Suara Sri Andalas |
Isu Kuil Selesai Selepas Kata Sepakat Di Capai Posted: 08 Dec 2011 11:47 PM PST SHAH ALAM, 9 DIS: Kontroversi berkaitan pemindahan Kuil Sri Mahamariamman Seksyen 19 (Sg Renggam) akhirnya berjaya di selesaikan setelah pihak kuil dan kerajaan negeri mencapai persetujuan untuk memindahkannya ke lokasi baru di Seksyen 23. Kejayaan menyelesaikan perkara ini yang satu ketika ditimbulkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan berarak ke bangunan SUK Selangor sambil membawa kepala lembu merupakan sikap tidak bertanggungjawab yang cuba menghidupkan sentimen perkauman melampau. Keperihatinan Kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjaya menyelesaikan isu ini melalui pertemuan semua pihak terbabit membuktikan kesungguhan kerajaan negeri menghormati amalan pelbagai kaum dan agama di negara ini. Exco Kerajaan Kegeri yang juga Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail menyatakan, walaupun kes ini berlarutan sejak tahun 1978 sebelum pembangunan Shah Alam, namun sebenarnya perkara ini boleh diselesaikan sekiranya semua pihak bekerjasama secara baik. Katanya, kelewatan penyelesaian masalah ini ekoran beberapa perkara teknikal yang melibatkan tanah, proses pemindahan dan kewangan. "Saya ingin umumkan di sini, walaupun tahun lepas saya maklumkan projek ini boleh diselesaikan dalam penghujung tahun lepas, tetapi beberapa perkara perlu diteliti semula dan sekarang saya boleh katakan projek ini 99 peratus siap dan pihak kuil bersetuju untuk berpindah yang kita jangkakan akan berlaku secepat mungkin," katanya. Rodziah turut menyatakan, isu berkaitan warta tanah kepada kerajaan adalah standard kepada negeri Selangor kin dan tidak ada lagi status tanah yang diberikan kepada persendirian atau persatuan. Katanya, melalui kata sepakat yang telah dicapai secara menang-menang membolehkan Pembangunan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memajukan tapak kuil lama dengan pembinaaan 16 unit rumah teres dua tingkat setelah kerja-kerja perobohan yang akan dilakukan sendiri oleh pihak kuil selesai. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang turut serta dalam majlis tersebut berharap perkara ini tidak lagi dipolitikkan oleh pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan menjelang pilihanraya akan datang. "Selama ini orang mengatakan bahawa Pas tidak menghormati agama lain dan orang lain akan susah sekiranya berkuasa walaupun dalam gabungan Pakatan Rakyat, saya rasa apa yang ingin kita buktikan di sini adalah sebaliknya. Kita mempunyai sikap terbuka dan menghormati hak orang lain," katanya. "Ada yang mengatakan mengapa diletakkan di tapak industri, hakikatnya di Shah Alam tanah untuk pembangunan sudah padat. Tidak ada tanah seperti untuk kawasan perumahan yang belum digunakan. Tapi kita mencari tapak idustri yang dekat dengan kemudahan seperti jalan raya dan sebagainya," kata Khalid. Ujar beliau lagi, Jawatankuasa kuil akan diberikan surat kuasa untuk menguruskan kuil ini manakala tanah ini akan diwartakan sebagai tapak rumah ibadat dan milikan oleh kerajaan negeri agar tidak lagi timbul masalah di masa hadapan. Kerajaan negeri akan menunggu laporan lengkap daripada PKNS sebelum status tanah ditukar sepenuhnya. Wakil Kuil Sri Mahamariamman, Chitra a/p Narayanasamy berkata bantuan yang diberikan kerajaan negeri dalam menyelesaikan perkara ini sangat diharapkan memandangkan mereka telah berhadapan dengan pelbagai masalah sebelum ini. "Kita berterima kasih dengan bantuan yang diberikan dengan kawasan yang lebih terurus dan selesa," katanya. Secara keseluruhan, kos pembinaan berjumlah RM320,000 dengan kerajaan negeri memperuntukkan RM50,000 dibawah peruntukkan rumah ibadat bukan Islam serta sumbangan pihak lain. Setakat ini, projek pembinaan dengan keluasan tanah 0.5 ekar telah siap 99 peratus dengan proses pembinaan yang dikendalikan oleh PKNS telah siap sepenuhnya sejak November lalu. Manakala kerja-kerja tambahan pembinaan struktur reka bentuk kuil dikendalikan sepenuhnya oleh pihak persatuan. Struktur binaan baru meliputi ruang terbuka untuk upacara keagamaan, satu dewan serbaguna, satu ruang pejabat, dua bilik istirehat dan kegunaan pihak kuil dan satu ruang memasak serta tandas. Proses pemindahan pula akan dilakukan 15 Disember ini dan berakhir selewat-lewatnya pada 27 Januari 2012. Kerja-kerja perobohan akan dilakukan setelah proses pemindahan selesai dan akan dilakukan sendiri oleh pihak kuil. Pihak kuil juga memohon bantuan dari mana-mana individu yang ingin memberikan sumbangan. Sumber: TVSNEWS |
You are subscribed to email updates from Suara Sri Andalas To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan