The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Sumber sejarah UMNO menghancurkan patriotisme rakyat Posted: 23 Sep 2011 03:12 AM PDT Setiap bangsa ada sejarahnya dan sejarah itu adalah rakaman sebenar apa yang berlaku dan keatas para pelakunya. Semasa saya di Sekolah Melayu sejarah yang saya belajar adalah sejarah kegemilangan Inggeris yang disokong oleh para pembesar dan bangsawan Melayu. Adapun mereka yang berjuang menentang Inggeris dianggap sebagai pengkhianat dan penderhaka. Sejarah inilah yang digunapakai oleh UMNO sebagai sumber sejarah Negara ini, dan saya langsung tidak pelik kenapa pejuang-pejuang seperti Maharaja Lela, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Bahaman, Tok Gajah, Mat Lela dan Mat Indera dicop sebagai Penderhaka, kononnya mereka ini menderhaka kepada sultan-sultan Melayu dan tidak dianggap sebagai penentang Penjajah Inggeris. Saya juga tidak pelik apabila sumber sejarah Pro-British ini menganggap Dr Burhanuddin Al-Helmi, Abu Bakar Al-Baqir, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamed, pejuang PKMM, API dan Awas sebagai pengkhianat dan pengganas. Hari ini UMNO telah merikacipta satu lagi sejarah Negara melalui beberapa orang professor "kaki-ampu" yang memutar-belitkan sejarah Negara sebagai "Malaysia tidak pernah dijajah". Kononnya Inggeris datang ke Tanah Melayu atas undangan Raja-Raja Melayu, Portugis, Belanda dan Jepun datang ke Malaysia "untuk bersantai?". Puluhan ribu patriot Negara mati dan meringkuk didalam tahanan Inggeris semata-mata kerana mereka itu penjahat, pengganas dan penderhaka? Hilang sudah roh untuk Malaysia Merdeka apabila sejarah gemilang tanahair diputarbelit oleh UMNO. Apa kata Aishah Ghani yang berjuang hebat didalam PKMM untuk kemerdekaan tanah air. Perlukah ditanya kepada Abdul Rahman Talib, Yahya Mohd Seh dan Ghafar Baba yang pernah berjuang didalam PKMM untuk kemerdekaan Negara? Benar, mereka itu semuanya menjadi pemimpin UMNO dan menjadi Menteri, tetapi itu adalah sejarah selepas pengharaman PKMM. Saya merasakan sangat terhina dengan putarbelit sejarah yang diperlakukan oleh UMNO ini kerana ayah saya meringkuk bertahun-tahun didalam tahanan Inggeris tanpa bicara kerana ayah saya adalah pejuang kemerdekaan melalui API yang berselogankan MERDEKA DENGAN DARAH! Dan jika Malaysia ini tidak pernah dijajah oleh Inggeris, apa kah jadahnyanya Negara ini membelanjakan mungkin sudah berbilion ringgit sejak 1957 kerana mahu menyambut hari Merdeka, hari perlepasan Negara ini dari penjajahan Inggeris. Apa jadahnya Negara ini menjadi Anggota Negara-Negara Commonwealth jika Malaysia tidak pernah dijajah oleh Inggeris, kerana Commonwealth itu mengumpulkan Negara-Negara yang pernah dijajah oleh Inggeris. India, Pakistan, Brunei, Singapura, Australia, New Zealand, Ghana, Srilanka, Bangladesh dan negara-negara yang dijajah oleh Inggeris di Asia dan di Afrika kesemua menjadi anggota Negara-Negara Commonwealth kerana kesemua mereka adalah bekas jajahan Inggeris. Saya cabar supaya Malaysia keluar dari Commonwealth kerana Negara ini tidak pernah dijajah oleh Inggeris (sic!). Demi untuk menonjolkan UMNO parti itu sanggup memutarbelitkan sejarah dan sanggup mempertahankan semua pihak yang menjadi talibarut Inggeris sebagai pejuang kemerdekaan dan semua mereka yang menentang Inggeris sebagai pengkhianat. Bukit Kepong adalah sejarah pengkhiantaran Orang Melayu yang bersekongkol dengan Inggeris yang kini diberikan taraf Wira oleh UMNO, dan yang menentang talibarut Inggeris itu sebagai pengganas dan komuniis! Tidak ada bangsa dalam dunia ini mahu memesungkan sejarah perjuangan bangsa mereka, fakta adalah fakta, dan tidak boleh diubah walaupun parti yang memerintah Negara tidak gemar kepada fakta itu. Insya Allah, sejarah Negara ini yang penuh dengan pengorbanan akan ditulis semula apabila Kerajaan pro-Penjajah yang memerintah hari ini digulingkan. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan