PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN |
DAP dakwa transaksi tanah 300ha Sendayan tak telus Posted: 29 Jul 2011 02:43 AM PDT Ketua Pembangkang Negeri Sembilan Anthony Loke Siew Fook mendakwa menteri besar negeri itu tidak telus dalam penjualan tanah seluas 303.5 hektar di Sendayan untuk menggantikan pangkalan udara tentera di Sungai Besi. "Berapakah harga jualan keseluruhan tanah tersebut dan nilai jualan setiap kaki persegi? Apakah terma-terma dalam perjanjian jual-beli tersebut? "Apakah penjualan tanah itu dijalankan secara tender terbuka atau rundingan terus?" soal Loke (kiri) bertubi-tubi kepada Datuk Seri Mohamad Hassan. Loke juga mempersoalkan kenapa transaksi tersebut "dijalankan dengan begitu sulit" dan sama ada wujud perkara yang ingin disembunyikan daripada pengetahuan umum. "Apa yang lebih memeranjatkan ialah speaker DUN Negeri Sembilan telah menolak soalan saya berhubung dengan isu tersebut dalam Persidangan DUN pada 8 Ogos depan," katanya. Loke berkata, beliau mengemukakan soalan lisan tentang nilai penjualan tapak tanah tersebut kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan terperinci dan terma-terma yang terkandung dalam perjanjian jual beli tersebut. 'Penolakan sewenang-wenang' Bagaimanapun, katanya, ia ditolak speaker melalui sepucuk surat bertarikh 20 Julai 2011 tanpa dinyatakan apa-apa sebab. "Penolakan soalan tersebut secara sewenang-wenangnya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali dan tidak mematuhi prinsip ketelusan dan akauntabiliti. "Ini jelas menunjukkan pentadbiran dibawah BN langsung tidak mengamalkan prinsip ketelusan dalam isu-isu kepentingan awam," katanya. Beliau juga mengingatkan Mohamad, kegagalan memberikan penjelasan terbuka hanya akan menimbulkan keraguan sama ada transaksi tersebut diselubungi dengan unsur rasuah. Sementara itu, Loke juga mengulas kenyataan Mohamad bahawa MBI milik kerajaan negeri berjaya membayar balik pinjaman RM250 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dalam tempoh 5 tahun. Loke berkata, walaupun bangga dan mendakwa sebagai manifestasi kecekapan pengurusan kewangan dan pentadbirannya, ia sebenarnya tidak ada kena-mengena. Sebaliknya, tambahnya, sebahagian tanah itu dijual kepada 1MDB untuk pembinaan pangkalan baru Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Pinjaman tersebut dibuat pada tahun 2006 oleh MBI untuk menyelesaikan isu tanah Felda Sendayan yang melibatkan lebih 100 orang peneroka, katanya lagi. |
You are subscribed to email updates from PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan