Jumaat, 17 Februari 2012

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Perasmian Penubuhan Parti Keadilan Nasional Negeri Pahang oleh Dato Seri Wan Azizah Wan Ismail pada tahun 1999 di Kg Paya Jauh

Posted: 17 Feb 2012 08:20 PM PST





Berlangsung  di Kg Paya Jauh, Temerloh, Pahang Dato Seri (semasa itu Datin Seri) Wan Azizah Dato Wan Ismail telah merasmikan Penubuhan Parti Keadilan Nasional dihadapan tidak kurang 10,000 hadirin.

Semasa perasmian itu, padang bola kampong Paya Jauh itu sudah padat dengan manusia, tetapi ribuan manusia lagi sedang berjalan kaki dari Jalan Maran menghala ke Kg Paya Jauh.  Jaraknya Jalan Maran dengan Kg Paya Jauh adalah lebih dari 3 km, penuh sesak dengan pejalan-pejalan kaki.

Turut hadir didalam Majlis itu adalah Dr Syed Husin Ali, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat, yang pada waktu itu sedang berbincang dengan pimpinan PKN untuk menggabungkan kedua-dua parti itu.

Tuan Guru Haji Baki, Pesuruhjaya PAS Pahang pada waktu itu turut hadir.

Majlis perasmian ini dijadualkan berlangsung di Dewan Tun Razak di Bandar Temerloh.  Permit Polis telah diluluskan dan bayaran sewa Dewan telah dibayar.  Namun sehari sebelum Majlis berlangsung, saya, selaku Ketua PKN Bahagian Temerloh, menerima talipon dari OCPD Temerloh mengatakan permit polis telah ditarik balik.

Saya bersama Surina Suhaimi, Ketua Wanita PKN Bahagian Temerloh pada waktu itu, bergegas menemui OCPD untuk menyatakan bantahan kami.  OCPD yang mengambil approach yang berlembut mengatakan bahawa beliau mendapat arahan dari atas, dan beliau sendiri bersimpati dengan keadaan yang kami lalui.

Saya meminta permit alternatif untuk mengadakan Majlis itu di Kg Paya Jauh.  Beliau menyatakan bahawa semua permit tidak akan dikeluarkan kerana demikianlah arahan yang diterimanya, dan beliau dengan muka senyum mengatakan bahawa jika saya teruskan juga majlis di mana-mana didalam kawasan Daerah Temerloh, saya akan ditangkap.

Bukanlah saya berani sangat, tetapi saya cabar OCPD supaya menangkap saya kerana saya tetap akan adakan juga Majlis Perasmian Penubuhan Parti Keadilan Nasional Negeri Pahang pada tarikh yang ditetapkan itu.

Saya telah bertemu dengan seorang anak muda Kg Paya Jauh dan beliau menawarkan sebuah rumah dihadapan padang bola Kg Paya Jauh.  Saya bersetuju setelah melihat kedudukan rumah itu yang betul-betul berhadapan dengan padang bola.

Saya mengambil sebuah bilik di sebuah Hotel di Temerloh untuk menempatkan Datin Seri Wan Azizah dan rombongannya apabila sampai di Temerloh nanti dan menyediakan tempat makan malam di rumah Mak Ngah saya dibelakang hotel itu.

Berita yang kami terima daripada petugas-petugas kami bahawa Polis akan sedaya upaya menyekat kehadiran Datin Seri Wan Azizah ke Kg Paya Jauh, dan lapisan sekatan polis telah diadakan, dan semua jalan masuk akan ada sekatan, semua kenderaan, kereta dan motosikal akan diberhentikan dan semua penumpang akan dilihat polis.

Mereka merancang, Allah juga merancang.  Setiausaha Parti Keadilan Nasional Bahagian Temerloh, Sdr Hamzah (kini sudah meninggal dunia), telah membuat satu perancangan yang rapi dengan hanya memberitahu saya sahaja akan perjalanan untuk membawa Datin Seri, dan Datin Seri dapat dibawa ke Kampong Paya Jauh dengan langsung tidak dapat dikesan oleh Polis.

Yang peliknya, semua orang lain tidak dihalang, yang dihalang hanyalah Wan Azizah.

Di tempat perasmian, diatas pentas yang disediakan oleh penduduk Kg Paya Jauh, saya tidak mengambil masa panjang kerana pada waktu itu pentas tersebut sudah dikepung oleh Polis, ada yang bersenjata, saya tidak menjemput penceramah-penceramah lain dan terus menjemput Datin Seri Wan Azizah berucap untuk merasmikan Penubuhan Parti Keadilan Nasional Negeri Pahang.

Beliau berucap ringkas dan merasmikan Penubuhan tersebut.  Kemudian saya mengundang Yang Berbahagia Tuan   Guru Haji Baki membacakan Doa.

Hampir satu jam Doa dibacakan.

Dari sebelum perasmian, sehingga ucapan Wan Azizah, sehingga kepada bacaan Doa, beberapa orang Polis berpangkat tidak kurang dari Inspektor merapati saya menyatakan bahawa jika Majlis itu tidak dihentikan mereka akan menangkap saya.  Saya sudah redho untuk ditangkap pada waktu itu.  Lagi pun, sebelum itu saya sudah dua kali ditangkap dan disumbatkan kedalam ISA, apalah sangat tangkapan kali ketiga.  Jika berlaku maka berjayalah saya mendapatkan ijazah PhD.  Yang pertama Ijazah serjana, kedua Master dan ketiga PhD.

Akhirnya Dr Syed Husin memberiitahu saya supaya menjauhkan diri saya daripada Polis-Polis yang merapati saya itu.

Selepas Majlis itu kami lebih kurang 200 orang anggota-anggota PKN beredar ke Hotel Seri Malaysia, kami booking dewan hotel itu diatas nama sebuah syarikat mlm kononnya untuk menerangkan produk mlm, dan dapatlah Wan Azizah berucap panjang dan Dr Syed Husin juga turut berucap.

Itulah penubuhan Parti Keadilan Nasional Negeri Pahang yang penuh berliku.

Jawatan saya didalam PKN pada waktu itu adalah Ketua Penerangan PKN Negeri Pahang, Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya PKN Pahang dan Ketua PKN Bahagian Temerloh.

Tiada ulasan: