Rabu, 5 September 2012

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Undang-Undang Anti-Lompat tidak dihormati di Mahkamah

Posted: 05 Sep 2012 04:45 PM PDT

Undang-undang anti-lompat menyalahi Hak Asasi Manusia, menyekat hak individu membuat pilihannya, dan Mahkamah telah menolak Undang-Undang Anti-Lompat yang diperkenalkan oleh Kerajaan Kelantan apabila berlaku ADUN PAS melompat ke BN.

Kini Pulau Pinang pula memperkenalkan Undang-Undang Anti-Lompat yang dianggap oleh Karpal Singh sebagai tidak relevan memandangkan kes Mahkamah yang menolak Undang-Undang seumpama itu.

Maka cara yang terbaik untuk mengelakkan wakil-wakil Rakyat daripada menukar parti setelah menang melalui parti asalnya, sistem Pilihanraya itu sendiri perlu diubah.

Indonesia mengamalkan sistem pemilihan yang berbeza dengan yang diamalkan di Malaysia.  Malaysia mengikut sistem yang ditinggalkan oleh British seratus peratus, dan seseorang wakil rakyat itu menang walaupun dengan satu undi majoriti, dan setelah ia menang tidak ada apa yang menghalangkan dia dari keluar dari partinya untuk menyertai parti lain.

Sistem di Indonesia yang mencorakkan demokrasi dan pemilihannya berlandaskan sistem yang diamalkan di kebanyakan Negara Eropah memperkenalkan representatif mengikut peratusan undi yang diperolehi oleh sesebuah parti politik itu.

Parti-parti politik mempertaruhkan parti masing-masing dan bukan mempertaruhkan politikus secara individu tetapi ahli-ahli politik disenaraikan oleh parti-parti politik untuk diangkat menjadi wakil rakyat.  Seramai mana wakil-wakil rakyat itu akan diangkat oleh satu-satu parti politik akan ditentukan oleh peratusan undi yang diperolehi oleh parti berkenaan, dan siapa wakil-wakil rakyat yang diangkat itu ditentukan mengikut senarai yang ditetapkan yang utama didalam senarai itu diutamakan.

Wakil-wakil rakyat itu mewakili parti, bukan bertanding atas nama individu; dan jika parti itu memperolehi jumlah peratusan undi katakan 45%, maka akan ada 45% wakil rakyat daripada parti itu di Parlimen, dan jika wakil rakyat itu keluar parti setelah diangkat oleh Parti itu menjadi ahli Parlimen, ia boleh dikeluarkan sebagai wakil rakyat dan tempatnya digantikan oleh mereka yang ada didalam senarai parti itu.

Dengan cara itu tidak akan berlaku lompat parti oleh mana-mana wakil rakyat.  Wakil rakyat itu masih boleh melompat parti tetapi kedudukannya sebagai wakil rakyat akan terbatal, dan perwakilan parti itu di Parlimen kekal sebanyak peratusan undi yang diperolehi oleh parti itu semasa PRU (Pemilu).

Tetapi Malaysia yang semuanya ikut model British tidak akan dapat mengatasi masalah lompat ini.

Mengikut sistem yang diamalkan di Indonesia, hak asasi individu tetap dihormati kerana wakil rakyat yang diangkat oleh parti masih boleh keluar parti; hanya yang ia tidak boleh lakukan ialah membawa kerusi wakil rakyat itu bersamanya, kerana kerusi itu adalah milik parti.

Sistem yang dilakukan di Indonesia itu adalah lebih demokratik kerana perwakilan wakil-wakil rakyat oleh sesuatu parti itu ditentukan oleh peratusan yang diperolehi oleh sesebuah parti politik didalam PRU; kalau diambil contoh bahawa di Semenanjung Malaysia, PR telah berjaya memperolehi 51% daripada undi popular di dalam PRU 2008, dan dengan itu PR berhak meletakkan 51% daripada wakil-wakil rakyatnya di Parlimen.

Keduanya, sesebuah parti politik yang katakan mendapat 30% daripada undi popular, tetapi kalah di setiap konstituensi, parti itu tidak akan mempunyai walaupun seorang wakil rakyat di Parlimen mengikut sistem Pilihanraya di Malaysia walaupun 30% daripada rakyat mahukan parti itu, dan suara 30% itu tidak didengar di Parlimen, tetapi sistem Pilihanraya di Indonesia akan menempatkan suara 30% itu melalui wakil-wakil rakyat yang disenaraikan oleh parti politik itu.  Ertinya, demokrasi yang lebih adil dan luas dapat dilaksanakan.

Ketiganya, amat sukar bagi parti-parti yang memerintah merasuah pengundi-pengundi kerana yang bertanding didalam Pilihanraya itu adalah parti politik dan bukan individu.

Maka sistem pilihanraya seumpama itu adalah jauh lebih baik dari sistem pilihanraya yang diceduk seratus peratus dari Britain!

Tiada ulasan: