Rabu, 26 Oktober 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Parti Rakyat Malaya

Posted: 25 Oct 2011 10:13 PM PDT

Saya cukup rasa terharu apabila menerima salam perjuangan daripada Parti Rakyat Malaysia hari ini. Saya terharu kerana parti itulah parti yang mula-mula saya sertai. Parti itulah parti yang dianggotai oleh Ayah saya, dan parti itulah penyambung perjuangan untuk kemerdekaan tanah air daripada Penjajah Inggeris.

Saya menyertai parti itu sejak saya berada di Form Two, iaitu semasa Pak Sako bertanding di kawasan Parlimen Temerloh.

Sayalah satu-satunya anak sekolah yang mengikuti Pak Sako berkempen keseluruh kawasan Parlimen Temerloh. Makan Pak Sako, makanlah saya. Tidur Pak Sako, tidurlah saya. Berjalan Pak Sako, berjalanlah saya.

Perkenalan saya dengan Pak Sako pun adalah secara yang amat mengharukan. Saya tinggal di rumah rakit bersama kawan sedarjah saya, Wan Othman Wan Abullah. Dan Pak Sako pula menyewa rumah rakit berjiran dengan saya.

Setiap malam saya dan rakan-rakan sekolah menyuruk didalam lalang dan membaling batu kearah Pak Sako setiap malam dia balik dari berkempen. Tetapi pada malam berkenaan, saya menjangkakan ternampak bayang-bayang Pak Sako yang turun ke rakit, saya pun mengambil peluang membaling batu kearahnya.

Rupa-rupanya yang turun ke rakit itu adalah orang lain. Pak Sako menyuruk didalam lalang tak jauh dari saya. Apabila saya membaling batu kearah bayang-bayang itu, Pak Sako pun berdiri dan memegang saya. Oh, sungguh takut saya pada waktu itu. Apalah yang akan dilakukan oleh Pak Sako terhadap saya.

Pak Sako tarik saya ke rakitnya, sampai di rakitnya, dia masak air dan buat air kopi, dia suruh saya minum. Dia tak bercakap apa-apa. Semasa minum tu, dia keluarkan tin biskut tawar, maka dia ambil biskut beri kepada saya, dan saya tengok dia tak marah, dia hanya senyum kepada saya.

Selepas minum, barulah dia mula bercakap kepada saya, alangkah takutnya saya pada waktu itu.

Dia tanya, "awok ni anok sape?" Saya jawab nama ayah saya, Said bin Haji Ismail, Kg Lubok Kawah. Dia tersenyum lebar. "Laa .. anok Pak We Said rupehnya, eh...ayoh awok tu, pangkat pupu koi, nape awok baling batu kat koi,"katanya.

Saya tak jawab, tapi masih sangat takut. "Dah," katanya. "Malam ni awok takyoh balik ke rakit awok, tidur sini je.., esok ikut koi gi ngai ikan kat ulu Sg Semantan ni."

Pagi-pagi esuknya Pak Sako sudah siapkan sebuah perahu dan dua batang pancing, untuk dia satu dan untuk saya satu.

Rupa-rupanya dia sangat pandai memancing. Banyak juga ikan yang kami dapat, tapi dia tak ambil seekor pun, dia beri kepada saya semuanya.

Mulai hari itu sikap saya terhadap Pak Sako sudah berubah. Dan dia secara cukup gentle ajak saya ikut dia berkempen. "Kalau nak belajor politik, ikut koi gi kempen,"katanya.

Mulai hari itu, saya ikut Pak Sako, hampir 3 bulan saya ikut dia, mula-mula saya ikut dia selepas waktu sekolah, tetapi akhirnya saya ponteng sekolah.

Didalam Pilihanraya itu, betul Pak Sako kalah, tapi dia hanya kalah lebih sedikit seribu sahaja sedangkan pada waktu itu PRM Temerloh hanya mempunyai beberapa Ranting sahaja, dia kalah kepada calon Perikatan.

Saya kembali ke sekolah bukan sebagai orang tewas tetapi sebagai yang sudah celik politik hanya diberikan penampar oleh Guru Besar dan pada hari Ithninnya saya diberikan pula public canning. Sakit penampar dan sakit kena rotan itu tidak dirasakan apa-apa dibandingkan dengan ilmu politik yang saya dapati dari Pak Sako.

PRM Temerloh bertanding setiap kali berlangsung Pilihanraya. Dan walaupun kalah, PRM meninggalkan calon PAS dengan undi yang besar.

Semasa berada didalam PRM Temerloh itulah saya mula-mula dapat bertemu dengan Ahmad Boestamam, Nazar Nong, Karam Singh, Tajudin Kahar, Hasnul Hadi, dan dapat juga bertemu dengan Dr Lee Siew Choh dari Singapura.

Mereka itu adalah pemidato-pemidato yang hebat-hebat.

Sehinggalah menjangkau tahun 1964, saya berpindah ke Kuala Lumpur kerana menyambung persekolahan saya di Maktab Mara di Jalan Othman, Petaling Jaya. Semasa di Maktab itu, saya curi-curi masa untuk pergi ke Pejabat PRM di Jalan Tuanku Abdul Rahman di hari-hari minggu dan disana dapatlah bertemu dengan pemimpin-pemimpin PRM (PSRM) dan mulai mengenali Dr Syed Husin Ali, Dato Kampo Radjo, dan Kassim Ahmad.

Kemudian saya bertugas di Jabatan Perdana Menteri, dan di hujung-hujung minggu saya mengikuti Syed Husin Ali yang sentiasanya mengadakan kursus ideologi kepada ranting-ranting PSRM di Selangor, Perak, Johor dan Pahang.

Saya masih pegang ajaran Dr Syed Husin Ali mengenai politik dan ideologi, dan saya masih yakin bahawa masyarakat terbahagi kepada kelas-kelas iaitu kelas kapitalis (kelas berjuasi), kelas berjuasi komprador, kelas berjuasi kecil, dan kelas boroh, petani dan nelayan.

Rakan didalam perjuangan adalah golongan berjuasi kecil, kelas boroh/petani/nelayan, dan apabila perjuangan kita itu masih berpegang untuk membela golongan ini, maka perjuangan kita tetap tidak menyeleweng walaupun alat yang kita gunakan kadang-kadang alat-alat yang menyeleweng.

Saya mengambil peluang belajar malam, dan lulus dengan cemerlangnya didalam perperiksaan HSC membolehkan saya masuk Universiti Malaya, tetapi tak lama saya disana kerana permohonan saya untuk mengaji di Lincoln's Inn, London juga diluluskan. Semasa di Universiti Malaya, saya terus aktif dengan PRM dan disana ramai rakan-rakan mahasiswa yang aktif termasuklah Syed Hamid Ali, Sanusi Osman, Halim Ali, Syaharom Mohd Dom, Rohana dan Rohani dan begitu ramai dari kalangan mahasiswa.

Apabila saya belajar di London, saya tidak melepaskan peluang dari meneruskan perjuangan untuk PRM. Disana saya berjumpa dengan Rahman Embong, Chua Jui Meng, Amir Dastan, Thillinathan, Rajah, Zakaria, Wong Weng Kwai, dan ramai lagi yang laiin.

Saya kembali ke tanah air untuk menjadi seorang Magistrate dan kemudian Pegawai Undang-Undang Dewan Bandaraya.

Masa inilah saya mulai menyeleweng dari perjuangan asas saya. Saya cuba kompromikan ikatan saya dengan PRM dengan mengatakan bahawa Parti Politik hanyalah sekadar alat, apa-apa parti pun boleh dimasuki asalkan prinsip kita tidak berubah.

Seorang ideologis mengatakan bahawa pandangan hidup seseorang manusia itu tidak berubah melainkan berubahnya kedudukan sosialnya. Mungkin itulah membuatkan saya menyeleweng jauh. Apa yang saya susahkan pada waktu itu. Apabila saya melangkah kepada kerja-kerja sendiri sebagai seorang peguam, pendapatan peribadi saya tak pernah jatuh dari RM30,000.00 sebulan, pendapatan itu sangat besar jika diambil kira tahun-tahun 70-an itu.

Itulah kebodohan saya. Dari satu parti ke satu parti saya cuba kompromikan kedudukan saya. Saya masuk UMNO, dan dapati UMNO tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya masuk PAS dan dapati tak sesuai dengan jiwa saya. Saya menemui PKN/PKR yang hampir-hampir boleh mengobati jiwa ideologi yang saya pelajari dan kepada PKN/PKRlah penggantungan perjuangan saya kini.

Bagaimana pun apabila saya terpandang lambang PRM, jiwa saya tetap tersentuh, semacam ada yang tidak kena dengan tindakan saya pada hari ini. Saya berharap rakan-rakan didalam PRM dapatlah berjuang bersungguh-sungguh semoga PRM menjadi sebuah parti peringkat nasional yang kuat. Terima kasih.

Tiada ulasan: