Isnin, 30 Julai 2012

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Kerajaan BN Sabah pasti tumbang PRU 13 – Kalakau Untol

Posted: 29 Jul 2012 06:50 PM PDT


KOTA KINABALU 29 Julai: Perubahan kerajaan hampir pasti berlaku di Sabah apabila pemimpin berpengaruh meninggalkan Barisan Nasional (BN), kata bekas Timbalan Menteri Kabinet, Datuk Kalakau Untol.
Mengikut sejarah, bekas Timbalan Menteri Buruh antara 1986 hingga 1990 itu, berkata pertukaran kerajaan berlaku setiap kali beberapa pemimpin utama mengubah haluan politik.
Dalam pilihan raya Sabah pada 1967, katanya, kerajaan negeri tumbang apabila beberapa pemimpin Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) menyertai Usno.
Pada 1976, katanya, kerajaan BN tumbang apabila Datuk Salleh Sulung dan Datuk Haris Saleh meninggalkan Usno yang menjadi kerajaan ketika itu.
"Kerajaan yang dipimpin Parti Berjaya itu juga tidak kekal apabila Datuk Seri Pairin Kitingan dan Mark Kodding keluar parti dan menubuhkan PBS pada 1985.
"Namun kerajaan PBS itu pula tumbang walaupun menang pilihan raya negeri dengan kehilangan banyak kerusi, apabila BN melakukan rampasan kuasa seumpama di Perak," katanya kepada Keadilan Daily.
Kalakau adalah Ketua Pemuda UPKO selama 12 tahun sejak 1985 sebelum meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat pada 16 Februari 2010.
Beliau juga adalah presiden Persatuan Dusun Sabah Bersatu (Usda) dan pernah berkhidmat sebagai Senator sehingga tamat penggalnya pada Disember 2005.
Kalakau percaya, kerajaan BN Sabah bakal tumbang berikutan gerakan Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan Pakatan Perubahan Sabah yang diterajui pemimpin berpengaruh.
APS yang didominasi suku etnik Kadazan-Dusun-Murut, diketuai Ahli Parlimen Tuaran dari BN, manakala PPS yang dominasinya Melayu-Islam diterajui Datuk Seri Lajim Ukim.
"Apabila masyarakat Kadazan-Dusun-Murut dan Melayu-Islam bersatu, perubahan politik di peringkat negeri pasti terjadi.
"Ia tentunya melakar kemenangan dan meroboh kerajaan BN Sabah, sekali gus melengkapkan lanskap perubahan politik di Malaysia," katanya.

Penyertaan 2 Ahli Parlimen BN Sabah jadi titik peralihan – Anwar

Posted: 29 Jul 2012 06:42 PM PDT

dipetik daripada Keadilan Daily


KOTA KINABALU 30 Julai: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyertaan dua pemimpin berpengaruh di Sabah, sebagai titik peralihan dalam senario politik negara kali ini.
Ketua Pembangkang itu berkata, kesabaran rakyat sudah memuncak manakala pemimpin dalam BN sendiri sudah bosan dipermainkan pucuk pimpinan.
"Ini turning point (titik peralihan) dalam politik negara. Kali ini, kita akan bantu kemenangan Pakatan dengan menumbangkan BN," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Angkatan Perubahan sabah (APS) di Tuaran di sini, hari ini, yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.
APS yang diterajui Datuk Seri Wilfred Bumburing adalah gerakan masyarakat Kadazan-Dusun-Murut yang menyokong Pakatan Rakyat untuk mentadbir Sabah dan memerintah Malaysia.
Terdahulu, Wilfred pada majlis sama mengisytihar keluar BN dan menyokong Pakatan.
Selepas majlis itu, Anwar akan bertolak ke Beaufort untuk menghadiri majlis pelancaran Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang diterajui Datuk Seri Lajim Ukim.
Lajim – Ahli Parlimen Beaufort dan Timbalan Menteri Kabinet, mengumumkan peletakan semua jawatan dalam Umno dan menyatakan sokongannya kepada Pakatan semalam.

MP Tuaran keluar BN, sokong Pakatan

Posted: 29 Jul 2012 06:40 PM PDT


MP Tuaran Datuk Seri Wilfred Bumburing hari ini mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan daripada parti Upko dan  seterusnya menyokong Pakatan Rakyat.

Katanya, beliau telah berbincang dengan beberapa orang anggota jawatankuasa tertinggi dan ketua bahagian Upko dan akan meninggalkan BN.

Beliau berkata demikian di majlis pelancaran Angkatan Perubahan Sabah (APS) di Tuaran.
"Saya masih setia kepada Upko tetapi meletak jawatan dari BN," katanya.

Bumburing sebelum ini meletak jawatan sebagai pengerusi BN kawasan tersebut tanpa mengemukakan apa-apa sebab.

Beliau hari ini berkata kekecewaannya ke atas janji BN yang tidak ditepati dan peningkatan jumlah imigran tanpa dokumen serta royalti petroleum menyebabkan beliau bertindak demikian.
Sementara itu Bernama melaporkan pengumuman itu dibuat dalam satu majlis yang dihadiri oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dalit.

Bumburing berkata beliau bersama beberapa pemimpin akar umbi UPKO yang lain telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada ibu pejabat parti berkenaan minggu lepas.

"Setelah mengambil kira semua faktor, saya dengan ini mengumumkan keluar BN," katanya.

Beliau turut mengumumkan penubuhan Angkatan Perubahan Sabah atau Sabah Reform Front.
Pada 23 Julai lepas, Bumburing yang juga Anggota Parlimen Tuaran meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN Tuaran.

Semalam, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort berkuatkuasa serta merta dan mengumumkan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS).

Tiada ulasan: