Suara Sri Andalas |
- PKR Kota Raja Komited Sepenuhnya Beri Sokongan Kepada Anwar Pada 9 Januari Ini
- Bebas Anwar 901: Shahrizat, Najib Boleh Ikut Serta
- Anwar : Keputusan 9 Jan Tidak Jejas Peluang Jadi PM
PKR Kota Raja Komited Sepenuhnya Beri Sokongan Kepada Anwar Pada 9 Januari Ini Posted: 04 Jan 2012 12:01 AM PST Kota Raja, 4 Januari 2012 - Parti Keadilan Rakyat Cabang Kota bersama-sama sayapnya, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan telah memberikan komitmen 100% untuk turun ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada 9 Januari ini untuk memberi sokongan kepada Ketua Umum, Dato Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi perbicaraan Fitnah liwat II. Satu taklimat pada malam semalam telah diadakan kepada kesemua ahlijawatankuasa Cabang, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan Kota Raja yang akan hadir memberikan sokongan. Taklimat diberikan oleh Ketua Cabang, YB Dr Xavier Jayakumar, Timbalan Ketua Cabang, YB Shuhaimi Shafiei, Ketua AMK, Saudara Azmizam Zaman Huri dan Ketua Wanita, Puan Rozaina Hamzah. Taklimat yang diberikan mengulas lanjut berkenaan hak-hak untuk ke mahkamah pada 9 Januari nanti mengikut perlembagaan, menjaga keselamatan diri dan mengelak dari diprovokasi oleh pihak-pihak tertentu serta bergerak secara aman. |
Bebas Anwar 901: Shahrizat, Najib Boleh Ikut Serta Posted: 03 Jan 2012 11:46 PM PST SHAH ALAM: Pakatan Rakyat Selangor mempelawa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyertai perhimpunan kempen 'Bebaskan Anwar 901′ di perkarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 9 Januari ini. "Tidak terkecuali kita juga menjemput (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai perhimpunan ini. Shahrizat dan Najib juga ada hak untuk berhimpun," kata Setiausaha Publisiti DAP Jenice Lee Ying Ha dengan nada agak sinis. Beliau yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Teratai berkata demikian berikutan kenyataan Shahrizat semalam yang berkata perhimpunan itu sebagai tidak wajar diadakan kerana akan menimbulkan kekecohan semata-mata. Shahrizat juga mendakwa perhimpunan itu adalah perhimpunan haram dan boleh mengancam keselamatan orang awam. "Jika polis jalankan tanggungjawab dengan penuh disiplin maka tidak akan timbul sebarang masalah," kata Jenice Lee pada sidang media Pakatan di sini hari ini. Ujar beliau, "lihatlah pada Himpunan Bersih 9 Julai dan kes pelajar di Perak bukan para demonstran yang membuat kecoh tetapi ada individu tertentu yang membuat kecoh. Kita banyak pengalaman mengenai hal provokasi ini." Turut hadir Ketua Penerangan PKR Shuhaimi Shafie dan Ketua Penerangan PAS Saari Sungib. Kebangkitan rakyat Shuhaimi, ketika ditanya pemberita, sama ada Pakatan akan memohon permit untuk perhimpunan itu berkata, sepanjang rekod permohonan permit untuk mengadakan ceramah, ia tidak pernah dikeluarkan oleh polis. "Perhimpunan ini sesuatu yang spontan. Kebangkitan rakyat tentang kes Anwar. Belum pun diadakan perhimpunan, polis dah keluar kenyataan kata jangan datang maka kami tak nampak ia akan diluluskan," kata beliau yang juga Adun Seri Muda. Menyentuh mengenai persiapan perhimpunan, Shuhaimi berkata terdapat empat kawasan untuk mereka berkumpul nanti tetapi beliau enggan mengulas lanjut mengenainya. Sementara itu, Saari menjelaskan bahawa ahli-ahli PAS enggan menyertai Himpunan Sejuta Umat tahun lalu kerana perkara itu telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti. Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, menganggap Himpunan Sejuta Umat sebagai agenda Umno bertujuan untuk mencetus permusuhan di antara kaum, kata beliau yang juga Adun Hulu Kelang. Sumber: FreeMalaysiaToday |
Anwar : Keputusan 9 Jan Tidak Jejas Peluang Jadi PM Posted: 03 Jan 2012 11:33 PM PST PETALING JAYA 03 JAN: Soal siapa yang akan menjadi Perdana Menteri di dalam kerajaan Pakatan Rakyat sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dihalang dari bertanding tidak timbul kerana muafakat yang kukuh di antara parti komponen. Sebaliknya, Anwar berkata, jika PR dan rakyat tetap mahunya sebagai Perdana Menteri, soal kelayakannya bertanding tidak relevan kerana dia masih boleh dijadikan Perdana Menteri. Anwar menjelaskan bahawa jika berlaku senario di mana PR menubuhkan kerajaan pusat selepas pilihanraya umum ke-13, seorang pemimpin dari PR boleh menjadi Perdana Menteri sementara dan mengembalikan kelayakan bertanding kepada beliau. Beliau berkata ini berlaku di dalam kes negara Turki, di mana Perdana Menteri sekarang, Recep Tayyib Erdogan, dihalang daripada bertanding semasa partinya AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan) memenangi pilihanraya umum pada 2002. "Siapa yang pegang sementara itu bukan perkara pokok. Sepertimana beberapa pemimpin PR kata kalau kita pilih Anwar dalam atau luar penjara bukan soalnya. rakyat sokong maka dengan izin Allah ia akan berlaku." Beliau berkata demikian di dalam temubual Fokus Berita semalam. Anwar tidak akan layak bertanding pilihanraya sekiranya mahkamah menjatuhi hukuman di dalam kes liwatnya pada Januari 9. Seorang hilang kelayakan bertanding dalam pilihanraya selama satu penggal sekiranya dia dihukum tidak kurang dari setahun penjara atau denda dua ribu ringgit. Tambah Anwar, soal siapa calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat bukan perkara perlu dirunsingkan kerana Pakatan Rakyat membawa dasar bersama yang jelas. "Hubungan saya dengan tuan guru hadi dan tok guru nik aziz terlalu baik. kami saling mempercayai, saling memohon nasihat dan pendapat. "Saya tidak fikir ada masalah. Kalau ada muafakat esok siapa yang harus jadi pemimpin sementara dari PKR atau PAS, DAP tidak menawarkan mana-mana calon, saya tidak fikir itu satu masalah." PR dijangka menurunkan lebih ramai muka muda dan profesional kali ini berbanding pilihanraya umum lalu. Bahkan sudah ada tokoh individu menawarkan diri dan badan-badan bukan kerajaan turut menyarankan calon tersendiri untuk membantu Pakatan Rakyat. "Kes yang saya hadapi ini sudah hampir tiga tahun. Sejak saya didakwa kita sudah jangka muslihat untuk melemahkan Pakatan Rakyat. Maka oleh yang demikian kita memulakan beberapa langkah dan persiapan menjangkakan (muslihat) ini dan Alhamdulillah kita sudah hampir selesai. Anwar yakin pemenjaraan beliau di tangan pemerintah Barisan Nasional tidak akan mengugat kerjasama PAS-DAP. "Apakah ia akan jadi longgar andai Anwar dipenjara? Saya tidak percaya kerana hal ini (pilihanraya, dasar bersama) telah ditandatangani oleh pemimpin ketiga-tiga parti." Anwar berkata, harapan Pakatan Rakyat menakluki Putrajaya cerah kerana mereka telah membuktikan yang mereka mampu mentadbir dengan baik di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Tambahnya rundingan tentang strategi pilihanraya dan pembahagian kerusi antara PAS, DAP dan PKR sudah hampir selesai. Bahkan Pakatan Rakyat kini lebih bersedia untuk mengancam kedudukan pemimpin-pemimpin kanan Barisan Nasional walau tanpa beliau selaku tonggak dalam PRU-13 nanti. Jentera ini dikendalikan pemimpin ketiga parti oleh Azmin Ali (Ahli Parlimen Gombak), Anthony Loke (Ahli Parlimen Rasah) dan Dr Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai). Urusetia dikendalikan oleh wakil ketiga-tiga parti. Walau ada sedikit gambaran seolah-olah saya memainkan peranan yang besar, sebenarnya ia adalah rangkaian pemimpin bekerja seabgai satu pasukan. Sumber: Selangorkini |
You are subscribed to email updates from Suara Sri Andalas To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan