Khamis, 26 Julai 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Rafizi Dakwa SYABAS Cuba Cipta Krisis Air

Posted: 26 Jul 2012 02:29 AM PDT

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa pemegang konsesi air Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menangguhkan bayaran kepada loji rawatan air antara enam hingga tujuh bulan, dengan tunggakan yang meningkat hingga RM2 bilion.

"Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd memungut wang daripada anda dan saya; ia memungut wang daripada keluarga kita, tetapi menyekat wang ini," kata Rafizi dalam satu forum di Subang Jaya pada malam tadi.

Beliau mendakwa SYABAS berusaha untuk mencipta satu krisis air dalam tindakan terdesak untuk membantu Umno merampas semula Selangor dalam pilihan raya akan datang.

Jika masalah ini berterusan, tambahnya, pengerusi eksekutif SYABAS Tan Sri Rozali Ismail terus menikmati gaya hidup "superstar" dengan gaji tahunan sebanyak RM5 juta, walaupun negeri itu mempunyai kadar air tak berhasil yang paling tinggi di negara ini.

"Jika Rozali mahu terus sekat bayaran kepada loji pemprosesan air untuk menghilangkan keupayaan mereka dan mencipta krisis air di Selangor, sekurang-kurangnnya dia boleh lepaskan (gaji) RM5 juta setahun.

"Setuju atau tidak?," soalnya yang disambut dengan jawapan "Ya" oleh para hadirin.

SYABAS merupakan salah satu daripada empat pemegang konsesi pembekal air di Selangor.

Sumber: Malaysiakini

Krisis Air : MTUC Serah Memo Minta SYABAS Jawab Sebelum 7 Ogos

Posted: 26 Jul 2012 02:25 AM PDT

KUALA LUMPUR 26 JULAI : Syabas diberi tempoh sehingga 7 Ogos ini bagi menjawab persoalan berhubung krisis air yang didakwa berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sekiranya tiada jawapan dikemukakan syarikat konsesi air itu sehingga tempoh dinyatakan maka adalah jelas 'krisis air yang berlaku' hanyalah tidak benar dan retorik politik bagi kepentingan pihak tertentu.

Perkara ini dinyatakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago ketika menghantar memorandum kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Gabungan Menentang Penswastaan Air (CAWP) di ibu pejabat syarikat itu di sini pagi tadi.

Beliau berkata, jawapan perlu diberikan berhubung perkara itu bagi mengelak sebarang implikasi negatif kepada orang ramai di Lembah Klang yang bimbang akan krisis tersebut.

"Kita menyerahkan memorandum kepada Syabas dengan menyenaraikaan tujuh isu yang perlu dijawab sebelum kita dapat mengatakan bahawa krisis air ini sebenarnya berlaku. Ketujuh-tujuh isu disenaraikan di sini di mana MTUC dan CAWP mengadakan perbincangan dengan golongan pakar serta ahli akademik yang mahir dalam isu air di mana memberikan kita beberapa panduan.

"Saya minta Syabas memberikan segala jawapan dan maklumat berkaitan malah saya juga meminta kerjasama Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini bertangungjawab dalam isu krisis air ini supaya mengarahkan Syabas melakukan sebelum 7 Ogos ini," katanya dalam sidang media.

Antara yang terlibat dalam penyerahan memorandum itu adalah Senator Syed Shahir Syed Mohamud; Setiausaha Kehormat MTUC, Abdul Halim Mansor dan Presiden Aliran, Sarajun Hoda Abdul Hassan.

Ketujuh-tujuh isu itu ialah pengaliran air mentah dari empangan dan stesen pengepaman ke dalam loji rawatan, bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke loji rawatan masing-masing bagi tempoh yang sama, bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke sistem pengagihan kepada pengguna melalui Syabas, buku log dan meter tentukur yang disahkan, bil-bil elektrik dari 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini, penggunaan kimia bagi tempoh yang sama dan bil pembayaran Puncak Niaga Sdn Bhd kepada Syabas untuk air yang dijual bagi tempoh yang sama.

"Saya fikir dalam kes air di Selangor ia bukan lagi penswastaan tetapi kaedah pelanunan (piratisation)," katanya dengan merujuk Syabas hanya memberikan keuntungan kepada pihak tertentu yang berkepentingan.

Memorandum sama akan turut diserahkan kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Selangor selepas ini.

Sumber: Selangorku

Kakitangan Awam Selangor Terima Bonus Raya Dan Simpanan Selangorku

Posted: 26 Jul 2012 02:23 AM PDT

SHAH ALAM, 26 JULAI : Kerajaan Selangor hari ini meluluskan pemberian bonus setengah bulan gaji atau sekurang-kurangnya RM500 kepada semua kakitangan awam Selangor bagi membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata , Kerajaan Selangor juga memutuskan untuk memberi bonus tambahan dalam bentuk Simpanan Selangorku sebanyak RM200 kepada setiap kakitangan awam.

"Bagi yang beragama Islam, wang ini akan dimasukkan dalam Simpanan Tabung Haji manakala bukan beragama Islam akan diberikan dalam bentuk Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN).

"Kedua-dua bonus ini akan dimasukkan dalam akaun kakitangan awam pada minggu hadapan.

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM20 juta untuk pembayaran bonus dan bonus tambahan Simpanan Selangorku kepada kakitangan awam untuk tahun ini," kata Abdul Khalid dalam kenyataan medianya hari ini.

Abdul Khalid berkata dengan pemberian bonus ini dapat meringankan beban penjawat awam untuk membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Pada masa sama, Kerajaan Selangor mahu menggalakkan kakitangan awam menabung demi masa depan," kata Abdul Khalid.


Sumber: Selangorku

Tiada ulasan: