The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
- Rosni Arshad, Keratong 6
- Ceramah di 4 tempat di Melaka pada 4.2.12
- Orang Asal di Kg Bukit Putus, Alor Gajah
- PRU-13 penanda tamatnya pemerintahan UMNO/BN
Posted: 06 Feb 2012 01:44 AM PST Malam tadi saya bermalam di rumah Sdr Rosni Arshad di Felda Keratong 6. Saya tertanya-tanya siapakah gerangan sebenar Sdr Rosni ini kerana di dinding rumahnya terlekat gambar-gambar yang membuatkan saya tertanya-tanya. Kemudian dia keluarkan beberapa buah kitab lama ada yang bertulis tangan dan ada yang dicitak. Beliau menceritakan bahawa dia adalah anak Banjar dari keturunan Sheikh Arshad Al-Banjari, dan beliau adalah dari generasi yang ke sepuluh. Sheikh ArshadAl-Banjari ini adalah seorang ulamak yang terkenal dan peninggalannya adalah kitab-kitab lama yang ditunjukkan kepada saya. Bahkan ayah kepada Rosni sendiri juga adalah seorang alim dan menulis juga kitab mengenai solat dengan tulisan tangan (Jawi) yang begitu cantik. Di sekeliling rumah Rosni pula tertanam pelbagai tumbuhan-tumbuhan yang boleh digunakan untuk perobatan tradisional dan beliau menyatakan bahawa ayahnya adalah seorang pengamal perobatan tradisional. Saya dibekalkan dengan bermacam-macam pokok untuk ditanam dan yang pernah beliau berikan kepada saya dahulu pun sudah tumbuh dengan baiknya. |
Ceramah di 4 tempat di Melaka pada 4.2.12 Posted: 06 Feb 2012 01:31 AM PST Saya dijemput ke Melaka oleh Sdri Ginie Lim untuk membantu beliau dikawasam DUN Machap, kawasan yang ditandinginya pada Pilihanraya Umum 2008 pada 4hb Februari 2012. Dari jam 8.00 pagi, petugas-petugas parti dari DUN Machap telah menjalankan kerja di Felda Menggong, Felda Bukit Bulat dan di Felda Hutan Percha, dengan mengedarkan risalah-risalah parti dan di Felda Bukit Putus pula mereka mengedarkan juga jemputan untuk menghadir Majlis Ceramah-cum-Dialog pada jam 4.00 petang. Sdr Shamsul Iskandar dan saya sendiri dijemput selaku penceramahnya. Saya sampai di Tampin, N. Sembilan jam lebih kurang 3.00 petang; Ginie sudah pun berada di Tampin. Saya dan Kak Hendon singgah di Tampin untuk makan tengah hari. Selepas itu kami terus ke Kg Bukit Putus sebuah perkampongan Orang Asal. Kampong ini kecil sahaja, dan saya dijemput kesana untuk mengadakan perbincangan dengan penduduk kampong itu, dan penduduk disitu memberikan pandangan yang agak baik bagaimana untuk melindungi tanah Orang Asal. Jelas dari perbincangan itu bahawa Orang Asal tidak tamak, mereka mahu sekadar untuk kehidupan mereka, bukan melambakkan harta, dan mereka merasakan bahawa Kerajaan UMNO/BN ini gagal melakukan sesuatu untuk kepentingan OA. Sehabis kami di Bukit Putus, kami pergi pula ke Felda Bukit Bulat. Majlis itu adalah untuk ceramah dan dialog. Dari kawasan sebelah rumah ada beberapa Orang UMNO yang menjadi kaki sorak. Kerja mereka adalah seperti orang bodoh sahaja kerana setiap penghabisan ayat yang diucapkan akan dibalas dengan sorakan "BOHONG, TIPU". Sorakan menjadi lebih ketara apabila Sdr Shamsul Iskandar berucap. Dan apabila majlis dibukakan untuk ceramah, salah seorang daripada ahli UMNO itu bernama Untung, cuba mempertikaikan bahawa Felda menipu peneroka-peneroka mengenai peratusan perahan KPG. Dia menyatakan bahawa peneroka-peneroka Bukit Bulat dan Menggong mendapat peratusan yang sangat tinggi iaitu 18/75%. Tetapi apabila saya dedahkan bahawa kebanyakan Kilang Felda di Negeri Pahang dan Negeri Sembilan sudah pun memberikan peratusan perahan KPG sebanyak 20-22%, dia terdiam. Dan dia lagi terdiam apabila saya dedahkan bahawa di kawasan Jengka, peratusan perahan KPG yang dianalisa oleh Makmal Felda di Sg Tekam adalah 27%, dan saya buatkan kiraan bahawa sebelum ini Peneroka Felda Jengka 9 hanya memperolehi 17% sahaja. Baki beza 10% itu membawa kerugian kepada peneroka-peneroka sebanyak lebih kurang RM2500.00 setiap bulan dan menghampiri RM400,000 untuk tempoh 15 tahun. Dia marah apabila saya katakan Felda menipu, dan apabila saya katakan bahawa Felda telah memanipulasikan pendapatan peneroka, dia setuju dengan perkataan manipulasi itu, dan apabila saya katakan bahawa "manipulation" dalam bahasa Inggeris itu bersamaan juga dengan "tipu" dalam bahasa Melayu, dia terdiam apabila orang ramai ketawakan dia. Mengenai hutang pula dia (Untung) menyarankan hutang perlu dibayar, dan peneroka-peneroka perlu membayar hutang mereka kepada Felda. Saya bersetuju bahawa hutang mesti dibayar, dan didalam perkiraan yang ringkas didapati bahawa sesungguhnya Felda yang berhutang dengan peneroka paling kurang RM150,000.00 didalam tempoh 5 tahun hasil sudah dapat dikeluarkan, maka oleh kerana hutang mesti dibayar, saya tekankan bahawa Felda wajib membayar hutang kepada peneroka-peneroka. Didalam isu Felda Plantation yang bakal dicagarkan oleh Felda kepada FGVB untuk penyenaraian di Bursa Saham, saya mengatakan bahawa hajat dari PR untuk mengagih-agihkan tanah ladang itu kepada generasi ke-dua dan ke-tiga akan tergendala, dan jika generasi ke-dua dan ke-tiga berhajat kepada tanah, maka mereka kenalah bersatu dengan mengundi Pakatan Rakyat dan menggulingkan UMNO BN, mendapat sokongan baik dari kalangan anak-anak muda yang menghadiri Majlis tersebut. Dan akhirnya anak-anak muda yang turut bersorak bersama-sama Untung itu datang bersalam dengan saya menandakan bahawa anak-anak muda itu turut memberikan sokongan kepada perjuangan yang dibawakan oleh Pakatan Rakyat. Selepas selesai Dialog di Bukit Bulat, saya terus pergi ke Batu Berendam ke rumah kakak ipar saya di Taman Ehsan, tempat yang saya akan menginap pada malam itu. Setelah memberitahu kakak ipar saya untuk bermalam di rumahnya, saya dan Kak Hendon terus pergi ke Taman Merdeka ke Majlis sambutan tahun Baru Cina anjuran PKR. Majlis yang begitu ramai. Saya turut berucap didalam Majlis itu dan saya bawakan kisah semasa saya dibuang Daerah ke Melaka Tengah selepas dibebaskan dari ISA dan ditahan sekali lagi di Melaka Tengah semasa Operasi Lalang. Setiba Dato Chua Jui Meng ke Majlis itu, saya meninggalkan Taman Merdeka ke Kg Bukit Tembakau di Jasin menjadi tetamu didalam Majlis Ceramah anjuran PAS kawasan Jasin. Saya kembali ke rumah kakak ipar saya jam lebih kurang 1.00 pagi. Pada 5hb Februari 2012, setelah minum pagi di rumah kakak ipar, saya tinggalkan Negeri Melaka ke Felda Keratong 6 dan 7 menghadiri Majlis Kesyukuran yang dianjurkan oleh PKR Cabang Rompin dan Ceramah oleh Dato Fauzi Abdul Rahman, Zaidi Ahmad dan saya sendiri. Oleh kerana masih amat terlalu letih, saya tidur di Rumah Sdr Rosni Arshad, Naib Pengerusi Biro Masyarakat Felda & Orang Asal di Felda Keratong 6. Jam 11.00 pagi tadi saya tinggalkan Keratong 6 setelah pergi bersantai di Kedai Keratong 6 dan menziarahi Pn Hajjah Halijah yang akan bertolak ke Mekah malam ini untuk menziarahi suaminya yang masih berada di Hospital di Mekah. |
Orang Asal di Kg Bukit Putus, Alor Gajah Posted: 06 Feb 2012 12:45 AM PST Di Bukit Putus kami bertumpu ke rumah Aim (sebutannya A IM), seorang anggota PPP di kampong itu. Boleh dikatakan bahawa kesemua penduduk kampong itu adalah anggota PPP tetapi mereka menganggotai PPP itu hanya pada nama sahaja. Mereka tidak pernah menghadiri mesyuarat PPP dan pemimpin-pemimpin PPP pun tidak pernah datang ke kampong itu. Aim menjelaskan bahawa tanah-tanah sekitar kampong Bukit Putus itu telah diusahakan dengan tanaman sawit dan getah dan memberikan pulangan yang baik kepada penduduk-penduduk, tetapi keadaan ini tidak mungkin akan kekal begitu kerana sudah banyak kampong-kampong Orang Asal di Melaka yang akhirnya terlepas tangan daripada Orang Asal kerana tanah-tanah mereka ini tidak bergeran. Aim menyatakan bahawa beliau menyokong pandangan yang telah disuarakan oleh JOAS bahawa tanah-tanah komunal Orang Asal ini hendaklah diwartakan, dan dengan pengwartaan ini tanah-tanah mereka dapat dipertahankan dan didalam kawasan yang telah dilindungi oleh Warta itu, orang-orang Asal boleh memohon geran untuk pemilikan individu. Aim menceritakan tentang perkara yang berlaku disebuah kampong OA di Melaka dimana mereka dipinta berpindah kerana tanah yang mereka diami itu akan diambil alih oleh Kerajaan Negeri, kononnya jumlah keluasan tanah ditempat mereka berpindah itu adalah sama dengan keluasan yang mereka usahakan di kampong yang lama, tetapi apabila mereka berpindah, apa yang dijanjikan tidak ditunaikan. Beliau menyatakan bahawa beliau sangat berhajat untuk menghadiri sebarang perjumpaan yang dianjurkan oleh PKR atau JOAS kerana selama ini hanya anak-anak beliau sahaja yang hadir dan yang memberikan laporan kepada beliau. |
PRU-13 penanda tamatnya pemerintahan UMNO/BN Posted: 06 Feb 2012 12:01 AM PST Tidak syak lagi bahawa PRU-13 ini menandakan tamatnya pemerintahan UMNO/BN. Dari segi "tendang pesakanya" UMNO telah melakukan semua perkara yang dia perlu lakukan untuk kekal berkuasa. Dia telah menggunakan senjata terakhirnya untuk menjalankan fitnah keatas Dato Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang, diatas kekononannya bahawa jika Dato Seri Anwar Ibrahim tumbang maka tumbanglah perjuangan pembangkang. Segala usaha telah dibuatnya untuk menarik PAS supaya menyertai Barisan Nasional tetapi segala usaha itu ditolak oleh PAS dan PAS telah beristiqomah untuk kekal bersama Pakatan Rakyat. Rampasan kuasa yang dibuat oleh UMNO di Negeri Perak bukannya memperkukuhkan UMNO/BN bahkan dipandang oleh pengundi-pengundi bukan sahaja di Perak tetapi di seluruh Negara sebagai usaha jijik yang tidak bertemaduun, dan oleh kerana itu bukan sahaja rakyat Negeri Perak bahkan seluruh Negara bertekad untuk menggugurkan UMNO/BN. Kawasan-kawasan yang dihuni oleh orang Cina secara majoritinya akan menyaksikan bahawa sekutu UMNO iaitu MCA-Gerakan-PPP dan MIC akan kecundang kesemuanya dan kawasan-kawasan itu akan dirampas oleh rakan-rakan sekututu PR terutamanya dari DAP dan PKR. Keunggulan UMNO/BN di Sabah dan Sarawak menyaksikan penurunan pengaruh yang tidak pernah lebih ketara daripada apa yang berlaku kini, akan menyaksikan kemenangan yang akan mencukupkan Pakatan Rakyat mentadbirkan Putrajaya. Maka segala usaha politik yang dijalankan oleh UMNO/BN semuanya gagal walaupun dengan konsep separuh masak bagi memperolehi undi dari kaum Cina seperti 1Malaysia, konsep ini ditolak sebagai konsep yang mahu mempersendakan kebijaksanaan orang-orang Cina. Dengan segala kegagalan dari semua sudut itu, maka UMNO kembali semula kepada taktik yang dia merasa yakin akan mendapat sokongan rakyat iaitu menjalankan taktik rasuah didalam skala besar mula-mula dengan menghadiahkan RM100 kepada setiap kanak-kanak sekolah kemudian RM500.00 pula untuk ibu bapa. Wang ini diterima oleh rakyat tetapi rakyat tidak mahu merobah pegangan politik mereka kerana mereka sudah merasa tekanan kehidupan yang melampau-lampau kerana kenaikan harga minyak yang seterusnya mempengaruhi kenaikan semua harga barang-barang keperluan rakyat. Rakyat perlukan penurunan harga barang supaya mereka dapat membuat adjustment dengan pendapatan bulanan mereka yang tidak meningkat. Mereka mahukan harga beras, gula, minyak masak, bawang, ikan bilis, tepung dan lain-lain diturunkan. RM500.00 yang diberikan sekali didalam tempoh 54 tahun itu tidak boleh merubah kedudukan ekonomi rakyat. Dr Mahathir Mohamed memberikan amaran kepada Dato Seri Najib bahawa jika Pilihanraya Umum diadakan didalam keadaan rakyat sedang menolak BN ini, maka BN tidak boleh menunjukkan prestasi yang baik, dalam bahasa mudahnya BN akan kalah. Dr Mahathir mengingatkan bahawa pilihanraya yang tidak memihak kepada BN dari satu suku kaum besar di Malaysia ini akan menjadikan BN lemas. Melayu dipinggir bandar juga terdesak dengan keadan ekonomi yang tidak menentu kini. Pendapatan mereka tidak berubah sedangkan harga barang naik dengan pesatnya. Melayu yang selama ini melihat akan kesungguhan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mengendalikan Kelantan yang sentiasa dipinggirkan oleh BN merasa gembira bahawa Kelantan dan Kedah yang dikendalikan oleh PAS dapat diperintah dengan baik bahkan lebih baik dari negeri-negeri yang dikendalikan oleh BN. Pulau Pinang dan Selangor telah menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik diperintah oleh PR dari yang dulu-dulunya diperintah oleh BN. Selain dari rasuah, BN memainkan taktik yang jauh lebih kotor dari pilihanraya-pilihanraya yang lepas-lepas. Kalau dulu-dulu kebimbangan hanya berkisar kepada pengundi hantu tetapi kebimbangan itu ditambah lagi dengan pengundi-pengudi "mee segera" dari golongan rakyat asing yang sepatutnya tidak layak menjadi pengundi di Negara ini. Kehadiran pengundi-pengundi seumpama ini menyebabkan rakyat Negara ini rasa terpanggil untuk membela maruah tanah air dengan menolak perbuatan jahat dengan menjadikan pengundi-pengundi asing sebagai pengundi-pengundi untuk memenangkan Barisan Nasional. Negara ini semacam sudah tergadai kepada pengundi-pengundi asing yang akan menentukan kehidupan dan survival Negara ini. Rakyat juga memandang dengan cemus dan benci terhadap pelbagai skandal yang merugikan Negara seperti Natinal Fidlot Corporation (NFC) dan kegelojohan isteri Perdana Menteri yang memboroskan perbelanjaan untuk pembelian harta-harta peribadi dan dianggap tidak sesuai dengan peradaban sesebuah Negara demokrasi. Perbuatan Rosmah Mansor itu hanya sesuai dilakukan oleh isteri-isteri pemimpin-pemimpin negara-negara yang diperintah secara kukubesi. Biarpun Arab Spring itu tidak sesuai dengan Malaysia, tetapi pengaruh Arab Spring akan menukarkan pendirian pengundi-pengundi di kotak undi dan Malaysia akan menjadi sebuah Negara yang bersih, telus dan berintegrasi dibawah pemerintahan yang akan dikendalikan oleh Pakatan Rakyat. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan