The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
PKR tubuh ranting baru di Kg Chandan, Jalan Krau 1, Raub Posted: 10 Oct 2011 03:56 PM PDT Penduduk Kg Chandan menikmati makanan yang dimasak khas oleh Kak Zainon Inilah kali pertama Biro Masyarakat Orang Asal PKR membuat lawatan kerja secara rasmi ke Kg Chandan, dan sesetengah penduduk masih "malu-malu" berhadapan kamera. Kehadiran kanak-kanak begitu nyata sekali, secara keseluruhannya hampir 100 orang kanak-kanak yang hadir. Mereka seronok dengan program seperti ini dan mereka nyatakan bahawa inilah kali pertama mana-mana parti politik yang melawat kampong mereka secara bersantai. UMNO hanya hadir semasa Pilihanraya untuk mendapatkan undi. Saya sampai di rumah Abang Ali (Ali Wahid) dan Kak Ainon di Kg Ulu Gali, Raub jam 2.45 petang dan saya minta izin untuk menunaikan solat dahulu walaupun Kak Ainon sudah menyediakan makanan, cukup enak masakan lemak ikan dan terung telunjuk. Siti Zainab Zainuddin, Ketua Penerangan Wanita PKR Pahang telah pun berada di rumah Abang Ali manakala Pn Kamsiah dan Haris Abdullah sudah pun bertolak ke Kg Chandan dari Raub. Setelah menjamah makanan dengan cukup berselera dengan dua kali bertambah, kami meninggalkan rumah Abang Ali dengan dua buah kereta. Kami sampai di Kg Chandan jam lebih kurang 3.30 petang. Penduduk kampong yang sudah diberitahu terlebih awal oleh Abang Ali sudahpun berkumpul di kampong itu. Bedu, ketua kepada penduduk di kampong itu menyatakan bahawa orang lelaki hanya boleh datang pada jam 5.00 petang kerana mereka masih belum pulang dari tempat kerja, maka kehadiran di sana dipenuhi oleh kaum wanita dan lebih kurang 10 orang lelaki dewasa sahaja, manakala hampir 100 orang kanak-kanak. Saya diminta berucap dan didalam ucapan ringkas saya itu sempat saya menerangkan masalah yang dihadapi oleh Orang Asal di Negeri Pahang khususnya berhubung dengan masalah yang mereka hadapi mengenai tanah mereka. Orang Asal juga berhadapan dengan masalah kemiskinan tegar dengan pendapatan yang kecil dan berhadapan dengan masalah kurang diberikan perhatian oleh kerajaan dibidang pendidikan, kesihatan dan ekonomi. Tanah-tanah yang dahulunya menjadi kawasan mereka dan didiami oleh nenek moyang mereka kini sudah dibuka menjadi ladang-ladang milik syarikat-syarikat besar dan juga ladang-ladang yang dibuka oleh anak-anak syarikat kerajaan. Rezab Orang Asal di Negeri Pahang semuanya sudah dibatalkan dan dikawasan-kawasan itu kini diwujudkan Rezab Perhilitan untuk penjagaan binatang-binatang. Orang Asal yang didapati menceroboh kawasan-kawasan Rezab Perhilitan ini akan ditangkap dan didakwa di Mahkamah. Kini sudah terdapat ramai dari kalangan Orang Asal yang sudah ditangkap dan didakwa di Mahkamah seperti Mahkamah Magistrate Jerantut, Temerloh dan Rompin kerana kesalahan menceroboh kawasan hutan Rezab Perhilitan dan memiliki daging-daging dari buruan hutan. Parti Keadilan Rakyat bersama-sama dengan NGO-NGO orang Asal kini sedang memperjuangkan supaya Tanah komunal bagi Orang Asal diwartakan dan menjadi kesalahan jenayah yang berat bagi mana-mana pihak lain menceroboh kawasan yang diwartakan itu, dan didalam kawasan yang diwartakan itu Orang Asal boleh memohon geran tanah untuk keperluan mereka. Saya menerangkan bahawa berlaku perbezaan yang nyata diantara pentadbiran Negeri Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat dengan negeri-negeri yang ditadbirkan oleh Barisan Nasional, kerana di Selangor penduduk-penduduk Orang Asal sudah mulai menerima geran-geran tanah dan kini Kerajaan Selangor mulai pula melindungi tanah Orang Asal dengan suatu Ordinan yang baru agar tanah mereka tidak lagi dapat diceroboh oleh mana-mana pihak. Saya juga memaparkan masalah yang dihadapi oleh beberapa buah kampong Orang Asal di Rompin. Di Kg Ganu umpamanya tidak ada bekalan air bersih dan elektrik, dan jalan ke kampong itu adalah jalan tanah yang begitu buruk. Di kampong itu, penduduknya menggunakan air paya untuk mandi, minum dan memasak dan membasuh pakaian sedangkan disitu juga tempat kerbau membuang najis. Di Kg Kemomoi pula kanak-kanak tidak boleh bersekolah kerana sekolah yang terdekat adalah lebih kurang 40 kilometer dari kampong mereka sedangkan mereka tidak mempunyai apa-apa kemudahan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan mereka berhadapan dengan pendapatan yang sangat kecil. Di Kg Bakar Sampah pula ada beberapa famili Orang Asal terpaksa berebut-rebut sisa-sisa makanan dan pakaian yang sudah dibuang apabila lori-lori sampah membuang sampah di kampong itu. Inilah nasib Orang Asal dibawah pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO. Setelah berbincang dengan penduduk Kg Chandan, mereka sangat bergembira kerana wujudnya sebuah parti politik di Negara ini (PKR) yang memperjuangkan nasib mereka dan mereka mahu berjuang bersama-sama dengan Parti Keadilan Rakyat. Mereka putuskan untuk menubuhkan Ranting Parti Keadilan Rakyat di kampong mereka dan mereka telah tetapkan tarikh penubuhannya pada hari Isnin minggu depan iaitu pada 17hb Oktober 2011 jam 5.00 petang. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan