Isnin, 23 Julai 2012

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Catuan Air Hanya Gimik Politik UMNO/BN

Posted: 23 Jul 2012 04:08 AM PDT

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tiada keperluan untuk membuat catuan air di Selangor dan Kuala Lumpur buat masa sekarang jelas membuktikan isu air dijadikan gimik politik untuk menimbulkan prasangka buruk terhadap kerajaan Selangor.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pula menjadi alat UMNO untuk mengugut Kerajaan Selangor supaya memberi kelulusan pembinaan Loji Pembersihan Air Sungai Langat atau Langat 2.

Kerajaan Pusat sebenarnya tiada pun penyelesaian kukuh dalam menambahbaik bekalan dan pengurusan air terawat. Malah, mereka cuba mensabotaj usaha Kerajaan Selangor melakukan perkara yang betul demi melindungi kepentingan rakyat.

Kerajaan Pusat tiada perancangan bagaimana Langat 2 akan menyelesaikan kekurangan air sedangkan Kerajaan Negeri telah menyediakan pelan menerusi projek mitigasi air bernilai RM225 juta. Justeru, perlu ada jawatankuasa bebas yang akan menentukan projek mana yang lebih efektif menyelesaikan kekurangan air terawat tetapi pada kos murah.

Kerajaan Pusat Barisan Nasional perlu mengakui kesilapan ketika menandatangani Perjanjian Penswastaan Air pada 2004 dan kesilapan itu tidak boleh diperbetulkan sehingga sekarang.

Kerajaan Selangor mempunyai kuasa untuk mengambil alih SYABAS mengikut Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA). Keputusan Kerajaan Pusat untuk menghalang usaha ini jelas menunjukkan Kerajaan BN lebih menyebelahi syarikat korporat yang ada kaitan langsung dengan UMNO bukannya melindungi kepentingan rakyat.

Kita menyeru rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mempertahankan hak mereka dan mengelak dimanipulasi pihak berkepentingan yang mahu mengaut keuntungan atas kos yang ditanggung rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet, Muhyiddin, sebenarnya tiada pengalaman dan tidak menyumbangkan sebarang idea bernas dalam pengurusan air. Malah, ketika beliau menjawat Menteri Besar Johor, beliau telah menjadikan tariff air di negeri itu antara tertinggi di negara ini.

Ada juga usaha untuk menswastakan air kepada syarikat korporat MMC Corp Bhd yang dimiliki Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bulkhary dan ini sudah tentu akan meningkatkan beban rakyat. Rakyat Johor berdepan dengan tariff air pada kadar tidak munasabah dan tidak mungkin menerima air percuma seperti di Selangor.

Kerajaan Barisan Nasional mungkin mahu menggadaikan hak rakyat Johor, tetapi kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan berdiam jika ada pihak yang mengambil untung atas kesusahan rakyat.

YB ELIZABETH WONG
EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Kerajaan Negeri Belanja RM225 juta Untuk Projek Tebatan Sungai di Selangor

Posted: 23 Jul 2012 03:15 AM PDT

The Malaysian Insider

Kerajaan negeri Selangor akan membelanjakan RM225 juta jika kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan enggan memberi dana untuk projek tebatan melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) di loji Sungai Selangor 1 (SSP1) dan loji Sungai Selangor 3 (SSP3) di Sungai Selangor.

Menurut Exco Dr Xavier Jayakumar, pemohonan untuk pinjaman bagi projek itu telah dipohon pada awal tahun ini tetapi masih tiada sebarang respon dari Kementerian Kewangan.

Dr Jayakumar mengadakan sidang akhbar selepas melawat loji rawatan air di Precint 19, Putrajaya. Di sebelah kanan adalah Pengurus Besar Operasi ABBAS, Basar Ishak. â€" Foto oleh Saw Siow Feng
Dr Jayakumar berkata, projek ini penting untuk memastikan kadar air tidak dirawat (NRW) mesti dikurangkan dan tarif air mestilah adil dan mampu dimiliki oleh rakyat, dan memastikan bahawa kenaikan harga air hanya sekitar 12 peratus sahaja.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Andalas itu lagi, kenaikan harga oleh SYABAS sepanjang satu setengah tahun dari 2010 ialah sebanyak 34 peratus, dan 5 peratus sepanjang tahun ini.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga bersedia untuk membelanjakan hingga RM300 juta untuk belanja tambahan untuk meningkatkan teknologi untuk meningkatkan pengeluaran air terawat untuk tambahan 100 ke 150 juta liter sehari (MLD).

“Sebenarnya tidak ada krisis seperti didakwa oleh pihak SYABAS. Contohnya, menurut angka yang diberikan ABASS (syarikat air negeri) kepada kami, bekalan air dibekalkan ke Seri Kembangan secara berterusan walaupun itu merupakan kawasan bekalan dari pihak SYABAS,” katanya dalam sidang media selepas diberi penerangan selama sejam oleh pegawai ABASS di loji rawatan di Precint 19, Putrajaya hari ini.

“Keengganan SYABAS untuk berbincang dengan kami juga menyebabkan kesukaran kami untuk menyelesaikan masalah ini.

“Oleh itu kerajaan negeri telah bersedia untuk mengambil alih kesemua dari 33 loji rawatan bekalan air di Selangor.”

Kerajaan negeri melalui ABASS memiliki 4 daripada 33 loji rawatan bekalan air di seluruh negeri Selangor untuk bekalan air di seluruh negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kerajaan negeri juga mahu bertindak membawa SYABAS ke mahkamah kerana melakukan jenayah mengugut rakyat Selangor kerana memberitahu kepada umum terdapat krisis air akan berlaku walaupun angka-angka tersebut tidak mengatakan demikian.

“Ini adalah jenayah SYABAS kepada rakyat Selangor dengan menakutkan rakyat Selangor dengan krisis bekalan air seterusnya berlaku catuan.”

Katanya lagi, projek ini siap pada 2015 agar tidak berlaku krisis air nanti.

Beliau juga berkata kerajaan negeri menimbang untuk teknologi membran seperti yang digunakan oleh Wessex Waters di United Kingdom.

“Satu kebaikan teknologi ini, ianya mudah digunakan tanpa mengganggu bekalan air semasa penambahbaikan nanti,” kata beliau.

Demo Lebih Besar Jika Syabas Masih Degil

Posted: 23 Jul 2012 02:33 AM PDT

KeadilanDaily

Lebih 100 peserta berhimpun di hadapan Wisma Rozali dekat sini bagi menyatakan sokongan kepada langkah kerajaan Selangor untuk mengambil alih pegangan konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Antara yang hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei; Timbalan Pengerusi KEADILAN (AMK) Selangor yang juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ketua Angkatan Muda (AMK) KEADILAN Selangor, Azmizam Zaman Huri.

Turut serta, Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian Majlis Pimpinan Wanita Pusat, Tengku Intan Tengku Abd Hamid atau dikenali Dayangku Intan.

Himpunan bermula jam 12.00 tengah hari dan mereka berarak kira-kira 100 meter dari pintu masuk pasaraya Giant menuju pintu hadapan Wisma Rozali.

Peserta turut melaungkan slogan ‘Kembalikan air kepada rakyat’, ‘Hentikan catuan air’, ‘Pecat Tan Sri Rozali dan ‘Syabas jadi alat Umno.

Selain itu, kain pemidang tertera kenyataan ‘Kerajaan Selangor segera ambil alih Syabas’, ‘Syabas peras ugut rakyat Selangor’, ‘RM8.65 bilion terlalu mahal’ dan ‘Rakyat Selangor hilang air percuma’ turut dinaikkan.

Selepas berunding selama 15 minit, memorandum mengandungi tujuh tuntutan yang didraf AMK Selangor berjaya diserah kepada Ismail Hashim, Pengarah Eksekutif & Pentadbiran Sumber Manusia Syabas.

Antara tuntuan tersebut adalah membantah catuan bekalan air di Selangor oleh Syabas dan menyerahkan operasi air terawat kepada kerajaan negeri.

Memorandum turut membantah pembinaan Loji Langat 2 yang menelan belanja RM8.65 bilion.

Azmizam berkata, jika pentadbiran Syabas tidak mendengar suara mereka dan Rozali masih tidak meletakkan jawatan, satu himpunan lebih besar akan diadakan sebagai sokongan kepada kerajaan negeri untuk mengambil alih pemegang konsesi air tersebut.

Awal minggu lalu, Syabas mengumumkan Selangor kini berdepan krisis bekalan air dan menyatakan hasrat untuk mencatu bekalan air di negeri itu, jika kerajaan negeri menolak pembinaan Loji Langat 2 .

Bagaimanapun, keputusan itu mendapat tentangan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menegaskan bekalan air di Selangor masih mencukupi.

Khalid yang ragu dengan keputusan Syabas mengumumkan penstrukturan semula bagi mengelakkan penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menanggung kenaikan tarif air sebanyak 50 peratus.

Tiada ulasan: