Rabu, 26 Oktober 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Air Percuma Cara Selangor Pulangkan Keuntungan KDEB Kepada Rakyat

Posted: 26 Oct 2011 12:35 AM PDT

SHAH ALAM, 26 OKT: Pemberian 20 meter padu air percuma merupakan satu tanggungjawab menyalurkan hasil keuntungan kerajaan negeri kepada rakyat.

Pemberian ini yang dibuat melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) selaku pemegang amanah Kerajaan Negeri sesuai dengan dasar "Hasil Negeri Untuk Rakyat" menerusi program "Merakyatkan Ekonomi Selangor"(MES).

Dasar ini bermaksud semua aset atau harta yang dimiliki kerajaan negeri adalah milik rakyat Selangor.

"Kerajaan faham jika polisi pemberian terus kepada rakyat ini janggal kepada Ketua Audit Negara dan agensi-agensi kerajaan persekutuan yang lain kerana sebelum ini, keuntungan anak syarikat kerajaan negeri diserapkan terus dalam kerajaan negeri untuk program-program yang kita tidak tahu secara terperinci dan siapa yang mendapat manfaat," kata satu kenyataan dari Pejabat Menteri Besar.

Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Menteri Besar Pemerbadanan (MBI).

Menurut kenyataan itu lagi, Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat sentiasa memastikan keuntungan anak syarikat disalurkan dengan betul dan tepat kepada golongan sasaran supaya tidak berlaku ketirisan dalam agihan kekayaan negeri.

Oleh itu, pemberian air percuma ini menerusi KDEB akan diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada lebih kepada 1.2 juta rakyat negeri setiap tahun sejak dilancarkan pada Jun 2008.

"Sebagai contoh, Petronas sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menyerahkan keuntungan berbilion ringgit yang diperolehi setiap tahun kepada Kerajaan Pusat tetapi kita tidak tahu bagaimana keuntungan ini dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat.

"Ini berbeza dengan pentadbiran Pakatan Rakyat yang mana keuntungan anak-anak syarikat kerajaan negeri diagihkan secara langsung kepada rakyat menerusi program-program MES termasuklah pemberian air percuma," kata kenyataan itu lagi.

Mengulas lanjut, Pejabat Menteri Besar menyifatkan isu KDEB menanggung kerugian berikutan pemberian air percuma seperti yang berbangkit dalam Laporan Ketua Audit Negara, sebagai suatu yang tidak sepatutnya timbul.

"Banyak juga sedang diperkatakan tentang pengurusan kewangan Negeri Selangor, dan pejabat ini ingin menyatakan perjalanan perbelanjaan telah dibuat dengan telus dan mengikut peraturan yang diperuntukan," tambahnya.

Justeru, Pejabat Menteri Besar mencabar Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar untuk turut sama mendedahkan peruntukan yang disalurkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) serta bagaimana Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) di Selangor diagihkan kepada rakyat Selangor.

"Sekirannya mahu meneliti akaun Negeri Selangor, Kerajaan Negeri tidak keberatan.

"Jika Dato' Menteri (Noh Omar) berani, Kerajaan Negeri akan bersama beliau membuka akaun untuk dihalusi oleh SELCAT," katanya


Sumber: TVSNEWS

Konsep 'Membawa Pejabat Ke Rumah' Pertingkat Sistem Penyampaian Berkesan

Posted: 25 Oct 2011 02:00 AM PDT

Subang Jaya, 25 OKT : Kerajaan Selangor memperkenalkan konsep 'membawa pejabat ke rumah' dalam usaha memperbaiki sistem penyampaian dan perkhidmatan kepada rakyat menggunakan teknologi ICT selaras usaha meningkatkan kualiti pentadbiran dan pengurusan kerajaan.

Justeru bagi merealisasikan hasrat ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu perkara ini dilaksanakan di Selangor dengan langkah awal dengan pengenalan sistem digital tanah di Selangor menggantikan sistem lama yang menggunakan fail yang sudah tidak efisien.

"Pejabat tanah kita dapati tugas yang paling besar tiap-tiap negeri ialah mengurus, mentadbir dan menentukan tentang pengurusan tanah, saya dapati masalah terbesar ialah terlalu banyak fail.

Saya dapati tanah di Selangor adalah lebih dua juta, di Subang Jaya sahaja pemilik-pemilik rumah strata lebih daripada 150,000 ," katanya semasa program Bicara Tokoh di Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Abdul Khalid menjelaskan lagi dengan penggunaan inovasi teknologi berkomputer ini merupakan usaha yang dapat menyelesaikan masalah fail-fail urusan tanah yang menimbun melambatkan urusan kepada rakyat.

Justeru dengan adanya sistem pendigitalan tanah di Selangor segala urusan akan lebih pantas dan tepat kerana pegawai yang menguruskan hal ehwal tanah mempunyai capaian yang lebih pantas sekaligus meningkatkan kualiti perkhidmatan.

"Jawapan kepada sistem rekod itu ialah teknologi yang dapat menyimpan dengan tidak menggunakan sistem berpuluh-puluh fail. Jawapannya ada maknanya kini kita sudah ada apa yang dikatakan teknologi digital di mana data dimasukkan ke dalam komputer di mana semua fail tanah dimasukkan ke dalam program dan sekarang kita boleh tahu apapun maklumat yang ada dalam enjin carian dan dapat fail itu kembali," katanya.

Menurut Abdul Khalid lagi, kini Pejabat Tanah dan Galian Selangor sedang melaksanakan sistem pendigital tanah sebanyak 1.3 juta fail dimasukkan ke dalam rekod dan kelak cip maklumat tersebut akan menggunakan komputer seperti Ipad yang mudah dibawa dan diakses di mana-mana sahaja.

"Kita sudah mulakan menunjukkan kepada orang ramai bahawa Selangor adalah negeri termaju di Malaysia," ujarnya.


Sumber: TVSNEWS

Kerajaan Selangor Komited Bela Kaum India

Posted: 25 Oct 2011 01:00 AM PDT

SHAH ALAM, 25 OKTOBER : Setiap tahun, sekitar RM5 juta diperuntukkan untuk pendidikan kaum India di samping kelulusan tanah dan pembinaan kuil berdasarkan keperluan mengikut saringan Majlis Bukan Islam yang ditubuhkan,kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sempena perutusan Sambutan Deepavali.

Menurut Abdul Khalid, Kerajaan Selangor sentiasa komited untuk membantu pelbagai isu berkaitan keperluan kaum India dan penganut agama Hindu, lazimnya dalam hal bantuan pendidikan dan juga kuil.

"Negara kita mempunyai sejarah yang unik dalam hal kepelbagaian agama serta kepercayaan. Sebab itu Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada semua penganut agama.

Agama Hindu merupakan satu daripada agama yang utama diamalkan di negara kita. Di Selangor, daripada sekitar 5.3 juta penduduk, 16 peratus berketurunan India dan majoritinya beragama Hindu," katanya.

Abdul Khalid juga menyeru agar semua dapat bersama saling mengenali, menghormati, memahami serta menerima persamaan dan perbezaan yang ada yang penting dalam usaha memelihara kerukunan hidup bermasyarakat.

"Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Perayaan Deepavali kepada seluruh penganut agama Hindu, khususnya di negeri Selangor Darul Ehsan.

Semoga Deepavali kali ini menguatkan iltizam para penganut agama Hindu untuk memastikan kebaikan dan keadilan sentiasa dapat mengatasi kejahatan dan kezaliman," katanya.


Sumber: TVSNEWS

Little India Dapat Wajah Baru

Posted: 25 Oct 2011 12:00 AM PDT

KLANG 25 OKT : Little India atau lebih sinonim sebagai syurga membeli belah bagi masyarakat India tempatan dan luar bakal menarik lebih ramai pengunjung dengan pengenalan wajah baru melalui proses naiktaraf yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

Proses menaiktaraf gedung membeli belah terkemuka di Jalan Tengku Kelana itu antaranya melibatkan pembinaan pintu gerbang yang menjadi simbolik kepada Little India selain pembinaan kolam bawah tanah di kawasan berhampiran bagi mengelakkan masalah banjir.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia bertujuan menarik lebih ramai pengunjung khususnya pelancong luar negara bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri Selangor.

Katanya, projek yang bakal dibangunkan itu menelan kos kira-kira RM3.1 juta ringgit melalui sumbangan Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPENS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

"Saya sangat gembira kerana rakyat Selangor dan penduduk kawasan lain mengadakan upacara besar-besaran bagi menyambut Deepavali. Ia memberi ransangan kepada saya dan wakil kerajaan negeri untuk bekerja keras demi pembangunan Selangor.

Kita (kerajaan negeri) akan menjadikan Klang sebagai bandaraya yang berkembang pesat di samping rakyatnya dapat merasai kemajuan," katanya.

Abdul Khalid berkata demikian selepas melancarkan projek pembinaan pintu gerbang Little India di samping turut mengadakan lawatan di setiap gedung membeli belah untuk bermesra dengan rakyat di kawasan itu petang semalam.

Program itu turut disertai Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Teng Chang Khim, barisan Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Rodziah Ismail, Ronnie Liu dan Dr Yaakob Sapari serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen Selangor serta Ahli-Ahli Majlis.

Program yang mendapat kerjasama syarikat telekomunikasi Digi dan MPK ini dihadiri lebih 3,000 pengunjung yang rata-ratanya membanjiri kawasan itu untuk beramah mesra bersama Menteri Besar.

Dalam pada itu, Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar dalam ucapannya menegaskan, Little India Klang adalah satu-satunya Little India sebenar yang wujud di Malaysia dengan menekankan nilai-nilai tradisi masyarakat India.

Menurutnya, pembinaan pintu gerbang yang bakal siap menjelang hujung tahun ini bakal meningkatkan populariti Little India selain mengangkat kawasan itu setaraf dengan kawasan membeli belah di ibu kota.

"Kita mahu bandaraya Klang kekal berish, cantik dan menarik lebih ramai orang terutamanya pelancong untuk datang ke daerah ini," jelasnya.


Sumber: TVSNEWS

Pesta Deepavali Little India Klang Meriah, Rumah-rumah Ibadat, Sekolah dan NGO Terima Bantuan Kerajaan Negeri

Posted: 24 Oct 2011 07:00 AM PDT

Klang, 24 Oktober 2011 - Grand Finale - Pesta Deepavali Little India Klang yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama syarikat telekomunikasi DiGi dan Majlis Perbandaran Klang telah diadakan pada hari ini.

Pesta yang dihadiri oleh Dato' Menteri Besar, YAB Tan Sri Dato' Seri Khalid Ibrahim, YB Dr Xavier Jayakumar, barisan kepimpinan kerajaan negeri, ahli-ahli majlis perbandaran klang dan ketua-ketua komuniti setempat disambut meriah oleh orang ramai.

Berbagai-bagai acara dan pertunjukan telah diadakan untuk orang ramai menjelangnya perayaan Deepavali.

Sumbangan kerajaan negeri turut diberikan kepada penerima-penerima yang terdiri daripada wakil-wakil kuil, gereja, tokong, sekolah-sekolah tamil dan badan-badan NGO.

Berikut adalah senarai penerima peruntukan daripada Kerajaan Negeri Selangor dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat:
 
Sekolah-sekolah Tamil

 
Kuil-kuil
Gereja-gereja


Tokong-tokong


NGO


Dan berikut adalah foto-foto pada hari tersebut:
















Tiada ulasan: