sebaliknya, kerajaan Barisan Nasional hanya memanggil beberapa buah syarikat yang tidak dikenali bersama-sama dengan Agroscience Sdn Bhd (milik keluarga Dato' Seri Shahrizat Jalil) untuk mengemukakan kertas cadangan.

 

Ini diterangkan beliau di Dewan Rakyat pada 31 Oktober 2011, seperti berikut:

 

"Pusat Fidlot Nasional ini Tuan Yang diPertua, matlamat utama pelaksanaan Pusat Fidlot Nasional ialah untuk kita mewujudkan sistem pengeluaran daging lembu fidlot secara komersial sepanjang rantai nilai bagi meningkatkan pengeluaran daging dalam negara. Bagi merealisasikan pelaksanaan program ini, kerajaan telah menjemput beberapa syarikat untuk membentangkan cadangan projek tersebut. Hanya enam buah syarikat yang membentangkan cadangan projek kepada Jawatankuasa Pemilihan Syarikat Peneraju Bagi Projek PFN pada 25 September 2006.

 

Enam syarikat ini terdiri daripada FELDA Farm Product Sdn Bhd, Group Five Bonsmara Breeding Centre Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Lamberts Agriculture Trade (M) Sdn Bhd – ini syarikat dari Australia ini – yang kelima, MIG Farm Sdn Bhd dan yang keenam MLC Industries Sdn Bhd. Melalui mesyuarat tersebut, Jawatankuasa Pemilihan Syarikat Peneraju Bagi Projek PFN memilih dua syarikat iaitu Syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd dan juga Lamberts Agriculture Trade (M) Sdn Bhd yang mana Lamberts diberikan 500 ekar dan Agro Science diberi sebanyak 5,000 ekar."

 

Umum sedia maklum bahawa Jawatankuasa Pemilihan Syarikat Peneraju Bagi Projek PFN dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

 

Semakan awal KEADILAN menunjukkan dari segi pengalaman, saiz kapital, pengurusan dan rekod industri, syarikat yang paling berdaya maju di antara keenam-enam syarikat tersebut adalah Felda Farm Product Sdn Bhd.

 

Perbandingan dari segi saiz kapital dan perolehan (yang menjadi salah satu kayu ukur kekuatan kapital, pengurusan dan pengalaman) berdasarkan carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang disertakan bersama adalah seperti berikut:

 

SYARIKAT

DITUBUHKAN PADA

SAHAM DITERBITKAN BERBAYAR

PEROLEHAN TAHUNAN TERKINI

Felda Farm Products Sdn Bhd

7 Ogos 1995

RM10 juta

RM9.6 juta

(31 Dis 2010)

 

Group Five Bonsmara Breeding Centre Sdn Bhd

28 Mac 2005

RM2

0

(31 Dis 2010)

MIG Farm Sdn Bhd

15 Julai 2005

RM1 juta

RM1.2 juta

(31 Dis 2009)

MLC Industries Sdn Bhd

13 Ogos 2004

RM2 juta

0

(31 Dis 2010)

 

Jelas sekali bahawa hanya Felda Farm Products Sdn Bhd adalah satu-satunya syarikat yang mempunyai operasi sedekad sebelum Projek Fidlot Nasional dirancang, berbeza dengan syarikat-syarikat lain termasuklah Agroscience Industries Sdn Bhd yang hanya ditubuhkan setahun sebelum kontrak dianugerahkan.

 

Jelas juga bahawa ada pertimbangan yang tidak telus kerana lantikan Agroscience Industries Sdn Bhd mengenepikan pertimbangan asas kewangan dan pengalaman, yang memihak kepada Felda Farm Products Sdn Bhd. Dari segi impak nasionalnya pula, Felda mempunyai rancangan tanah yang besar dan peneroka-peneroka boleh dilatih menjadi penternak berjaya untuk meningkatkan lagi hasil pendapatan mereka, selain tanaman kelapa sawit.

 

Sebagai individu yang bertanggungjawab menganugerahkan kontrak ini kepada syarikat milik keluarga menteri yang kini terbukti tidak berjaya memenuhi sasaran dan menyelewengkan wang bagi tujuan lain, Dato' Seri Najib Tun Razak tidak boleh mencuci tangan dan berdiam diri. Beliau wajib memikul tanggungjawab dan tindakan menolak isu ini kepada Dato' Seri Shahrizat Jalil semata-mata membayangkan beliau seorang ahli politik Umno yang pentingkan diri.

 

Oleh yang demikian, KEADILAN mendesak supaya semua minit mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Syarikat Peneraju Bagi Projek PFN yang dipengerusikan Perdana Menteri, didedahkan serta-merta agar beliau boleh menerangkan kepada ratusan ribu warga Felda:

 

1.      Kenapa beliau mengenepikan warga Felda sedangkan mereka lebih layak dan berpengalaman berbanding keluarga menteri;

2.      Apakah kriteria yang digunapakai sehinggakan Felda Farm Products Sdn Bhd diketepikan berbanding Agroscience Industries Sdn Bhd yang tidak mempunyai pengalaman?

Perkara ini sudah tentu akan terus mengheret Dato' Seri Najib kecualilah beliau mendedahkan kesemua minit mesyuarat yang dipengerusikan beliau.

 

 

 

 

 

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
 

HAJI SUHAIMI SAID
PENGERUSI, BIRO FELDA DAN ORANG ASAL KEADILAN
 28 FEBRUARI 2012

NFC: Dana Rakyat Diguna Tanggung Pasaraya Mewah di Singapura

Posted: 27 Feb 2012 10:58 PM PST

Keadilankini.com

PETALING JAYA, 28 Feb : KEADILAN sekali lagi tampil dengan pendedahan terbaru yang mengaitkan pengurusan National Feedlot Coorporation (NFC) selain dari tiga buah restoran mewah di Singapura dan pelaburan berjumlah RM44 juta dalam pembelian tiga kondominium mewah.
 
Jelas Pengarah Strategi, Rafizi Ramli pada satu sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini, melalui sebuah syarikat bernama Farmhouse Supermarkets Pte Ltd yang mana sahamnya dimiliki bersama oleh keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.
 
Tambahnya lagi, pemilik-pemilik saham terdiri dari suami kepada Shahrizat iaitu Datuk Seri Salleh Ismail sebanyak S$666,667 dan dua anaknya iaitu Wan Shahinur Izran Salleh dan juga Wan Izzana Fatimah Zabedah yang masing-masing memiliki sahan sebanyak S$666,667.
 
“KEADILAN berjaya menjejaki syarikat ini melalui carian penglibatan perniagaan anak kepada Shahrizat iaitu Wan Izzana fatimah Zabedah yang menyenaraikan kesemua syarikat yang dimiliki beliau.
 
“Farmhouse Supermarkets Pte Ltd dipercayai dibiayai oleh Malayan Banking Berhad dan united Overseas Bank Limited, melalui kaedah yang sama digunapakai untuk pembiayai pembelian dua kondominium di Marina Bay Suites berharga RM34 juta yang didedahkan sebelum ini,” jelasnya.
 
Kata beliau lagi, syarikat ini aktif mengambil pekerja melalui pengiklanan yang dibuat dan ia dipercayai sebagai persediaan bila mana pasaraya itu bakal dibukan dalam tahun 2012 kelak.
 
Siasatan PKR juga mendapati Farmhouse Supermarkets itu telah pun menjadi ‘anchor tenant’ kepada sebuah pasaraya mewah yang bernama ‘Star Vista’ terletak di kawsan elit berdekatan dengan Nanyang Technology Universiti.
 
Pasaraya yang diusahakan oleh Farmhouse Supermarkets Pte Ltd ini dijangka mula beroperasi dalam suku ketiga tahun ini.
 
“Kita juga mendapati syarikat tersebut juga telah menandatangani perjanjian dengan CapitalMalls (pemaju) bagi 28 unit ruang kedai di tingkat dua kompleks tersebut iaitu dari unit #02-08 hingga ke unit #02-35.
 
“Semakan harga pasaran bagi ruang kedai komersial di pasaraya di Singapura menunjukkan julat kadar sewa bagi satu meter persegi adalah antara S$350 hingga S$500 sebulan bergantung kepada lokasi dan ia berdasarkan kepada kajian ‘Competition Commision of Singapore’,” sambungnya.
 
Atas andaian tersebut, Rafizi berpendapat jika keluasan 28 unit itu dianggarkan sekitar 3,000 meter persegi tanggunggan sewaan bulanan yang terpaksa dibayar oleh syarikat tersebut adalah sekitar S$900,000 sebulan atau RM2.2 juta sebulan.
 
Malah, kenyataan pengurusan NFC yang mempertahankan hak mereka berbelanja dana RM250 juta itu memgikut citarasa mereka memperkuatkan lagi hujan bahawa sebahagian wang tersebut bakal dibelanjakan bagi membiayai pasaraya mewah ini.
 
“sudah tentu perniagaan pasaraya ini akan dibiayai oleh dana awam yang disalurkan bagi tujuan penternakan lembu seperti yang dimandatkan oleh NFC seperti yang berlaku di dalam pembelian-pembelian aset mewah lain sebelum ini.
 
“KEADILAN mendesak supaya NFC berterus terang mengenai komitmen kewangan yang telah dibuat melalui Farmhouse Supermarkets Pte Ltd termasuk perjanjian sewaan yang telah dimeterai,” tegasnya.
 
Beliau berharap tindakan tegas perlu dilakukan segara untuk merampas kembali kesemua dana yang telah diselewengkan secepat mungkin dan mendakwa individu terbabit di mahkamah atas tuduhan pecah amanah seperti mana yang dicadangkan oleh pihak polis kepada Peguam Negara.
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin memberitahu isu NFC ini akan dibawa ke persidangan parlimen kali ini dan usul mengenainya akan dihantar ke parlimen sebelum bermulanya sesi persidangan kali ini dan beliau berharap usul tersebut akan menjadi satu topik perbahasan.
 
“Kita mahu parlimen membenarkan isu NFC ini dibahaskan pada sesi kali ini, kita juga berharap melalui perbahasan tersebut satu jalan penyelesaian dapat kita perolehi selain segala maklumat dapat diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia,” jelas Ketua Wanita KEADILAN itu.

Rakaman Ceramah Dato Seri Anwar Ibrahim Di Beserah,Kuantan 25 Feb 2012

Posted: 27 Feb 2012 08:41 PM PST


MEDIA Rakyat MALAYSIA

MEDIA Rakyat MALAYSIA


Mengapa dana politik dan kempen harus ditangani secara professional..

Posted: 27 Feb 2012 06:03 PM PST