Sabtu, 6 Ogos 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Orang Asal Kg Bongkok, Bera Mahukan Perubahan

Posted: 06 Aug 2011 06:04 AM PDT

Bob Manolan, Timbalan Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR dan saya sampai ke Kg Bongkok, Bera hampir tepat jam 4.30 petang. Sdr Romani Mohamad, abang kepada Bob Manolan, dan En Mohamad, bapa kepada Bob Manolan, telah sedia ada di Balai Raya kampong tersebut menunggu kedatangan kami.

Kehadiran memenuhi Dewan Kg Bongkok itu turut dihadiri oleh Batin kampong tersebut; dan tanpa membuang masa, Sdr Romani memulakan Majlis Penerangan itu dengan menjemput Tok Batin memberikan ucapan alu-aluan.

Ucapan saya selepas Batin menyentuh isu tanah Orang Asal dan penerangan mengenai kedudukan Orang Asal seperti penduduk kelas kedua yang tidak diberikan perhatian melainkan semata-mata untuk umpanan pilihanraya.

Saya menceritakan lawatan saya bersama-sama Sdr Yusri Ahon dan Shafei Deris dari JOAS (Jaring Orang Asal Semenanjung) ke beberapa buah perkampongan Orang Asal di Pekan dan Rompin. Kampong Ganu di Rompin tidak ada jalan raya yang sempurna, tidak ada bekalan air bersih dan elektrik dengan penduduk hanya menggunakan air paya yang keruh di tempat kerbau pun turut berendam untuk mandi, membasuh kain baju, untuk air minuman dan memasak.

Sebuah kampong lagi di Rompin iaitu Kg Kemomoi terdapat penduduk-penduduk yang hanya makan nasi 5 tahun sekali semasa pilihanraya apakala UMNO merayu untuk mendapatkan undi mereka. Pendapatan orang Asal di kampong itu hanyalah sekadar RM10.00 maksima sebulan, dan makanan harian mereka adalah ubi kayu. Anak-anak mereka tidak bersekolah kerana sekolah yang paling dekat adalah lebih kurang 40 km dari kampong itu, dan lagi pun mereka tidak mempunyai sebarang kenderaan untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

Sebuah kampong lagi adalah Kg Bakar Sampah. Memang kampong itu tempat membakar sampah dari Bandar Muadzam Shah. Setiap kali lori sampah mencurahkan sampah di kampong itu maka anak-anak Orang Asal serta Ibu Bapa mereka berlari-lari ke tempat curahan itu untuk mendapatkan kalau-kalau masih ada makanan yang boleh dimakan atau kain-baju yang masih boleh dipakai.

Di kampong Batu Gong di Daerah Pekan pula, tanah-tanah Orang Asal yang sudah ditanam dengan getah dan kelapa sawit, disodok licin untuk memberikan jalan kepada pembangunan oleh anak syarikat kerajaan Negeri Pahang, walhal pengundi di kampong inilah yang membantu Najib memenangi kawasan Parlimen Pekan semasa beliau hanya menang sekadar lebihkurang 200 undi.

Saya juga ceritakan pencerobohan tanah Orang Asal di Kampong Tanam, Rompin, di Paya Mengkuang, Temerloh, di Paya Pelong dan di Paya Rekoh, Kuala Krau. Pembalakan dijalankan di Kg Pasu dengan towkay-towkay menempah kekayaan dan Orang Asal hanya mendapat habuk.

Tanah-Rezab Orang Asal yang diwartakan semasa pemerintahan Inggeris semua sudah ditarik balik oleh Kerajaan UMNO/BN; dan tanah Orang Asal di Lembah Klau diambil alih oleh Kerajaan dengan pampasan yang begitu kecil.

Parti Keadilan Rakyat akan menjadikan tuntutan Orang Asal mendapatkan tanah mereka samada dengan cara Warta atau digerankan dan akan melaksanakan dasar ini dalam tempoh 100 hari Pakatan Rakyat memerintah Negeri Pahang.

Diakhir ucapan saya, saya meminta pandangan Orang Asal Kg Bongkok samada mereka mahu mengekalkan pemerintahan UMNO/BN yang merugikan masa depan mereka serta anak-cucu mereka atau mahu merubah kepada pemerintahan PR yang baru mendapat jawapan bahawa mereka mahukan perubahan.

Untuk itu mereka membuat perjanjian untuk perubahan dengan semua yang hadir berdiri, menggenggam tangan dengan meghayun keatas dan melaungkan REFORMASI sebanyak 3 kali.

Saya terus meninggalkan Dewan Kg Bongkok setelah bersalam dengan semua para hadirin untuk saya sempat berbuka puasa di rumah saya di Kg Batu 4, Jalan Maran, Temerloh dan saya sampai di rumah tepat jam 7.10 petang.

Tiada ulasan: