Sabtu, 31 Disember 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


KERJA BERAMAI-RAMAI MENYERONOKKAN

Posted: 31 Dec 2011 05:05 PM PST

Minggu lepas saya bersama rakan-rakan yang lain menampal poster dan membuat edaran dari Kg Masjid, Kg Seboi, Kuala Mai, Gong Halt, Estet Sg Mai, Kg Paya Sok, Kg Rumpun Makmur, Jengka 21, 22, 23, 24 dan 25.

Di Felda Jengka 22 seorang JK Cawangan Pas di situ menegur saya dan memberitahu bahawa "pemimpin" tak perlu buat kerja seperti itu.

Dia merasa pelik dan hairan kenapa saya yang menjadi Ketua PKR peringkat Cabang, AJK peringkat Negeri dan ada sesuatu jawatan di peringkat Pusat, masih buat kerja mengedar risalah dan menampal poster.

"Pemimpin tak patut buat kerja ini," kata dia.

Saya senyum saja kerana saya faham bahawa baginya pemimpin itu hanyalah duduk di Pejabat dan pergi berceramah jika dijemput dan memberikan ceramah. Itu pemimpin. Orang yang kena pimpin pula kenalah tampal poster, buat edaran, dan siapkan tempat ceramah untuk pemimpin.

Didalam hati saya bahawa dia tu tak faham apakah sebenarnya perjuangan rakyat. Seseorang pejuang rakyat tidak mengenali status. Dia boleh berceramah. Dia boleh tampal poster, dia boleh buat edaran, dia menyediakan poster dan edaran, dia menyediakan banner, dia turun padang, dia bergaul dengan masyarakat, dia buat kerja seperti anggota-anggota lain buat.

Jika pemimpin hanya peluk tubuh dan mengharapkan semua perkara dilaksanakan oleh orang yang dipimpin dan dia datang dengan "gah" dalam keadaan yang serba sudah siap, maka dia bukan pemimpin rakyat. Dia adalah pemimpin mewakili golongan atasan, tidak ada beza antara dia dengan pemimpin-pemimpin parti ningrat, berjuis dan koporat (dibaca keparat).

Dan pemimpin seperti itu akan mengambil kredit diatas kejayaan-kejayaan yang dicapai walhal sumbangannya hanyalah sekadar menjadi pemimpin dan membuat arahan dan semua kerja dilaksanakan oleh ahli-ahli biasa.

Jadi biarkanlah dia berpendirian seperti itu dan biarkanlah dia mengagung-agungkan pemimpin yang mengikut kehendak acuannya. Saya datang dari massa dan kembali kepada massa dan pikul tanggungjawab seperti dipikul oleh ahli biasa.

Sebab itu saya panggil diri saya aktivis parti dan tak mahu saya dikenali sebagai pemimpin parti kerana ahli-ahli boleh salah tanggap apakah yang dimaksudkan sebagai pemimpin itu.

Pada hari ini, saya dan rakan-rakan dari PKR Cabang Kuala Krau akan sekali lagi turun padang dan melakukan tugasan dan tanggungjawab saya sebagai seorang aktivis.

Tiada ulasan: