Rabu, 16 November 2011

Angkatan Muda Keadilan Bagan Datoh,Perak Darul Ridzuan

Angkatan Muda Keadilan Bagan Datoh,Perak Darul Ridzuan


SPR PAMER 42,051 NAMA PEMILIH BERDAFTAR MERAGUKAN.

Posted: 16 Nov 2011 02:23 AM PST


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan senarai 42,051 nama pemilih berdaftar yang rekodnya meragukan mulai esok hingga 31 Disember ini.

Setiausahanya, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria, berkata senarai nama itu akan dipamer melalui laman web SPR dan laman web pejabat-pejabat pilihan raya negeri di seluruh negara.

Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan pemilih berkenaan atau waris kepada nama-nama yang dipamer tampil membuat pengesahan berhubung status rekod pemilih mereka.

Sos Cili 1Malaysia Bahaya Untuk Kesihatan.

Posted: 15 Nov 2011 07:15 PM PST


Standard users: Hentikan jualan sos cili 1Malaysia

Ujian makmal ke atas sos cili yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) mendapati tahap raksa dan plumbum melebihi paras yang dibenarkan dalam Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Dalam laporan draf penyelidikan perbandingan produk yang diperolehi oleh Malaysiakini, Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standards Users) mendapati 3.64ppm plumbum dan 0.08ppm raksa atau merkuri dalam sos cili 1Malaysia.

Sedangkan, tahap yang dibenarkan untuk sos cili adalah 2ppm bagi plumbun manakala 0.05ppm untuk raksa.

Laporan itu membandingkan sos cili jenama 1Malaysia dengan tiga jenama lain, iaitu Tesco Value, Life dan Lingham. Semua jenama berkenaan didapati mematuhi had yang ditetapkan, malah kadar mereka juga jauh lebih rendah daripada yang dibenarkan oleh undang-undang.

Ujian bagi produk berkenaan dijalankan oleh Unipeq Sdn Bhd, sebuah syarikat yang ditauliahkan di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) oleh Jabatan Standard Malaysia.

Ketika dihubungi, ketua pegawai eksekutif, Standard Users, DN Ratna berkata, organisasinya telah menjalankan penyelidikan seumpama itu selama lebih tiga tahun dan memutuskan untuk memasukkan produk 1Malaysia dalam kajian kerana pengguna sedang digalakkan membeli produk itu.
Katanya, sampel sos cili berkenaan diperolehi dari kedai-kedai runcit dan pasar raya besar di sekitar Lembah Klang antara bulan Ogos dan September lalu.

Mengulas keputusan kajian itu, Ratna menggesa Kementerian Kesihatan untuk segera menghentikan jualan sos cili 1Malaysia.

"Kesan logam berat itu boleh menyebabkan keracunan. Jika seseorang menggunakan jenama itu bagi jangkamasa yang lama, logam itu akan terkumpul di rambut, tisu dan bahagian-bahagian badan yang lain ... Jika mereka orang yang terdedah itu tidak sihat, maka kesannya lebih cepat dan nyata.

"Ini berkaitan logam berat, mereka (Kementerian Kesihatan) sepatutnya tidak membenarkan jualan produk itu sehingga mereka sahkannya dengan ujian sendiri dan mengambil tindakan lanjut," katanya.

Menurut laporan itu, raksa yang berlebihan boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem saraf pusat tunjang serta sistem endokrin, yang berpotensi membawa kepada kerosakan buah pinggang.

Sumber - Malaysiakini

Tiada ulasan: