PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN |
- Isteri dapat caruman daripada suami dan kerajaan jika Pakatan perintah
- Mahasiswa dapat manfaat bila PTPTN dihapus, pendidikan percuma
- Turun Harga Kereta: Kurangkan duti eksais 20 %, hapus permit AP 2015
- 92 peratus pangsapuri kos rendah terima air percuma
- Tiada krisis air di S’ngor, iklan komersil didalangi Umno BN – Azmin
- Sokongan kepada PR meningkat, populariti Najib merudum – Kajian UM
Isteri dapat caruman daripada suami dan kerajaan jika Pakatan perintah Posted: 26 Sep 2012 05:09 AM PDT (Norutul Ilham) KUALA LUMPUR 26 September: Pakatan Rakyat membela golongan wanita dengan memperuntuk RM3 bilion melalui skim Caruman Wanita Nasional. "Kita cadangkan jaringan keselamatan sosial komprehensif untuk suri rumah dikenali sebagai Caruman Wanita Nasional. Ia adalah keselamatan sosial komprehensif yang diperkenal di negara ini. "Dua tahun permulaan, pelaksanaan ini melibatkan pendaftaran sukarela untuk mewajibkan setiap suami menunaikan caruman kepada isteri mereka," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketua Pembangkang itu berkata demikian ketika membentang Belanjawan Pakatan dengan tema 'Ekonomi Rakyat Negara Berkat'. Untuk itu, katanya, suami perlu mencarum kepada isteri dengan kadar minimum RM120 sehingga RM1,200 mengikut kemampuan. "Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan akan menyumbangkan RM600 setahun tanpa mengira tahap sumbangan suami. "Skim ini memberi penjimatan awal sekurang-kurangnya RM5,000 bagi setiap suri rumah dalam tempoh lima tahun pertama sumbangan. "Ia boleh dikeluarkan apabila melibatkan kematian pasangan, perceraian, hilang upaya kekal, kehilangan kekal pendapatan dan lain-lain. "Jika tidak, suri rumah boleh keluarkan simpanan mereka pada usia 50 yang dijangka mencecah RM30,000," katanya. |
Mahasiswa dapat manfaat bila PTPTN dihapus, pendidikan percuma Posted: 26 Sep 2012 05:04 AM PDT (Oleh Aedi Asri) KUALA LUMPUR 26 September: Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 turut mengambil kira kepentingan golongan mahasiswa dengan menjamin sistem pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dihapus manakala pendidikan disedia secara percuma. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan yakin hutang pinjaman PTPTN yang dianggarkan sejumlah RM30 bilion setakat ini akan dapat diselesaikan dengan kos RM2 bilion setahun selama 20 tahun. Beliau berkata, Pakatan juga yakin dapat menghapuskan hutang peminjam yang menepati kriteria ditetapkan oleh jawatankuasa khas yang akan dibentuk untuk merombak keseluruhan mekanisme pembiayaan pengajian tinggi di Malaysia. "Kriteria itu adalah kombinasi faktor ekonomi berasaskan pendapatan semasa, keputusan akademik dan rekod pembayaran sebelum ini," jelas Anwar. Katanya, pendidikan percuma bakal meringankan beban mahasiswa yang menanggung hutang sebelum memasuki alam pekerjaan. Menurut Anwar, penuntut institusi swasta, akan turut menerima subsidi yuran pengajian. "Ini akan menambahkan pendapatan boleh guna peminjam dan membolehkan mereka mengutamakan perbelanjaan ke arah meningkatkan kualiti hidup mereka," katanya. Dalam pada itu, Anwar berkata, model pembiayaan kini tidak mapan dan hanya menunggu masa untuk di'bail out' kerajaan seperti yang terjadi di negara yang menggunakan model yang serupa. "Dengan kos sara hidup yang tinggi, kata Anwar lagi, kadar kutipan hutang PTPTN tidak akan meningkat. "Hutang pelajar yang ditanggung PTPTN akan terus bertambah sehinggalah ia mula mengancam kecairan dan daya maju (viability) kewangan PTPTN," jelas beliau. |
Turun Harga Kereta: Kurangkan duti eksais 20 %, hapus permit AP 2015 Posted: 26 Sep 2012 04:38 AM PDT (Oleh Aedi Asri) KUALA LUMPUR 26 September: Intipati Belanjawan Alternatif 2013 Pakatan Rakyat (Pakatan) mencakupi penurunan harga kereta melalui pengurangan cukai eksais sebanyak 20 peratus, selain sistem bidaan AP dibuat secara terbuka sehingga 2015 sebelum ia dihapus. Menurut laporan Belanjawan Pakatan 2013 yang dibentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, penurunan itu dibuat berikutan duti eksais terlalu tinggi sehingga mencecah 105 peratus. "Bidaan tender permit AP dibuat sebagai menebus kehilangan pendapatan melalui potongan duti eksais itu," laporan itu dipetik. Belanjawan tersebut turut menunjukkan aliran pendapatan negara selama lima tahun jika dasar automotif itu dilaksanakan. Laporan itu menjelaskan, kerajaan Pakatan hanya perlu membelanjakan RM 2 bilion untuk setiap tahun 2013 dan 2014 dan RM1 bilion setiap tahun pada 2015 hingga 2017. Selain daripada AP yang ditender dan wang dikeluarkan sendiri oleh kerajaan, skim itu juga akan dapat dilaksanakan dengan cukai pendapatan secara terus kepada kerajaan. Menurut laporan itu lagi, dengan menjadikan pendapatan isi rumah sebagai ukuran, harga kereta di Malaysia adalah antara tertinggi di dunia. "Tanpa sistem pengangkutan yang baik, rakyat tiada pilihan lain selain memiliki kenderaan sendiri, sehingga rakyat yang berpendapatan serendah RM1500 sebulan turut memilikinya," kata laporan itu. |
92 peratus pangsapuri kos rendah terima air percuma Posted: 25 Sep 2012 07:52 PM PDT Kerajaan Selangor sedia maklum dengan usaha-usaha pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja memperlekehkan program pemberian air percuma 20 meter padu pertama setiap bulan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Walaupun kerajaan negeri menghormati kebebasan rakyat mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut hak mereka, tetapi kita percaya mereka ini telah diperdaya dengan maklumat palsu atau tidak mendapat maklmumat yang secukup mengenai program air percuma ini. Sejak program ini dilancarkan pada Jun 2008, lebih 1 juta penduduk Selangor yang menggunakan meter individu telah menikmati pemberian air percuma setiap bulan melibatkan perbelanjaan melebihi RM400 juta. Oleh kerana kita tidak mahu rakyat miskin di rumah bertingkat kos rendah menjadi mangsa Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) yang merumitkan proses penukaran meter pukal kepada individu, maka kerajaan negeri mengambil inisiatif pada Jun 2010 untuk memastikan pemberian air percuma ini turut dinikmati oleh penghuni pangsapuri kos rendah. Berdasarkan laporan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), daripada 232 kawasan pangsapuri atau 64,715 unit yang menggunakan meter pukal, 92 % atau 214 kawasan melibatkan 58,049 unit pangsapuri kos rendah telah menerima air percuma menerusi Skim Rebet Air Percuma (SAFWA). Baki 18 kawasan atau 6,666 unit lagi gagal melaksanakan tuntutan rebet air percuma kerana Badan Pengurusan Bersama (JMB) kekurangan tenaga kerja. Sejak Julai 2010 sehingga sehingga Julai 2012, lebih RM6 juta telah dibelanjakan untuk air percuma kepada penghuni pangsapuri kos rendah. Skim SAFWA ini ditambah baik menerusi "Lapor dan Dapat' iaitu mana-mana pangsapuri kos rendah yang tercicir boleh terus mendaftar di Unit Pesuruhjaya Bangunan di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan membuat tuntutan secara terus dengan SYABAS. Bagaimanapun , Skim SAFWA ini untuk pangsapuri bertingkat kos rendah sahaja. Bagi pangsapuri bukan kos rendah, pemiliknya perlu memohon daripada SYABAS untuk proses migrasi dari meter pukal kepada individu. Malah, kerajaan negeri juga menubuhkan pasukan khas untuk membantu mempercepatkan dan melancarkan proses migrasi meter ini. Rekod semua Unit Pesuruhjaya Bangunan, pihak berkuasa tempatan dan SYABAS, sebanyak 108 kawasan terdiri daripada 29,318 unit telah bertukar kepada meter individu. Kerajaan negeri telah mewajibkan semua pangsapuri melaksanakan migrasi meter air individu mulai Mei 2007. Selepas 2007, pemaju wajib menyediakan meter individu dan meter pukal pada setiap pembangunan perumahan bertingkat yang baru. Tan Sri Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor 20 September 2012 |
Tiada krisis air di S’ngor, iklan komersil didalangi Umno BN – Azmin Posted: 25 Sep 2012 07:50 PM PDT (Oleh Mohd Martin Kahar) KUALA LUMPUR 24 September: Pengerusi KEADILAN Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, penggambaran iklan berkaitan masalah air di Selangor merupakan propaganda Kerajaan Pusat kononnya berlakunya krisis air di negeri tersebut. Ahli Parlimen Gombak itu berkata, pembikinan iklan yang didalangi Umno BN itu bertujuan memburuk-burukkan pentadbiran Pakatan Rakyat kononnya gagal mengatasi masalah air. "Kita telah jelaskan pada rakyat tiada krisis air di Selangor. Apa yang berlaku adalah kita hanya kekurangan air terawat. "Air terawat ini bukan tanggungjawab kerajaan negeri tetapi di bawah tanggungjawab Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor). "Jika Syabas gagal menguruskan dengan baik (masalah air), kerajaan negeri mendesak supaya konsesi ini dibatalkan dan pengurusan air dikembalikan kepada kerajaan negeri," katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini. Malaysiakini melaporkan, satu penggambaran iklan berkaitan masalah air dijalankan secara rahsia di sebuah blok pangsapuri di Petaling Jaya. Produksi periklanan dikatakan membayar penduduk setempat RM50.00 untuk melakonkan babak orang ramai sedang beratur untuk mendapatkan bekalan air daripada lori bekalan air. Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa berkata, rakyat Selangor sudah matang dan tidak mudah percaya dengan isu yang cuba dimainkan Umno BN. Katanya, rakyat Selangor juga sudah menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya memerintah jauh lebih baik berbanding BN. |
Sokongan kepada PR meningkat, populariti Najib merudum – Kajian UM Posted: 25 Sep 2012 07:41 PM PDT KUALA LUMPUR: Kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya (UM) menunjukkan sokongan ke atas Pakatan Rakyat (Pakatan) meningkat sekarang berbanding dengan kajian yang dibuat pada awal tahun ini. Sokongan juga meningkat ke atas kerajaan Pakatan di Selangor dan juga Kedah, namun sedikit penurunan di Kelantan. Kajian itu juga menunjukkan penurunan terhadap keyakinan rakyat bahawa BN akan terus menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum nanti. Kajian itu dibuat oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) bertajuk Pola Pengundian Menjelang Pilihanraya Umum ke-13. Kajian terbaru yang dibuat adalah pada 1 hingga 16 September 2012 di seluruh Semenanjung Malaysia. Kajian sebelum ini dibuat dalam tempoh 31 Mac 2012 hingga 15 April 2012. Bilangan responden ialah 1536. Kajian dilakukan secara bersemuka dengan melibatkan etnik Melayu, etnik Cina dan etnik India. Pemilihan responden dipilih secara rawak dengan soalan kaji selidik berstruktur. Ditanya, parti mana akan menang dalam PRU-13, kajian Mac hingga April menunjukkan keyakinan kepada BN akan menang adalah 49% sedangkan kajian terbaru menunjukkan penurunan kepada 44% sahaja. Keyakinan kepada kerajaan Pakatan di Selangor juga meningkat dengan ketara dari 38% kepada 50% manakala untuk BN dari 28% jatuh kepada 16%. Begitu juga di Kedah. Keyakinan kepada Pakatan naik dari 37% kepada 48% dan kepada BN turun dari 40% kepada 32%. Namun untuk negeri Kelantan, keyakinan kepada Pakatan jatuh sedikit dari 44% kepada 41% manakala BN naik dari 27% kepada 32%. Namun, kecondongan pengundi tetap kepada Pakatan Rakyat. Populariti Najib jatuh merudum Kajian itu juga mendapati, harapan rakyat amat tinggi agar berlaku perdebatan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 72% berharap supaya debat diadakan manakala hanya 17% tidak bersetuju dan 11% tidak pasti. Menurut kajian itu, populariti Najib juga menurun dari 61% pada Mac lalu kepada 58% pada September 2012. – Harakah Daily |
You are subscribed to email updates from PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan