Rabu, 5 September 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Selangor Peruntuk RM165,000 Bangun Sekolah Tamil Dan Kuil di Ijok

Posted: 05 Sep 2012 06:16 PM PDT

BESTARI JAYA,5 SEPT : Kerajaan Selangor memperuntukkan kira-kira RM 165,000 bagi pembangunan sekolah Tamil dan kuil Hindu di kawasan Ijok bagi memastikan pendidikan dan kebajikan masyarakat India terus terjamin.

Dana itu diserahkan dalam bentuk cek oleh Adun Ijok Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar yang juga kepada wakil-wakil sekolah dan kuil yang diadakan di Dewan Masyarakat di sini.

Sebanyak sembilan buah sekolah jenis Tamil dan lima buah kuil di DUN Ijok menerima sumbangan bantuan pembangunan itu.

Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, kejayaan dalam pendidikan akan membawa kemajuan kepada Selangor justeru kerajaan memberikan keutamaan bagi membangunkan pendidikan kepada semua masyarakat.

"Sehingga kini sejak 2008, lebih RM 50 juta sudah diperuntukkan untuk pembangunan pendidikan di negeri ini," kata Abdul Khalid.

Turut hadir,Ahli Parlimen Kuala Selangor,Dr Dzulkefly Ahmad, Exco Pendidikan,Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan,Dr Halimah Ali.

Juga hadir Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin,Dr Xavier Jayakumar, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor,Noraini Roslan dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Datuk Misri Idris.

Dr Xavier dalam ucapannya berkata, Sekolah Tamil Desa Coldfield yang telah dimulakan pembinaannya oleh Kerajaan Selangor dijangka siap dalam masa setahun.

Sekolah yang terletak di atas kawasan seluas 4 ekar itu dibina dengan kos RM 3 juta.

"Kita juga akan teruskan pembinaan rumah pekerja-pekerja ladang bagi menjaga kebajikan mereka," kata Dr Xavier.

Dr Halimah berkata, pelbagai rancangan telah dilaksanakan untuk membangunkan semua jenis sekolah di Selangor yang selama ini kurang diberi perhatian oleh kerajaan pusat.

"RM 16 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada sekolah jenis Tamil sejak 2008," kata Dr Halimah.

Sementara itu, Ahli Majlis Kuala Selangor,R Tanarasu berkata, kerajaan Pakatan Rakyat dalam empat tahun telah banyak menyalurkan bantuan demi kebajikan rakyat khususnya masyarakat India di kawasan DUN Ijok ini.

"Sebelum 2008, sekolah-sekolah dan kuil-kuil kurang mendapat bantuan dan peruntukan daripada kerajaan negeri Selangor sebelum ini," ujarnya.


Sumber: Selangorku

Selangor Kutip Hutang, Bukan “Bailout” Talam

Posted: 05 Sep 2012 02:30 AM PDT

SHAH ALAM, 4 SEPT: Laporan firma audit, KPMG Transaction Restructuring Sdn Bhd (KPMG) mendapati keputusan Kerajaan Selangor mengutip hutang bernilai RM392 juta daripada Talam Corporation (Talam) sebagai satu keputusan komersil yang baik.

KPMG juga berkata usaha mengutip hutang itu bukan satu tindakan "bailout" di mana kerajaan negeri menggunakan duit rakyat untuk menyelamatkan sebuah syarikat daripada runtuh.

Laporan tersebut adalah bukti terkini yang menyangkal kritikan pemimpin Umno-BN terhadap proses pengutipan Talam itu yang mereka mendakwa satu "bailout".

Sebaliknya dalam isu ini, Talam merupakan pihak yang perlu membayar setiap sen dari hutangnya kepada kerajaan negeri tanpa sebarang pengecualian.

Hutang tersebut merupakan hutang yang gagal dikutip oleh Kerajaan Negeri ketika di bawah pentadbiran Umno-BN.

Proses ini berbeza dengan tindakan Kerajaan Pusat Umno-BN yang pernah "bailout" syarikat kroni mereka yang sakit seperti Perwaja Steel, Renong dan Time Engineering.

Selain itu, KPMG juga mendapati usaha tersebut telah dilaksanakan dengan tertib, mengikut undang-undang, beretika serta menjaga kepentingan negeri, anak syarikat dan rakyat Selangor.

Laporan audit yang diumumkan pada sidang akhbar selepas mesyuarat exco baru baru ini, menyebut penyelesaian hutang Talam itu dilaksanakan menerusi pelbagai mekanisma.

"Penyelesaian hutang ini dilaksanakan menerusi penyelesaian aset melibatkan sembilan plot tanah, dua hartanah, 60 peratus saham dalam anak syarikat Talam serta (wang) tunai.

"Perjanjian penyelesaian dengan Talam ini adalah semata-mata bertujuan mengutip hutang," menurut petikan laporan firma audit itu lagi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif KPMG Advisory Unit Chan Siew May dalam sidang media sama pula berkata, semakan yang dibuat tidak berdasarkan mana-mana tuduhan.

Abdul Khalid dalam sidang media itu turut berkata, laporan tersebut akan dibentangkan dalam Dewan Negeri Selangor yang akan bersidang pada November akan datang sebelum diedarkan kepada orang ramai.

Selain itu Abdul Khalid juga mengumumkan perlantikan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua sebagai jurucakap rasmi bagi Kerajaan Negeri berhubung isu ini.

Turut diberi kepercayaan sebagai jurucakap dalam isu sama adalah Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Sumber: Selangorku

Jemput Sultan : Rekod Dedah Kerajaan Negeri Ikut Prosedur

Posted: 05 Sep 2012 02:00 AM PDT

SHAH ALAM : Penganjuran Majlis Sambutan Kemerdekaan Ke- 55 peringkat Selangor terbukti mengikut lunas amalan dan prosedur yang diamalkan sejak bertahun-tahun.

Merujuk rekod Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, DYMM Sultan Selangor hanya pernah sekali dijemput iaitu pada tahun 2007.

Rekod yang diperolehi sehingga tahun 2003 menunjukkan hanya Menteri Besar bertindak sebagai tetamu kehormat pada sambutan ambang Merdeka pada setiap malam 30 Ogos.

Bukti ini menunjukkan bahawa sejak dari pentadbiran Umno-BN lagi sebelum 2008, Sultan Selangor tidak dijemput untuk menyertai acara ambang kemerdekaan.

Menteri Besar Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata Sultan Selangor menerima jemputan pada setiap tahun untuk Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat yang diadakan pada setiap 31 Ogos sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan.

Jemputan kepada Sultan Selangor pada 2007 itu melibatkan keberangkatan pada acara perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Kemerdekaan Malaysia.

Abdul Khalid mendedahkan rekod jemputan daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ke pihak Sultan Selangor bagi menjawab persoalan mengapa baginda tidak dijemput ke acara ambang merdeka peringkat Selangor pada 30 Ogos lalu.

Persoalan itu ditimbulkan oleh beberapa pihak baru-baru ini yang mempertikaikan mengapa Sultan Selangor tidak dijemput ke acara tersebut.

"Saya terima penjelasan (Setiausaha Kerajaan Negeri) Datuk Mohamad Khusrin Munawi berkenaan perkara ini dan saya berterima kasih atas kerja-kerja jawatankuasa berkenaan," kata beliau.

Abdul Khalid juga menyangkal dakwaan dari bekas Menteri Besar, Dr Mohamed Khir Toyo yang beliau pernah menjemput Sultan Selangor ke Majlis Sambutan Kemerdekaan.

Katanya tiada sebarang rekod yang menunjukkan Dr Khir pernah menjemput Sultan.

"Buat masa ini tiada sebarang rekod ditemui, mungkin juga sudah terbakar," jawab beliau secara sinis dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco di sini.

Selain itu, Abdul Khalid berkata tindakan Kerajaan Negeri mengundang Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah sebagai penceramah jemputan.

"Tetamu kehormat adalah Menteri Besar, dan Anwar pula hadir sebagai penceramah jemputan.

Sama seperti sebelum ini, kita ada penyanyi jemputan, cuma kali ini kita gantikan dengan penceramah jemputan," ujarnya.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan: