The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Lawatan Kerja Biro Masyarakat Felda ke Sabah Posted: 27 Mar 2012 07:46 AM PDT Kami bertolak ke Sabah menuju Tawau pada 23hb Mac 2012 jam lebih kurang 7.20 pagi dan sementara menunggu penerbangan kami berehat dahulu di LCCT. Penerbangan ke Tawau mengambil masa lebih kurang 3 jam lebih, dan setelah hampir 3 jam di perut kapal terbang, kaptain kapal mengumumkan ada sedikit kerosakan teknikal dan penerbangan terpaksa dilencung ke Kota Kinabalu. Kami mendarat di Kota Kinabalu jam lebih kurang 10.30 pagi untuk membaiki kerosakan teknikal yang dikatakan kerosakan kepada sistem air-condition. 2 jam lebih kami berehat di lapangan terbang Kota Kinabalu dan akhirnya diberitahu bahawa kerja-kerja membaikpulih kerosakan teknikal telah selesai dilakukan dan kami dipinta memasuki pesawat semula. Seorang kakitangan syarikat penerbangan itu memberitahu kami bahawa kerosakan kepada enjin kapal terbang itu telah diperbaiki. Kerosakan enjin? Yang diberitahu kepada kami adalah aircondition, bukan enjin. Tetapi tentu kaptain kapal itu lebih mengetahui bagaimana untuk mengelakkan keadaan panik jika diberitahu kerosakan kepada enjin. Syukurlah kami semuanya selamat. Kami tiba di Lapangan Terbang Tawau jam menghampiri 1.40 petang; dari sana kami dibawa oleh petugas-petugas PKR yang menunggu kami di Airport ke sebuah Restoran Nasi Ayam di Bandar Tawau. Selesai makan kami dibawa ke Pejabat PKR Cabang Tawau. Sedia menunggu disana adalah rakan-rakan pimpinan terdiri daripada Dato Kong Hong Min dan Sdr Ahmad Tamrin. Dato Kong adalah Ketua PKR Cabang Tawau yang juga bertugas sebagai Pengarah Pilihanraya PKR Negeri Sabah, manakala Sdr Ahmad Tamrin adalah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah. Majlis itu disertai juga oleh YB Zuraida dan rombongan pimpinan Wanita PKR Pusat dan Sdr Shamsul Iskandar, Ketua AMK PKR Pusat. Majlis ceramah dan taklimat di PKR Cabang Tawau selesai jam lebihkurang 5.00 petang. Dato Kong telah membawa kami ke Hotel penginapan kami. Setelah selesai membersihkan diri, kami dibawa makan makanan Sea Food. Jam 7.00 malam kami dibawa ke program ceramah di Kg Batu Dua Apas. Dato Kong melahirkan perasaan terperanjat beliau kerana beliau hanya menjangkakan kehadiran tidak akan melebihi 50 orang. Pada pilihanraya 2008 dulu, PKR tidak dapat menembusi kampong ini kerana kampong ini merupakan kampong UMNO tegar. Beliau terperanjat dengan kehadiran yang begitu ramai, penuh didalam Dewan dan penuh pula di luar Dewan; kaum wanita yang begitu ramai juga memberikan impression di luar dugaan. Ceramah di Sabah bermula jam 7.30 malam dan berakhir 10.30 malam atau tidak lewat dari jam 11.00 malam, kalau lebih dari itu, ceramah itu akan hanya tinggal kerusi sahaja. Selepas ceramah kami kembali ke Hotel, dan selepas solat jamak Isya-Maghrib, kami terus memejamkan mata, kerana pagi-pagi esuk, jam 4.00 pagi, kami terpaksa bangun, bersihkan diri, solat Suboh dan berlepas pula menuju Lahat Datu. Suboh masuk pada jam 4.59 pagi. Selepas solat Suboh kami menaiki 2 kenderaan pacu 4 roda menuju ke Lahat Datu. Perjalanan itu mengambil masa lebih dari 2 jam. Sesampai di Lahat Datu kami mengambil breakfast. Di Restoran itu beberapa rakan dari NGO yang melibatkan diri dengan perjuangan mempertahankan tanah NCR datang untuk minum pagi bersama-sama. Dato Kong adalah ketua NGO tersebut. Selesai breakfast kami terus pergi ke Pejabat PKR Cabang Silam, dan di sana kami diberitahu bahawa Sdr Johani, Ketua PKR Cabang Silam telah berlepas lebih awal ke Kg Tambisan. Beliau terpaksa meninggalkan Lahat Datu lebih awal kerana berlaku masalah teknikal di tempat ceramah. Dewan yang telah diluluskan kepada PKR mengadakan ceramah telah dibatalkan serta merta pagi itu, dan Johani terpaksa ke kampong tersebut untuk mendapatkan tempat ceramah gantian. Di Pejabat PKR Silam, kami sempat mengambil gambar foto sebelum berangkat ke Kg Tambisan. Perjalanan dari Lahat Datu ke Kg Tambisan mengambil masa lebih kurang 2 jam. 5 buah kenderaan pacuan 4 roda berkonvoi ke Kg Tambisan, oleh kerana jalan yang sangat buruk kami sampai di Kg Tambisan jam lebihkurang 12.00 tengah hari. \Memandangkan masa yang sudah begitu suntuk maka hanya Dato Kong dan saya sahaja yang berceramah sebelum Dialog dan Sdr Ahmad Tamrin menutupkan Majlis. Selesai Majlis Dialog kami dihidangkan makan tengah hari. Kg Tambisan adalah kampong dipinggir laut, dan disana dikatakan tempat ikan yang banyak, dan hidangan tengah hari itu adalah hidangan ikan bakar berbakar jenis. Selesai di Tambisan, kami berkejar ke luar dari kampong itu kerana cuaca sudah begitu gelap dan jika hujan turun sudah pasti kenderaan kami tidak boleh keluar. Kami sampai di Felda Cenderawasih jam lebihkurang 4.30 petang. Setelah minum petang, kami dibawa ke sebuah rumah peneroka untuk Majlis Dialog disana. Saya, Sdr Rebin, Sdr Zabidie dan Sdr Pak Jabit membuka luang dialog dengan masing-masing membicarakan isu-isu yang dihadapi oleh peneroka-peneroka Felda. Peneroka-peneroka yang hadir itu adalah terdiri daripada peneroka-peneroka yang berani kerana peneroka di kawasan ini sekali-kali tidak dibenarkan menghadiri Majlis yang dianjurkan itu dengan pelbagai ugutan termasuk diugut akan dipecat dari rancangan Felda. Selesai di Cenderawasih kami kembali semula ke Lahat Datu dan sampai di Pejabat PKR Cabang Silam lebihkurang jam 8.00 malam untuk menghadiri Majlis Taklimat dengan Jawatankuasa dan Jentera Pilihanraya PKR Cabang Silam. Majlis selesai jam lebihkurang 10.00 malam. Kami kemudian dibawa ke Hotel tempat penginapan kami. Pada 25hb Mac 2012, rakan-rakan dari PKR Cabang Kalabakan bertanggungjawab untuk mengambil kami dari Lahat Datu ke Marotai. Tetapi memandangkan bahawa perjalanan dari Tawau ke Lahat Datu mengambil masa dua jam, saya memberitahu Sdr Irianshah, Ketua PKR Cabang Kalabakan bahawa rombongan saya akan menaiki teksi sahaja dan bertemu dengan rakan-rakan dari Kalabakan di Tawau untuk pergi ke Marotai. Di Kalabakan sepatutnya ceramah diadakan di Felda Umbas-Umbas, tetapi telah dihalang dengan begitu hebat oleh pengurusan Felda disana, bahkan Pegawai yang berkenaan mengatakan bahawa beliau boleh memberikan ceramah itu diadakan di dalam rancangan Felda tetapi beliau sendiri akan menanggung risiko samada ditukarkan jauh dari sana atau diberhentikan kerja. Oleh itu ceramah dan Majlis Dialog yang sepatutnya diadakan di dalam rancangan Felda telah dibuat jauh dari kawasan rancangan Felda di sekolah pasti di Marotai. Di Marotai saya dikehendaki membentangkan isu-isu yang menimpa peneroka-peneroka Felda dan Orang Asal, Orang Asal di Marotai menghadapi masalah mereka dihalau keluar dari ladang-ladang mereka dan rumah-rumah mereka dibakar. Saya mengarahkan kepada mereka supaya membentuk satu Jawatankuasa Bertindak dan melalui Ketua Cabang Kalabakan menyerahkan kes mereka kepada Dato Kong untuk dibawa ke Mahkamah. Selesai ceramah/dialog di Marotai, kami kembali ke Hotel penginapan dan pada jam 8.00 malam Sdr Irianshah, Ketua Cabang dan Tuan Haji Manis, Ketua Penerangan Cabang Kalabakan menjemput kami untuk makan malam - penutup program kami di Sabah dengan makanan Sea Food, Udang, Ketam, kerang dll. Selesai sudah program kami di Sabah. Yang tak dapat kami sempurnakan ialah pertemuan di Semporna yang dianjjurkan jam 10.00 pagi pada 26hb Mac 2012 kerana pada jam 10.00 pagi itu kami sudah berlepas ke Semenanjung, satu kesilapan pengaturan jadual, dan saya dikehendaki hadir sekali lagi untuk kawasan-kawasan Semporna dan Sandakan. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan