Ahad, 16 Disember 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Perobohan Kuil Sepang Bukan Lambangkan Dasar Kerajaan Selangor

Posted: 16 Dec 2012 09:30 PM PST

SHAH ALAM 17 DIS : Sejak mengambil alih pemerintahan negeri pada tahun 2008, lebih 20 buah rumah ibadat bukan Islam telah dibina di Selangor.

Kesemua pembinaan rumah ibadat tersebut mendapat kelulusan Kerajaan Negeri dan telah siap dibina serta digunakan tanpa sebarang masalah.

Sehubungan itu, Exco Kerajaan Negeri, Dr. Xavier Jayakumar menjelaskan isu perobohan kuil di Sepang baru-baru ini bukanlah suatu tindakan yang melambangkan dasar Kerajaan Negeri.

"Sekiranya rumah-rumah ibadat ini didirikan dengan pengetahuan Kerajaan Negeri, saya tidak fikir akan timbul masalah selagi ianya mengikut dasar dan garis panduan yang diberi.

"Namun, jika ianya dibina tanpa pengetahuan kita (Kerajaan Negeri) dan kemudian menghadapi masalah, kita perlukan masa untuk teliti pelbagai aspek bagi sebarang tindakan," jelas beliau yang juga Adun Sri Andalas.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa seramai 30 pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) merobohkan rumah ibadat yang dibina di dalam perkarangan di dalam sebuah rumah di Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi.

Tindakan itu dikecam oleh masyarakat Hindu yang berkata pegawai MPSp tidak sepatutnya bertindak demikian.

Dr. Xavier berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri pada minggu hadapan.

"Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah mempunyai laporan lengkap yang akan dibentangkan.

"Laporan ini penting untuk kita menilai adakah pelanggaran undang-undang ada berlaku selain kita perlu bersikap adil dalam mengambil keputusan.

"Kita akan teliti dan putuskan samada perlu atau tidak tindakan diambil serta bentuk-bentuk tindakan jika ada," tambahnya lagi.

Sumber: Selangorku

Kerajaan Selangor Bawa Lebih Seribu Kes Rakyat Tiada KP Ke Putrajaya

Posted: 16 Dec 2012 09:00 PM PST

SHAH ALAM 16 DIS : Exco Kerajaan Negeri, Dr. Xavier Jayakumar dijangka akan menyerahkan lebih seribu kes ketiadaan dokumen pengenalan diri rakyat Selangor ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Selasa ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sebelum ini menganjurkan program mengesan mereka yang layak mendapat dokumen kewarganegaraan Malaysia tetapi diabaikan KDN dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Ini bukan kes baru dan ia merupakan satu permasalahan yang serius dan tidak patut berlaku setelah negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun.

"Ianya mencabul hak rakyat yang lahir dan telah bergenerasi tinggal di Malaysia malah menyebabkan mereka berisiko tercicir dalam pendidikan.

"Tanpa pendidikan, mereka tidak akan maju dan seterusnya dikhuatiri gagal menaik taraf hidup diri dan keluarga," jelas beliau yang memegang portfolio Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin.

Menyedari kepentingan tersebut, beliau menambah, permasalahan dokumen kewarganegaraan itu merupakan antara agenda utama Pakatan Rakyat sekiranya berjaya mengambil alih Putrajaya.

"Sekurang-kurangnya terdapat 300,000 kes seumpama ini di seluruh negara.

"Demi masa depan rakyat, kita (Pakatan Rakyat) akan selesaikan masalah ini agar mereka yang berhak juga mendapat peluang sepertimana rakyat Malaysia yang lain," tegasnya lagi.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Hari Anugerah Pelajar Cemerlang UPSR di Midlands Convention Centre di Seksyen 7 di sini pagi tadi.

Seramai 312 pelajar daripada 44 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh Selangor yang mendapat keputusan 7 A dalam ujian UPSR lalu menerima hadiah berupa sijil dan wang tunai RM 100 setiap seorang.

Dalam majlis sama, Dr. Xavier Jayakumar yang juga Adun Sri Andalas turut berkesempatan menyampaikan sumbangan sebanyak RM 20,000 kepada Persatuan Sivik India bagi menjayakan penganjuran perlawanan bola sepak antara SJKT Selangor.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan: