Suara Sri Andalas |
- Majlis Peguam: Himpunan 901 Dibenarkan Perlembagaan
- Kenapa Keputusan Perbicaraan Anwar Penting Untuk Setiap Rakyat Malaysia
- Kerajaan Negeri Selangor Adakan M.O.U Dengan Persatuan Mahasiswa UiTM
Majlis Peguam: Himpunan 901 Dibenarkan Perlembagaan Posted: 03 Jan 2012 11:26 PM PST SHAH ALAM, 3 JANUARI : Isu berhubung himpunan 901 sempena dengan pengumuman kes fitnah Liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sama sekali tidak bercanggah dengan undang-undang negara malah dibenarkan oleh Perlembagaan. Ini kerana himpunan yang bakal diadakan itu sekadar perhimpunan untuk memberi sokongan kepada DSAI yang dibicarakan semenjak hampir 3 tahun lalu berhubung konspirasi untuk mengaibkan Anwar di mata rakyat oleh musuh-musuh politik beliau. Menurut Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee tidak tertulis di mana-mana perlembagaan pun bahawa kehadiran sebagai tanda sokongan kepada tertuduh di mahkamah adalah satu kesalahan. "Mahkamah adalah tempat terbuka kepada orang ramai untuk hadir mendengar perbicaraan. "Malah orang ramai mempunyai hak untuk hadir ke mahkamah apa lagi untuk memberi sokongan kepada tertuduh selain mendengar keputusan yang akan diberikan," ujar Lim memberi ketika dihubungi TV Selangor. Lim turut memberitahu bahawa jumlah yang akan hadir ke perhimpunan itu nanti bukan satu isu untuk dijadikan alasan pihak berkuasa bahawa perkara tidak diingini akan berlaku. "Sebaliknya jika pihak polis memberi kerjasama mengawal keadaan, saya tidak melihat sebarang masalah untuk rakyat yang prihatin berhimpun memberi sokongan kepada sesiapapun yang mereka ingini," tegas Lim yang dihubungi melalui panggilan telefon. Berhubung dakwaan seorang menteri bahawa Majlis Peguam menjadi alat politik, Lim pantas menjelaskan itu bukan isu yang perlu dibangkitkan. "Kami tidak menyebelahi mana-mana pihak atau individu. Sebagai pengamal dan penegak perundangan kami cuma berminat pada asas perundangan iaitu keadilan yang menjadi hak setiap manusia," katanya lagi. Lim turut membangkitkan sikap 'Double Standard' pihak berkuasa dalam menangani isu-isu seperti ini bilamana perhimpunan yang membabitkan PKR seringkali diprovokasi dengan isu keselamatan. "Sikap double standard ini sangat mendukacitakan malah menjatuhkan karisma, keupayaan dan professionalisme pihak berkuasa polis dalam menjalankan tugas mereka. "Sambutan Tahun Baru dihadiri oleh puluhan ribu rakyat dibolehkan dan dapat berlaku dengan baik hasil kerjasama pihak berkuasa juga. Tapi mengapa pula kes seperti ini yang tidak pun melanggar mana-mana undang-undang dijadikan isu?," soal Lim kembali. Lim dengan positif juga menyatakan bahawa mereka yang akan hadir 9 Januari ini pasti terdiri dari golongan yang cintakan perundangan yang adil dan tidak akan sesekali mencetuskan huru-hara walau apapun keputusan mahkamah seperti yang cuba digemburkan sesetengah pihak. "Saya harap orang ramai akan hadir memberikan sokongan kepada DSAI. Himpunan ini penting bukan sekadar membela DSAI semata-mata sebaliknya penting kepada orang awam juga berkenaan sistem perundangan negara yang semakin parah. "Hadirlah beramai-ramai untuk menunjukkan bahawa rakyat hari ini sudah bosan dan jemu dengan konspirasi dan fitnah seperti ini dan rakyat menolak sebarang ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku," ujar Lim lagi. Sumber: Selangorkini |
Kenapa Keputusan Perbicaraan Anwar Penting Untuk Setiap Rakyat Malaysia Posted: 03 Jan 2012 06:37 PM PST Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan menyampaikan penghakimannya dalam perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Keseluruhan prosiding telah dikutuk dengan meluasnya sebagai perbicaraan bermotif politik, yang seringkali digunakan rejim-rejim kukubesi untuk menghancurkan musuh-musuh politik mereka. Tetapi Anwar memiliki rekod panjang untuk tidak semudahnya menyerah kalah. Beliau telah mengisytiharkan bahawa apa jua keputusan pada 9 Januari ini, beliau tidak akan menyerah. Sebelum ini penjara tidak dapat mematahkan atau mendiamkan suara Anwar, semestinya juga tidak sekarang. Tetapi apa yang dipertaruhkan di sini lebih daripada sekadar kebebasan peribadi pemimpin pembangkang. 54 tahun yang lalu, rakyat negara ini telah dijanjikan bahawa tanah air mereka yang baru merdeka akan bebas dan demokratik; dan hasrat rakyat itu telah diungkapkan dalam perundangan tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan. Janji ini telah dengan sengaja dimungkir oleh gabungan politik yang memerintah negara ini sejak hari tersebut sampailah ke hari ini. Badan kehakiman yang bakal memutuskan penghakiman ke atas Anwar Ibrahim pada 9 Januari, gagal untuk menegakkan kebebasan asasi yang terkandung dalam Perlembagaan dan membenarkan pihak Eksekutif untuk menginjak-injak hak-hak asas Rakyat. Oleh yang demikian, lebih setengah abad, rakyat telah menderita akibat undang-undang menindas, rasuah berleluasa dan penyalahgunaan amanah jawatan awam untuk keuntungan dan memperkayakan diri sendiri. Rakyat ialah pemilik tanah air ini yang sebenar-benarnya. Namun rakyat hanya menjadi peminta belas ehsan di pintu Putrajaya, di mana para pemimpin Umno/ BN dan mereka yang bergantung kepada kuasanya memerintah rakyat. Lawan kepada rejim Umno adalah pakatan pembangkang yang diterajui Anwar, yang mana paksi tujuannya untuk memansuhkan kesemua perundangan menindas dan anti-demokratik serta mengembalikan kebebasan berperlembagaan kepada rakyat; untuk menamatkan kerugian besar-besaran akibat rasuah; dan untuk memastikan agihan kekayaan negara yang saksama dan adil. Kini Umno cuba untuk menghalang perjalanan hebat rakyat Malaysia ke arah kebebasan dengan cuba membunuh secara politik Anwar Ibrahim melalui sistem pengadilan yang berat sebelah dan mudah dipengaruhi. Inilah sebabnya kenapa 9 Januari begitu amat penting untuk setiap rakyat Malaysia. Pendirian Anwar untuk tidak tunduk terhadap suatu sistem yang zalim, memberikan kekuatan dan harapan baru kepada rakyat dalam menghadapi kekuasaan penindas yang zalim itu, malahan mengukuhkan keyakinan rakyat untuk menuntut perubahan dan reformasi. Justeru, iannya merupakan saat-saat kemuncak dalam pertempuran untuk jenis negara dalam mana ingin kita hidup, serta jenis nilai-nilai yang kita mahu wariskan kepada generasi Malaysia akan datang. Apapun jua keputusannya pada 9 Januari ini, kita dapat mengambil hikmat bahawa tidak lama lagi akan tiba pula giliran Rakyat untuk menyampaikan penghakiman terhadap kerajaan zalim dan menganiaya ini. Di keluarkan oleh, N SURENDRAN NAIB PRESIDEN KEADILAN 3 Januari 2011 |
Kerajaan Negeri Selangor Adakan M.O.U Dengan Persatuan Mahasiswa UiTM Posted: 02 Jan 2012 11:00 PM PST Shah Alam, 3 Januari 2012 - Kerajaan Selangor telah mengadakan persefahaman M.O.U dengan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independan (KAMI) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi membolehkan Kerajaan Negeri membantu secara aktif aktiviti-aktiviti akademik, sosial dan kemasyarakat dengan warga siswa UiTM kampus utama Shah Alam. Upacara disempurnakan oleh Khalid Mohd Ismath, Timbalan Presiden KAMI dan YB Dr. Xavier Jayakumar, EXCO Kerajaan Negeri Selangor. Ujar Dr. Xavier lagi, ini adalah komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu warga universiti dalam menjayakan aktiviti-aktiviti mereka. Ia merupakan pembuka jalan bagi hubungan erat antara persatuan mahasiswa universiti tersebut dengan Kerajaan Negeri di masa-masa yang akan datang. Sebelum ini Kerajaan Negeri melalui beberapa orang EXCO negeri turut memberikan bantuan kepada beberapa buah universiti lain. |
You are subscribed to email updates from Suara Sri Andalas To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan