Jumaat, 23 November 2012

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


PAA 2012 Langgar Hak Rakyat Berhimpun Secara Aman

Posted: 23 Nov 2012 01:06 PM PST

KeadilanDaily

KUALA LUMPUR 23 November: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoal peranan Perlembagaan Persekutuan dalam undang-undang Malaysia kerana seolah-olah menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman.

"Yang kita bangkitkan ialah isu pokok, iaitu undang-undang tentang Akta Perhimpunan Aman (PAA 2012) kerana ia melanggar hak rakyat," katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur.

Mahkamah hari ini mendengar hujahan peguam Anwar, Karpal Singh berhubung isu sama ada Seksyen 4(1)(c) dan 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak.

"Dalam masyarakat yang ditadbir oleh undang-undang, mahkamah harus waspada dalam mempertahankan hak asasi dan teliti dalam memeriksa mana-mana larangan," hujah Karpal.
Lanjutan itu, Hakim Kamardin Hashim menetapkan Jumaat depan untuk mendengar hujahan balas pendakwaraya.

Anwar pada 16 Oktober lalu memfailkan permohonan bagi merujuk persoalan perundangan berhubung satu daripada tiga pertuduhan berkaitan perhimpunan Bersih 3.0 terhadapnya.

Pada 22 Mei lalu, Anwar dan Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali serta Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin didakwa di Mahkamah Sesyen kerana dituduh menyertai protes jalanan yang kononnya menimbulkan kekecohan di ibu negara.

Mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyertai protes jalanan kononnya bagi maksud membantah perintah Majistret Zaki Ashraf Zubir yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka serta amaran supaya orang awam tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan, antara 28 April hingga 1 Mei 2012.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sepanjang Jalan Tun Perak di sini antara 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April lepas mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman maksimum denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga pimpinan itu merupakan kumpulan individu pertama didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman yang berkuat kuasa tahun ini.

Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu berjaya menarik kehadiran ratusan ribu rakyat pelbagai kaum yang berhimpun serentak di bandar utama di Malaysia dan luar negara.
Ia bertujuan mendesak kerajaan membersihkan sistem pilihan raya dan isu daftar pemilih yang diseleweng Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak sekian lama.

Nurul Izzah Saman Utusan, Sedia Menghadap Sultan

Posted: 23 Nov 2012 01:12 AM PST

Harakah

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini memfailkan saman terhadap Utusan ekoran laporan yang mengatakan beliau 'menyokong' kebebasan beragama kepada masyarakat Melayu di negara ini.

Ianya berhubung empat artikel pada 5, 6 dan 7 November 2012 diterbitkan akhbar Umno itu yang didakwa telah memfitnah beliau.

Saman itu menamakan tiga pihak iaitu Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak, penerbit Utusan Publising dan pencetak Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebagai responden.

Beliau memohon gantirugi am, teladan, teruk dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, selain menuntut perintah injunksi terhadap Utusan Malaysia untuk tidak menerbitkan berita yang boleh menjejaskan reputasinya.

Beliau diwakili peguam Hanifa Maidin dan Sulaiman Abdullah.

Utusan pada muka depannya 5 November lalu, memanipulasi kenyataan Izzah dalam forum 'Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab' di Geraja Full Gospel Tabernacle di Subang Jaya.

Laporan tersebut bertajuk "Melayu bebas pilih agama? Rakyat tidak harus dipaksa amal ajaran tertentu – Nurul Izzah".

Lanjutan itu, Izzah pada 9 November membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Utusan, dengan dakwaan bahawa akhbar milik Umno itu memutarbelit kenyataannya.

Sementara itu beliau yang juga Naib Presiden PKR turut menyatakan kesediaannya untuk menghadap Sultan Selangor bagi memberikan penjelasan berhubung fitnah Utusan itu.

"Saya sudah menyerahkan surat penjelasan kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Saya juga telah mengadakan pertemuan dengan beberapa NGO Islam untuk mendapatkan pandangan dan bersedia menghadap Tuanku untuk memberi penjelasan," kata yang dipetik KeadilanDaily.

Tiada ulasan: