Khamis, 4 Oktober 2012

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Bajet BN vs Belanjawan Pakatan: Bermulanya Era Baharu 2013?

Posted: 04 Oct 2012 07:09 PM PDT

Oleh KPRU

Bajet 2013 yang dinanti-nantikan telahpun dibentangkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 September 2012, dua hari selepas Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat (PAKATAN). Temanya "Memakmur Negra, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati" berorientasikan pemberian sumbangan wang secara one-off seumpama "ole-ole" menjelang pilihan raya adalah berbeza dengan belanjawan PAKATAN bertema "Ekonomi Rakyat, Negara Berkat" yang bersifat mereformasikan ekonomi negara supaya mengembalikan asas kebijakan ekonomi kepada rakyat, memacu pertumbuhan dan pengagihan kekayaan yg saksama.

Dalam pembentangan Bajet Barisan Nasional (BN), Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dijangka mencapai pertumbuhan dalam lingkungan antara 4.5 hingga 5.5 peratus manakala PAKATAN menjangkakan perkembangan 5.2 peratus pada tahun 2013. Dari segi defisit pula, PAKATAN lebih berdedikasi untuk menurunkan desifit ke kadar 3.5 peratus berbanding dengan BN yang mensasarkan 4 peratus. PAKATAN bertekad menghapuskan gejala rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan di samping menangani perkara seperti monopoli, kartel dan penyusun semula peranan kerajaan dalam perniagaan, lantas menyakinkan pencapaian penurunan defisit yang lebih rendah daripada yang dijangka oleh BN. Sebaliknya, Kerajaan BN terus mengambil pendekatan yang sama dengan hanya memberi tumpuan kepada jenis pemberian tanpa mengambil kira senario ekonomi antarabangsa dan keupayaan domestik, lebih-lebih lagi mengabaikan pembaharuan dasar bagi menangani "penyakit kronik" yang kini dihadapi oleh Kerajaan BN – kepincangan struktur ekonomi, pemborosan dan ketirisan terutamanya dalam pentadbiran kerajaan.

Angkat pembaharuan ekonomi, tolak perbelanjaan ghairah

Belanjawan PAKATAN yang menjurus ke arah pembaharuan ekonomi, walau bagaimanapun, tidak meraihkan sokongan seperti yang diingini. Terdapatnya pihak yang tidak bersikap optimistik terhadap cadangan sebegini dan berpendapat bahawa pelaksanaan cadangan dasar PAKATAN seperti menurunkan harga kereta melalui pengurangan cukai eksais sebanyak 20 peratus, ataupun menawarkan pengajian tinggi percuma dengan memansuhkan sistem pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), akan "memufliskan negara".

Tetapi sejauh mana kesahihan hujah seumpama apabila Menteri Kewangan Najib "melarikan diri daripada politik" tanpa enggan menerima undangan perdebatan daripada bekas Menteri Kewangan Anwar sebenarnya menimbulkan kesangsian kita terhadap dakwaan "memufliskan negara".

Pada hakikatnya, sekian 55 tahun berada di bawah pemerintahan Kerajaan BN, Malaysia tidak pernah mengalami perubahan politik yang melibatkan pertukaran parti pemerintah pada peringkat persekutuan kerajaan. Agenda pembaharuan sedikit sebanyak mengundang kerisauan, bukannya semata-mata keraguan terhadap kecekapan dan kewibawaan PAKATAN dalam merealisasikan cita-cita tinggi, tetapi kebimbangan kehilangan kuasa dan kekayaan, serta kedudukan yang disanjung tinggi selama ini tergugat oleh arus perubahan ini. Dalam suasana sebegini, adalah mudah bagi sebuah rejim pemerintah yang tidak pernah menduduki kerusi pembangkang melancarkan serangan tanpa hujah kukuh, lebih-lebih lagi apabila media cetak dan penyiaran adalah di bawah pemilikan atau kawalan ketatnya.

Jumlah anggaran perbelanjaan Kerajaan BN bagi tahun 2013 mencapai sejumlah RM251.6 bilion, di mana perbelanjaan mengurus adalah setinggi RM201.9 bilion manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM49.7 bilion; sekali lagi mencatatkan jumlah perbelanjaan tertinggi, belum disebut lagi bahawa bajet terkini ini merupakan bajet defisit buat 16 tahun berturut-turut di bawah pimpinan Kerajaan BN! Tambahan pula, jumlah perbelanjaan kerajaan persekutuan bagi tahun 2012 dijangka mencecah RM252.4 bilion (2011: RM229 bilion), iaitu melangkaui jumlah anggaran asal RM230.8 bilion yang diluluskan di Belanjawan 2012 sebanyak 9.4 peratus.[1] Jelas sekali, walaupun negara kita berhadapan dengan defisit yang kian meruncing, Perdana Menteri yang turut merangkap sebagai Menteri Kewangan tidak menunjukkan usaha untuk menjimatkan kos dan berbelanja dengan lebih berhemah. Keghairahan berbelanja sebeginilah merupakan punca utama yang bakal mendesak negara kita menghala ke arah kebuntuan.

Secara perbandingan, statistik Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) (sila rujuk Jadual 1 dan Jadual 2) menunjukkan bahawa hasil kerajaan persekutuan bagi tahun 2013 hanya diunjurkan meningkat sebanyak 0.7 peratus berbanding tahun 2012. Namun begitu, jumlah peruntukan perbelanjaan bagi kedua-dua perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tahun 2013 telah meningkat sebanyak 8.2 peratus berbanding tahun 2012.

Apabila diambil kira pelbagai faktor termasuk hutang kerajaan persekutuan dan "hutang tersembunyi" yang tidak dimaklumkan oleh Najib dalam pembentangan Bajetnya, sukar bagi kita mempercayai bahawa sifat bajet Najib yang membelanja dengan kadar memecut berbanding kadar peningkatan hasil kerajaan dapat dipanjangkan kesinambungannya jika sekiranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum Ketigabelas (PRU-13) dengan penetapan kadar cukai yang membebankan rakyat terbanyak dalam tempoh lima tahun sebermulanya pelaksanaannya nanti.

Jadual 1: Hasil Kerajaan Persekutuan 2012-13

RM juta 2012 Anggaran Disemak 2013Anggaran Belanjawan
Hasil Cukai 152,493 159,153
Hasil Bukan Cukai 53,387 48,320
Terimaan Bukan Hasil 778 584
Hasil daripada Wilayah Persekutuan 588 593
Jumlah Hasil 207,246 208.650
Perubahan Tahunan 0.7%

Jadual 2: Peruntukan Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan 2012-13

RM bilion 2012 2013
Mengurus 182 202
Pembangunan 51 50
Jumlah 233 252
Perubahan Tahunan 8.2%

Secara perbandingan, PAKATAN membicarakan secara mendalam tentang soal kepincangan struktur ekonomi, contohnya dari segi jurang pendapatan keluarga yang kian melebar, peningkatan gaji yang tidak selaras dengan peningkatan harga, monopoli dan kartel syarikat kroni yang bersekongkol dengan pemimpin UMNO dan lain-lain lagi, serta sedia menawarkan langkah penambahbaikan struktur ekonomi negara, kalau bukan satu-satunya jalan penyelesaian. Pertama sekali, PAKATAN menekankan kepentingan meningkatkan pendapatan bolehguna(disposable income) rakyat dan seluruh perancangan ekonomi negara harus berdasarkan kayu ukur ini bagi menjamin imbangan di antara pertumbuhan yang mapan dan pengagihan kekayaan yang adil kepada semua rakyar, bukannya semata-mata mengejar sasaran ekuiti dan pertumbuhan saiz ekonomi. Matlamat ini dapat dicapai melalui usaha dua hala, iaitu mengurang kos sara hidup, khususnya dengan menangani permainan monopoli, menyediakan kemudahan infrastruktur di samping meningkatkan pendapatan dengan mengadakan caruman, skim tertentu ataupun menyalurkan bantuan kewangan.

Apa yang harus diberi penekanan di sini ialah pengurangan kos hidup yang dicadangkan oleh PAKATAN merupakan antaranya strategi penstrukturan ekonomi yang mengadakan kawalan ketat terhadap monopoli, oligopoli, dan rent-seekers bagi membatas pembolotan hasil ekonomi oleh syarikat-syarikat besar berkait rapat dengan parti pemerintah, menggalakkan persaingan pasaran secara sihat dan akhirnya memanfaatkan golongan masyarakat. Antara cadangan-cadangan termasuk:

-          Menggubal undang-undang "antitrust"  yang merangkumi skop yang lebih luas daripada Akta Persaingan 2010 yang sedia ada;

-          Membubarkan monopoli BERNAS, kartel syarikat telekomunikasi, kartel media, kartel syarikat penerbangan;

-          Meliberalisasi monopoli Astro;

-          Lesen teksi diberi secara langsung kepada para pemadu teksi; dan

-          Menggubal Suruhanjaya Bebas Kontrak Awam bagi mengkali konsesi dan perjanjian awam yang bertentangan dengan kepentingan awam.

Selain itu, PAKATAN juga memberi tumpuan terhadap mereformasikan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memandangkan penglibatannya yang begitu giat dalam hampir semua sektor ekonomi. Tatkala sumbangan GLC kepada pembangunan negara tidak dapat dinafikan, namun pada masa yang sama, penyertaannya hampir dalam semua sektor yang tidak terkawal berkemungkinan menghalang pelaburan swasta yang tidak mahu atau tidak mampu (crowding out effect) bersaing dengan GLC, mahupun memberi impak buruk kepada percambahan usahawan baru yang tawar hati untuk bersaing dengan syarikat-syarikat besar yang mempunyai talian terus kepada pimpinan tertinggi negara. Apa yang lebih mendukacitakan dan mengecewakan adalah apabila berlakunya kes penyelewengan, ketidakcekapan dalam tadbir urus, ataupun kegagalan dalam pelaburan sehingga menyebabakan kerugian wang pembayar cukai yang bukannya berjumlah kecil. Justeru, adanya kepentingan dan keperluan bagi mengurangkan pergantungan dan keutamaan GLC dalam transaksi perolehan kerajaan pusat dan mengurangkan kesesakan monopoli GLC bagi menarik pelaburan luar. Belanjawan alternatif PAKATAN terutamanya menitikberatkan permasalahan ini.

Mengambil kepedulian rakyat terbanyak

Pembentangan bajet ini dikatakan bajet terakhir sebelum pilihan raya umum dan justeru memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan keputusan dalam pilihan raya yang bakal menjelang. Sesungguhnya, bajet ini banyak memperlihatkan sumbangan wang yang dihujani kepada rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda yang merupakan pengundi pertama kali, di mana bilangannya mencecah setinggi 2.9 juta, membentuk satu perlima daripada 13.1 juta pengundi atau 22 peratus daripada pengundi keseluruhan.[2] Tidak dapat dinafikan, kecenderungan pilihan kelompok pengundi baharu ini dalam pilihan raya umum adalah amat kritikal sama ada mengekalkan kuasa pemerintahan kerajaan BN atau mengubah landskap politik negera dengan memberi peluang kepada PAKATAN yang kini kian bertambah kekuatan dan popularitinya bagi menerajui Putrajaya.

Kebimbangan kerajaan BN  di bawah pimpinan Najib begitu nyata dibayangkan memperlihatkan sebanyak RM51.7 bilion yang diperuntukkan dalam belanjawan untuk golongan muda.[3]

Penutup

Akhir kata, kini masanya kita merumuskan sifat bajet Najib semenjak beliau dilantik oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri Kewangan pada 17 September 2008. Secara kebetulan atau tidak, masalah struktur yang dibangkitkan dalam belanjawan PAKATAN merupakan kelemahan utama bajet Najib selama ini. Monopoli, empayar, pemborosan, ketirisan, subsidi korporat besar mendahului bantuan rakyat terbanyak, projek mega dan seumpamanya, telah mencorakkan bajet Najib – seorang anak bangsawan yang tidak mengerti perbezaan kepentingan golongan 20 peratus teratas dengan keperitan golongan 20 peratus terbawah serta bebanan rakyat terbanyak.

Pilihlah anda. Kita mahukan bajet one-off yang menyusahkan kita dan anak kita kemudian, atau, kita mahukan belanjawan yang menangani punca masalah dan membawa kesejahteraan kepada masa depan kita?

Apakah akan bermulanya era baharu selepas PRU-13?

Tamrin: 98 Anwar Bukan Sahaja Dipecat Bahkan Ditangkap, Difitnah Dan Diseksa Dipenjara

Posted: 04 Oct 2012 10:14 AM PDT

Harakah

Anak Tun Ghaffar Baba, Tamrin Ghafar mendakwa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed bukan sahaja petualang yang mencetusan pergolakan dalaman Umno sehingga dibatalkan pendaftarannya pada tahun 1997 bahkan sering mengeluarkan kenyataan yang mencabul persoalan akidah.

Beliau yang berceramah di Galeri Pejuang, Ceruk To Kun, Bukit Mertajam bersama dua orang penceramah jemputan iaitu Ustaz Sharil Long dan Ustaz Hafizal menambah, peristiwa pengharaman Umno tahun 1997 adalah angkara Dr Mahathir apabila Ghafar didesak lawan Tun Musa Hitam.

Tamrin yang menyertai PAS baru-baru ini berkata, Datuk Seri Anwar juga didesak Dr Mahathir agar mencabar Tun Ghafar Baba yang dianggap sampah kerana tidak dapat membantunya merealisasikan dasar Pandang Ke Timur dan Wawasan 2020.

“Pada saya mantan Presiden Umnolah yang mencetuskan polimik sebenar dalaman Umno sendiri, kestabilan negara serta akidah.

(Buku Anwar lawan Ghafar pernah diterbitkan)

“Sejak dulu jika dia tidak suka seseorang beliau akan mendesak orang lain cabar dan beliau sendiri akan sembunyi tangan, ” terangnya semasa berceramah dalam program PAS Cawangan To Kun dan PAS Bukit Mertajam.

Peristiwa terbesar mengakibatkan pemecatan Datuk Seri Anwar juga dicipta oleh Dr Mahathir sendiri setelah beliau mendapati kekuatan Anwar makin meningkat dan sekiranya dibiarkan kemungkinan pengaruhnya akan hilang.

Jesteru itu, Anwar diinaya bukan sahaja dipecat bahkan ditangkap, difitnah dan diseksa dalam penjara.

Dr. Mahathir adalah durjana sebenarnya, beliau sanggup melagakan orang lain demi memastikan kedudukannya selamat dan terus berkuasa.

Waktu nama Anwar tengah ‘top’, Mahathir mengambil peluang keemasan membuang Ghafar Baba dari kabinet kerajaan dengan meminta Anwar lwan Ghafar.

Kes yang terjadi pada Anwar juga berpunca dari perasaan kebimbangan beliau ekoran penampilan Anwar dilihat lebih ke hadapan dari banyak segi.

Bila Anwar jadi mangsa rakyat bangkit dan sampai sekarang isu pemecatanya tidak boleh diterima oleh sebahagian ahli Umno sendiri.

“Tetapi, nak buat macam mana semua tunduk dengan ‘DR M’,” tegas beliau termasuk dirinya sebelum ini.

Rakyat juga, kata bekas Pengerusi MARA itu, tentu masih ingat terlalu banyak kenyataan Dr Mahathir yang boleh mengancam kestabilan negara apatah lagi akidah.

Sampai hari ini tambah Tamrin, siapa pun tidak boleh menghalang kenyataan dari terus keluar dari mulutnya biarpun kadang- kadang memberikan kesan terhadap sokongan Umno itu sendiri.

Terbaru ujarnya, kenyataan berkenaan ‘syaitan yang dikenali lebih baik dari Malaikat yang tidak dikenali’ bakal melihat Umno terus jatuh.

“Biarlah dia keluarkan kenyataan merapu sebab Umno akan jatuh tidak lama lagi. Mungkin diera DR M Umno menjadi terkenal dan selepas beliau pencen Umno pun menjunam,” jelasnya yang juga bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

[VIDEO] Kembalikan Hak Royalti

Posted: 04 Oct 2012 10:06 AM PDT

Jumlah ‘Dislike’ #TanyaNajib Bukti Orang Muda Tolak PM, Bajet

Posted: 03 Oct 2012 11:54 PM PDT

KeadilanDaily

Jumlah 'dislike' yang jauh melebihi 'like' pada rakaman Youtube sesi #TanyaNajib 2013 melalui Google Hangout malam tadi jelas menunjukkan warga maya, kebanyakannya orang muda menolak kepimpinan Perdana Menteri itu, terutama mengenai Bajet BN 2013.

Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Lee Khai Loon berkata, sangat pelik apabila  percubaan Najib mendekati orang muda ditolak melalui jumlah 'dislike' yang direkodkan.

Najib berinteraksi secara langsung dengan rakyat menjawab soalan berkenaan Bajet 2013 dan rakaman sesi itu dimuat naik di Youtube rasmi beliau sendiri dan saluran Astro Awani.

Pada rakaman itu sebelum ia ditarik balik, jumlah 'dislike' penonton adalah 1,409 dan 'like' pula 605, manakala di saluran Astro Awani, jumlah 'dislike' adalah 1,774 berbanding 'like' sebanyak 90.

Bagi menutup malu, video itu turut diprivatekan sebelum itu. Ini jauh berbeza dengan sambutan terhadap #BorakAnwar yang mendapat sambutan hangat dalam acara sama baru-baru ini.

"Orang muda tak mahu lihat Najib cakap banyak sangat, sebaliknya sahut cabaran debat dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Najib juga hanya beri jawapan selamat dan retorik…soalan kritikal dan penting tidak dilayan," kata Khai Loon ketika dihubungi.

Malah Najib juga tidak menjawab soalan oleh Khai Loon seperti ketidakhadiran beliau ketika Anwar membahaskan Bajet 2013 dan pertembungan peranannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

"Walaupun Najib tidak jawab (soalan kritikal), orang muda bijak dan akan menilai kelayakan beliau sebagai Perdana Menteri, khasnya ketika pilihan raya umum akan datang," kata Khai Loon lagi.

Anwar merupakan pemimpin pertama di Malaysia dan Asia Tenggara memanfaatkan Google Hangout pada 17 Oktober lalu.

Setakat ini, jumlah 'like' pada rakaman sesi yang dimuat naik di saluran 'Anwar Ibrahim' adalah sebanyak 1,352 manakala 'dislike' hanya 163.

Program Jelajah Bas Merdeka Rakyat Bersama Dato’ Seri Anwar Ibrahim Ke Perak

Posted: 03 Oct 2012 09:13 PM PDT

7 Oktober 2012 (Ahad)

1.     3.00 ptg – Padang Permainan Taman Seri Raia,
                 Kampung Kepayang, Simpang Pulai. (P- Gopeng)
                
2.     5.00 ptg – Tapak Pasar Malam Titi Gantung, Bota                        

 
3.     6.00 ptg -  Majlis Minum Petang Bersama Pimpinan & Jentera, 
                  Markas PAS Titi Gantung, Bota
 
4.     7.00 ptg -  Solat & Tazkirah Maghrib - Masjid Titi Gantung, Bota
 
5.     9.00 – 12.00 mlm – Ceramah Perdana (P – Lumut)
         Lokasi: Hotel Bei King, Jalan Kg Selamat, Sitiawan
              
Penceramah ;
i.                    YB Dato' Seri Anwar Ibrahim
ii.                  YBhg Dr Mohd Nor Manuty
iii.                YB Dato’ Ngeh Kor Ham
iv.               YBhg Dr Najihah Osman
v.                 YBhg Dr Shanmugum
 
6.     9.00 – 12.00 mlm –  Ceramah Merdeka Rakyat (P – Bagan Datuk)
                 Lokasi: Kediaman Haji Ariffin, Parit 1, Sungai Sumun,
                              Jalan Bagan Datuk
                  
Penceramah;
i.                    YB  Dato' Seri Anwar Ibrahim
ii.                  YBhg Dr Mohd Nor Manuty
iii.                YB Dr Lee Boon Chye
iv.               YBhg Mustafa Kamil Ayub
v.                 YBhg Prof Aziz Bari
vi.               YB S Kesavan
vii.             YBhg Madhi Hassan
viii.           YBhg  Ustz Misbahul Munir Masduki

Tiada ulasan: