Jumaat, 11 November 2011

Keadilan Bahagian Tampin

Keadilan Bahagian Tampin


Fidlot: Sasaran lembu kurang tapi dana RM250 juta kekal?

Posted: 10 Nov 2011 08:31 PM PST

KEADILAN mempersoalkan kenapa sasaran lembu dalam Projek Fidlot Kebangsaan dikurangkan, tetapi dana yang diperuntukkan sebanyak RM250 juta kepada National Feedlot Corporation (NFC) kekal.

Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution hairan mengapa pinjaman mudah itu tidak disemak semula oleh kerajaan.

"Kenapa 'soft loan' tidak disemak semula? Kenapa masih kekal RM250 juta? Kenapa tidak dikurangkan?," kata Saifuddin pada sidang media di parlimen hari ini.

Menurutnya, jika sasaran itu dikurangkan dari 60,000 ekor lembu kepada 8,000 ekor, maka pinjaman mudah itu sepatutnya hanya RM75,000.

Saifuddin berkata, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin ketika di dewan rakyat semalam tidak menjawab soalan dibangkitkan.

Katanya, isu sebenar iaitu sejumlah besar wang rakyat telah diberikan kepada keluarga Menteri Wanita dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Menurutnya, pinjaman RM250 juta disalurkan ke dalam akaun khas pinjaman (special Loan) berbentuk amanah (escrow account), namun secara lazimnya, satu akaun amanah dipegang pihak ketiga (third party) yang menguruskan bagi kedua belah pihak.

"Kebiasaannya escrow account dipegang oleh bank atau peguam yang menerima arahan dari pemberi pinjaman sebelum menyalurkan pada peminjam.

"Tapi dalam kes pinjaman NFC, KEADILAN telah membuktikan bahawa pinjaman RM130 juta (bayaran pertama) dan RM120 (bayaran kedua) telah masuk ke dalam akaun milik NFC," kata beliau.

Tambahnya, akaun NFC di Maybank dan Public Bank itu juga bukan di atas nama pihak ketiga tetapi di atas nama NFC sendiri.

"Kenyataan Menteri Pertanian bahawa wang selebihnya masih berada dalam escrow account yang dikawal kementerian menjerat beliau sendiri," kata Saifuddin.

Jelasnya, berdasarkan rekod kewangan NFC, pelbagai perbelanjaan melampau dan pindahan wang dibuat sepanjang tahun 2008 dan 2009.

"Dan termasuklah pindaan wang berjumlah RM119 juta pada 31 Disember 2009, pindahan wang kepada syarikat milik Shahrizat sehingga mencecah RM83 juta pada 31 Disember 2009, perbelanjaan luar negara dan keraian RM828,000 2009 dan subsidi kepada restoran Meatworks RM3 juta pada 2009,"katanya.

NFC milik keluarga Shahrizat beli kondominium mewah RM9.8 juta

Posted: 10 Nov 2011 08:29 PM PST

KUALA LUMPUR 10 Nov : KEADILAN mendedahkan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil telah membeli sebuah kondominum mewah berharga RM9.8 Juta.

Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution berkata, NFC telah membuat empat transaksi pindahan wang dari akaun semasanya di sebuah bank tempatan di cawangan Tun Dr Ismail, kepada sebuah pemaju hartanah terkemuka pada 2 Disember 2009.

"Ini sebagai bayaran penuh pembelian kondominium mewah di One Menerung, Bangsar,"

"Bayaran untuk pembelian kondominium RM9.8 juta direkodkan sebagai 'hutang' National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC) kepada NFC pada 31 Disember 2009," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Turut serta Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Pada sidang media itu, Saifuddin turut menunjukkan gambar kondominum berkenaan.

Menurut Ahli Parlimen Machang itu, bayaran untuk membeli kondominium oleh syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh keluarga Shahrizat adalah satu bentuk penyelewengan wang rakyat menggunakan dana NFC.

"Ini adalah perlakuan pecah amanah yang jelas bertentangan dengan tujuan pinjaman RM250 juta diberikan NFC. Ini penyalahgunaan dana rakyat dan soal duit rakyat yang disalahgunakan," tegasnya.

Butiran bayaran penuh bagi pembelian kondominium itu dibuat melalui empat transaksi pindahan akaun NFC kepada satu pemaju hartanah terkemuka

KEADILAN turut membidas kenyataan Shahrizat semalam mengatakan kononnya isu projek NFC telah digunakan untuk menyerang beliau selaku ketua wanita Umno dan pengerusi wanita BN.

"Dia (Shahrizat) tak perlu heret kita (KEADILAN) untuk kata kita serang dia sebagai ketua wanita Umno, tapi kita serang dia sebagai menteri yang secara terang-terangan membuat penyelewengan," kata Saifuddin.

Semalam Saifuddin mempersoalkan sasaran lembu dalam Projek Fidlot Kebangsaan yang dikurangkan, tetapi dana yang diperuntukkan sebanyak RM250 juta kepada NFC kekal.

KEADILAN juga mempersoalkan mengapa pinjaman mudah itu tidak disemak semula oleh kerajaan kerana jika sasaran itu dikurangkan dari 60,000 ekor lembu kepada 8,000 ekor, maka pinjaman mudah itu sepatutnya hanya berjumlah RM75,000.

Tiada ulasan: