Selasa, 28 Februari 2012

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Kan elok berpolitik bersama isteri!!

Posted: 28 Feb 2012 07:11 PM PST

Sejak beberapa tahun yang lepas. kemana-mana saya pergi, baik didalam atau di luar negara, saya pergi bersama-sama isteri saya; kalau saya tidak mencukupi ongkosnya, saya akan memilih untuk tidak pergi. Saya tidak mahu pergi bersendirian. Al-maklum, kita ni lelaki, apa-apa boleh berlaku, itu semua kemungkinan boleh berlaku. Dan kalau tak berlaku pun mungkin boleh mengujudkan fitnah. Dan tanggungan menghadapi fitnah kadangkala adalah lebih berat.

Ada rakan-rakan yang perli saya dengan mengatakan saya ni jenis takut bini. Katalah apa nak kata. Saya sudah berkahwin lebih dari 40 tahun. Isteri saya sangat kenal kepada saya dan saya sangat kenal dengan saya.

Dan saya nak tanya suami-suami, ada tak si suami yang tidak rasa teringin nak berkahwin lagi? Ada? Kalau menjawab tidak, itu bermakna semata-mata hipokrit. Saya sudah bersama isteri saya begitu lama. Dialah isteri, dialah kawan, dialah teman dan kepada dialah saya berbincang apa jua masalah yang saya hadapi.

Saya pernah ditahan di bawah ISA sebanyak 2 kali. Selain daripada isteri siapakah lagi yang memahami keadaan sebenar yang saya tunggung ketika itu? Anak-anak masih kecil, mereka perlu bersekolah, mereka perlu mempunyai wang untuk meneruskan persekolahan. Anak saya yang besar ketika itu berada di Sekolah Tengku Kursiyah, Seremban, sekolah yang agak elit, dan takkanlah anak saya itu pergi ke sekolah dengan baju koyak dan dengan selipar Jepun.

Anak-anak saya yang lain bersekolah di kampong sendiri, kesemuanya memerlukan wang untuk persekolahan!

Siapakah yang lebih memahami untuk menghadapi keadaan itu dan siapakah yang akan menanggung segala kos sara hidup untuk keluarga saya pada ketika itu? Isteri saya bekerja dan dari gajinya itulah untuk mencukupkan keperluan keluarga saya. Berat tanggungan yang dipikul oleh isteri saya. Sebagai seorang suami, bolehkah pengorbanan isteri saya itu saya lupakan begitu saja. Itu suami bacul namanya.

Sekarang ini saya terlibat sepenuh masa dengan politik, saya tidur di tempat yang tidak menentu. Di rumah kawan, dii bilik hotel, di bilik Home Stay, kadang-kadang di dalam kereta di tepi-tepi jalan.

Kadang-kadang dengan perjalanan yang sangat jauh. Saya boleh bergilir memandu kereta dengan isteri saya.

Kalau saya tidur di hotel-hotel saya tidak mahu dikunjungi atau cuba mencari-mencari teman "satu malam", saya tidak mahu ambil risiko itu. Dan apabila saya ditemani oleh isteri saya sudah tentu risiko itu tidak akan menimpa saya.

Dan kalau saya terpaksa pergi ke kawasan luar yang boleh balik hari dan jika isteri saya tidak boleh menemani saya, saya pastikan bahawa apabila selesai tugas yang saya lakukan, saya akan terus kembali ke rumah saya.

Sejak setahun dua ini, kehidupan saya sudah saya curahkan untuk perjuangan. Hampir setiap hari saya menerima jemputan dari kawan-kawan dari seluruh Negara. Saya lebih senang menerima panggilan jemputan itu dengan membawa isteri saya. Biarlah saya kena berbelanja besar sedikit asalkan isteri saya dapat bersama saya.

Pada 24, 25 dan 26 Februari lau didalam Temurapat Pimpinan PKR, saya tetap bawa isteri saya. Kalau saya bersendirian, tempat penginapan saya adalah percuma; tetapi dengan membawa isteri, saya dikenakan tambahan RM360.00. Saya pilih membayar RM360.00 supaya isteri saya dapat bersama saya.

Apa orang nak kata, katalah asalkan saya dan isteri saya bahagia, dan saya terus dapat memberikan khidmat yang berkesan kepada parti.

Dengan adanya isteri saya bersama saya, dia telah mengambil tanggungjawab untuk menjaga dairy saya, dia juga mampu membawa kereta berglir-gilir dengan saya; yang lebih penting dia boleh mengingatkan kepada saya akan makanan yang sesuai untuk saya memandangkan umur saya yang sudah lanjut, tidak ketinggalan juga dia mengingatkan saya akan obat yang mesti saya ambil.

Isu-isu yang boleh memalukan diri saya, keluarga saya dan parti saya tidak mungkin akan berlaku apabila isteri saya akan sentiasa bersama saya. Jika ada yang tidak setuju dengan pandangan saya ini, buatlah pilihan sendiri asalkan boleh menjaga nama baik diri, keluarga dan parti, ok?


Perjumpaan dengan YB Elizabeth Wong menyegarkan perjuangan Anak-Anak Peneroka Felda Selangor

Posted: 28 Feb 2012 07:19 AM PST


Keletihan semalam sudah terobat. Kiranya lebih lewat lagi perjumpaan diadakan dengan Ahli Exco Kerajaan Selangor mengenai cadangan perumahan untuk Generasi Kedua dan Ketiga Felda Negeri Selangor, saya akan terasa keletihan melawat 8 tapak perumahan di Felda Hulu Selangor semalam, 28hb Februari 2012, berterusan dan merasakan apa yang saya dan rakan-rakan didalam Sekretariat Task Force Felda Selangor curahkan semacam menjadi sia-sia.

Saya benar-benar merasa hampa apabila diberitahu oleh seorang Pegawai UPEN Selangor bahawa lawatan tapak yang diadakan pada 28hb Februari itu adalah kerana memenuhi permohonan dari sebuah NGO pro-UMNO bagi mendapatkan tapak-tapak yang kami lawati itu untuk projek perumahan, dan dinyatakan bahawa tidak ada permohonan lain yang telah diterima oleh UPEN Selangor.

Saya memberikan bantahan yang keras bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim telah sejak bulan Julai tahun yang lalu menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan membinakan rumah-rumah diatas tanah-tanah di beberapa rancangan Felda di Hulu Selangor iaitu di Felda Sg Tengi Selatan, Felda Sg Tengi, Felda Suharto, dan Felda Gedangsa untuk Generasi Kedua dan Ketiga Felda. Dan pegawai UPEN yang berkenaan menyatakan bahawa didalam pengetahuan beliau hanya ada satu permohonan sahaja iaitu dari sebuah NGO pro-UMNO.

Alangkah keciwanya perasaan saya kerana sebuah Jabatan Kerajaan di Negeri Selangor boleh bertindak diatas permohonan sebuah NGO dan menyatakan bahawa selain dari itu tidak ada permohonan daripada mana-mana pihak yang lain; ini bererti Kerajaan Negeri Selangor juga tidak ada membuat apa-apa permohonan untuk melaksanakan projek perumahan bagi Generasi ke-2 dan ke-3 Felda itu.

Di peringkat itu, saya dengan segeranya menghubungi YB Elizabeth Wong untuk mendapatkan keterangan. YB Eli menyatakan bahawa permohonan dari NGO itu sudah ditolak kerana Kerajaan Negeri Selangor sendiri akan melaksanakan projek perumahan berkenaan, dan Kerajaan Selangor telah pun melantik Majlis Daerah Hulu Selangor sejak November tahun lalu bagi menyediakan kertas projek berkenaan.

Ahli Exco itu menjemput semua pihak untuk hadir ke Majlis Perjumpaan di Pejabat Exco pada 29hb Februari 2012 (hari ini) supaya semua pihak dapat diberitahu perancangan Kerajaan Negeri Selangor diatas tapak-tapak yang terdapat di Felda Sg Tengi Selatan, Sg Tengi, Suharto dan Gedangsa.

Jam 2.00 petang tadi, wakil-wakil dari UPEN, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor, Pejabat Majlis Daerah Hulu Selangor dan Sekretariat Task Force Felda Negeri Selangor telah mengadakan perjumpaan di Pejabat Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor tersebut.

Saya cukup gembira apabila Pegawai dari UPEN siang-siang lagi menyatakan wujud kekeliruan komunikasi dan tidak menyedari bahawa permohonan daripada NGO berkenaan sudah ditolak oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Dan YB Elizabeth Wong meminta kerjasama dari Majlis Daerah Hulu Selangor yang diberikan mandat oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk mempercepatkan proses penyediaan projek berkenaan dan diberikan tempoh 2 minggu untuk disiapkan.

Dalam pada itu, Sekretariat Task Force Felda Selangor diberikan tanggungjawab untuk mengadakan hubungan dengan Majlis Daerah Hulu Selangor untuk mempastikan projek perumahan berkenaan dapat disegerakan.

Dari sudut Sekretariat Task Force Selangor, telah pun berjaya mengumpulkan pemohon-pemohon mendapatkan rumah dari anak-anak peneroka Felda di Sg Tengi Selatan, Sg Tengi dan Suharto, dan jumlah permohonan dari ke tiga-tiga rancangan Felda itu sudah meningkat kepada 400 orang. Lawatan yang dibuat hari semalam adalah keatas 2 tapak perumahan di Felda Sg Tengi Selatan, 2 tapak di Sg Tengi, 1 tapak di Suharto, dan 2 tapak di Felda Gedangsa.

Lawatan itu sungguh mendatangkan menfaat kerana kami diberitahu oleh wakil pejabat Daerah & Tanah Hulu Selangor bahawa keseluruhan tanah di Felda Sg Tengi Selatan, termasuk ladang-ladang dan kawasan rumah peneroka-peneroka Felda adalah tanah Kerajaan Negeri Selangor dan kawasan itu tidak digazetkan sebagai tanah di bawah GSA.
Ini membawa erti bahawa kesemua tanah di Felda Sg Tengi Selatan itu termasuk tanah di bawah pengurusan pertanian Felda dan di bawah Felda Plantation adalah hakmilik kerajaan Negeri Selangor.

Ini bererti Kerajaan Negeri Selangor kini boleh mengeluarkan geran tanah iaitu tanah ladang dan tanah kampong bagi peneroka-peneroka tanpa perlu menerima pengesyoran daripada Felda. Untuk itu Felda perlu membayarkan semua wang yang telah dikutip oleh Felda mengenai bayaran CAC yang telah dijelaskan oleh peneroka-peneroka dan Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu menunggu supaya tanah di kawasan rancangan itu dagazetkan di bawah GSA.

Ini juga bererti tanah kosong yang ada di Felda Sg Tengi Selatan itu boleh terus dijalankan projek perumahan untuk Generasi Ke-2 dan ke-3 tanpa perlu membuat permohonan agar tanah itu dikeluarkan dari kawalan GSA.

Jika Kerajaan Negeri Selangor memahukan seluruh tanah di bawah pertanian dan seluruh tanah di bawah Felda Plantation di Felda Sg Tengi Selatan itu pun boleh digunakan dengan serta merta untuk projek di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Kawasan yang hampir 2000 ekar itu merupakan aset besar kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk merancang projek-projek yang mendatang menfaat kepada Negeri Selangor dan tidak tertakluk kepada Felda.

Ini berbeza dengan tanah-tanah kosong di Felda Sg Tengi, Suharto dan Gedangsa kerana tanah-tanah itu semuanya sudah digazet di bawah GSA. Walaupun digazet di bawah GSA, itu tidaklah menghalang Kerajaan Negeri Selangor untuk membangunkan tanah-tanah tersebut kerana kuasa keatas tanah terletak di bawah Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri hanya perlu mengambil tindakan tertentu untuk mengeluarkan tanah-tanah kosong itu daripada pegangan GSA.

Di Felda Suharto, ada 2 keping tanah kosong yang boleh digunakan untuk projek perumahan bagi Generasi ke-2 dan ke-3. Di kawasan ini sudah pun diear-marked kan oleh anak-anak peneroka Felda Gedangsa untuk lot-lot perumahan bagi mereka, lengkap dengan pelan tapak, dan lengkap dengan nama-nama pemohon dari kalangan mereka.

Ini memudahkan kerja-kerja Sekretariat Task Force Felda Selangor, nama-nama pemohon akan dikumpulkan dan lot-lot perumahan yang sudah pun disediakan oleh mereka perlu dikemukakan kepada Majlis Daerah Hulu Selangor untuk tindakan seterusnya.

Perkembangan seterusnya akan boleh dilaporkan apabila Sekretariat Task Force Felda Selangor akan bertemu pula dengan YDP Majlis Daerah Hulu Selangor pada 2hb Mac 2012 dan pembentangan laporan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor di perjumpaan bersama dengan YB Elizabeth Wong dalam tempoh 2 minggu dari sekarang, tarikh dan masa akan ditetapkan oleh Pejabat YB Elizabeth Wong kelak.


Tiada ulasan: