Jumaat, 30 Disember 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Felda Plantation untuk Korporat?

Posted: 30 Dec 2011 04:40 PM PST

Sejak Pakatan Rakyat menjalankan kempen untuk pemansuhan Felda Plantation untuk ladangnya diagih-agihkan kepada Generasi Baru Felda berikutan keputusan Konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang setahun yang lalu, UMNO telah membuat ketetapan bahawa Felda Plantation tidak akan dimansuhkan kerana Felda Plantation merupakan tulang belakang kepada kewangan Felda kerana Kerajaan tidak lagi menyumbangkan apa-apa peruntukan kepada Felda.

Felda Plantation dikatakan sebagai sumber kewangan bagi Felda didalam usahanya memberikan pengurusan yang baik bagi mentadbirkan Felda, kakitangannya dan kepada masyarakat Peneroka Felda.

Timbalan Menteri, Ahmad Maslan, yang memikul tanggungjawab keatas Felda telah menyatakan di Parlimen bahawa Kerajaan tidak akan memansuhkan Felda Plantation dan ladang Felda Plantation tidak akan diagih-agihkan kepada generasi kedua dan ketiga masyarakat Felda.

Kerajaan memberi amaran bahawa Felda akan bankerap jika Felda Plantation dimansuhkan kerana ladang Felda itulah yang menanggung segala kos pengurusan dan pentadbiran Felda.

Pakatan Rakyat didalam Konvensyennya di Pulau Pinang telah megambil ketetapan berikut bahawa didalam tempoh 100 hari Pakatan Rakyat mentadbirkan Puterajaya, Felda Plantation akan dimansuhkan dan ladang-ladang Felda itu akan diagih-agihkan kepada generasi baru Felda.

Keputusan ini diambil kerana generasi kedua dan ketiga Felda sedang berhadapan dengan pengangguran dan tidak mempunyai masa depan yang cerah.

Mereka tinggal bersama-sama dengan ibu-bapa peneroka mereka berkongsi rumah walaupun sesetengah dari mereka sudah berumah tangga.

Mereka berhadapan dengan kesukaran hidup yang mendatang kerana dibawah GSA hanya seorang sahaja daripada waris-waris kepada peneroka tersebut boleh didaftarkan sebagai pemilik tanah ladang dan rumah ibu-bapa mereka. Apakah akan terjadi kepada anak-anak peneroka dan famili mereka apabila ibu-bapa mereka meninggal dunia?

Kini, generasi baru Felda ini membantu juga ibu bapa mereka di ladang-ladang dan berkongsi pendapatan dengan ibu bapa mereka. Tetapi apabila ibu-bapa mereka sudah meninggalkan mereka sudah tentu kehidupan mereka menjadi amat sukar kerana hanya seorang sahaja daripada adik beradik mereka layak menjadi pemilik ladang ibu-bapa mereka.

Keadaan ini lebih menyukarkan lagi kepada anak-anak peneroka itu apabila setiap daripada mereka sudah berumah tangga. Kalau selama ini mereka boleh menumpang pendapatan dan rumah ibu-bapa mereka, kini keadaan itu secara drastiknya berubah apabila ibu-bapa mereka meninggalkan mereka.

Selain daripada dasar ekonomi yang akan dibawakan oleh Pakatan Rakyat untuk mengadakan pekerjaan penuh kepada anak-anak muda termasuk generasi baru Felda, maka pemansuhan Felda Plantation dan pengagihan ladang itu kepada anak-anak peneroka Felda akan dapat menjaminkan kehidupan sebahagian besar daripada anak-anak peneroka tersebut untuk menjadi peneroka baru.

Apabila UMNO mengambil ketetapan untuk tidak memansuhkan Felda Plantation maka harapan anak-anak peneroka untuk memperolehi ladang sebagai peneroka baru hancur berkecai.

Dan apabila mereka mengetahui bahawa dasar Pakatan Rakyat untuk memansuhkan Felda Plantation dan pengagihan ladang-ladang itu untuk golangan mereka yang memerlukan maka mereka kini berbondong-bondong menyokong Pakatan Rakyat.

Parti Keadilan Rakyat umpamanya menerima permohonan menjadi anggota daripada generasi baru Felda ini dengan begitu ramai sehingga kebanyakan ranting-ranting PKR yang baru ditubuhkan di rancangan-rancangan Felda kini adalah terdiri daripada anak-anak muda generasi baru Felda.

Adakah benar bahawa UMNO enggan memansuhkan Felda Plantation itu kerana mahu menjaga kepentingan Felda?

Perkembangan mutakhir ini membuktikan bahawa UMNO tidak berhajat melindungi kepentingan Felda dan Masyarakat Felda dengan dasarnya enggan memansuhkan Felda Plantation tetapi untuk melanjutkan dasar UMNO yang pro-kaum modal dan golongan korporat.

Felda Plantation akan dicagarkan oleh UMNO kepada Felda Global Ventures untuk melengkapkan kelayakan syarikat itu supaya dapat diapungkan kedalam Bursa Saham.

Dengan tindakan UMNO sedemikian itu, Felda akan kehilangan lebih dari RM1 billion setiap tahun daripada Felda Plantation, dan Felda Global Ventures akan hanya memperuntukkan RM500 juta sahaja kepada Felda setiap tahun.

Harta milik Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan juga turut diapungkan melalui Felda Global Ventures didalam Bursa Saham, dan risiko yang paling nyata bahawa akhirnya peneroka-peneroka Felda akan kehilangan hak didalam KPF apabila saham-saham didalam Felda Global Ventures akan dibeli oleh pihak kaum modal dan korporat daripada dalam dan luar negara.

Akhirnya Felda Plantation KPF akan menjadi hak kaum korporat dan pada waktu itu Felda dan Masyarakat Felda akan berputih mata.

Penyenaraian di Bursa Saham akan berlangsung pada bulan April 2012 jika UMNO masih berjaya menguasai Parlimen Malaysia.

ANAK telah memfailkan Injunksi bagi menghalang penyenaraian ini dan permohonan itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuantan pada 4hb Januari 2012. Amatlah diharapkan supaya pihak Mahkamah dapat menilai dari sudut kepentingan rakyat didalam menyelesaikan kes Injunksi ini.

Dan jika segala usaha dari sudut undang-undang ini gagal, maka pendekatan lain perlu diambil bagi menghalang penyenaraian ini.

Kepada seluruh masyarakat Felda dan Generasi Baru Felda keputusan terakhirnya adalah terletak ditangan anda bagi mengenepikan UMNO/BN daripada terus menguasai Putrajaya dan dengan itu terhalang usaha UMNO yang mengenepikan hak dan kepentingan masyarakat Felda. Ubahlah, Demi Rakyat!

Tiada ulasan: