Selasa, 18 September 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Lebih 50 Ribu Pengundi Baru Di Selangor Masih Belum Dikenalpasti

Posted: 18 Sep 2012 02:15 AM PDT


SHAH ALAM, 18 SEPT: Seramai 50,000 pengundi baru di Selangor masih belum dikenalpasti identiti mereka dan semakan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, seramai 390,000 pengundi baru di Selangor sudah dikenalpasti melalui semakan yang dilakukan melalui Program Bersih Selangorku yang dilancarkan April lalu.

"Buat masa ini saya katakan yang kita telah pergi mencari pengundi baru ini dan kita telah berjumpa hampir 80 peratus daripada mereka.

"Tapi 20 peratus lagi melibatkan hampir 50,000 pengundi baru yang masih belum kita kenalpasti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.


Abdul Khalid berkata, 50,000 merupakan suatu jumlah yang besar dan beberapa penyelidikan dan semakan sedang dilakukan bagi mengenalpasti mereka.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melancarkan Program Bersih Selangorku bagi membuat semakan selepas negeri itu mencatatkan peningkatan mendadak jumlah pengundi baru sejak 2008.

Mengulas mengenai isu pilihanraya berasingan, Abdul Khalid menjelaskan, pendirian Kerajaan Negeri sama dengan persetujuan Pakatan Rakyat(PR) untuk mengadakan pilihanraya berasingan di Selangor.

Namun demikian, menurutnya, Kerajaan Pusat masih tidak mengumumkan tarikh Pilihanraya Umum ke-13 dan Selangor masih merancang strategi mengenai keputusan pilihanraya berasingan itu.

"Kita tidak tahu pilihanraya Parlimen bila, masih lagi spekulasi oleh Kerajaan Pusat.

"Ada baiknya pilihanraya berasingan dan ada yang tidak baiknya.

"Perbincangan yang dilakukan pimpinan PR berdasarkan spekulasi dan kita masih memikirkan strategi sesuai," jelasnya lagi.

Sumber: Selangorku

Saman Isu Air Peluang Kerajaan Negeri Beri Penjelasan Terbuka

Posted: 18 Sep 2012 02:00 AM PDT


SHAH ALAM 18 SEPT: Isu tuntutan saman daripada 711 penghuni pangsapuri terhadap Kerajaan Negeri berhubung subsidi air percuma merupakan peluang terbaik untuk beri penjelasan secara terbuka di mahkamah kelak.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ini kerana subsidi pemberian air percuma hanya diberikan kepada pangsapuri yang mempunyai meter individu sahaja.

Katanya, sejak 2008 keputusan pemberian air percuma hanya dilakukan sekiranya penghuni mengikut garis panduan syarat yang ditetapkan.

"Tuntutan saman merupakan hak individu, mana-mana individu yang mahu menikmati subsidi air itu hendaklah menukar kepada meter individu.

"Meter individu adalah sangat penting dalam pemberian subsidi ini dan senarainya ada di tangan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas). Begitu juga senarai penghuni yang sudah menukar meter dan sudah menikmati pemberian ini," katanya.


Abdul Khalid ditemui pemberita sejurus selesai menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mereka bentuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) baru di sini.

Beliau juga memberitahu selepas 2006 Kerajaan Negeri tidak lagi menggunakan meter pukal bagi penempatan baru yang dibina.

Menjawab pertanyaan pemberita mengenai perjumpaanya dengan penduduk, Abdul Khalid berkata perjumpaan itu hanya akan dilakukan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri (LPHS).

"Bukan itu sahaja mereka boleh berjumpa dengan Adun, Ahli Parlimen, Exco sekiranya mahu berjumpa untuk berbincang mengenai isu ini atau isu lain," katanya.

Sumber: Selangorku

SUARAM Terbuka Untuk Disiasat Tetapi Minta Siasat Juga Scorpene

Posted: 18 Sep 2012 01:45 AM PDT


SHAH ALAM, 18 SEPT : Di sebalik kesediaan untuk disiasat, Suara Rakyat Malaysia(Suaram) juga mengesa Kerajaan Umno-BN menyiasat juga pendedahan skandal pembelian kapal selam Scorpene yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Suara Anak Malaysia (Suaram) K Arumugam berkata  pihak Suaram terbuka untuk membantu siasatan terutamanya dalam kes berkaitan pendedahan Scorpene dan meminta hasil siasatan berkenaan didedahkan kepada umum.

Soalnya, mengapa pihak berkuasa tidak mahu siasat  kes Scorpene tetapi ingin mencari salah Suaram bagi mengalihkan isu ini daripada pengetahuan rakyat.


Arumugam yang dihubungi Tv Selangor turut memaklumkan, beliau akan memberikan keterengan esok di pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membantu siasatan berhubung status NGO berkenaan yang sebelum ini mendedahkan skandal pembelian kapal selam Scorpene.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya masih belum menerima surat daripada Jabatan Peguam Negara berhubung apa-apa dakwaan yang melibatkan Suaram.

Hari ini menyaksikan empat individu tertinggi Suaram, Dr Kua Kia Soong,  Dr Yeoh Seng Guan, Nalini dan Diane dipanggil oleh SSM untuk memberikan keterangan.

"Setakat ini hanya menteri yang mengatakan tuduhan terhadap Suaram. Kami belum menerima apa-apa surat atau tuduhan.

"Jadi kita sedang menunggu dibawah seksyen berapa dan apakah bentuk kesalahan yang dilakukan Suaram. Kemudian kita akan keluarkan satu kenyataan media," katanya.

Suaram sebelum ini mendedahkan pembelian Scorpene melibatkan Syarikat Perimekar Sdn Bhd, milik Abdul Razak Baginda, kenalan rapat Najib yang terlibat dalam pembunuhan model Mongolia, Altantuya Sharibuu, menerima komisen RM570 juta daripada kerajaan Malaysia untuk urusniaga itu.

Susulan itu, Suaram melantik peguam Joseph Breham pada tahun 2009 untuk memfailkan kes terhadap firma pembuat kapal selam Perancis, DCN, yang terlibat dalam urusniaga itu.

Suaram ditohmah sebagai pengkhianat kerana mendapat bantuan dana asing sebanyak RM570,000 sejak 2007 dari Yayasan Open Society Institute kepunyaan George Soros yang dilabel sebagai penyangak matawang oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1997.

Dana yang diperoleh ditegaskan oleh Pengarah Suaram, Kua Kia Soong sebelum ini tidak ada kena mengena dengan operasi perniagaan spekulasi mata wang Soros, sebaliknya diguna untuk pencerahan hak asasi manusia di negara ini.

Penerimaan bantuan asing bukan perkara baru bagi NGO Malaysia. Bantuan dari negara Arab dan Eropah tidak dipersoalkan. Hanya Suaram yang menjadi mangsa kerana berani mendedahkan skandal kapal selam Scorpene yang melibatkan Najib.

Sumber: Selangorku

MB Debat Tentang Dasar, Hutang Talam Diserah Kepada Empat Wakil

Posted: 18 Sep 2012 01:30 AM PDT


SHAH ALAM, 18 SEPT: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau hanya akan berbincang mengenai isu pembangunan negeri atau pengubalan dasar.

Manakala penerangan mengenai proses teknikal kutipan hutang syarikat Talam Corporation (Talam) telah dipertugaskan kepada empat wakil rakyat yang dilantik kerajaan negeri.

Tambahnya, beliau hanya akan mempertimbangkan perbincangan secara profesional dengan pemimpin MCA Datuk Chua Tee Yong sekiranya dia memohon maaf kerana menuduh Kerajaan Negeri "bailout" Talam sebanyak RM1 billion.

Menurut satu kenyataan Pejabat Menteri Besar itu hari ini, tuduhan Tee Yong dibuktikan tidak benar apabila firma audit KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd (KPMG) mendapati proses kutipan hutang itu bukan satu bailout.

Malah KPMG mendapati usaha kutipan Talam itu sebanyak RM 392 juta adalah keputusan munasabah dan bijak.


"Tuduhan itu telah dilaporkan hampir kesemua media arus perdana serta dibincangkan dari pelbagai sudut oleh editorial tetapi apabila terbukti tuduhan itu tidak benar, tiada satu patah perkataan maaf dibuat atau menarik balik tuduhan itu."

Tambahnya, proses teknikal kutipan Talam itu juga telah diterangkan di dalam laporan syarikat audit bebas KPMG.

Manakala di dalam satu sidang media berasingan, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri memang bertanggungjawab untuk mengutip hutang yang ditinggalkan pentadbiran Umno-BN sebelum ini.

"Kalau yang boleh dibincangkan atau difahami ialah mengenai modus operandi pengutipan hutang, jadi modus operandi pengutipan talam itu sesuatu perkara yang rumit dan teknikal.

"Jadi supaya tidak membuang masa, saya menyemak sama ada usaha yang kita lakukan itu munasabah.

"Oleh itu, jadi untuk menerangkannya perkara ini saya sudah meminta satu jawatankuasa yang diwakili empat orang wakil untuk menerangkan mengenai isu itu kepada pelbagai pihak," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mereka bentuk pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK), di lobi bangunan SUK, hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah melantik empat wakil untuk menerangkan proses kutipan hutang Talam berjumlah RM 392 juta.

Mereka adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua ; Ahli Parlimen Selayang, William Leong ; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkefly Ahmad dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Walaubagaimanapun, keempat-empat wakil terbabit dihalang untuk menyertai satu debat anjuran Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong pada Sept 12 tetang isu tersebut.

Ke-empat-empat wakil yang hadir di lokasi debat itu di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur, tidak dibenarkan berdebat dengan Chua walaupun telah membawa laporan KPMG untuk diterangkan kepada hadirin.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan: