Jumaat, 23 Disember 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Khir Toyo Bersalah Atas Tuduhan Rasuah

Posted: 23 Dec 2011 12:00 AM PST

SHAH ALAM 23 DIS: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mendapati bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo bersalah atas tuduhan rasuah.

Hakim Datuk Mohtaruddin Baki berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap ADUN Sungai Panjang itu tanpa sebarang keraguan yang munasabah.

Pada masa ini, Hakim Mohtaruddin sedang mendengar rayuan dari peguam Khir sebelum menjatuhkan hukuman.

Khir didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan - tuduhan rasuah yang lebih ringan, berbanding dengan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan Akta baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Khir berdepan dengan kemungkinan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Jika denda itu melebihi RM2,000, Khir boleh hilang kelayakannya sebagai ADUN dan tidak boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Turut hadir ialah isterinya, Zaharah Kechik dan kira-kira 40 penyokongnya - ada yang duduk dan ada yang berdiri di dalam bilik mahkamah yang padat.

Khir diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Jahaberdeen Yunoos, M Athimulan dan Kamarul Hisham Kamaruddin.

DPP Abdul Wahab Mohamed menjalankan pendakwaan.

Khir tiba di mahkamah seawal jam 9.15 pagi.

Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, daripada pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditmas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Pada 8 Ogos lalu, Hakim Mohtaruddin memerintahkan Khir membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati pendakwa sudah membuktikan kes prima facie ke atas pemimpin politik itu.- Malaysiakini

Yayasan Selangor Peruntuk RM782,000 Biayai Pinjaman Pelajar INPENS

Posted: 22 Dec 2011 01:23 AM PST

KUALA SELANGOR, 22 DIS : Yayasan Selangor akan memperuntukkan RM782,000.00 bagi membiayai pinjaman pelajaran kepada pelajar-pelajar Kolej Antarabangsa INSPENS (INSPENS) pada tahun depan.

Pinjaman tersebut adalah bagi pelajar di peringkat sijil dan diploma. Ia melibatkan RM430,000.00 untuk pelajar-pelajar baharu dan RM352,000.00 untuk pelajar sedia ada.

Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor YM Raja Amir Shah Raja Abdul Aziz berkata usaha ini sejajar dengan penubuhan Yayasan Selangor 41 tahun dulu bagi menyediakan peluang pendidikan yang berkualiti dan bersepadu.

"Sememangnya Kolej Antarabangsa INSPENS adalah sangat dekat di hati Yayasan Selangor dan sentiasa diberi keutamaan dalam berbagai perkara terutama pemberian pinjaman pelajaran kepada pelajar-pelajarnya.

Yayasan Selangor telah menaja sebanyak RM6.0 juta yang melibatkan penajaan seramai 588 pelajar yang telah tamat dan masih meneruskan pengajian di INSPENS," katanya semasa majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Yayasan Selangor dan INSPENS di sini.

Menurut Raja Amir Shah memorandum persefahaman yang ditandatangani itu adalah simbolik kepada usaha sama Yayasan Selangor dan INSPENS bagi tahun 2012 untuk membantu pelajar yang berpendapatan rendah.

"Yayasan Selangor telah menyediakan pembiayaan pendidikan kepada seluruh rakyat negeri Selangor yang kurang berkemampuan sejak tahun 1984. Seramai 9,116 pelajar telah menikmati skim ini.

"Yayasan Selangor juga telah mengeluarkan perbelanjaan lebih RM69 juta untuk pembiayaan pendidikan pelajar di pusat pengajian tinggi sama ada di peringkat sijil,diploma dan ijazah," katanya.

Sementara itu Presiden Kolej INSPENS Datuk Mohd Mydin Mohd Shariff berkata memorandum persefahaman ini adalah untuk mengukuhkan persefahaman, bantuan dan sokongan khidmat antara Yayasan Selangor dan INSPENS pada masa akan datang.

"Salah satu cara terbaik untuk mengatasi kemiskinan bukan memberi wang kepada anak-anak atau ibu-bapa tetapi memberi mereka peluang belajar di kolej INPENS, supaya apabila mereka keluar mereka boleh berdikari dan dapat membantu kembali keluarga," katanya.

Dalam majlis itu juga, pihak Yayasan Selangor mengumumkan menyumbang empat buah kenderaan kepada Jabatan Automotif INSPENS berupa sebuah bas jenis Isuzu,sebuah Van jenis Inocom, sebuah kereta Proton Waja dan sebuah motorsikal jenis EX5 untuk kegunaan pembelajaran pelajar INPENS.


Sumber: TVSNEWS

Tiada ulasan: