Ahad, 7 Oktober 2012

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


[Photo] Reformasi : Keratan Akhbar Manila 22 September 1998

Posted: 07 Oct 2012 07:25 PM PDT

Perolehan Scorpene Tidak Dikemuka Untuk Tujuan Audit

Posted: 07 Oct 2012 02:48 AM PDT

 KeadilanDaily

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, kontrak perolehan kapal selam Scorpene, pesawat Sukhoi dan alat ketenteraan lain, tidak dikemuka untuk tujuan pengauditan.

"Ia tidak terkandung dalam laporan yang dikemuka Jabatan Ketua Audit Negara.

"Tugas Jabatan Ketua Audit Negara bukan menyiasat penyelewengan, tetapi menegur sekiranya perolehan tidak mengikut prosedur sepatutnya.

"JKAN, pertama akan mengaudit secara random apa yang dilapor kepada mereka. Dalam isu pembelian Scorpene, cara membuat pembayaran tidak dikemuka dalam penelitian audit. Sepatutnya penelitian ini dibuat oleh SPRM," ujarnya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendesak semua pihak 'harus menerima jawapan kerajaan' mengenai isu itu seperti dijelaskan dalam laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Azan dalam pada itu mengesyaki laporan audit sengaja lewat dikemuka ke parlimen, sebagai usaha untuk melindungi sesuatu.

"Saya mengesyaki, oleh kerana tahun ini tahun kedua ia tergendala untuk diserah kepada parlimen, ada antara laporan yang 'dikeluarkan' untuk tujuan membentangkannya kepada parlimen," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Isu pokok dalam skandal pembelian Kapal Selam Scorpene adalah integriti dan sistem Perolehan Kementerian Pertahanan.

Katanya, hingga kini kerajaan tidak telus menjawab soalan dibangkit Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pakatan Rakyat berhubung komisen dalam urusniaga tersebut.

"Rakyat hanya mengetahui isu ini selepas ia didedah NGO Suaram, melibatkan kerugian wang rakyat sebanyak RM7 bilion dan ini satu jumlah yang sangat besar.

"Sebab itu Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak harus menjawabnya dengan jujur dan telus termasuk persoalan melibatkan harga, keupayaan kapal selam dan bayaran komisen luar biasa yang dikait dengan beliau semasa menjadi Menteri Pertahanan," katanya.

Paris : Ucaptama “Does The Arab Spring Have The Potential To Become A Muslim Spring?” Dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Association of Muslim Social Scientists (AMSS) UK.

Posted: 06 Oct 2012 11:32 PM PDT

Saya dengan rendah diri telah memenuhi jemputan ke acara anjuran Institute of International and Strategic Relations (IRIS France), The Advance Studies Research Centre (Belgium) dengan kerjasama Association of Muslim Social Scientists (AMSS) UK baru – baru ini bagi menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat AMSS, disamping menyampaikan ucaptama, “Does The Arab Spring Have The Potential To Become A Muslim Spring?” di Sorbonne, Paris.

Di dalam ucaptama tersebut, saya ungkapkan bahawa kebangkitan rakyat yang berlaku di Timur Tengah adalah satu bentuk kelahiran semula demokrasi di rantau itu. Kelahiran ini telah menjatuhkan regim diktator yang sarat dengan penindasan dan autokrasi, yang menyekat kebebasan dan menindas rakyat Timur Tengah selama ini.

Lebih penting, apa yang terjadi di Timur Tengah telah mematahkan kesangsian bahawa Islam dan demokrasi tidak selari. Kebangkitan yang berlangsung bukanlah terbit dengan slogan – slogan yang Islami semata – mata, tetapi sebaliknya hasil perjuangan rakyat yang menuntut demokrasi, kebebasan dan keadilan.

Saya kemukakan contoh negara Turki dan Indonesia, sebagai negara Islam abad ke 21 yang sedang mempelopori reformasi politik – membuktikan bahawa demokrasi bukan sahaja diterima, bahkan asas penting bagi syiar Islam. Hakikatnya, musuh kepada syiar Islam itu adalah – ketidakadilan, rasuah, kezaliman dan tamak haloba.

Ciri ‘Muslim Spring’ itu harusnya berpaksi kepada demokrasi berperlembagaan, bukan pada namanya sahaja, tetapi pada amalannya. Pilihanraya yang telus dan bersih; pembahagian kuasa dan sistem kehakiman yang bebas bagi melindungi hak asasi rakyat serta kedaulatan undang – undang adalah bagi menjamin kebangkitan yang berlaku benar – benar mencapai matlamatnya dan berkekalan.

‘Muslim Spring’ itu adalah bilamana kebangkitan yang berlaku memastikan tertegaknya apa yang kita panggil sebagai keadilan sosial; al-Adala al-Ijtima’iyya menjunjung matlamat akhir Shari’a, iaitu, al-Maqasid al-Shari’a. Kebangkitan rakyat itu tidak harus harum pada namanya sahaja; fajar baru untuk kebebasan, demokrasi dan keadilan, tetapi memastikan apa yang dijanjikan itu benar – benar terlaksana.

ANWAR IBRAHIM
4 Oktober 2012

Tiada ulasan: