Isnin, 14 November 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Parti Rakyat Malaysia akan bertanding di 3 kawasan yang dimenangi oleh PKR

Posted: 14 Nov 2011 01:34 PM PST

Sepintas lalu apabila saya membaca berita seperti tajuk ini saya merasakan bahawa ada perkara yang tidak kena dengan pandangan Parti Rakyat Malaysia.

Pertembungan politik kini adalah diantara Barisan Nasional disebelah pihak dan Pakatan Rakyat di pihak yang lain.

Barisan Nasional mempunyai dasar-dasarnya yang bertentangan dengan dasar-dasar yang diketengahkan oleh Pakatan Rakyat dan dasar-dasar inilah yang akan diketemukan kepada rakyat untuk membuat pilihan.

Parti Rakyat bukanlah the third force didalam arena politik Malaysia, dia adalah sebuah parti yang sangat kecil dan kebanyakan dari anggotanya sudah meninggalkan parti itu samada telah lama menyertai UMNO, PAS dan sebahagian besarnya menyertai Parti Keadilan Rakyat apabila parti itu didalam Kongresnya telah bersetuju membubarkan parti itu untuk bergabung dengan Parti Keadilan Nasional, dan kini ramai dari kalangan bekas pimpinan Parti Rakyat Malaysia menduduki jawatan-jawatan penting didalam Parti Keadilan Rakyat seperti Dr Syed Husin Ali, Dr Lee Boon Chye, Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya, T. Kumar, Syed Hamid Ali, Hassan Karim dan ramai lagi.

Tidak dapat dinafikan bahawa Parti Rakyat Malaysia mempunyai dasarnya sendiri untuknya ketengahkan didalam arena politik tanah air. Setiap parti politik itu ada dasarnya, demikian juga parti-parti yang bergabung didalam Barisan Nasional dan parti-parti yang menganggotai Pakatan Rakyat.

Namun, parti politik yang lohor akan mempertimbangkan dasarnya untuk mencari gabungan nasional yang kukuh dengan melihat dasar-dasar parti gabungan yang besar itu diantaranya yang mana lebih memihak kepada dasar-dasar yang diperjuangkannya.

Tidak semua dasar gabungan itu selaras dengan kehendak satu-satu parti, umpamanya, dasar yang diperjuangkan oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia yang mengambil dasar multi-racialism sudah tentu tidak selari dengan dasar UMNO, MCA dan MIC yang berlandaskan kepada politik ras, tetapi parti itu tetap bergabung dibawah Barisan Nasional kerana wujud persefahaman dibidang yang mungkin lebih besar yang mendatangkan faedah kepada Gerakan.

Antara PAS dan DAP mempunyai terlalu banyak perbezaan dasar, tetapi ada persamaan dasar untuk menyelematkan Negara ini dari terus menjadi Negara yang diperintah secara "kuku-besi" yang anti-demokratik dapat menggabungkan kedua-dua parti itu kedalam Pakatan Rakyat. Parti Sosialis Malaysia mempunyai dasar yang lebih menonjol dari Parti Rakyat Malaysia untuk memperjuangkan sosialisme di Negara ini. Tetapi tidak menghalang parti itu bernaung di bawah Parti Keadilan Rakyat kerana perjuangan negara yang lebih besar dan memerlukan perpaduan.

Parti Rakyat Malaya berhak untuk mengenengahkan calon-calonnya untuk Pilihanraya Umum dan bertanding sesuka hati di kawasan-kawasan yang dipilihnya. Namun, pejuang-pejuang yang bijak biasanya membuat pilihan yang lebih berprinsip melihatkan kedudukan dan dasar parti-parti gabungan besar yang sedang bertarung.

Adakah dari kacamata PRM bahawa Parti Keadilan Rakyat itu merupakan musuh nombor satu kepada perjuangannya atau memandang bahawa negara ini mesti diselamatkan dari Barisan Nasional?

PRM sewajarnya mencari jalan untuk merapatkan persahabatan dengan parti-parti yang kini sedang berjuang menentang Barisan Nasional melainkan Parti itu sudah menganggap bahawa Barisan Nasional adalah parti yang lebih mendekati ideologi yang diperjuangkan oleh Parti Rakyat. Jika itu menjadi pilihan Parti Rakyat, maka pilihannya untuk meletakkan calon-calonnya menentang calon-calon dari Parti Keadilan Rakyat adalah pilihan yang tepat dan mana-mana parti politik yang bersetuju dengan Barisan Nasional walaupun duduk di luar gabungannya berhak memperkukuhkan kedudukan Barisan Nasional.

PRM mempunyai pilihannya sendiri dan tiada siapa boleh memaksanya untuk membuat pilihan yang dari yang sudah ditetapkan oleh pimpinan parti itu!

Adakah anda benar-benar kenal dengan Orang Asal?

Posted: 13 Nov 2011 11:26 PM PST

Walaupun sudah hampir 3 tahun saya mendampingi Orang Asal secara dekat, saya tidak dapat nak mengaku bahawa saya sudah kenal dengan mereka.

Saya belajar bahasa mereka (Jahut), saya berbincang dengan mereka, saya duduk bersama mereka dan bersama-sama menggariskan dasar perjuangan mereka mengenai tanah terutamanya.

Mereka juga memberikan penghormatan kepada saya didalam upacara-upacara tertentu. Namun, untuk menyatakan bahawa saya sudah mengenali mereka adalah jauh dari benar.

Lebih kurang 3 tahun lampau, semasa mula-mula saya mahu mendekati Orang Asal di Kuala Krau, mereka tidak memperdulikan langsung kehadiran saya seolah-olah saya tidak wujud di hadapan mereka. Apa juga soalan-soalan yang saya kemukakan terhadap mereka, jawapannya ada "standard" iaitu "Entah, tak tau!"

Kalau mereka sempat tutup pintu sebelum saya menghampiri rumah mereka, mereka tutup pintu dan selepas pintu ditutup hanyalah menghabiskan masa sahaja untuk memanggil orang di dalam untuk keluar.

Saya mendapat breakthrough apabila berlaku keadaan hujan berterusan, di sesetengah perkampongan Orang Asal di Kuala Krau telah ditenggelami air, dan sesetengah kampong sudah putus perhubungan. Pada waktu itu mereka belum mendapat apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak termasuk dari pihak Kerajaan.

Rotary Club Temerloh mengambil peranan aktif menghantarkan bantuan-bantuan dengan menjadikan rumah anak saya sebagai hub penempatan bantuan dan dari sana dihantar ke destinasi-destinasi yang dilanda banjir.

Anak saya pada waktu itu cedera kakinya kerana terjatuh dan tidak dapat memberikan tumpuan kepada hub bantuan itu. Maka saya mengambil alih peranan anak saya dan menerima semua bantuan daripada beberapa rotary club dari seluruh Negara, serta bantuan-bantuan daripada badan-badan NGO yang lain seperti Persatuan Budha dan Kristian.

Saya susun penghantaran bantuan ini ke tempat-tempat yang dilanda banjir di hampir semua kawasan di Daerah Temerloh, bahkan juga ke Maran, Jerantut dan Bera.

Dan diantara kampong-kampong yang saya hantarkan bantuan itu termasuklah ke kampong-kampong Orang Asal di Kuala Krau samada ke kampong-kampong yang ditenggelami air seperti kampong Paya Pelong atau kampong-kampong yang terputus seperti dari Kg Penderas membawa ke Terbol serta Kg Rekoh dan Berdut.

Bahan makanan seperti beras, minyak masak, sardin, bawang, biskut, ikan kering, ikan bilis serta pakaian-pakaian turut dihantarkan.

Untuk perkampongan Orang Asal itu, saya sendiri hadir untuk menyampaikan bahan-bahan bantuan bersama-sama dengan pihak Rotary Club.

Mulai dari tarikh itu, saya tidak lagi mempunyai kesukaran untuk berinteraksi dengan Orang Asal di Kuala Krau. Dapatlah saya mengadakan hubungan yang lebih mesra dan kemesraan inii telah sedikit sebanyak diterjemahkan dalam bentuk undi semasa saya bertanding sebagai calon PKR untuk DUN Jenderak dari kalangan Orang Asal, iaitu undi untuk Pembangkang dari OA sudah naik menghampiri 200 undi, sedangkan kalau sebelum ini sukar untuk naik dalam angka 50 undi.

Selepas Pilihanraya Umum 2008, PKR Kuala Krau mendapat perhatian daripada kalangan masayarakat Orang Asal memandangkan PKR menumpukan masalah kemudahan asas yang dinafikan terhadap Orang Asal.

Melalui desakan, tuntutan, dan surat-surat yang dihantarkan kepada Jabatan-Jabatan berkenaan, sedikit demi sedikit kemudahan asas telah diperolehi seperti bekalan elektrik, air bersih, lampu jalan dan menaikkan taraf jalan ke kampong masing-masing. Orang Asal pun tahu bahawa bukan PKR yang membawa masuk kemudahan-kemudahan asas itu, tetapi mereka juga tahu bahawa melalui desakan oleh PKR itulah yang menyebabkan kemudahan-kemudahan asas itu diperolehi.

Saya memberikan tumpuan ke kampong Orang-Orang Asal Kuala Krau, dan saya akan berada di kampong-kampong mereka apabila saya tidak mempunyai jadual atau program di luar Kuala Krau, saya bukan datang untuk berceramah tetapi saya datang untuk menziarah. Saya bawakan makanan dan kami minum-minum petang, dan didalam majlis-majlis seperti itu, ramai yang berkumpul sambil-sambil minum dan berborak perkara-perkara yang tersentuh.

Dengan cara itu hubungan saya dengan mereka menjadi lebih dekat dan mesra. Mereka kini memberikan saya satu title iaitu "Batin Malaysia" dan setiap kali berkata begitu, ramai-ramai akan tertawa dan sesetengahnya berkata: "Apa nak lagi Tuan Haji pun dah diangkat Tok Batin Malaysia..ha..ha..!"

Saya balas balik dengan ungkapan; "Reformasi" dengan mengajak semua yang hadir untuk berdiri dengan memulakan dengan ajakan seperti beg meh hek jinjuoung dan laung ramai-ramai REFORMASI.

Semalam semasa saya menghadiri kursus PACABA di Kg Penderas, saya disambut oleh kanak-kanak Orang Asal Kg Penderas, mereka laungkan "Tok kita dah sampai, mari laungkan Reformasi" berterusan kanak-kanak itu melaungkan Reformasi.

Bererti melihat sahaja muka saya, kanak-kanak pun sudah biasa bahawa saya membawakan perjuangan bentuk baru ke dalam masyarakat Orang Asal iaitu perjuangan untuk membawa perubahan kepada mereka dan tidak lagi mahu mereka itu diperalatkan untuk tujuan yang akhirnya tidak mendatangkan menfaat kepada mereka.

Slogan REFORMASI itu mempunyai makna yang besar untuk masyarakat Orang Asal Kuala Krau!

Tiada ulasan: