Suara Sri Andalas |
- Selangor Sokong Kempen Anti-Lynas
- Program Atasi Banjir Di Klang Positif
- MB: PBT Perlu Jadi Penggerak Golongan Belia
- Lebih Senang dan Murah Untuk Berniaga Di Bawah Pakatan Rakyat
- Selangor Akan Pertahan Kecemerlangan Pentadbiran
- Anwar : Hampir 70% Bawah 25 Tahun Menganggur
Selangor Sokong Kempen Anti-Lynas Posted: 21 Dec 2011 01:30 AM PST SHAH ALAM, 21 DIS : Kerajaan Selangor akan menganjurkan majlis makan malam bulan depan bagi mengutip dana untuk kempen menghalang pelaksanaan projek Loji Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) yang beroperasi di Pahang. Majlis pada 7 Januari itu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) merupakan inisiatif permulaan di Selangor yang bakal mengumpulkan pihak prihatin terhadap isu projek loji Lynas di Kuantan. Difahamkan dana yang dikumpul bakal digunakan bagi menbiayai usaha membawa syarikat Lynas ke mahkamah. Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping berkata kempen yang dikenali sebagai 'Anti-Lynas' ini turut mendapat kerjasama daripada barisan pimpinan Exco Selangor lain dan dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat oleh negeri-negeri lain. "Kerajaan Selangor menganjurkan kempen ini sebagai salah satu usaha padu untuk menyokong kempen ini secara berterusan. Saya juga difahamkan majlis makan malam ini akan bergerak ke negeri lain. Antara pemimpin yang akan menyertai majlis itu adalah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dan beberapa pemimpin lain," katanya. Projek Lamp yang dijadual beroperasi sepenuhnya September tahun ini mendapat bantahan orang ramai di Kuantan dan seluruh negara kerana apabila ia beroperasi kelak ia akan menghasilkan sisa radioaktif thorium yang merbahaya kepada penduduk sekitar. Pelbagai usaha dilakukan untuk menghalang pembinaan loji itu namun ia sehingga kini tidak diberikan perhatian serius oleh kerajaan negeri. Loji itu kini dihentikan sementara menantikan penilaian satu panel pro-nuklear yang dilantik Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Mosti). Difahamkan, sekiranya projek itu diluluskan barisan panel tersebut, loji yang dikendalikan Lynas Corporation itu akan menghasilkan sisa radioaktif thorium. Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya projek loji berkenaan disebabkan ia tidak selari dengan pembangunan lestari di negeri itu. Beliau berkata, Akademi Sains semalam memaklumkan kepadanya bahawa negeri itu akan mendapat pelaburan teknologi hijau berkuasa tinggi hasil daripada pemprosesan nadir bumi yang dilaksanakan. Tambahnya, pihak Akademi mendakwa ia adalah peluang terbaik bagi Malaysia untuk menyertai projek perhiliran berbekalkan teknologi canggih yang pernah dihasilkan. "Saya ingin menyangkal kenyataan tersebut kerana hakikatnya Malaysia tidak mempunyai nadir bumi yang mencukupi. Malaysia hanya memiliki 0.03 peratus nadir bumi di dunia ini. Maksudnya, nadir bumi yang digunakan itu bukannya datang dari Malaysia, sebaliknya dari Australia dan negara lain. Justeru, kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Akademi berhubung perkara berkenaan adalah tidak relevan sama sekali," tegasnya. Sehubungan itu, dana yang diperoleh daripada kempen itu nanti akan digunakan bagi membawa kes tersebut ke mahkamah. Dalam pada itu, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Malaysia, Zulkefly Mohamad Omar menjelaskan, pembinaan projek loji Lamp bukan sahaja merugikan rakyat, bahkan akan meninggalkan kesan buruk kepada alam sekitar untuk jangka masa panjang. Ia merujuk kepada pengurusan sisa pepejal dan cecair yang mengandungi elemen radioaktif yang akan menjejaskan kesihatan penduduk di kawasan berhampiran ekoran daripada pencemaran alam sekitar yang serius. "Bagi kita khususnya dari kalangan pemimpin Pakatan Rakyat, kita melihat bahawa isu alam sekitar dan nyawa rakyat merupakan isu terpenting berbanding isu lain kerana ia melibatkan kehidupan. Dengan berjayanya projek Lynas di Pahang, tidak mustahil mereka akan membina projek yang sama di negeri-negeri lain memandangkan keuntungan yang bakal diperolehi itu besar. Sumber: TVSNEWS |
Program Atasi Banjir Di Klang Positif Posted: 21 Dec 2011 01:00 AM PST KLANG, 21 DIS: Program mengatasi masalah banjir yang diperluaskan ke seluruh kawasan di Klang menunjukkan perkembangan positif. Masalah banjir di kawasan Klang ini sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu sehingga mengakibatkan kerugian yang besar. Kejadian banjir biasanya akan berlaku apabila hujan lebat sekitar 30 minit. Oleh itu, satu Jawatankuasa Bertindak Banjir Parlimen Klang ditubuhkan pada 4 Disember 2011. Terdiri daripada 10 orang ahli dan turut mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Pengaliran Saliran (JPS) dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago. Ketika ditemui Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Banjir, Yogasigamany a/l Krishnasamy berkata, perkara ini akan diperluaskan ke seluruh kawasan yang sering mengalami masalah banjir seperti di Taman Petaling, Taman Bayu Perdana dan Taman Chi Liung. "Dalam jawatankuasa ini ada satu pakar pengurusan banjir yang membantu. Kita juga mengadakan beberapa mesyuarat dengan MPK dan kita telah memberikan beberapa cadangan bagi mengatasi masalah ini. "Antara perkara yang dilakukan adalah melebar dan mendalamkan beberapa longkang dan kerja-kerja telah dibuat hampir sebulan yang lalu. Setakat ini kerja-kerja hampir 80 peratus siap," katanya. Perancangan jangka pendek yang dikemukakan oleh jawatankuasa bertindak ini adalah mendalamkan dan melebarkan longkang yang sedia ada memandangkan banyak sampah sarap yang terkumpul di situ. Mengenai langkah jangka panjang, pihak jawatankuasa mencadangkan pembinaan satu kawasan takungan air dan perkara ini masih dalam perbincangan memandangkan projek ini memerlukan peruntukan yang besar. Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyeru warga Klang supaya mengamalkan sistem pembuangan sampah yang tersusun dan bukan menjadikan longkang dan sungai sebagai tong sampah. Katanya, sebanyak 5,000 risalah kesedaran disebarkan untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat setempat. "Beberapa bulan kejadian banjir dihadapan pejabat saya. Saya membuat tinjauan di kawasan berhampiran mendapati terdapat kerusi sofa, pasu bunga selain botol-botol yang dibuang ke dalam longkang yang menjadi punca banjir. "Bukan sahaja rumah tangga, sebaliknya pengusaha restoran dan industri turut menjadikan longkang sebagai tempat untuk menyelesaikan masalah mereka tetapi menjadi masalah kepada masyarakat," katanya. Sumber: TVSNEWS |
MB: PBT Perlu Jadi Penggerak Golongan Belia Posted: 18 Dec 2011 01:30 AM PST PETALING JAYA 18 DIS: Pihak berkuasa tempatan yang terdiri dari Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya di seluruh Selangor perlu menjadi tenaga penggerak ke arah membentuk dan membantu golongan belia. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata walaupun bukan mudah untuk mengumpul dan mendekati golongan belia yang mempunyai pelbagai kehendak dan citarasa namun usaha harus digerakkan secara bersepadu. "Belia perlu di arah kepada hala tuju sesuai dengan inspirasi negeri yang mahukan golongan belia terlibat dalam setiap bidang. "Selangor telah memperuntukkan RM60 juta dalam belanjawan negeri 2012 untuk pembangunan belia termasuk pembinaan usahan muda, kemudahan sukan dan riadah serta pendidikan." kata beliau ketika menyampaikan ucapan di Majlis Makan Malam dan Anugerah Penggerak Belia Tempatan (PeBT), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2011 malam tadi. Menurut Khalid lagi, semua majlis daerah perlu bersiap sedia dalam mengatur pelbagai program untuk golongan belia memandangkan Selangor mempunyai golongan belia paling ramai. "Kita perlu menerima hakikat bahawa terdapat ramai belia dari luar yang datang bermastautin di Selangor dan seluruh majlis daerah perlu melengkapkan pasarana untuk golongan ini." ujar beliau. Sehubungan itu Khalid memuji usaha MBPJ yang telah memulakan usaha mendekati golongan belia dengan pelbagai usaha. Di Majlis tersebut Khalid telah menyampaikan hadiah kepada 11 penerima dari seluruh zon MBPJ dalam pelbagai kategori. |
Lebih Senang dan Murah Untuk Berniaga Di Bawah Pakatan Rakyat Posted: 18 Dec 2011 01:00 AM PST SHAH ALAM 16 DIS : Kajian seorang Pakar politik-ekonomi Universiti Malaya, Prof Edmund Terence Gomez mendapati rata-rata usahawan Melayu di Selangor mengatakan lebih senang menjalankan perniagaan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat berbanding di era Barisan Nasional. Laporan itu menyebut, usahawan mengatakan kos operasi perniagaan dibawah Pakatan lebih rendah kerana tidak perlu membayar "komisyen" kepada pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan lesen atau mendapat konsensi projek. Amalan sedemikian lazimnya berleluasa semasa pentadbiran BN. Jelas Edmund lagi, situasi ini mencerminkan realiti persekitaran perniagaan negara di mana usahawan Melayu yang tulen dan berdaya-saing sering diketepikan oleh dasar dan pentadbiran BN. Hanya usahawan yang mempunyai hubungan dengan pemimpin-pemimpin Umno mendapat faedah daripada dasar-dasar kerajaan. "Akibatnya, golongan usahawan Melayu yang tulen terpaksa bersaing bukan sahaja dengan usahawan dari komuniti lain, tetapi dengan golongan usahawan yang ada kaitan dengan Umno. "Jadi di sini kita nampak PKR (Parti Keadilan Rakyat) mendapat sokongan daripada golongan ini kerana mereka disisihkan daripada mendapat akses kepada dasar, konsensi dan projek kerajaan," kata Edmund. Beliau berkata demikian di dalam satu sessi forum ekonomi bertajuk "Malaysia's Economy : Are We Heading in the Right Direction?" (Ekonomi Malaysia : Adakah Kita Berada di Halatuju Sebenar?) di sini, baru-baru ini. Turut hadir majlis tersebut pengarah eksekutif kumpulan pemikir Research for Social Advancement (REFSA) Teh Chi-Chang dan pakar ekonomi Dr Cheong Kee Cheok dari UM. Exco Selangor Teresa Kok bertindak selaku moderator. Edmund menerangkan, walaupun Dasar Ekonomi mempunyai matlamat yang murni, iaitu untuk membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang pendapatan antara komuniti di Malaysia, ia tidak menepati sasaran. "Semasa pemerintahannya, (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir telah membelanjakan berjuta-berjuta ringgit untuk membentuk kelas kapitalis Melayu. "Namun pada hari ini, tiada satu pun perniagaan Melayu yang tersenarai sebagai 10 perniagaan terbesar di Malaysia," katanya. Persoalan sebenarnya sekarang, Edmund berkata, adalah bukan tentang jurang pendapatan antara komuniti. Ia adalah tentang jurang pendapatan dalam sesuatu komuniti itu sendiri. "Kita tengok, walaupun dibawah Dasar ekonomi Baru(DEB), negeri-negeri yang masih mencatat kadar kemiskinan yang tinggi, seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah adalah negeri yang majoriti penduduknya Melayu," jelasnya. Sumber: TVSNEWS |
Selangor Akan Pertahan Kecemerlangan Pentadbiran Posted: 17 Dec 2011 01:00 AM PST TANJONG KARANG, 16 DIS: Kecemerlangan Selangor di bawah teraju Pakatan Rakyat (Pakatan) diteruskan apabila berjaya menarik minat pelabur yang memberangsangkan untuk tahun 2011. Sehingga Ogos tahun ini, Selangor berjaya mencatatkan jumlah pelaburan berjumlah RM6 billion. Perkara ini diumumkan sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menyampaikan amanat di hadapan 250 orang penduduk setempat bersempena Rapat Rakyat bersama rakyat Tanjong Karang. Menurut Abdul Khalid, prinsip telus, amanah dan berkeupayaan yang diamalkan selama ini menjadi pemangkin untuk pimpinan negeri melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat. "Kita juga buktikan pengurusan kita telah menarik ramai pelabur untuk melabur dalam Negeri Selangor. "Dalam tahun ini sehingga Ogos, lebih daripada RM6 Billion dilaburkan di dalam negeri Selangor. "Jadi angka-angka ini menunjukkan bahawa pentadbiran kita diterima oleh pelabur-pelabur,"katanya. Mengulas lanjut, satu ketika dahulu Selangor yang ditadbir oleh Barisan Nasional selama 50 tahun sebelum Pakatan mengambilalih tampuk pemerintahan berada di tahap yang tidak sepatutnya memandangkan negeri ini mempunyai hasil yang banyak. Namun, beliau berjaya menangkis segala tomahan yang dilemparkan pihak pembangkang negeri yang selama ini hanya berani memperlekeh kreadibiliti pentadbiran Pakatan. "Saya tahu Umno-BN cakap dia (Pakatan) tidak boleh. Kita sudah urus negeri 50 tahun mcm mane dia nk urus. Pejabat pun dia tidak tahu. "Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada Umno/BN bukan kerana apa, kerana dia tidak menjaga negeri dengan baik, maka nampak saya lebih pandai daripada dia(Umno-BN),"katanya lagi. Sementara itu, Pakar Perundangan yang juga tokoh akademik negara, Prof. Dr Abdul Aziz Bari berkata, Pakatan bukan sahaja perlu berkuasa di peringkat negeri malah di Putrajaya. Ini memandangkan negara kini seolah-olah tidak ada undang-undang ditambah dengan kegagalan kerajaan menangani beberapa persoalan termasuk memansuhkan Akta Tahanan Tanpa Bicara (ISA) dimana terbaru 13 orang ditahan dibawah akta tersebut. "Begitu juga dengan persoalan penarikan semula undang-undang darurat, tertinggal satu. Entah sengaja entah tidak saya tidak tahu. "Seperti yang disebut oleh YB Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), bahawa kita masih ada satu lagi pengisytiharan darurat yang belum ditarik balik yakni Pengisytiharan Darurat tahun 1964. "Sebab itu, Karpal Singh adalah benar dimana kita masih berkonfontasi dengan Indonesia, sebab pengisytiharan darurat yang pertama itu, adalah bertujuan untuk menangani darurat dengan Indonesia dan itu masih belum ditarik balik," katanya. Katanya pengisytiharan darurat yang ditarik balik adalah tahun 1966 (krisis politik Sarawak), tahun 1969 (13 Mei) 1977 (Krisis Politik Kelantan). Beliau memaklumkan pengisytiharan darurat ini juga yang digunakan oleh kerajaan untuk memansuhkan Pilihanraya Kerajaan Tempatan. Aziz Bari turut menyatakan sokongan terhadap tindakan kerajaan negeri untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada pilihanraya umum akan datang walaupun Parlimen dibubarkan. Mengulas lanjut katanya, situasi ini bukan kerana takut sebaliknya merupakan merupakan satu budaya politik yang baru supaya pilihanraya itu tidak dijadikan sebagai Ambush Election (Pilihanraya Serang Hendap). "Saya sangat bersetuju dan menyokong dengan ura-ura beliau untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor meskipun Parlimen dibubarkan," katanya. Beliau juga bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini yang menyebut mandat diberikan rakyat adalah lima tahun supaya segala janji dan perancangan yang diatur dapat dilaksanakan dan dipenuhi. Beliau turut berharap agar negara dapat menyaksikan dimana dewan itu dibubarkan dengan sendirinya setelah genap lima tahun mengikut perkiraan daripada hari pertama dewan itu bersidang. Sekadar memberikan pendapat, Aziz Bari memberitahu masa terbaik untuk diadakan pilihanraya di Selangor adalah pada tahun keempat. Sumber: TVSNEWS |
Anwar : Hampir 70% Bawah 25 Tahun Menganggur Posted: 16 Dec 2011 01:00 AM PST KUALA LUMPUR 16 DIS: Kesan dari pemborosan, salah urus dan ketirisan dalam kerajaan sekarang telah mengakibatkan hampir 70 peratus generasi muda di bawah 25 tahun tiada pekerjaan. Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanggungjawab pemerintah bukan sekadar menyediakan ruang pelajaran yang baik dan sempurna tetapi perlu bertanggungjawab menyediakan peluang pekerjaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat. "Lebih dari 342,198 golongan tidak bekerja telah mendaftar dengan Kementerian Sumber Manusia setakat Ogos 2011, manakala 69.1 peratus adalah dibawah 25 tahun. "Kalau dimasukkan mereka yang berumur 30 tahun pula nilainya hampir 90.1 peratus. Dan 51.4 peratus dari golongan ini adalah bekas graduan yang sekurang-kurangnya pemegang diploma," kata Anwar di majlis ucaptama Debunking ETP: Widening Income Gap (Menjawab ETP : Melebarkan Jurang Pendapatan) malam tadi. Katanya, angka tersebut hanya melibatkan dikalangan mereka yang berdaftar. Menurut Anwar, kesan dari tekanan terhadap generasi muda ini akan mengakibatkan generasi penerus berada dalam keadaan merbahaya. "Ini amat membimbangkan kita, keutamaan perlu diberi penekanan kepada golongan muda ini dalam usaha memberi latihan kemahiran yang tidak memilih kaum, bangsa dan fahaman politik. "Kita tidak mahu lagi melihat generasi muda ketiadaan pekerjaan disebabkan oleh kerajaan yang ada sekarang terlalu boros dan salah urus negara hingga anak-anak muda ini tidak mempunyai masa depan," jelas beliau lagi. Katanya lagi dalam bancian pada 2009 yang mengambil maklumat dari 24,000 majikan dengan 1.3 juta pekerja mendapati 33.8 peratus memperoleh pendapatan dibawah RM700 sebulan. Berdasarkan angka tersebut menurut beliau menunjukkan hampir 34 peratus dari pekerja di negara ini mempunyai pendapatan dibawah paras kemiskinan. Sehubungan itu katanya usaha Pakatan Rakyat memperuntukan gaji minima RM 1,500 sebulan sebagaimana tercatat dalam Buku Jingga bertujuan membebaskan golongan pekerja dari belenggu kemiskinan. Sumber: TVSNEWS |
You are subscribed to email updates from Suara Sri Andalas To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan