www.telokkemang.blogspot.com/ |
GANTUNG KUATKUASA AKTA-AKTA YANG AKAN DIMANSUHKAN Posted: 18 Sep 2011 10:52 PM PDT KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN TELOK KEMANG 19 SEPTEMBER 2011 GANTUNG KUATKUASA AKTA-AKTA YANG AKAN DIMANSUHKAN
Sempena sambutan Hari Malaysia 16 September 2011, Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak (PM) telah mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan beberapa akta yang lain. Dicadangkan usaha ini akan hanya dibentangkan di Parlimen pada sesi pertama tahun 2012. Walau pun demikian, saya sarankan PM perlu menunjukkan semangat dan kesungguhan dalam masa menanti perkara ini dibentang dan dilulus oleh Parlimen, beliau akan MENGGANTUNG FUNGSI Akta-Akta tersebut dan tidak akan diguna pakai serta merta. Ini akan mencerminkan bahawa beliau sememangnya mahukan dan tidak berdolak-dalih dan tanpa ragu-ragu lagi inginkan Akta-Akta berkenaan diMANSUHKAN. Akta ISA 1960, iaitu, yang diluluskan tiga (3) tahun selepas MERDEKA, sering disalahgunakan dengan zalimnya menindas rakyat yang belum terbukti bersalah, dikenakan tahanan bagi tempoh tertentu, tanpa dihadapkan ke Mahkamah. Apatah lagi Akta ini juga digunakan sebagai senjata politik dengan menahan pemimpin-pemimpin politik. Di masa yang sama ini juga, wajar PM membebaskan semua tahanan ISA yang ada. Seluruh dunia akan melihat keikhlasan dan kesungguhan PM bahawa pengumuman beliau bukan satu laungan tanda tersepit atau satu sandiwara yang sering didengar sebagai penyimpang apabila berhadapan dengan krisis politik. Apatah lagi apabila Menteri Dalam Negeri menegaskan bahawa tidak ada rancangan untuk membebaskan mereka yang berada di dalam tahanan sekarang, secara langsung menghapuskan apa-apa keyakinan bahawa cadangan penghapusan Akta tersebut akan menjadi satu realiti bersejarah. Saya juga mendesak agar permohonan permit akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, SUARA KEADILAN, diberikan kelulusan semula tanpa syarat dengan segera jika PM ingin menunjukan kesungguhan yang sama atas cadangan memansuhkan juga Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Rakyat ingin melihat dan menilai apakah pengumuman PM ini tidak lain dan tidak bukan sekadar gula-gula politik menjelang Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) kerana selama ini Kerajaan UMNO/BN belum pernah menunjukkan keupayaan dan keinginan untuk menterjemahkan keazaman mereka tentang keluhuran undang-undang dan semangat Perlembagaan Persekutuan malah, sentiasa menyalah gunakan kuasa, apa lagi berusaha untuk menggubal undang-undang yang zalim.
YB Dato' Kamarul Baharin Abbas Ahli Parlimen Telok Kemang |
You are subscribed to email updates from www.telokkemang.blogspot.com/ To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan